BRICKFIELDS: Astro, dengan kerjasama Warnakala Studios telah menganjurkan acara istimewa Didi & Friends Storytime buat kanak-kanak daripada Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) dan Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD). Inisiatif ini telah menerima kehadiran seramai 200 peserta daripada komuniti orang pekak dan warga OKU penglihatan.
Majlis turut dihormati dengan kehadiran Yang Berhormat Dato’ Sri Hajah Nancy Binti Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Pathmanathan A/L R. Nalasamy, Pengarah Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya (JPOKU) Jabatan Kebajikan Masyarakat; Agnes Rozario, Ketua Pegawai Kandungan Astro; Ched Yusaiddi, Ketua Pegawai Komersial Warnakala Studios; Dato’ George Thomas, Ketua Pegawai Eksekutif MAB; serta Foo Su Lynn, Pengarah Komunikasi dan Kelestarian Astro.
Acara ini bertujuan memupuk minat membaca dalam kalangan kanak-kanak melalui sesi bercerita yang interaktif dan menyeronokkan, sesuai untuk kanak-kanak daripada pelbagai latar keupayaan. Astro sentiasa komited dalam menyediakan kandungan yang selamat, bermanfaat dan inklusif bagi memperkukuh pembelajaran serta hiburan awal kanak-kanak.
Meneruskan kejayaan drama ‘Dari Mata Turun Ke Hati’ tahun lalu yang menampilkan deskripsi audio tempatan pertama di Malaysia, Astro memperluas inisiatif inklusif ini ke segmen kandungan kanak-kanak menerusi musim baharu Didi & Friends: Storytime! yang turut diterbitkan dalam versi audio. Usaha ini memastikan kanak-kanak OKU penglihatan mendapat akses kepada penceritaan dengan lebih mudah, sekali gus membuktikan komitmen Astro untuk menawarkan kandungan berkualiti kepada semua tanpa mengira keupayaan.
Yang Berhormat Dato’ Sri Hajah Nancy Binti Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata “Siri Didi & Friends: Storytime merupakan contoh terbaik bagaimana media boleh menyokong literasi awal. Melalui penceritaan yang menarik, ia memupuk minat membaca dalam kalangan kanak-kanak sambil merangsang perkembangan bahasa, imaginasi dan pembelajaran sepanjang hayat. Lebih penting, pendekatan inklusif ini memastikan semua kanak-kanak berpeluang untuk turut serta dan mendapat manfaat. Inisiatif sebegini amat penting dalam membentuk generasi celik huruf, kreatif, yakin diri serta berempati.”
Pelbagai aktiviti menarik turut diadakan, termasuk sesi bercerita interaktif bersama personaliti terkenal ‘Abang Paan’, persembahan maskot kesayangan Didi & Friends dengan lagu-lagu popular, serta tayangan awal episod versi audio. Bagi memastikan keterangkuman, jurubahasa daripada MFD telah menyediakan interpretasi langsung dalam Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) sepanjang acara. Dalam usaha mempromosikan kandungan lebih mesra OKU, Astro dan MFD turut menghasilkan satu episod khas dan sebuah lagu Didi & Friends dengan interpretasi BIM.
Versi inklusif ini ditayangkan pada majlis berkenaan, menyerlahkan lagi usaha Astro dalam memperluas akses dan mewakili kepelbagaian komuniti Malaysia. Agnes Rozario, Ketua Pegawai Kandungan Astro, berkata “Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan Astro dalam menghasilkan kandungan yang inklusif, selamat dan menarik untuk kanak-kanak dari semua peringkat keupayaan, di samping memupuk nilai murni seperti kebaikan, empati dan saling menghormati melalui penceritaan serta aktiviti interaktif.”
“Sebagai peneraju kandungan dan hiburan Malaysia, Astro kekal komited membentuk landskap media yang mencerminkan kepelbagaian komuniti kita. Dengan memberi tumpuan kepada penceritaan inklusif dan menghasilkan kandungan tempatan yang mudah diakses, kami ingin mencipta pengalaman yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga memberi inspirasi, mendidik dan menyatukan,” tambah Agnes.
Melalui Didi & Friends: Storytime, Astro sekali lagi menegaskan peranannya sebagai peneraju dalam memartabatkan penceritaan inklusif untuk kanak-kanak, dengan pratonton buku audio serta kandungan BIM tempatan yang mendapat sambutan hangat daripada para peserta.
Kesemua siri buku audio Didi & Friends: Storytime akan mula dilancarkan secara eksklusif di aplikasi Syok bersempena sambutan kemerdekaan dan Hari Malaysia. 6 episod pertama akan dilancarkan pada 31 Ogos 2025 manakala baki 6 lagi episod akan boleh mula didengari pada 16 September 2025. Muat turun aplikasi Syok sekarang secara percuma!
Istimewanya kali ini, seramai 12 personaliti Astro terdiri daripada barisan penyampai radio, pengacara dan pelakon popular telah menyumbangkan suara mereka sebagai narator bagi kesemua episod audiobook Didi & Friends Storytime.'
Cerita Didi & Friends Story Time - Penyumbang Suara
1. Arnab & Kura-Kura - Hani Fadzil (Mix)
2. Monyet & Lada - Anas Tahir (Zayan)
4. Pengembala & Serigala - Sarah Karmila (Sinar)
5. Tiga Anak Ayam & Serigala - Nicky Alias (Era Sabah)
6. Si Tudung Merah - Shasha Nadira (Era)
7. Singa & Tikus - Azri Safik
8. Singa & Musang - Amira Rafik
9. Kancil & Buaya - Aiman Ameer
10. Anak Itik Yang Istimewa - Myra Afrina
11. Jack & Kacang Ajaib (Part 1) - Hawa Rizwana
12. Jack & Kacang Ajaib (Part 2) - Abg Paan
Strim semua episod musim baharu Didi & Friends: Story Time, setiap hari Jumaat, jam 3 petang di Astro Ceria, Astro Go dan sooka.
Post a Comment
[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.
[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.
Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.
Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.