Sandhya Nelluri (Sobhita Dhulipala) merupakan pembaca berita yang terkenal dengan siri ‘Idhee Ghoram’ yang memaparkan kes-kes jenayah. Intern bernama Bobby (Aditi Myakal) cadangkan agar Sandhya mengupas kes-kes jenayah secara telus dan jujur melalui podcast kerana syarikat mereka hanya mengejar rating tanpa pedulikan isu sebenar yang berlaku.
Sandya tolak mentah-mentah idea Bobby dan fokus dengan tugasnya. Tambahan pula, dia bakal bertunang dengan kekasihnya, Amar (Vishwadev Rachakonda). Sebelum bertolak ke rumah Amar, Sandhya gagal menghubungi Bobby namun keluarganya pujuk akan singgah ke rumah Bobby setelah pertunangan Sandhya dan Amar selesai.
Dalam perjalanan ke rumah Bobby, orang gajinya memaklumkan Bobby dan kekasihnya dibunuh dengan kejam. Inspektor Rajeev (Chaitanya Krishna) ditugaskan untuk menyiasat kes pembunuhan tersebut. Tidak berpuas hati dengan hasil siasatan polis, Sandhya menceritakan semua teori dan petunjuk yang ditemui di kawasan pembunuhan Bobby.
Podcast Sandhya tular kerana dia berjaya menjejak suspek utama iaitu pengawal keselamatan tempat tinggal Bobby. Malangnya, Sandhya mendapat panggilan dari pembunuh sebenar yang sakit hati dengan kesilapan fakta yang dibentangkan oleh Sandhya. Pembunuh sebenar beri bayangan akan merogol dan membunuh seorang lagi mangsa sekiranya Sandhya lambat bertindak.
Sandhya bekerjasama dengan Inspektor Rajeev untuk mencari pembunuh sebenar yang rupanya telah melakukan banyak jenayah sejak 20 tahun lepas.
Filem Telugu arahan Sharan Koppisetty menggunakan tema gangguan seksual yang berlaku terhadap wanita sejak kecil. Dari awal filem telah ditunjukkan babak-babak gangguan seksual yang dialami oleh pelakon sampingan kemudiannya beralih kepada watak utama yang terkesan dari gangguan seksual yang dialami.
Tak cukup dengan gangguan dan trauma yang dihadapi oleh para wanita, laporan polis yang dilakukan tidak bermakna kes mereka akan bergerak. Cebisan-cebisan fakta yang dipaparkan oleh pengarah menjadi penggerak kepada filem Cheekatilo lalu menjadi jawapan kenapa pembunuh bersiri yang merogol dan membunuh wanita ini boleh bergerak bebas selama 20 tahun.
Inspektor Rajeev sangka pembunuh adalah seorang yang bijak tapi malangnya dia terjaga oleh kelemahan pihak polis yang bergerak perlahan. Tengok gaya Inspektor Rajeev menyiasat pun menyedihkan sebab material dia 20% dari material yang Sandhya berjaya kumpulkan. Padahal pihak polis ada akses penuh untuk siasat rakaman CCTV, kawasan jenayah atau maklumat forensik.
Macam mana Sandhya boleh ada material yang banyak tak pula diceritakan dan ini adalah kelemahan utama untuk naskhah Cheekatilo. Pengarah cuma tunjuk Sandhya dapat bayangkan kejadian Bobby dan kekasihnya dibunuh tapi macam mana dia dapat tahu langsung tak diceritakan. Selalunya kalau naskhah penyiasatan kes jenayah, kita dapat petunjuk dari luka mangsa atau keadaan tempat kejadian.
Bukan saja kes Bobby tapi semua kes yang terlibat dalam pembunuhan bersiri ni. Bosan jadinya bila perbincangan disorok oleh pengarah dan akan didedahkan di hujung filem. Sandhya dah tanya kenapa ada bunga jasmin dengan loceng kaki setiap kali mangsa dibunuh tapi pertanyaan tu dibiarkan sepi sebab dua objek ni adalah benda yang biasa dalam masyarakat India. Tak sepatutnya Inspektor Rajeev atau Sandhya abaikan dua objek ni. Memang lah bunga jasmin dengan loceng kaki adalah objek biasa tapi kalau pembunuh abadikan bersama mayat, automatik jadi luar biasa lah.
Kelemahan kedua terbesar terletak pada lakonan Sobitha yang pasif. Mungkin penulis wujudkan watak dengan personaliti begitu jadi Sobitha pun tak boleh nak kembangkan sangat. Dah lah bosan tengok gaya penyiasatan, makin bertambah bosan bila tengok Sandhya yang diam dan tak beremosi. Chemistry dengan Vishwadev pun tak menggerakkan sangat elemen romantik yang diwujudkan dalam filem Cheekatilo. Tapi pengarah tak lah fokus sangat dengan romantic angle antara Sandhya dengan Amar sebab cara Amar tegur Sandhya pun kasar. Dia panggil oi je dekat tunang dia.
Bila watak Ananditha (Isha Chawla) muncul untuk take over case baru nampak seronok sikit sebab dia agresif buat kerja. Tapi sekejap je lah seronoknya sebab fokus berpatah balik kepada Sandhya sebagai watak utama.
Filem Cheekatilo ada idea yang kuat, kes pembunuhan yang mencabar tapi tersia kerana kelemahan penulisan dan olahan pengarah.
1. Team Production +0.4, 2. Visual +1, 3. Audio +1, 4. Storyline +0.3, 5. Casting +0.4, 6. Genre +0.2, 7. Themes +0.6, 8. Editing +0.5, 9. Social Message +0.4, 10. Personal Thought +0 = 4.8/10

Post a Comment
[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.
[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.
Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.
Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.