BUKAN DRAMA SAHAJA! TV3 HIDUPKAN RAMADAN 2026 DENGAN TIGA PROGRAM GAYA HIDUP PENUH RASA

Saturday, 14 February 2026

Ramadan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi musim paling “hidup” dalam setahun. Dapur kembali sibuk menjelang Maghrib, meja makan menjadi titik temu, dan detik berbuka terasa lebih bermakna apabila disertai cerita yang dekat di hati.

Mengangkat suasana itu, TV3 tampil dengan kempen Jwanjih Kenyang, memperkenalkan 3 program gaya hidup yang melangkaui resipi dan sajian semata-mata. Ia mengangkat nilai kekeluargaan, memori serta hubungan yang terjalin di sebalik setiap hidangan, sekali gus mewujudkan suasana yang membuat penonton seolah-olah duduk semeja bersama selebriti kegemaran mereka.

Berikut antara program yang bakal mencuri perhatian sepanjang Ramadan ini:

1) Oh Mummy! Gambaran Realiti Ibu Selebriti

Ada sisi seorang ibu yang jarang dilihat, dengan jadual padat, suasana kelam-kabut, urusan rumah tangga yang tidak pernah selesai serta momen parenting yang hadir tanpa dirancang.

Menampilkan Elfira Loy bersama keluarga, Oh Mummy! membawa penonton menyelami kehidupan seorang ibu yang mengimbangi kerjaya dan keluarga melalui rutin harian serta cabaran yang datang silih berganti, namun tetap disulami kasih sayang.

Rancangan ini sekali gus menjadi cerminan realiti ramai ibu di luar sana yang tidak sempurna tetapi penuh makna. Oh Mummy! mula bersiaran pada 14 Februari 2026, setiap Sabtu, jam 7.00 malam di TV3.

2) Jom Berbuka, Bila Juadah Jadi Pengikat Cerita


Bagi kebanyakan keluarga, waktu berbuka bukan sekadar tentang menu di atas meja, tetapi tentang cerita yang terjalin di sebaliknya.

Jom Berbuka memberi fokus kepada momen itu dengan menampilkan selebriti bersama ahli keluarga menyediakan juadah iftar sambil berkongsi kisah Ramadan, daripada tradisi turun-temurun hingga memori yang membentuk siapa diri mereka hari ini.

Antara yang tampil termasuk Angah Raja Lawak, Dato' Fazley Yaakob, Nabila Huda, Cat Farish dan Fiza Frizzy bersama keluarga masing-masing.

Konsepnya ringkas tetapi berkesan, menjadikan masakan sebagai medium untuk membuka ruang perkongsian dari hati ke hati. Episod pertama bermula 14 Februari 2026, setiap Sabtu, jam 7.30 malam di TV3.

3) Anak Mama Masak Apa Tu? Apabila Ruang Dapur Merapatkan Hubungan


Anak Mama Masak Apa Tu? tampil dengan konsep masakan santai dan playful apabila seorang ibu selebriti bergandingan dengan anak dalam menyediakan hidangan pilihan mereka. Ia lebih daripada sekadar perkongsian menu, dengan momen spontan, gelak tawa serta keserasian yang mencuit hati.

Menampilkan Rozita Che Wan bersama anaknya Aaisyah, rancangan ini dijangka menjadi antara tarikan utama musim Ramadan menerusi aura dan karisma duo ibu dan anak yang menyerlah di layar kaca. Program ini mula bersiaran pada 15 Februari 2026, setiap Ahad, jam 7.00 malam di TV3.

TV3 Ajak Penonton ‘Jwanjih Kenyang’ Sepanjang Ramadan dan Raya

Melalui kempen Jwanjih Kenyang, TV3 menjadikan kebersamaan sebagai teras utama kandungan Ramadan tahun ini. Setiap program hadir dengan pendekatan tersendiri, namun berpaksikan mesej yang sama iaitu Ramadan bukan sekadar tentang juadah, tetapi tentang insan yang berkongsi momen bersama.
Daripada realiti kehidupan seorang ibu, ke suasana iftar yang sarat nostalgia, hingga ke dapur yang merapatkan hubungan antara generasi, keseluruhannya disusun bagi memperkaya pengalaman tontonan sepanjang musim istimewa ini.

Saksikan rangkaian program Ramadan dan Raya 2026 di TV3 atau strim menerusi platform digital TV3, kerana setiap detik kebersamaan lebih bermakna apabila diraikan bersama!

Post a Comment

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.