Finally Lawyered, Congrats Mia!

Monday 6 February 2023


Rasa macam sekejap je Mia masuk Ram Reza & Muhammad untuk chambering 9 bulan under department conveyancing tup tup dah long call dah. Kalau ikutkan tarikh long call Mia lambat sebulan dari apa yang dia plan. Pulun buat legal aid sampai 3 kali seminggu sudahnya tak dapat jugak long call bulan 12 sebab semua tarikh dan sesi dah penuh. 

Nak tak nak kena juga long call bulan Januari 2023 tapi okay je kot sebab Mia busy jual durian jugak dekat Ipoh tu. Family Mia ni ada dusun durian 14 ekar dekat Beruas, Perak so kalau weekend atau public holiday, dia balik sana tengok-tengokkan dusun. Kelakar masa dia datang office dengan badan bintik merah sana sini sebab kena attack dengan pepijat. Dugaan jadi peladang ye dak? 


Last day Mia dekat RRM, kitorang beli brownies untuk farewell Mia. Nak buat majlis pun tak sempat sebab ramai yang tak ada. Muka kitorang lah yang bergambar dengan Mia sebelum dia balik ke Perak. Anyway, terima kasih Mia berkhidmat selama 9 bulan dekat RRM. Semoga maju jaya sebagai peguam dan penjual durian. Take care Mia :)

Movie Review | Pathaan (2023)

Sunday 5 February 2023


Director : Siddharth Anand
Writer : Shridhar Raghavan, Abbas Tyrewala
Cast : Shah Rukh Khan, Deepika Padukone, John Abraham, Dimple Kapadia, Ashutosh Rana, Salman Khan, Prakash Belawadi, Manish Wadhwa 
Production Companies : Yash Raj Films
Distributors : Yash Raj Films
Genre : Action / Thriller
Running Time : 146 minutes
Release Date : 25 January 2023 
Trailer :


Lepas kejayaan filem WAR (2019) yang menampilkan ejen Kabir (Hrithik Roshan) dan Khalid (Tiger Shroff), YRF buat perangkaan baru untuk menampilkan YRF Spy Universe kerana franchise Tiger dan Zoya juga mempunyai peminatnya sejak tahun 2012 hingga sekarang. Pada ulangtahun ke-50 Yash Raj Films, Aditya Chopra bersama Siddharth Anand secara rasminya menghidupkan YRF Spy Universe dengan filem Pathaan menjadi installment keempat dan diterbitkan pada awal tahun 2023. 

Pathaan (Shah Rukh Khan) yang baru sahaja sembuh dari kecederaannya sebaik sahaja pulang dari Afghanistan, propose idea kepada Nandini Grewal (Dimple Kapadia) untuk kumpulkan semua anggota Research and Analysis Wing (RAW) India yang cedera atau mengalami trauma tapi masih ingin berbakti kepada negara di bawah satu jabatan baru iaitu Joint Operation and Covert Research (JOCR).

 
Operasi pertama JOCR ialah menjaga Presiden India di Dubai ketika menghadiri majlis perasmian bersama dua orang lagi saintis hebat negara. Di sana mereka dapat tahu Jim (John Abraham) akan menculik atau mencederakan Presiden. Jim adalah bekas ejen RAW yang sama hebatnya dengan Kabir tapi kerana Kerajaan membiarkan isterinya dibunuh oleh terrorist, Jim berpaling tadah dan menggunakan skills serta networking untuk meraih keuntungan.
 
Bersama Jim adalah Rubai (Deepika Padukone) yang pernah bekerja dengan Inter-Services Intelligence (ISI), Pakistan. Strategi Pathaan mudah, hanya perlukan sedikit waktu untuk pecah masuk ke bilik Rubai dan cari maklumat tentang Outfit X. Tak lama kemudian, Pathaan dapat tahu Rubai hanya menyamar untuk dapatkan maklumat tentang kegiatan Jim. 


Sebagaimana hasil kerja Siddharth Anand dalam filem Bang Bang (2014) dan WAR (2019), Pathaan juga tak terlepas dengan olahan yang cemerlang. Apa yang filem aksi perlukan semuanya pengarah bagi. Pilihan yang tepat lah untuk King Khan mengaum di Bollywood selepas flop demi flop dan berhenti berlakon pada tahun 2018. Dalam filem Pathaan juga ada banyak dialog atau babak tribute kepada filem-filem SRK macam dialog K..K..K..Karen untuk filem Darr (1993) ataupun dialog Tiger tentang safety pin yang refer kepada filem Main Hoon Na (2004).

