SYARIKAT HOMESTAY BAYAR RM70,000 GANTI RUGI KEPADA ASTRO GARA- GARA PENSTRIMAN HARAM

Thursday, 7 August 2025

Sebuah syarikat homestay yang beroperasi di Johor bersetuju untuk membayar ganti rugi berjumlah RM70,000 selepas mengaku melakukan penstriman haram terhadap kandungan milik Astro Malaysia Holdings Berhad kepada tetamu yang menginap di premisnya.

Ini merupakan kali pertama Measat Broadcast Systems Sdn Bhd, sebuah anak syarikat Astro, menyelesaikan kes penstriman haram yang melibatkan perniagaan penginapan jangka pendek.

Syarikat yang menjalankan perniagaan di bawah nama The Cactus X Empire tersebut didapati menggunakan peranti penstriman haram bagi menayangkan saluran Astro di beberapa unit sewaan di Iskandar Puteri dan Johor Bahru tanpa memiliki lesen komersial yang sah.

Melalui suatu aku janji undang-undang, syarikat berkenaan telah bersetuju untuk (i) membayar RM46,000 bagi pampasan dan kos guaman; (ii) melanggan lima pakej komersial AstroBIZone untuk tempoh minimum 12 bulan secara bayaran pendahuluan (bernilai RM24,000); dan (iii) menerbitkan permohonan maaf rasmi di laman Facebook syarikat.

Permohonan maaf tersebut, yang kini boleh diakses di halaman Facebook Cactus Homestay JB, secara terbuka mengakui kesalahan tersebut dan menyeru agar pemain industri hospitaliti hanya menggunakan kandungan dari sumber yang sah dan berlesen apabila menyediakan hiburan kepada pelanggan.

Sebahagian daripada kenyataan permohonan maaf itu berbunyi: "Kami mengecam sekeras-kerasnya sebarang bentuk pelanggaran hak cipta dan komited untuk menghormati hak harta intelek Astro pada masa kini dan akan datang. Kami berterima kasih kepada Astro kerana memberi peluang kepada kami untuk membetulkan kesilapan ini, dan menyeru agar pengusaha lain dalam industri hospitaliti mengambil iktibar serta memastikan semua kandungan yang disediakan kepada pelanggan diperoleh daripada sumber yang sah dan berlesen."

Ketua Pegawai Jualan dan Pemasaran Astro, Tai Kam Leong, berkata: "Astro sentiasa mengambil pendirian tegas terhadap isu penstriman haram. Apa yang menjadikan kes ini penting adalah kerana ia membuktikan bagaimana penstriman haram telah meresap masuk ke dalam perihal harian seperti homestay. Sama ada anda mengendalikan hotel, kafe atau penginapan jangka pendek, adalah penting bagi semua pemain industri hospitaliti memahami bahawa penggunaan TV box untuk menayangkan kandungan tanpa lesen komersial bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah ia merosakkan keseluruhan ekosistem ekonomi kreatif negara."

Mahkamah Tinggi Malaya sebelum ini, dalam satu keputusan penghakiman yang penting pada November 2022, telah mengesahkan bahawa penyiaran kandungan daripada sumber tidak sah, termasuk siaran Astro, untuk tujuan komersial adalah menyalahi undang-undang sekiranya dilakukan tanpa lesen yang sewajarnya.

Post a Comment

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.