ASTRO SHAW KONGSI IMEJ EKSKLUSIF FILEM-FILEM TERBARU 2025 | Termasuk ‘Abah Saya Uncle Mike’, ‘Wantugo’, ‘Malam Terlarang’ Dan ‘Papa Zola The Movie’
Astro Shaw terus bersedia memeriahkan industri perfileman tempatan dengan deretan filem baharu yang penuh dengan aksi luar biasa, emosi, dan kejutan, yang seterusnya menjanjikan pengalaman sinematik yang berbeza. Tiga filem Astro Shaw yang akan menemui penonton di pawagam pada suku ketiga dan keempat tahun ini adalah ‘Abah Saya Uncle Mike’, ‘Malam Terlarang’, dan ‘Wantogo’. Sementara itu Astro Shaw turut berkerjasama dengan penerbit-penerbit besar tempatan untuk filem ‘Legasi Wira Merah’, ‘Magik Rompak’, ‘3 Hajat’ dan ‘Papa Zola The Movie’.
Setiap filem membawakan cerita segar dengan genre berbeza. Usaha ini mencerminkan keberanian Astro Shaw dalam meneroka dimensi baharu penceritaan, sekali gus memperluaskan landskap perfilem tempatan dengan kandungan yang pelbagai dan berkualiti.
Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, “Di Astro Shaw, kami sentiasa percaya bahawa kisah yang menarik layak untuk diangkat dan diceritakan dengan baik kepada penonton. Oleh demikian, kami berbangga untuk menyokong filem-filem yang berani mengambil risiko kreatif, meneroka genre baharu, dan mencerminkan kepelbagaian suara rakyat Malaysia.
Memasuki suku tahun ketiga, kami teruja untuk meneruskan momentum ini bersama rakan-rakan strategik kami, dengan barisan filem yang merangkumi pelbagai genre seperti drama emosi, seram, aksi, animasi sehinggalah ke ‘battle royale’. Namun, apa yang menjadikannya benar-benar bermakna ialah individu-individu di sebalik karya ini. Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan bakat-bakat kreatif terbaik dalam industri.
Semua ini tidak mungkin tercapai tanpa sokongan rakan-rakan strategik yang mempercayai dan merealisasikan kisah-kisah ini bersama kami. Kami rasa berbesar hati dapat bekerjasama dengan rakan penerbit seperti Monsta, Infinitus Gold, Infinitus Productions, Multimedia Entertainment, GSC, ACT 2 Pictures, Le Mediator Studios, Artisans serta rakan pemasaran strategik kami, Etika.
Kami berharap penonton Malaysia akan terus menyokong filem tempatan dan meraikan kisah-kisah yang berani, jujur, dan di luar jangkaan yang dipersembahkan kepada mereka.
1. Legasi Wira Merah
Filem aksi thriller arahan James Lee ini mengangkat semangat perjuangan pasukan Bomba dan dijayakan oleh pelakon Ben Amir, Nas Muammar Zar, Henley Hii, Nia Atasha, Amar Alfian. Amir, anggota bomba termuda dalam pasukannya, berdepan dengan trauma silamnya. Ketika insiden kebakaran pencakar langit tertinggi di ibu kota, Amir diberi tanggungjawab untuk mengetuai misi menyelamat.
Dengan nyawa orang awam dan rakan sepasukan dalam bahaya, Amir harus mengatasi ketakutannya dan membuktikan bahawa semangat wira sejati.
2. Abah Saya Uncle Mike
Sempena bulan kemerdekaan, Astro Shaw membawakan sebuah naskhah yang meraikan semangat perpaduan dan kepelbagaian budaya Malaysia, ‘Abah Saya Uncle Mike’. Filem arahan Ezrie Gazali ini mempertaruhkan kisah menyentuh hati yang diinspirasikan daripada kisah benar seorang lelaki berbangsa Cina yang membesarkan tiga anak angkat berbangsa Melayu sejak kecil. Filem ini menceritakan tentang perjalanan Rafei, sebagai anak sulung daripada tiga adik-beradik yatim piatu, yang ingin mencari jati diri dan harapan serta mengimpikan masa depan yang lebih cerah.
