Aiman & Zahirah Paparkan Kisah Hitam Yang Diselubungi Cinta Dalam ‘Tiada Maaf Buatmu’

Tuesday 27 September 2022

Drama terkini Astro Ria iaitu ‘Tiada Maaf Buatmu’ membawa kisah percintaan persis office romance yang bakal menjadi kegemaran ramai. Namun drama baharu pertaruhan kali ini bukanlah berdasarkan naratif percintaan biasa atau cliché semata-mata. 

Penceritaan menerusi 24 episod ini mengisahkan Aina Cempaka seorang gadis yang mengalami kecelakaan sehingga ia merubah kehidupannya. Perbuatan abangnya yang tidak melangsaikan hutang pemilik kelab malam menjadikan Aina Cempaka mangsa keadaan. Kejadian itu membuatkan kehidupan Aina Cempaka menjadi lebih malang apabila dia kehilangan ingatannya. Dia membawa diri ke Kuala Lumpur untuk memulakan kehidupan baharu. Namun, takdir menemukan Aina Cempaka dan Faiz Iqbal  kembali apabila dia mendapat kerja sebagai pembantu peribadi di syarikat Faiz Iqbal. Keberadaan Aina Cempaka di sisi Faiz Iqbal membuatkan kerja-kerjanya lebih teratur, menarik perhatian Faiz Iqbal yang menaruh hati padanya dalam diam. Bibit-bibit percintaan mula berputik di antara mereka tanpa mengetahui sejarah hitam yang terjalin antara satu sama lain lima tahun lalu. 

Drama ini menampilkan kemunculan semula pasangan popular Aiman Hakim Ridza & Zahirah MacWilson sebagai watak utama selepas bergelar suami isteri lantas mengembalikan keterujaan para peminat dengan lakonan mereka selepas drama hit mereka dalam  ‘Curi-Curi Cinta’.

Drama terbitan Datuk Rosyam Nor dan Datin Runika Mohd Yusof ini diarahkan oleh sutradara Idora Abdul Rahman serta didukung oleh barisan pelakon yang berbakat seperti Wan Raja, Hafreez Adam, Josiah Hogan, Datuk Jalaluddin Hassan, Watie Sadali dan Sofia Dendroff. 

‘Tiada Maaf Buatmu’ ditayangkan pada setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam mulai 28 September 2022 secara eksklusif di slot MegaDrama, Astro Ria (104) serta turut boleh distrim menerusi On Demand di Astro Box dan aplikasi Astro GO untuk pilihan yang lebih fleksibel. Dapatkan Pek Premium 1 untuk penjimatan hebat dengan hanya RM 99.99 sebulan untuk enam bulan pertama. Whatsapp “NAK ASTRO” ke 03-9543 3838 untuk menikmati drama ini di Astro.

Idlan Zahari - Pengurus Saluran Astro Ria

“Astro sekali lagi membawa pertaruhan yang besar dengan kembalinya Aiman Hakim Ridza dan Zahirah MacWilson dalam ‘Tiada Maaf Buatmu’. Berbeza dengan penceritaan yang sebelumnya, drama ini memberi gambaran cinta yang terselit sejarah hitam antara watak utamanya. Kelainan ini mampu melahirkan jangkaan yang berbeza di kalangan para penonton memandangkan kedua-duanya akan menunjukkan sisi yang baharu. Uniknya lagi, ini merupakan penampilan pertama mereka selepas bergelar suami isteri jadi para penonton pasti akan tidak sabar untuk melihat gandingan mereka berdua yang memberikan watak kontra dengan kehidupan mereka yang sebenar. 


Kerjasama dengan pihak produksi iaitu Suhan Movies & Trading amat menyenangkan. Mereka memahami kehendak para penonton serta pihak Astro. Malah pihak kami sentiasa ingin mencabar landskap industri drama dengan mengetengahkan penceritaan yang berbeza serta berlandaskan genre yang lebih edgy dan dark.

Drama ini turut berjaya menyelitkan elemen pemerkasaan wanita serta kebangkitan mereka apabila mereka disalah lakukan.  Kami berharap naratif ini mampu menjadi inspirasi kepada para penonton kami serta menarik segmen penonton baharu termasuk generasi muda untuk menontonnya. Akhir sekali, kami berharap ‘Tiada Maaf Buatmu’ bakal menjadi perbualan hebat di kalangan peminat drama dan penonton Astro.” 