Selain SRK, YRF buat pilihan bijak dengan panggil John Abraham pulang sebagai villain yang hot seperti dalam filem Dhoom 1 (2004). I suka dengan karya Siddharth Anand walaupun storyline dia tipikal tapi olahannya menarik. Dia kenal pelakon supaya watak yang dikarang kelihatan cantik onscreen. Musik tema untuk Jim sesuai sangat dengan John Abraham yang sexy dan macho. Perfect BGM I must say. Setiap kali Jim muncul mesti berdoa supaya YRF terbitkan movie solo Jim semasa dia berkhidmat dalam RAW. 


Kalau first half pengarah kenalkan watak Pathaan dan Jim, masuk second half pula pengarah tampilkan Tiger (Salman Khan) datang membantu. Siapa tak excited bila dua superstars kick some ass together on a big screen?! Menjerit bila nampak scarf Tiger buat cameo. Kelakar masa Tiger dengan Pathaan share pain killer sebab energy dah tak macam zaman muda dulu. 

Dialog Pathaan dengan Tiger dekat credit scene pun menarik sebab diorang berbincang siapa yang nak ganti tempat diorang nanti. Ranveer Singh anak emas YRF tak boleh pergi sebab tahun lepas flop semedang, Ranbir Kapoor pun tak berjaya tawan dengan filem Shamshera (2022). Nampaknya the OGs jugak lah kena bekerja lagi. Even Siddharth Anand pun dah confirmkan yang ada solo movie untuk Jim, Pathaan buat cameo dalam Tiger 3, WAR 2 dan filem eksklusif Zoya & Rubai. I cakap eksklusif sebab belum pernah lagi Katrina Kaif dengan Deepika Padukone berlakon bersama sebab sejarah diorang tapi YRF berjaya sign contract. Two top heroines in 1 film, say whatttt! 


Berbalik kepada Pathaan, action stunt yang dipaparkan datang dari beberapa filem Hollywood yang terkenal macam Mad Max, Fast & Furious dan banyak lagi. Boleh nampak lah Siddharth ambil idea dari sana but I don’t really cares as long as the execution is perfect and entertaining. 

Sama seperti Kabir Khan atau Ali Abbas Zafar yang bagi peluang pada Katrina untuk beraksi dalam franchise Tiger, Siddharth Anand juga buka peluang tersebut untuk Deepika Padukone sebagai ejen ISI. Walaupun Dimple Kapadia tak beraksi namun dia menyerlah dalam screentime sebagai boss kepada Pathaan. Nampak lah perubahan yang Sid buat lepas tampilkan pasu bunga dalam WAR sebelum ni. 



Sinematografi memukau dengan keindahan beberapa tempat popular di Dubai, Russia, India, Spain dan banyak lagi. Music album Pathaan hanya menampilkan dua lagu – Besharam Rang dan Jhoome Jo Pathaan hasil gubahan Vishal–Shekhar. Sama seperti WAR (2019), kedua-dua lagu membantu promosi filem Pathaan walaupun ada kontroversi pada koreografi Besharam Rang. 

I tak pasti art and wardrobe team tak dapat bajet yang cukup ataupun ejen RAW memang suka rambut panjang ala bercuti di Hawaii sebab Kabir dengan Pathaan sama sangat style diorang. But I appreciate what they did to SRK. Hottie!


Kelemahan filem Pathaan pada durasi yang agak panjang terutamanya dekat hujung cerita masa Pathaan berlawan dengan Jim. Masa tu tunjuk babak diorang berlawan patutnya, tak perlu tunjuk reaksi Rubai pun sebab dia cuma berdoa untuk Pathaan je. Ada juga beberapa babak yang tak masuk akal macam flight menuju ke Delhi dan babak lain. 