Selepas menemui kasih sayang dalam keluarga Uncle Mike, dia berusaha untuk bersatu semula dengan dua adik lelakinya yang terpisah. Membariskan pelakon semakin melonjak naik, Andy Teh, Idan Aedan, Nor Merah, Umar Shakur, Chew Kin Wah, Mandy Chong, April Chan dan Pauline Tan.
3. Magik Rompak
Filem arahan pengarah pecah panggung, Adrian Teh dan menampilkan gandingan bintang terkenal tanah air, Sharnaaz Ahmad, Zul Ariffin, Nadhir Nasar, Amelia Henderson. Seorang ahli silap mata bergabung dengan sekumpulan pencuri yang mahu membalas dendam terhadap individu yang berkuasa, Tan Sri Hamdan.
Sasaran mereka adalah ‘Hati Kesuma’, rantai berlian lagenda bernilai jutaan ringgit, yang bakal dipamerkan di majlis persaraan mewah Tan Sri. Namun ketika rompakan, misi mereka diancam dengan khianat dan sifat tamak.
4. Malam Terlarang
Satu-satunya filem seram dari Astro Shaw tahun ini, ‘Malam Terlarang’ bakal menemui penonton Oktober depan. Ia membawakan kisah kepercayaan mistik dan tradisi ritual yang wujud dalam kalangan masyarakat tempatan. Berlatarkan tahun 1987, seorang gadis yang sedang meratapi kematian kakaknya mengesyaki keluarganya dihantui entiti misteri. Pencariannya untuk membongkar kebenaran membawa kepada penemuan mengejutkan.
Filem arahan Norhanisham Muhammad (Labu) menggandingkan pelakon Zul Ariffin, Shasha Abedul, Sofia Jane, Sabri Yunus, Amir Nafis, Aila Azizul, Sadiq M Jamil, Normah Damanhuri dan Hasnul Rahmat.
5. 3 Hajat
Sebuah filem penuh emosi lakonan mantap Eman Manan dan Amerul Affendi, dan diarahkan oleh Zul Huzaimy. 3 Hajat menyaksikan terbitan bersama Artisans dan Astro Shaw. Setelah bebas dari penjara, seorang bekas banduan berhajat untuk memulihkan semula hubungannya dengan anaknya sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir.
6. Wantugo
Sementara itu, Wantugo merupakan filem pertama Malaysia yang membawakan genre ‘Battle Royale’ dan membariskan deretan pelakon terkenal tanah air seperti Zul Ariffin, Sein Qudsi, Meerqeen, Sky Iskandar, Daiyan Trisha, Elizabeth Tan, Nia Atasha, Yusof Hashim (Ucop), Arfie Shah dan ramai lagi.
Wantugo mengisahkan tentang sekumpulan individu yang diletakkan dalam satu persekitaran dan dipaksa bertarung di antara satu sama lain dalam permainan maut. Film ini turut diarahkan oleh Nurhanisham Muhammad (Labu).
7. Papa Zola The Movie
Astro Shaw bekerjasama dengan produksi animasi tempatan, Monsta dalam mempersembahkan filem aksi animasi, ‘Papa Zola The Movie’. Filem ini bakal menghiburkan penonton seisi keluarga dengan adegan penuh gelak tawa dan aksi Papa Zola semasa muda.
Dijadualkan tayangan pada Disember nanti, teaser treler bagi filem francais Boboiboy ini telah dilancarkan pada Mei lalu dan berjaya mencatat kejayaan luar biasa apabila meraih lebih dua juta tontonan di seluruh platform digital dalam tempoh kurang daripada 24 jam selepas dilancarkan.
Post a Comment
[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.
[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.
Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.
Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.