Idora Abdul Rahman - Pengarah Drama ‘Tiada Maaf Buatmu’

“’Tiada Maaf Buatmu’ merupakan sebuah naskah yang memberi gambaran side-effect kepada para penonton mengenai isu serangan seksual. Ia bukanlah sesuatu isu  yang ringan, malah ia menjadi satu cabaran buat kami untuk memaparkan dengan baik. Kami ingin menonjolkan masalah yang datang daripada isu ini, bukan sahaja masalah cinta lovey dovey atau putus cinta yang biasa dipaparkan dalam drama melayu. Namun, pengambilan Aiman Hakim Ridza dan juga Zahirah MacWilson merupakan penyelesaian yang terbaik kerana mereka sangat profesional dan tidak mencampur-adukkan kehidupan peribadi dengan kerjaya. Dua-dua memang kompetitif dan sering melahirkan idea dan lakonan yang lebih realistik. 

Saya berharap para penonton akan tertarik dengan jalan ceritanya dengan plot twist yang mencabar emosi. Kami juga berharap mesej dan pengajaran yang diselitkan sampai kepada mereka dan diterima dengan baik.”

PECAHAN WATAK DRAMA ‘TIADA MAAF BUATMU’


Faiz Iqbal - Aiman Hakim Ridza
Aina Cempaka - Zahirah MacWilson
Burn - Wan Raja
Mohsin - Hafreez Adam
Rashid - Josiah Hogan
Tan Sri - Datuk Jalaluddin Hassan
Puan Mariam - Watie Sadali
Suzy - Sofia Dendroff

LOGLINE DRAMA ‘TIADA MAAF BUATMU’

Kehidupan Aina Cempaka telah musnah dan dia hilang ingatan disebabkan musibah yang menimpanya. Faiz Iqbal jatuh cinta pada Aina Cempaka tanpa mengetahui bahawa Aina Cempaka adalah mangsa daripada sejarah hitamnya.

SINOPSIS DRAMA ‘TIADA MAAF BUATMU’


‘Tiada Maaf Buatmu’ mengisahkan seorang gadis bernama Aina Cempaka yang pernah menjadi mangsa serangan seksual lima tahun dahulu, akibat daripada kegagalan abangnya dalam melangsaikan hutang dengan Black, seorang pemilik kelab malam. Disebabkan kejadian itu, Aina Cempaka menjadi depresi selama berbulan-bulan. Dia berlari ke sebuah jambatan untuk melepaskan geram tetapi terjatuh ke bawah dan terhentak di permukaan batu. Kehilangan Aina Cempaka menghasilkan khabar angin bahawa dia membunuh diri dan sudah meninggal. Tanpa pengetahuan sesiapa pun, Aina Cempaka sebenarnya koma dan keguguran. Dia juga hilang kesemua ingatannya. 

Selepas kejadian itu, Aina Cempaka pergi ke Kuala Lumpur untuk memulakan kehidupan yang baharu dan tinggal bersama Suzy. Dia juga menerima tawaran untuk bekerja di Ibunda Corporation sebagai pembantu peribadi Faiz Iqbal. Sejak itu, kerja-kerja Faiz Iqbal menjadi semakin terurus, membuatkan dia lebih bersemangat untuk ke pejabat. Lama-kelamaan, Faiz Iqbal menaruh hati kepadanya kerana dia berasa selamat apabila Aina Cempaka menjaganya memandangkan Aina Cempaka mempunyai perwatakan yang lasak dan ada ilmu mempertahankan diri. Bukan itu sahaja, Aina Cempaka juga menjaga solatnya. Secara tidak langsung Faiz Iqbal semakin tertarik dengannya tanpa mengetahui hubungan kisah silam dan kaitan antara mereka berdua sebelum ini. 

Siapakah Faiz Iqbal sebenarnya kepada Aina? Mampukah mereka bersama di sebalik sejarah hitam masing-masing? Nantikan jawapannya. 

5 comments

  1. Menarik2.. walaupun macam dah tahu siapa sebenarnya Faiz Iqbal tu.

    ReplyDelete
  2. Suka Aiman Hakim Ridza & Zahirah MacWilson sama padan

    ReplyDelete
  3. wah menarik juga dah lama tak tengok lakonan mereka setelah jadi suami isteri

    ReplyDelete
  4. Wah.. Mereka kembali berlakon bersama..

    ReplyDelete

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.