Penggunaan VFX juga ada masanya tak berapa menjadi terutamanya pada babak berlawan dalam keretapi dan jet yang bawa Rubai dengan Pathaan ke Menara. Tak pasti lah I seorang je ke yang rasa bila SRK tak mampu nak emote untuk babak dramatik. Masa dalam filem Brahmastra: Part One (2022), elok je bila mata dia bergenang I tersentuh tapi masa Pathaan ni rasa kosong pula. 


But all in all it’s a great redemption movie. Berbaloi duit tiket pergi tengok dekat cinema, berbaloi juga tunggu buah tangan dari YRF. Tak sabar nak tengok Tiger 3 nanti! 

p/s : Kalau belum tengok Pathaan, go watch it at your nearest cinema. Movie macam ni tak syok tengok dekat streaming platform. 

1. Team Production +1, 2. Visual +0.8, 3. Audio +1, 4. Storyline +0.6, 5. Casting +1, 6. Genre +1, 7. Themes +1, 8. Editing +0.8, 9. Social Message +1, 10. Personal Thought +1 = 9.2/10

Movie Review | An Action Hero (2022)


Director : Anirudh Iyer 
Writer : Neeraj Yadav 
Cast : Ayushmann Khurrana, Jaideep Ahlawat
Production Companies :  
Distributors : AA Films, Netflix
Genre : Action 
Running Time : 130 minutes
Release Date : 2 December 2022 
Trailer :


An Action Hero mengisahkan tentang Maanav (Ayushmann Khurrana), pelakon superstar di Bollywood yang sering berlakon dalam filem aksi. Ketika di set penggambaran di Haryana, Maanav diganggu oleh Vicky Solanki, adik kepada ahli politik di daerah tersebut. Tanpa sengaja Vicky terjatuh kemudiannya terhentak batu menyebabkan dia meninggal serta-merta. 

Manaav lari dari tempat kejadian sebelum polis datang untuk heret dia ke balai. Dia minta bantuan pengurusnya, Roshan untuk uruskan penerbangan ke London dan bersembunyi di sana sementara peguamnya datang. 

Malangnya Bhoora Singh Solanki (Jaideep Ahlawat) pergi ke London untuk balas dendam atas kematian Vicky. Makin bertambah teruk bila Manaav pula yang diburu oleh pihak polis walhal Bhoora yang tembak mati pegawai polis yang datang meronda. Media di India pula setiap hari musnahkan imej Maanav tanpa henti. Hilang hasil usaha dia selama berpuluh tahun hanya kerana dia tertolak Vicky tanpa sengaja. 

Kisah Maanav yang lari dari tempat jenayah boleh kata adaptasi longgar dari kes jenayah langar lari Salman Khan suatu ketika dulu tambah pula bila ada babak Maanav minta Guddu, driver dia mengaku bersalah padahal ramai saksi mata yang nampak Maanav yang menadu kereta tersebut. 

Alur cerita An Action Hero seolah-olah nak perli kisah hidup Salman Khan pun ada juga bila penulis masukkan tentang superstar berkawan dengan underworld tapi yang pastinya penulis memang buat satira terhadap dunia Bollywood yang berkawan dengan don dan underworld sebab kemunculan watak Masood Abraham Katkar (Gautam Joglekar) pada second half. 

Masood Abraham ialah penjenayah Interpol Dawood Ibrahim yang sentiasa mempunyai pertalian dengan Bollywood sebagai funder atau protector. Kebanyakan masanya funder lah sebab filem Bollywood sentiasa menggunakan bajet yang besar. Win-win situation sebab produser dapat dana untuk bikin filem, penjenayah pula dapat cuci duit dengan mudah. Babak Maanav ambil gambar dengan Masood tu nampak sangat perli beberapa pelakon terkenal yang bergambar dengan don. 

Selepas filem Anek (2022), Ayushmann pilih An Action Hero sebagai filem aksi tapi sayangnya filem ni bukan saja lemah pada jalan cerita, babak aksi juga tak diketengahkan sangat. Pujian harus diberikan lah pada Ayushmann sebab action stunt yang dipaparkan nampak kemas dan cantik walaupun tak banyak. 

Nak kata skrip tak dibikin dengan baik tak juga sebab filem aksi tak demand banyak pun dari pelakon sebab tu John Abraham dengan Tiger Shroff selesa dengan genre ni. Tapi bila Ayushmann yang berlakon watak Maanav, ada sesuatu yang canggung. Mungkin sebab dia terpaksa follow rentak Salman yang sentiasa spaced out. 

