‘Abah Saya, Uncle Mike’, sebuah filem penuh emosi yang pasti mengundang air mata, mengangkat erti kasih sayang keluarga yang melangkaui pertalian darah. Berbeza dengan kisah kekeluargaan tipikal, filem ini menampilkan dinamika keluarga yang terbentuk daripada latar bangsa, agama dan budaya yang berbeza, sekali gus menjadikannya sebuah naskhah yang belum pernah diterokai dalam sinema tempatan. Inilah kisah tentang keluarga yang tidak lahir daripada ikatan darah, tetapi daripada kepercayaan, penerimaan dan kasih sayang tanpa syarat.
1. Diinspirasikan daripada Kisah Benar
Filem Abah Saya, Uncle Mike” mengisahkan tentang seorang bapa berbangsa Cina, Uncle Mike atau nama sebenarnya Michael Tong Wai Siong yang membesarkan tiga anak yatim piatu berbangsa Melayu — sebuah kisah penuh makna tentang perpaduan, kasih sayang, dan erti sebenar sebuah keluarga.
2. Meraikan Semangat Kepelbagaian Budaya Malaysia
Filem ini menghargai kepelbagaian budaya dan perpaduan yang kaya di Malaysia, menjadikannya lebih bermakna bersempena dengan pertembungan perayaan yang jarang berlaku ini. Ia adalah penghargaan tulus kepada tradisi bersama serta kekuatan yang lahir daripada meraikan perbezaan kita.
3. Naskhah Debut Sutradara Ezrie Gazali
Filem ini menandakan karya sulung Ezrie Gazali sebagai pengarah filem cereka. Sebelum ini, beliau telah mencipta nama melalui filem pendek, iklan komersial, serta drama TV popular Kiblat ke Syurga.
4. Kerjasama Bermakna
Filem ini diterbitkan oleh Astro Shaw dengan kerjasama Etika Sdn Bhd, menampilkan sebuah kisah yang penuh emosi dan berakar daripada realiti masyarakat Malaysia.
"Sempena Hari Merdeka dan Hari Malaysia, kisah ini menonjolkan keindahan kepelbagaian rakyat kita serta kekuatan yang lahir apabila kita bersatu. Nilai-nilai ini sentiasa dikongsi dan dipupuk oleh Etika bersama jenama kami.” - Amy Gan, Naib Presiden Pemasaran Etika Sdn. Bhd.
5. Filem Genre Drama Pertama Andy Teh
Dikenali dengan watak penuh aksi, ini merupakan kali pertama Andy Teh membawakan watak yang sarat emosi dan dramatik di layar perak. Watak Uncle Mike menjadi satu transformasi besar dalam perjalanan seninya.
"Cabaran terbesar Andy adalah mengasingkan cara Andy layan mereka bertiga sebagai anak dan bukannya sebagai adik.'' - Andy (Confession Bilik Gelap, Musim 5, Episod 35)
6. Para Pelakon Menjalani Sesi Latihan Selama Sebulan
Andy Teh bersama Idan Aedan, Nor Merah dan Umar Shakur meluangkan masa sebulan penuh untuk sesi latihan sebelum penggambaran bermula. Ikatan yang terjalin itu membuahkan chemistry persaudaraan yang nyata dan dapat dirasai di layar perak.
7. Babak yang Menyentuh Hati Seluruh Kru
Ketika babak penuh emosi di mana Rafei terpaksa berpisah dengan Rasyid dan Rahman, seluruh kru tidak dapat menahan air mata di belakang kamera — satu detik luar biasa yang membuktikan betapa kuatnya lakonan yang dipersembahkan sedangkan babak tersebut adalah babak pertama dirakamkan untuk filem Abah Saya Uncle Mike.
8. Penggambaran di Rumah Anak Yatim Sebenar
Babak rumah anak yatim dirakam di rumah anak yatim sebenar tempat Rahman dan Rasyid pernah dibesarkan sebelum berjumpa dengan keluarga angkat dan Uncle Mike. Pasukan produksi hanya menyedari hal ini apabila Rahman melawat set penggambaran filem Abah Saya Uncle Mike.
