PERTEMUAN TAK DISANGKA! ZARA ZYA ‘KACAU’ JAZMY JUMA DI NAMAMU CINTA

Thursday, 5 February 2026

Kuala Lumpur, 5 Februari 2026 – Apabila kejayaan material dan kemasyhuran tidak lagi mampu mengisi kekosongan jiwa, kebahagiaan sebenar ditemui di tempat yang paling tidak disangka. Bermula 14 Februari 2026, Tonton Original bakal membawakan naskhah komedi romantik 10 episod bertajuk Namamu Cinta yang menyentuh hati, menampilkan gandingan teraju utama Zara Zya dan Jazmy Juma dalam merungkai pencarian jati diri serta erti kebahagiaan sebenar. Siri ini akan disiarkan secara eksklusif setiap Sabtu dan Ahad di Tonton.

Diarahkan oleh Khairi Anwar dengan skrip nukilan Anwar Hadi dan Baizura Kahar, drama terbitan Red Communications ini menyatukan Zara Zya dan Jazmy Juma buat pertama kalinya bergandingan sebagai watak utama, sekali gus menjadi antara tarikan utama. Turut membarisi pelakon ialah Shahz Jaszle, Syad Mutalib, Sobri Anuar serta Nor Albaniah yang memperkukuh penceritaan dengan lakonan mantap masing-masing.

Siri ini mengisahkan Nuna (Zara Zya), seorang usahawan fesyen yang berjaya, berdisiplin tinggi dan obses untuk menang dalam setiap aspek kehidupan. Namun, tekanan hidup serta pertelingkahan rumah tangga membawa kepada perceraian dengan Hisham (Shahz Jaszle), seorang pelakon popular, lantas meruntuhkan dunia yang selama ini dibinanya.

Demi menyembuhkan luka di hati, Nuna memilih untuk berpindah sementara ke Port Dickson bersama bapanya. Di sana, takdir menemukan dia dengan Aslan (Jazmy Juma), seorang pembuat batik muda berbakat yang memilih kehidupan sederhana, menjadikan seni batik sebagai cerminan jiwa dan falsafah hidupnya. Pertembungan antara dunia kompetitif Nuna dan ketenangan hidup Aslan melahirkan sebuah hubungan yang unik, dipenuhi salah faham, tawa dan detik-detik mencuit hati.

Keadaan menjadi lebih rumit apabila Anis (Syad Mutalib), teman rapat yang menyimpan perasaan terhadap Aslan, mula berasa tergugat dengan kehadiran Nuna. Ketegangan memuncak apabila Hisham muncul semula untuk meraih simpati dan menuntut tempat dalam hidup Nuna, meletakkan beliau dalam dilema antara kenangan lama atau masa depan yang lebih tenang.

Mengulas mengenai watak mereka, Zara Zya berkongsi tentang pertembungan personaliti yang mencuit hati di set. "Nuna ini memang 'perfectionist', sampaikan bila dia masuk ke dunia Aslan pun dia masih terbawa-bawa perangai usahawan dia itu. Seronok berlakon dengan Jazmy kerana beliau sangat tenang dalam set, jadi pertembungan antara watak kami yang 'kalut' dengan yang 'relaks' itu nampak sangat natural dan ada masanya agak melucukan."

Jazmy Juma turut menambah dengan nada berseloroh, "Aslan ini jenis yang ikut rentak sendiri sahaja, jadi bila kena hadap Nuna yang semuanya nak kena cepat dan menang, memang mencabar kesabaran dia juga. Tapi itulah yang membuatkan hubungan mereka unik. Bekerja dengan Zara sangat mudah sebab kami selalu berkongsi idea untuk pastikan 'vibe' antara usahawan bandar dan pemuda kampung ini sampai kepada penonton."

Sebuah siri yang diperkaya dengan keindahan seni batik, Namamu Cinta akan ditayangkan secara eksklusif di Tonton bermula 14 Februari ini, menceritakan bagaimana sebuah pertemuan tidak disengajakan mampu mengubah cara seseorang melihat cinta, kerjaya dan erti kehidupan sebenar.

Untuk maklumat lanjut tentang rancangan kegemaran anda, ikuti kami di Facebook, Twitter, TikTok dan Instagram di @tontonmy.

Post a Comment

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.