Watak Bhoora pun merepek juga sebab saiz badan Jaideep lagi besar dari Ayushmann jadi tak hairan kalau dendam dia boleh terlunas dalam sekelip mata tapi tidak. Lama betul dia ambil masa untuk bunuh Maanav. Semua yang dia kacau Bhoora mesti mati tapi bila berdepan dengan Maanav lain pula ceritanya. Maanav siap suruh bunuh je dia tapi Bhoora menung lama entah fikir apa. 

So I pun tak tahu filem ni nak sembang apa sebenarnya. Plot twist dia menarik tapi sebab dah biasa dengan permainan PR jadi benda tu bukan sesuatu yang mengagumkan pun. Music album An Action Hero antara yang mengecewakan sebab ada cameo Nora Fatehi tapi lagu tak best pun. Background music dia pun ikut suka je nak masuk sampai rasa annoying. Nasib baik ada Malaika Arora Khan yang comel dalam lagu Aap Jaisa Koi. 



Bila dah tengok filem An Action Hero arahan Anirudh Iyer nib oleh faham lah kenapa filem aksi ni flop di box office. Bukan sebab kena boikot tapi sebab kisah ni pun tak ada sesuatu yang baru untuk dihidangkan. 

1. Team Production +0.6, 2. Visual +1, 3. Audio +0.4, 4. Storyline +0.5, 5. Casting +0.6, 6. Genre +0.4, 7. Themes +1, 8. Editing +0.6, 9. Social Message +0.3, 10. Personal Thought +0.4 = 5.8/10

Movie Review | Spilt Gravy on Rice (2022)


Pengarah : Zahim Albakri   
Penulis Skrip : Zahim Albakri, Jit Murad, June Tan  
Pelakon : Zahim Albakri, Bernice Chauly, Sean Ghazi, Na'a Murad, Juliana Ibrahim, Rahim Razali 
Syarikat Produksi : ZSA Productions  
Pengedar : Netflix
Genre : Komedi
Durasi Tayangan : 112  minit
Tarikh Tayangan : 9 Jun 2022  
Trailer :


Filem Ke Mana Tumpahnya Kuah Kalau Tak Ke Nasi arahan Zahim Albakri berkisarkan kehidupan sebuah keluarga yang diketuai oleh Bapak (Rahim Razali) di mana dia telah berkahwin dengan 5 orang wanita berbeza dan mempunyai anak dari setiap wanita tersebut. 

Bapak sedar masanya sudah sampai untuk dia pergi jadi dia perlu berjumpa dengan kesemua anaknya supaya dia dapat serahkan rumah pusaka kepada yang dia rasa layak dan mereka semua bersetuju dengan keputusan tersebut. 


Darwis (Na’a Murad) rasa tak perlu pun Bapak fikir jauh kerana abang sulungnya Zak (Zahim Albakri) pasti akan jual rumah tersebut untuk dapatkan duit sementara kakaknya, Kalsom (Bernice Chauly) akan jadikan rumah tersebut sebagai tempat berkarya untuk teaternya. Husni (Sean Ghazi) pula sudah mempunyai rumah sendiri manakala Zaitun (Juliana Ibrahim) sudah berkahwin dan tinggal bersama suaminya. Darwis selalu merasakan Bapak tidak sayang kepada dia berbanding anak-anak yang lain namun Bapak menegah kerana dia sayang semuanya sedaya mampu. 

Naskhah yang sepatutnya ditayangkan pada 8 November 2015 mendapat peluang baru untuk muncul di Netflix setelah sekian lama. Asalnya naskhah ini merupakan sebuah drama pentas pada tahun 2002 lalu memenangi beberapa anugerah kemudiannya diolah menjadi filem. Jadi tak hairanlah kalau heavy dengan perbualan dari setiap watak. 


Rumah yang menjadi latar kepada naskhah ini sudah pun tiada kerana Kerajaan beli untuk bina MRT. Jadi terngiang babak Bapak tengok pembinaan di rumah sebelah sebab masa zaman muda dia dulu, rumah tu kawannya bina sendiri dengan tulang 4 kerat tapi siapa sangka akan hilang begitu sahaja kepada pemaju. 

