Movie Review | Rego Nyowo (2025)

Friday, 1 August 2025


Pengarah: Rizal Mantovani
Penulis Skrip: Riheam Junianti
Pelakon: Sandrinna Michelle, Ari Irham, Cassandra Lee, Diah Permatasari, Erwin Moron, Robert Chaniago Timor
Syarikat Produksi: Hitmaker Studios, Legacy Pictures, Masih Belajar Pictures
Pengedar: Antenna Entertainments (Malaysia)
Genre: Seram / Drama
Durasi Tayangan: 105 minit
Tarikh Tayangan: 31 Julai 2025 (Indonesia), 07 Ogos 2025 (Malaysia)
Trailer:


Lena (Sandrinna Michelle) datang melanjutkan pelajaran di salah sebuah universiti di Malang, Indonesia. Setibanya di sana, dia dijemput oleh Benhur (Ari Irham), abangnya yang sudah 6 tahun dalam jurusan architecture di universiti tersebut. Tapi ketibaan Lena tidaklah begitu disenangi oleh Ben kerana dia dianggap menyusahkan namun kerana pesanan orang tua, Lena dibawa tinggal di Indekos Bu Satri. 

Di rumah sewa tersebut, terdapat 8 orang lagi penyewa yang lain, bercampur lelaki dan perempuan. Tak semua penyewa adalah mahasiswa seperti Ben dan Lena kerana ada juga yang sudah bekerja. Rumah sewa milik Bu Astri (Diah Permatasari) dan suaminya, Pak Wiryo (Erwin Moron) menjadi pilihan ramai mahasiswa di situ kerana murah dan sentiasa diselenggara oleh anak tunggal mereka, Rian (Robert Chaniago Timor). Setiap malam Sabtu pula semua penyewa dipanggil untuk makan malam bersama di rumah Bu Astri dengan menu makanan yang dimasak sendiri oleh wanita cantik tersebut.

Tapi baru saja Lena senang hati dengan keadaan dan suasana di rumah sewa tersebut, dia terdengar perbualan Bobi (Zayyan Sakha) bersama Yamin (Rassya Hidayah). Bobi berkeras ingin keluar dari rumah sewa tersebut kerana sering diganggu oleh makhluk halus sementara Yamin memujuk supaya kuat semangat kerana mereka baru saja berpindah ke situ. 

Selepas makan malam di rumah Bu Astri, keadaan Bobi semakin teruk bila mengalami demam panas. Malam tu juga Bobi keluar dari rumah sewa tersebut lalu pulang ke Jakarta. Sejak Bobi keluar, Lena mula diganggu oleh pocong yang berada di kebun pokok pisang di belakang rumah sewa. Kelakuan Bu Astri dan penyakit Rian juga menghadirkan syak wasangka Lena tentang misteri di rumah sewa tersebut. 

Filem seram Rego Nyowo arahan Rizal Mantovani merupakan kisah benar tentang rumah sewa yang pernah viral di social media berlaku di Malang, Indonesia. Menggunakan pocong sebagai entiti seram utama di dalam filem seram baru terbitan Hitmaker Studios, Rizal Mantovani ingin bawa pocong yang moden dan lain dari yang lain. 

Pocong yang dimasukkan tak lagi mengganggu dengan melompat tapi boleh terbang, membunuh dengan ganas dan menggunakan lidah sebagai cara untuk membunuh mangsa. Penggunaan CGI juga dimasukkan untuk menambahkan pengalaman visual yang seram dan mengerikan peminat filem seram.
 
Dari awal filem Rego Nyowo lagi babak seram dimasukkan diselangi beberapa misteri yang akan dirungkai tanpa sengaja oleh watak utama. Pelik juga kenapa Lena boleh perasan beberapa benda pelik yang berlaku sebab dia tak ada apa-apa keistimewaan pun. Watak Bobi yang ada intuisi kuat dan sensitif dengan gangguan tapi penulis lebih fokus kepada Lena. 

Masuk separuh masa kedua, Rego Nyowo dah mula meleret. Pocong dah kurang munculkan diri, genre filem pula bertukar ke arah drama. Hubungan kekeluargaan antara Lena dengan Ben pun gagal untuk tarik emosi tentang masalah keluarga. Mungkin watak Ben yang dibikin lemah atau babak drama tu macam terpaksa masuk. 

Kalau penulis beri fokus pada perjalanan Bu Astri dan Pak Wiryo struggle untuk dapat Rian mungkin lebih menarik. Keterdesakan manusia dan rasa putus asa lebih padu sebagai elemen drama. Filem Rego Nyowo tentang pocong yang mengganggu tapi keluarga lain pula yang dapat screentime lebih. Babak seram patut ditambah lebih banyak terutamanya untuk watak Benhur yang dah 6 tahun hidup selesa di rumah sewa tu.

Apapun, filem Rego Nyowo masih enjoyable untuk ditonton kerana hasil sutradara Rizal Mantovani yang popular dengan filem Kereta Berdarah (2024) atau Racun Sangga: Santet Pemisah Rumah Tangga (2024) tahun lepas. 

1. Team Production +0.7, 2. Visual +0.6, 3. Audio +0.6, 4. Storyline +0.5, 5. Casting +0.7, 6. Genre +0.4, 7. Themes +0.6, 8. Editing +0.6, 9. Social Message +0.4, 10. Personal Thought +0.4 = 5.5/10

Post a Comment

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.