ANDI BERNADEE KEMBALI SEBAGAI ‘DUDA HOT!’ | Kisah Cinta Tiga Segi dan Misi Selamatkan Hotel Dalam ‘Boleh Saya Bantu? 2’
Kembali atas permintaan ramai selepas kejayaan musim pertamanya, ‘Boleh Saya Bantu? 2’ arahan Shuhaimi Lua kini sedia menghiburkan penonton minggu ini dengan edisi terbaharu yang dijangka lebih mencuit hati, lebih dramatik dan lebih ‘kacau!’ Jika sebelum ini penonton disajikan dengan gelagat lucu pekerja hotel Tea Tree yang berdepan pelbagai karenah tetamu, kali ini perjalanan mereka diteruskan dengan penceritaan yang lebih mendalam dan penuh warna, diselitkan konflik peribadi yang bakal merubah segalanya.
Barisan pelakon hebat yang menjadi tunjang utama sejak awal, mengisi layar sekali lagi, termasuk Andi Bernadee, Riena Diana, Mark Adam, Wanie Ooi dan Nasz Sally, bersama kemunculan watak baharu seperti Aliff Hadi. Tidak ketinggalan, musim kali ini turut diserikan dengan penampilan istimewa artis-artis berpengaruh tanah air seperti Fadlan Hazim, Khatijah Tan, Joey Daud, Muaz Zabir, Josiah Hogan, Ropie, Fizo Omar dan ramai lagi.
Penonton akan dibawa menyelami kehidupan Nasar (Andi Bernadee) yang penuh liku selepas melalui penceraian mengejut dengan Jannah. Kini ditugaskan untuk menguruskan Love Wave Hotel, sebuah hotel milik Tuan Joe yang hampir bankrap, bersama Datuk Sudin (Mark Adam), hidupnya menjadi semakin rumit apabila terjerat dalam cinta tiga segi antara Farida (Riena Diana) dan Haiza (Wanie Ooi).
Nasar yang pada awalnya cuba merahsiakan situasi sebenar akhirnya akur apabila statusnya terbongkar, namun bertegas untuk menjauhkan diri daripada sebarang komitmen kerana masih dihantui trauma perkahwinan yang gagal. Keadaan menjadi semakin bercelaru apabila dia dipujuk untuk kembali bersama Jannah, sesuatu yang enggan diterimanya.

Di sebalik kekalutan emosi, misi menyelamatkan operasi Love Wave Hotel turut dilanda berbagai-bagai dugaan tersendiri. Rentetan insiden luar jangka mula berlaku, daripada kehadiran tetamu mencurigakan, panggilan misteri, kemunculan bomoh moden, hinggalah penemuan satu wasiat yang bakal menentukan jodoh sebenar Farida.
Mampukah Nasar memberi sepenuh perhatian dalam menguruskan hotel saat emosinya sendiri masih terganggu? Dan apakah sebenarnya rahsia yang tersimpan di sebalik wasiat yang tiba-tiba muncul itu?
Andi Bernadee yang kembali menggalas watak utama sebagai Nasar mengakui ia bukan peranan mudah, apatah lagi membawakan karakter seorang duda yang sarat konflik dalaman. “Saya sendiri tak pernah berkahwin, jadi nak faham emosi seorang lelaki yang pernah gagal dalam hubungan memang mencabar,” katanya. Bagi Andi, watak Nasar turut membawa mesej bermakna dengan menampilkan sisi lelaki yang juga punya emosi, terutama apabila berdepan tekanan dalam kerjaya dan kehidupan peribadi.
"Saya juga ada berbual dan mendapatkan maklumat daripada kawan-kawan yang dah berkahwin dan pernah lalui masalah ini. Saya cuba selami kehidupan mereka. Ada yang 'struggle' dan ada yang dia reda, ayat yang paling saya ingat ialah, 'life must go on.’ Saya faham pastinya ada waktu sedih dan ada waktu gembira. Jadi saya ambil pendekatan berdasarkan skrip drama ini,” tambah Andi.
‘Boleh Saya Bantu? 2’ bukan sekadar menghidangkan kisah cinta dan komedi, sebaliknya turut menyentuh pelbagai realiti mencabar yang dihadapi pekerja hotel, suatu kehidupan yang jarang diberi tumpuan di kaca televisyen.
Menurut Riena Diana, pelakon watak Farida, “Ada babak yang sangat dekat dengan realiti, seperti isu penderaan fizikal, mental dalam hubungan, kosmetik berbahaya serta wanita berkerjaya yang sanggup menyara ‘biawak hidup’. Setiap babak dalam drama ini membawa tafsiran tersendiri, mencerminkan realiti masyarakat dari sudut pandang dunia pekerja di hotel.”
Jangan terlepas untuk saksikan ‘Boleh Saya Bantu? 2,’ bermula 8 Ogos 2025, setiap Jumaat dan Sabtu, jam 9 malam di slot Lestary TV3. Strim episod baharu 24 jam lebih awal di www.tonton.com.my, atau muat turun aplikasi Tonton melalui Google Play dan App Store.
Untuk mendapatkan info terkini tentang drama kegemaran anda, layari laman sosial Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia, Instagram rasmi Drama Sangat iaitu @dramasangat.
Post a Comment
[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.
[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.
Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.
Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.