Boleh faham lah kenapa filem ini dihalang tayangannya oleh Lembaga Penapisan Filem kerana kehidupan keluarga ini keluar dari budaya masyarakat Melayu pada waktu tersebut di mana Bapak sendiri agak liar pada zaman mudanya. Zak adalah penagih dan menjual dadah, Kalsom berpandangan liberal sementara Husni pula gay. Perbualan mereka juga ada yang ‘berbahaya’ untuk tontonan umum pada masa itu. 


Sama ada satira kepada keluarga elit di tengah kota ataupun menjadi cermin golongan tersebut, naskhah ini ada mesej sosialnya tersendiri. Kalau tengok pada babak semua anak-anak berkumpul dan mengadu kepada Bapak pada second half, boleh nampak lah dengan jelas dan nyata kenapa filem ini berjudul sepertimana peribahasa Melayu, Ke Mana Tumpahnya Kuah Kalau Tak Ke Nasi. Semua perangai anak-anaknya adalah bingkisan dari kehidupan Bapak sendiri, hasil dari cara Bapak sendiri. 

"So, you see, it is up to us, in the middle. We are the ones, the examples. We know enough to ask the rude questions. And because of that, the top calls us ungrateful and the bottom calls us disrespectful." - Bapak


Dialog paling terkesan di hati bila Bapak tegur Darwis sebab pilih untuk anggap Bapak tak sayang hanya kerana Bapak tak sempat nak hadiahkan kek mengikut citarasa anak bongsunya. Memang sedih kalau diingatkan balik tapi Bapak juga manusia, ada kekurangannya. Tengok pada cara Bapak, walaupun dia jahil tapi Bapak sentiasa bagi yang terbaik kepada keluarganya. 

Sinematografi yang dipaparkan oleh Yuk Hoy Cheong menggamit kenangan bandaraya Kuala Lumpur pada zaman tersebut. Tengok kawasan Masjid Jamek tempat Kalsom dan pembantunya berbual masih kosong dengan cat biasa walhal sekarang sudah cantik dengan mural cantik dan menjadi hot spot untuk pengunjung dari luar. 


Filem Ke Mana Tumpahnya Kuah Kalau Tak Ke Nasi ini mungkin tak dilihat sebagai menarik pada sesetengah orang kerana filem ini sendiri mempunyai kelemahannya. Perbualan yang banyak di mana berkisar tentang Bapak dan 5 orang anaknya juga 5 orang isteri – IPGM (Nanu Baharuddin), Salamiah (Ida Nerina), Roslinda (Melissa Saila), Hawa (Sabrina Hassan) dan Jackie (Diana Danielle). Ada juga babak yang tak perlu macam babak Husni dan Zak melepak di bar sampai tak perasan dengan panggilan dari Darwish. But overall, it’s a good watch. 

1. Team Production +1, 2. Visual +1, 3. Audio +1, 4. Storyline +0.7, 5. Casting +0.8, 6. Genre +0.5, 7. Themes +1, 8. Editing +1, 9. Social Message +1, 10. Personal Thought +1 = 9/10

Movie Review | The Big 4 (2022)

Saturday 4 February 2023


Pengarah : Timo Tjahjanto 
Penulis Skrip : Timo Tjahjanto, Johanna Wattimena  
Pelakon : Abimana Aryasatya, Putri Marino, Lutesha, Arie Kriting, Kristo Immanuel, Budi Ros
Syarikat Produksi :  Frontier Pictures, Netflix Studios
Pengedar : Netflix
Genre : Aksi / Komedi
Durasi Tayangan : 114 minit
Tarikh Tayangan : 15 Disember 2022 
Trailer :


The Big 4 adalah nama jolokan kepada Topan (Abimana Aryasatya), Alpha (Lutesha), Jenggo (Arie Kriting) dan Pelor (Kristo Immanuel) sebagai assassin yang bekerja di bawah Petrus (Budi Ros). Mereka berempat dilatih sejak kecil dan mempunyai persamaan yang ketara iaitu anak yatim piatu jadi sejak kecil lagi sudah bersama seperti sebuah keluarga. 

