Kuala Lumpur, 16 Februari 2026 – Di sebalik senyuman sempurna dan perkongsian yang tampak bahagia di media sosial, tersembunyi dusta yang mampu meruntuhkan segalanya. Kerana Cinta Itu Dusta membawa penonton menyelami kisah penuh emosi, konflik dan pengkhianatan yang menguji kepercayaan, persahabatan dan maruah diri. Saksikan bagaimana rahsia dan pilihan sukar membentuk takdir watak-wataknya, bermula 25 Februari 2026, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 10.00 malam di slot Samarinda, TV3.
Dibintangi barisan pelakon popular Jazmy Juma, Emma Maembong, Azira Shafinaz dan Nazrief Nazri, drama 30 episod ini mengangkat kisah cinta moden yang terperangkap antara kejayaan, ego dan kepercayaan yang dikhianati. Dengan latar dunia pempengaruh, Kerana Cinta Itu Dusta menyelongkar realiti pahit apabila populariti menjadi racun dalam sebuah perkahwinan.
Drama ini mengisahkan Orked (Emma Maembong) dan Sufian (Jazmy Juma), pasangan suami isteri yang bermula dari bawah membina perniagaan dari rumah sebelum mencipta nama sebagai pempengaruh berjaya. Kejayaan mereka banyak digerakkan oleh kebijaksanaan Orked dalam dunia bisnes, manakala Sufian setia menyokong di belakang tabir. Namun, apabila Orked semakin menyerlah dan berpengaruh, Sufian mula tenggelam dalam bayang-bayang isterinya sendiri.
Rasa tersisih dan ego yang tercalar mula mengheret Sufian ke arah keputusan-keputusan yang semakin meretakkan kepercayaan dalam rumah tangganya. Kehadiran Seri (Azira Shafinaz), sahabat rapat Orked, secara perlahan-lahan mengubah dinamik yang selama ini dianggap selamat dan utuh. Lebih menyayat hati, Seri bukan sekadar kawan biasa, malah insan yang pernah diselamatkan Orked daripada perkahwinan toksik dan diberi ruang untuk membina semula hidupnya.
Batas yang semakin kabur dan rahsia yang tersimpan mula menguji nilai setia serta kepercayaan, hingga hubungan yang dibina atas dasar saling melindungi perlahan-lahan goyah. Apabila kebenaran kian menghampiri, bukan sahaja perkahwinan terancam, malah persahabatan turut retak, memaksa Orked memilih antara mempertahankan maruah diri atau terus berdiam demi ketenangan yang rapuh. Mampukah hubungan ini diselamatkan, atau segalanya bakal musnah tanpa jalan kembali?
Jazmy Juma turut berkongsi pandangannya mengenai watak Sufian yang disifatkannya bukan sekadar lelaki ego, tetapi seseorang yang berdepan rasa dipinggirkan. Menurutnya “Cabaran terbesar membawa watak Sufian ini adalah memahami mengapa masalah yang sepatutnya diselesaikan secara matang akhirnya dibawa ke media sosial untuk mencari validasi. Dalam realiti hari ini, apabila emosi mengatasi rasional, satu perkongsian sahaja mampu memburukkan keadaan.”
Jangan lepaskan peluang menyaksikan Kerana Cinta Itu Dusta, bermula 25 Februari 2026, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 10.00 malam di slot Samarinda TV3.
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, ikuti TV3 di Facebook, X, YouTube dan Instagram @TV3Malaysia, serta Instagram rasmi Drama Sangat di @dramasangat.

Post a Comment
[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.
[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.
Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.
Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.