KHIANAT YANG TERPILIH CINTA TERLARANG MENGUJI TAKDIR EMPAT JIWA

Friday, 20 February 2026

Kuala Lumpur, 20 Februari 2026 – “Cinta pertama mungkin tak pernah benar-benar hilang, ia cuma menunggu saat untuk melukai semula.” Itulah premis yang menjadi tunjang kepada Khianat Yang Terpilih, terbitan Mache Allstar dan arahan Ejump Mohd, sebuah naskhah yang mengangkat gelora cinta terlarang serta persoalan paling getir; apabila kenangan lama kembali menyala dan cinta terlarang diuji, mampukah hati menanggung akibatnya?

Dibintangi Ben Amir, Amyra Rosli, Ikmal Amry, Puteri Aishah, Ainina Ahmad dan Erin CTJ, siri 30 episod ini bakal menemui penonton bermula 26 Februari 2026, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6.58 petang di slot Akasia, TV3.

Kisahnya berkembang daripada cinta pertama Ali (Ben Amir) dan Asmida (Puteri Aishah) yang terhenti sejak zaman universiti, sebelum kembali berputik tanpa dirancang apabila masing-masing telah membina kehidupan sendiri. Ali kini bergelar suami kepada Waheeda (Amyra Rosli) serta bapa kepada seorang anak yang mengalami ‘speech delay’, Afeeya. Dalam masa yang sama, Asmida pula menjalani perkahwinan yang tidak sehaluan bersama Fahim (Ikmal Amry).

Takdir mempertemukan mereka semula apabila Ali mengambil alih tanggungjawab menjaga Afeeya dan mendaftarkannya di sekolah tempat Asmida mengajar. Pertemuan yang pada awalnya tampak biasa itu tanpa sedar membuka kembali lembaran lama yang belum tertutup, lalu perlahan-lahan mencetuskan pergolakan perasaan yang sukar dibendung.

Di titik inilah kesetiaan dan tanggungjawab mula diuji. Setiap langkah membawa risiko, dan setiap keputusan hadir dengan harga yang perlu dibayar. Peluang kedua mungkin kelihatan indah, namun tidak semua yang kembali itu menjanjikan kebahagiaan, ada yang hanya merumitkan keadaan.

Menurut Ben Amir, “Ali adalah watak yang kompleks kerana dia harus mengimbangi tanggungjawab sebagai suami dan bapa dengan godaan nostalgia cinta pertama. Membawa watak ini mengajar saya tentang konflik dalaman, penyesalan dan bagaimana satu keputusan mampu memberi kesan bukan sahaja kepada dirinya, tetapi kepada semua di sekelilingnya.”

Sarat dengan konflik, pengkhianatan dan penyesalan, Khianat Yang Terpilih menyelami dilema hati, runtuhnya kepercayaan serta impak mendalam terhadap perkahwinan dan kehidupan setiap watak. Saksikannya bermula 26 Februari 2026 ini, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6.58 petang di slot Akasia, TV3.

Penonton boleh menonton episod baharu secara eksklusif di iQIYI, 1 jam selepas siaran di TV3, sama ada melalui laman web iQIYI atau aplikasi di Google Play dan App Store.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, ikuti TV3 di Facebook, X, YouTube dan Instagram @TV3Malaysia, serta Instagram rasmi Drama Sangat di @dramasangat.

Post a Comment

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.