“HAEL HUSAINI & REPERTOIRE” – SEBUAH MEMOIR SENI

Saturday, 9 August 2025

“HAEL HUSAINI & REPERTOIRE” – SEBUAH MEMOIR SENI | Konsert Sulung Selepas Lebih Sedekad, Manifestasi Seni dan Perjalanan Muzikal Hael Bersama Artis-Artis Ternama Negara

Penyanyi, komposer serta pemenang anugerah dalam dan luar negara, Hael Husaini, akhirnya merealisasikan impian yang telah lama dinanti-nantikan – konsert solo sulungnya berjudul “Hael Husaini & Repertoire” yang dibawakan istimewa oleh Astro bersama Rocketfuel Entertainment. Konsert yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur bukan sahaja menghimpunkan karya-karya terbaik ciptaan Hael, tetapi turut menjadi perayaan istimewa terhadap perjalanan seninya selama 11 tahun dalam industri muzik tanah air.

“Konsert ini adalah manifestasi kepada segala jatuh bangun saya dalam bidang muzik. Ia bukan sekadar persembahan, tetapi lambang penghargaan saya kepada peminat, rakan-rakan artis, dan semua yang mempercayai saya sejak awal lagi,” ujar Hael.

Persembahan Penuh Jiwa, Repertoire Hael Disanjung

Mengangkat konsep ""repertoire" sebagai tema utama, Hael mempersembahkan rangkaian lagu-lagu hit miliknya serta karya ciptaannya yang pernah dipopularkan oleh artis- artis ternama industri tanah air seperti Dayang Nurfaizah, Nadeera, Nabila Razali dan Wany Hasrita – masing-masing tampil di atas pentas, mempersembahkan lagu-lagu ciptaan Hael dengan gaya yang tersendiri.

“Saya pilih mereka bukan sebab populariti semata-mata. Saya pilih kerana saya tahu lagu-lagu itu hidup dengan suara mereka. Mereka bukan hanya penyanyi, mereka sebahagian daripada cerita saya sebagai pengkarya,” jelas Hael.

Tidak ketinggalan, kemunculan kumpulan baharu ALPHA, juara program realiti Big Stage Alpha, membuka tirai konsert dengan penuh bertenaga. Mereka turut menyanyikan lagu-lagu Hael seperti “Bujang” dan “Lara”, sekali gus memperlihatkan kesinambungan bakat baharu yang turut Hael bimbing ketika menjadi juri program tersebut.

“Peluk” Bersama Nadeera & Lagu Baharu Album “Antonim: Part II”

Satu lagi momen yang mencuri hati penonton adalah apabila Hael dan Nadeera bergandingan menyampaikan lagu duet terbaharu mereka berjudul “Peluk”, yang menandakan kerjasama kedua selepas kejayaan lagu Raya mereka, “Meriah Lain Macam”.

“Bekerja dengan Hael adalah satu penghormatan buat saya. Dia bukan sekadar pencipta lagu, dia adalah pencerita yang halus jiwanya. Bila kami menyanyikan "Peluk", saya rasa macam hendak peluk semua yang pernah buat saya percaya sehingga boleh sampai ke tahap ini,” kata Nadeera terharu.

Selain “Peluk”, Hael turut mempersembahkan dua lagi lagu baharu berjudul “Alangkah” dan “Jari”, yang akan dimuatkan dalam album sambungan beliau, “Antonim: Part II”. Ketiga-tiga lagu tersebut menerima tepukan gemuruh daripada penonton yang jelas terkesan dengan kejujuran lirik dan kedalaman melodi yang dibawakan.

Momen Kemuncak: Kemunculan Dato’ Sri Siti Nurhaliza

Namun kemuncak sebenar konsert tiba apabila pentas diserikan dengan penampilan istimewa oleh biduanita negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza yang turut menyampaikan lagu ciptaan Hael. Hubungan seni yang terjalin antara mereka terus utuh selepas Hael diundang sebagai artis jemputan dalam konsert Dato’ Sri Siti di Singapura, “The Next Wave”, yang turut mendapat pujian ramai.

“Saya tidak pernah bayangkan, selepas 11 tahun, saya dapat berdiri di pentas konsert sendiri dan disertai oleh insan-insan yang begitu saya hormati dan kagumi, termasuklah Dato’ Sri Siti. Malam ini adalah antara detik paling bermakna dalam hidup saya,” kata Hael dalam nada penuh syukur.

Saksikan Ulangan Konsert Di Astro

Buat peminat yang tidak berpeluang menyaksikan secara langsung, “Hael Husaini & Repertoire” akan disiarkan secara eksklusif di Astro menerusi KITA Channel (saluran 100) pada 13 September 2025 ini, jam 9 malam. Penonton dijamin akan terhibur oleh keindahan muzik dan emosi yang tersulam indah sepanjang konsert ini berlangsung.

Untuk menonton konsert ini dan pelbagai lagi kandungan eksklusif dengan lebih mudah, langgan Pek Astro One dengan hanya RM49.99 sebulan. Strim hiburan tanpa henti untuk seisi keluarga, dan tingkatkan pengalaman penstriman anda dengan Astro Fibre 500Mbps beserta Pek Hiburan pada harga RM139.99 sebulan. Layari www.astro.com.my atau WhatsApp ke 03-9543 3838 untuk melanggan atau menaik taraf hari ini.

Sebuah Konsert, Jutaan Terima Kasih

Mengakhiri malam bersejarah itu, Hael tampil dengan ucapan yang cukup merendah diri namun menyentuh hati setiap yang hadir:

“Saya tidak mempunyai ramai kawan dalam industri, namun pada malam ini saya rasa saya ada keluarga. Terima kasih kepada semua yang terlibat – para pemuzik, pihak produksi, artis-artis hebat yang sudi bersama saya, rakan media, Astro, Rocketfuel Entertainment dan paling penting, peminat-peminat yang tidak pernah berhenti percaya. Konsert ini bukannya penutup — ini hanyalah permulaan,” akhiri Hael penuh makna.

Post a Comment

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.