9. Andy Teh Hidup Seperti Uncle Mike
Bagi menjiwai sifat tenang dan berwibawa Uncle Mike, Andy mengurangkan aktiviti sosialnya dan meluangkan lebih masa bersama ibu bapanya selama sebulan sebelum penggambaran bermula. Beliau juga menambah berat badan bagi kelihatan lebih berusia dan matang.
"Lepas Andy berborak dengan Uncle Mike, Andy duduk dekat one corner dan perhatikan cara Uncle Mike bercakap dengan director masa tu. Andy nak tengok cara dia bercakap, cara dia senyum, cara dia malu bila orang tanya pasal hidup dia. Tangan dia ada gaya tersendiri, bila dia nervous macam mana so benda tu semua Andy fotostat masuk dalam lakonan.'' - Andy (Confession Bilik Gelap, Musim 5, Episod 35)
10. Memperkenalkan Nor Merah dalam Peranan Penemuan
Walaupun filem Abah Saya, Uncle Mike bukanlah filem debut lakonan Nor Merah kerana beliau pernah muncul dalam beberapa filem sebelum ini, namun peranan sebagai Rasyid merupakan antara lakonan paling mencabar emosi buat dirinya.
Ditemui ketika sesi uji bakat di SK Seni KL, kehadiran dan penghayatan Nor Merah menjadikan beliau pilihan sempurna untuk membawakan watak Rasyid, anak tengah yang sering terpinggir.
11. Lakonan Metod: Anak Tengah yang Terpinggir
Bagi membantu Nor Merah membawakan emosi yang kompleks dalam personaliti seorang anak tengah yang sering terpinggir, kru produksi dengan berhati-hati memberinya perhatian yang minimum di set di bawah bimbingan jurulatih lakonan, Han Zalini. Tindakan tersebut untuk membolehkannya menyalurkan perasaan terabai sebenar ke dalam lakonan sebagai Rasyid.
12. Tong Yuen Menimbulkan Rasa Ingin Tahu Budaya
Dalam satu babak, Mandy Chong (yang memegang watak Popo) menyediakan Tong Yuen bersama Rafie. Babak ini mencetuskan perbualan dalam kalangan pelakon dan kru mengenai hidangan tersebut — dan keesokan harinya, Mandy membawa Tong Yuen buatan sendiri untuk dinikmati seluruh pasukan!
13. Menyusun Kisah Uncle Mike
Cerita-cerita yang dikongsikan oleh Uncle Mike sebenar kadang-kadang tidak lengkap, jadi kami perlu menyusun kepingan-kepingan tersebut dan kebanyakan masa, keputusan yang kami buat dalam produksi selaras dengan apa yang benar-benar berlaku.
Contohnya, beliau tidak memberitahu bahawa bengkel Encik Tong bersambung dengan rumah; apabila beliau datang ke set, beliau berkata bahawa ini hampir sama seperti bengkel ayahnya yang telah meninggal dunia.
14. Babak Paling Mudah Ternyata Paling Sukar
‘Babak Mesin Layan Diri’ — sebuah perbualan sunyi dan penuh perasaan antara Mike dan Rafie ternyata paling sukar untuk dirakam. Ia mengambil masa hampir 3 jam disebabkan gangguan berulang dan kedalaman emosi yang diperlukan.
15. Tiga Hari Temu Bual untuk Keaslian Cerita
Pasukan produksi meluangkan tiga hari menemu bual Uncle Mike dan adik-beradik - Rafie, Rasyid dan Rahman untuk mendapatkan kisah-kisah mereka anak-beranak.
16. Rotan Sebenar, Komitmen Sebenar
Bagi babak hukuman ‘rotan’, kedua-dua rotan sebenar dan rotan prop digunakan. Dalam beberapa penggambaran, Idan (yang memegang watak Rafie) benar-benar terkena rotan sebenar dan meninggalkan kesan ringan pada badan. Namun beliau terus berlakon secara profesional tanpa mencacatkan persembahan watak.
Saksikan filem Abah Saya, Uncle Mike di pawagam seluruh negara bermula 28 Ogos 2025. Ikuti perkembangan filem ini melalui akaun Instagram, TikTok, Facebook, dan X Astro Shaw. Untuk maklumat integrasi bersama 7 Up dan Mirinda, sila layari platform Facebook dan Instagram mereka.
Post a Comment
[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.
[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.
Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.
Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.