30 HARI RAMADAN YANG MENGUBAH HIDUP SEORANG ANAK BANDAR DALAM “MR.PERFECT RAMADAN”

Thursday, 19 February 2026

Kuala Lumpur, 19 Februari 2026 – Apabila seorang anak bandar yang memberontak dipaksa menjalani Ramadan di kampung, mampukah 30 hari penuh cabaran mengubah pandangannya tentang hidup, keluarga dan cinta? Mr.Perfect Ramadan, sebuah drama bersiri mikro berunsur komedi romantik, bakal menemui penonton bermula 19 Februari, disiarkan setiap hari jam 12.00 tengah hari, eksklusif di TikTok Drama Sangat dan Tonton.

Dibintangi oleh Muaz Zabir, Ariana Yusof dan Sabri Yunus, drama ini mengetengahkan kisah ringan tetapi sarat dengan nilai kekeluargaan, keimanan dan kasih sayang yang terbit secara semula jadi sepanjang bulan Ramadan. Dengan latar suasana kampung dan momen-momen manis yang mencuit hati, Mr. Perfect Ramadan menjanjikan tontonan yang menghiburkan serta menyentuh perasaan.

Drama ini mengisahkan Syafiq (Muaz Zabir), seorang pemuda bandar berusia 25 tahun yang bercita-cita menyambung pelajaran ke Australia demi mengikut jejak langkah rakan-rakannya. Tanpa pengetahuan ibu bapanya, Anisah dan Talib, Syafiq mendapatkan surat tawaran universiti luar negara. Namun, impiannya ditentang keras kerana ibu bapanya bimbang Syafiq mudah terpengaruh dengan budaya Barat.

Sebagai jalan tengah, Anisah menetapkan satu syarat yang disangka mustahil dipenuhi Syafiq iaitu dia perlu tinggal selama 30 hari sepanjang Ramadan di kampung dan menjaga datuknya, Tokwan (Sabri Yunus) yang tinggal bersendirian. Syarat inilah yang menjadi titik tolak perubahan besar dalam hidup Syafiq.

Konflik bermula seawal ketibaannya di kampung apabila Syafiq berdepan pelbagai kesulitan, termasuk insiden tayar pancit yang menemukan dia dengan Laura (Ariana Yusof) gadis kampung yang nakal, periang dan tidak gentar menyindir egonya. Pertemuan pertama yang penuh sindiran itu menjadi permulaan kepada hubungan benci tapi suka, di mana setiap pertemuan mereka pasti berakhir dengan perbalahan kecil yang mencuit hati.

Tidak selesa dengan rutin kampung daripada bersahur makanan sederhana, berbuka di masjid hingga solat tarawih berjemaah, Syafiq merasakan kebebasannya tersekat. Namun kebijaksanaan Tokwan perlahan-lahan melembutkan hati cucunya. Di sebalik sikap tegas Tokwan, terselit kasih sayang dan didikan halus tentang kehidupan dan agama.

Hubungan Syafiq dan Laura semakin akrab apabila Syafiq mula melihat keistimewaan Laura, seorang gadis cekal yang bekerja keras, membantu orang kampung dan taat beribadah. Pelbagai momen manis tercipta, daripada belajar menggergaji buluh, menganyam ketupat sehinggalah hadiah langsir dan cadar raya yang tanpa sengaja menyinggung perasaan cinta yang terpendam.

Namun, ujian demi ujian hadir. Rakan-rakan Syafiq, Mizi (Hazim The Dukes) dan Aris (Ziyad The Dukes) dari Kuala Lumpur muncul untuk memujuknya pulang, termasuk Emy (Raden Zaharatul) yang menyimpan perasaan terhadap Syafiq, sekali gus mencetuskan rasa cemburu dalam diri Laura. Dalam kekeliruan perasaan dan nasihat bercanggah daripada rakan-rakan Laura, Syafiq berdepan dilema antara impian lama dan kebahagiaan baharu.

Sanggupkah Syafiq melepaskan impian ke luar negara demi masa depan yang lebih tenang di tanah air bersama insan yang dicintai? Adakah cinta yang hadir di bulan Ramadan cukup kuat untuk mengubah arah hidup seorang anak bandar?

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan drama bersiri mikro Mr. Perfect Ramadan bermula 19 Februari, setiap hari jam 12.00 tengah hari, eksklusif di TikTok Drama Sangat dan Tonton. Sebuah kisah ringan penuh makna tentang Ramadan, keluarga dan cinta yang hadir tanpa dipaksa.

Untuk mendapatkan info terkini tentang drama dan rancangan kegemaran anda, layari Facebook, X, YouTube dan Instagram TV3 di @TV3Malaysia, ikuti juga Instagram rasmi Drama Sangat di @dramasangat serta platform rasmi tonton di Facebook, X, TikTok dan Instagram di @tontonmy.

Post a Comment

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.