‘Kamu semua tahu gelaran The Big 4 itu datang daripada musuh-musuh kita  dan musuh kita begitu banyak. Itu sebabnya ayah latih kamu jadi yang terbaik.’ - Petrus


Petrus mempunyai seorang anak perempuan yang membesar dengan jelita dan tangkas sebagai detektif polis bernama Dina (Putri Marino). Pada malam pelantikannya, Petrus dibunuh di rumah oleh lelaki misteri. Sementara The Big 4 cuci tangan dari dunia tersebut dan bawa haluan masing-masing seperti yang mereka mahukan sebelumnya, Dina pula cuba menjejak lelaki misteri tersebut lantas membawa dia ke pulau terpencil kemudian bertemu dengan Topan. 

Anehnya jejak Dina diekori oleh pengikut Antonio (Marthino Lio) yang ingin membunuh mereka semua. Kerana hal tersebut Topan kumpulkan adik-adiknya yang lain dan juga mencari Alpha di kawasan lain untuk tumpaskan Antonio. 


‘Tak usah risau tentang itu. Risaukan kemahiran kau. Sudah berkarat! Lawan si misai itu pun kalah! Belum lagi dia cukur misai!’ – Jenggo 

Naskhah aksi komedi yang menggunakan sekumpulan pembunuh upahan lebih kurang sama saja alur ceritanya dengan naskhah aksi yang lain. Bezanya, penggunaan senjata yang lebih grand dan action stunt yang menarik. Humor yang digunakan juga menjadi walaupun ada masanya bersifat double meaning. Filem The Big 4 tak sesuai sebagai tontonan keluarga sebab aksi ganas yang melampau, penggunaan kata kesat dan juga dialog double meaning. 


Kekuatan the Big 4 juga terletak pada Topan yang memukau dengan lakonannya sebagai ketua pasukan dan juga abang kepada semua. Sifat tenang dan selalu menjaga tak ubah seperti keluarga sebenar. Bonus juga sebab dia kacak dan cool. 

Lakonan Lutesha sebagai Alpha juga menyerlah walaupun screentime dia terhad. Setiap kali muncul sama ada komedi, sensitive, marah ataupun pamerkan stunt yang tangkas berlawan bersama pengikut Antonio terlihat menarik untuk ditonton. Comel masa Alpha dengan Topan bergaduh tentang tanggungjawab. 


Watak Dina tak dikembangkan dengan baik antara kesemua watak utama bila dia terlihat selalu sakit hati dengan banyak perkara. Entah kenapa padahal dia anak sebenar Petrus, dijaga dengan cukup kasih sayang berbanding The Big 4 yang cuma menumpang kasih. 

Sinematografi menerusi lensa Batara Goempar menjadikan penceritaan The Big 4 lebih menarik dengan penggunaan teknik kamera yang kreatif sama ada wide angle yang memaparkan keindahan stunt choreography mahupun suasana Bali yang indah. Close up shots juga membantu menghidupkan screenplay dengan cemerlang. VFX yang digunakan juga tampak asli. 


The Big 4 arahan Timo Tjahjanto juga terlihat draggy kerana ada beberapa babak yang tak perlu seperti Dina yang mabuk setelah minum air rebusan kulit katak ataupun babak Topan, Dina dan Alpha di hadapan pintu resort berkira-kira mahu masuk atau tidak sampai hilang komedinya. 

Tengok pada ending, ada possibility untuk sekuel dengan kemunculan watak menarik yang ingin lunaskan urusan bersama The Big 4. Plot twist juga sebab kita tahu kenapa Petrus boleh meninggal walaupun bersembunyi dari dunia gelap tersebut. Kalau pun pengarah nak buat prekuel atau spin-off pun menarik juga sebab filem aksi ni memang banyak potential untuk industri filem. 

