ASTRO TAMPIL DENGAN FORMAT BAHARU DAN PENYERTAAN LEBIH INKLUSIF MENERUSI ‘KILAUAN EMAS 2025’

Wednesday, 6 August 2025

ASTRO TAMPIL DENGAN FORMAT BAHARU DAN PENYERTAAN LEBIH INKLUSIF MENERUSI ‘KILAUAN EMAS 2025’ | Program realiti nyanyian untuk bakat berpengalaman kini buka penyertaan seawal 43 tahun.

Astro, selaku peneraju kandungan dan hiburan di Malaysia, terus memperkukuh komitmennya dalam mencungkil serta mengangkat bakat tempatan menerusi penganjuran musim terbaharu program realiti nyanyian ikonik, Kilauan Emas 2025. Menampilkan pendekatan yang lebih segar dan inklusif, program ini akan mula bersiaran pada 16 Ogos 2025, setiap Sabtu, jam 9 malam di Astro Prima (Saluran 105).

Susulan kejayaan penganjuran semula pada tahun 2024, musim kali ini memperkenalkan beberapa pembaharuan strategik termasuk penurunan had umur penyertaan kepada 43 tahun bagi memberi lebih banyak ruang kepada bakat baharu dalam kalangan generasi otai. Program ini juga menampilkan format yang ditambah baik merangkumi penglibatan juri awam daripada wartawan dan pelanggan setia Astro, serta pendekatan penceritaan yang lebih beremosi, sekali gus menjadikan Kilauan Emas platform utama untuk golongan otai menyerlahkan potensi sebenar mereka.

Sesi uji bakat yang telah berlangsung pada bulan Mei dan Jun lalu di Miri, Johor dan Shah Alam menyaksikan penyertaan memberangsangkan daripada lebih 500 individu pelbagai latar belakang. Selain kemampuan vokal, para peserta turut menyerlahkan bakat dalam persembahan pentas lain seperti lakonan dan tarian, menggambarkan kepelbagaian serta keunikan yang diketengahkan. 

Menurut Idlan Zahari, Pengurus Saluran Astro Prima, “Musim ini menyaksikan penambahbaikan ketara dari segi kriteria penyertaan dan format produksi, dan kami amat berbesar hati dengan sambutan yang diterima. Kilauan Emas bukan sekadar sebuah program hiburan, malah merupakan medium untuk menyatukan rakyat Malaysia melalui muzik, budaya dan aspirasi yang dikongsi bersama.”

Tambah Idlan, “Kami juga teruja apabila melihat penyertaan daripada individu yang mempunyai latar belakang seni keluarga. Ia membuktikan bahawa minat dan semangat dalam seni tidak pernah luntur, malah diwarisi dari satu generasi ke generasi yang lain. Setiap peserta membawa kisah tersendiri dan Kilauan Emas kekal sebagai pentas untuk membina keyakinan serta memperkasa golongan otai dalam mengejar impian mereka.”

Musim ini menyaksikan 12 peserta solo berumur antara 43 hingga 65 tahun termasuk Zanie, Shah, Nurul, Kinar, Mazleen, Majid, Leeza, Ben, Ezan, Zekrai, Nawary dan Vijay, yang masing-masing membawa keunikan dan kekuatan tersendiri dalam merebut tempat sebagai juara.


Program ini akan dikendalikan oleh personaliti popular Elly Mazlein selaku hos utama, bersama Joey Daud selaku pengacara belakang pentas dan hos Diari Kilauan Emas. Barisan juri pula mengekalkan primadona Malaysia, Erra Fazira sebagai juri tetap, digandingkan bersama pelawak Roy Azman dan juri terbaharu bersuara emas, Ning Baizura. Musim kali ini turut memperkenalkan Zarul Husin sebagai hos Spotlight yang akan membawakan info-info menarik dan “berbisa” selepas konsert berlangsung, bersiaran pada jam 11.30 malam di Astro Prima, serta Keanu Azman dan Sarah Karmila sebagai hos Live+.

Kilauan Emas 2025 turut boleh distrim secara fleksibel menerusi On Demand di Astro Ultra/Ulti Box, Astro GO dan aplikasi sooka.

PENJURIAN & TRIVIA ‘KILAUAN EMAS 2025’ 

  • Seperti musim sebelumnya, persembahan setiap peserta menerusi Kilauan Emas 2025 akan diadili secara 70% daripada pemarkahan oleh barisan panel juri professional, 20% daripada juri awam yang merangkumi markah para penonton undangan dan juga 10% daripada undian para penonton di rumah.
  • Juara musim kali ini akan membawa pulang wang tunai bernilai RM30,000 beserta trofi sumbangan Astro. 
  • Para penonton dan peminat boleh mengundi peserta kegemaran mereka bagi menentukan pemenang mingguan pada setiap minggu secara dalam talian menerusi laman web Astro Gempak.
  • Penerbitan Kilauan Emas 2025 turut disinarkan dengan kolaborasi bersama Astro Gempak sebagai rakan digital, serta SINAR dan GEGAR sebagai rakan radio rasmi. Program ini boleh distrim secara On Demand di Astro GO dan sooka.

INFO SIARAN ‘KILAUAN EMAS 2025’ 

KONSERT KILAUAN EMAS 2025 | Mulai 16 Ogos 2025, setiap Sabtu, jam 9 malam

Berlangsung selama 8 minggu, konsert utama program ‘Kilauan Emas 2025’ akan bersiaran di Astro Prima (saluran 105) dan secara langsung dari Royal Theatre Shah Alam. Program ini turut boleh distrim secara On Demand di aplikasi Astro GO dan sooka.  

DIARI KILAUAN EMAS 2025 | Mulai 11 Ogos 2025, setiap Isnin - Jumaat, jam 11.30 malam

Kompilasi sorotan persediaan para peserta menjelang konsert mingguan serta klip-klip sedutan belakang tabir termasuk latihan vokal, susunan lagu dan koreografi tarian bersama mentor-mentor yang terlibat. 

KAPSUL PROFIL PESERTA KILAUAN EMAS 2025 | Mulai 5 Ogos 2025, setiap Selasa - Jumaat, jam 3 petang

Sorotan sesi pengenalan 12 peserta utama Kilauan Emas 2025. Dalam kapsul ini, Ezan, Zekrai, Nurul, Nawary, Shah dan Kinar tampil dengan kisah hidup dan latar belakang menarik yang bakal mencuri perhatian penonton.

Post a Comment

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.