1. Team Production +1, 2. Visual +1 , 3. Audio +1, 4. Storyline +0.7, 5. Casting +1, 6. Genre +0.8, 7. Themes +1, 8. Editing +1, 9. Social Message +0.7, 10. Personal Thought +0.6 = 8.8/10

Movie Review | Pee Nak 3 (2022)


Director : Mike Phontharis Chotkijsadarsopon 
Writer : Saniphong Suddhiphan 
Cast :  Rinat Abushaev, Phiravich Attachitsataporn, Kuytae Oppa, Pond Khunnapat Pichetworawut, Witthawat Rattanaboonbaramee, Tar Atiwat Saengtien, Bhuripat Vejvongsatechawat, Tempo Kanthaphat Kitichaivaranggoon, Champ Chanatip Phothongka
Production Company :  Five Star Production
Distributors :  GVP, GSC Movies
Genre : Horror / Comedy 
Running Time : 111 minutes
Release Date : 17 March 2022
Trailer :


Installment ketiga franchise Pee Nak yang bermula pada tahun 2019, muncul kembali dengan watak utama iaitu First (Bhuripat Vejvongsatechawat) dan Balloon (Witthawat Rattanaboonbaramee). Setelah ditahbiskan dalam Pee Nak 2 (2020), First dan Balloon bekerja bersama youtuber Korea yang terkenal bernama Do Min-jun (Phiravich Attachitsataporn). 

Sebaik saja habis tour, mereka pulang ke Thailand untuk menghadiri upacara pentasbihan Aod (Pond Khunnapat Pichetworawut) untuk menjadi sami. Malangnya Aod semakin hari semakin sakit kerana disumpah oleh gelang emas di kakinya. Dada Aod dipenuhi dengan sisik naga dan terasa panas seperti dibakar. Waktu malam pula Aod bermimpi tentang Nak (Champ Chanatip Phothongka) yang memburunya. 


Bambam (Sim Kyutae) perasan ada tulisan pada gelang emas tersebut yang menggunakan tulisan Thai purba. Kalau ikutkan setiap gelang kepunyaan Nak mempunyai pasangnya jadi Min-jun cadangkan supaya mereka mencari pasangannya untuk tafsirkan tulisan tersebut. Masa mereka suntuk kerana nyawa Aod juga dalam bahaya. Bukan saja sumpahan tersebut bakal membunuh Aod malah Nak juga memburu gelangnya di kuil tersebut. 

Nak dibandingkan dengan Pee Nak 2, skala Pee Nak 3 lebih besar kerana melibatkan lebih ramai watak dan juga mereka keluar dari kuil tersebut. Kalau sebelum ini penulis cuma fokus pada roh Nak yang tak tenteram kerana karma, kali ini roh Nak harus meminta ampun pada Naga yang berbakti kepada sami. Mesej dalam franchise Pee Nak ni jelas kerana menceritakan tentang karma walaupun telah dilahirkan semula sebagai orang yang berbeza. 


‘Today is yesterday’s future. And the consequence of our actions today will affects tomorrow. We have to accept the consequence because you cannot go back in time to fix yesterday.’ – Luang Por

Kepercayaan agama Budha dan Hindu ada kelahiran semula dan hidup selama 7 kelahiran jadi sama lah konsep dengan yang digunapakai oleh kisah Pee Nak ni. Dosa dari kelahiran lepas dibawa bersama dalam kelahiran ini dan dosa pahala di kelahiran lepas juga yang menentukan status kehidupan di kelahiran baru. Ini apa yang I baca dari somewhere lah, correct me if I’m wrong. 


Sembang tentang plot cerita, kisah kali ni ada isinya tapi tak kelakar macam dua franchise sebelumnya. Pee Nak (2019) memang kelakar sangat sebab kita baru nak kenal watak First dengan Balloon tu macam mana. Seram pun sama naik juga sampai menjerit dekat panggung. Sementara yang kedua pula dengan kisah Nak yang baru dan seram juga. Boleh jadi akan muncul yang keempat tapi harapnya penulis tak isi dengan cerita yang sarat tentang karma sangat macam yang ketiga ni. 

Bukan setakat sarat, ada perkara yang mengelirukan dan tak terjawab pun. Macam babak Bambam nampak tulisan purba tu padahal tak perlu guna kamera pun untuk perasan. Kenapa Aod dengan Namnuea (Tempo Kanthaphat Kitichaivaranggoon) tak terfikir untuk cari sebelum keadaan Aod melarat? 


Sinematografi Pee Nak semakin cantik mungkin kerana team production dah dapat bajet lebih lepas dua installment dah berjaya mencari peminatnya. Masa Naga munculkan diri pun nampak meyakinkan lah walaupun penggunaan VFX yang heavy. Makeup effects mainkan peranan besar sebab kulit bersisik pada Nak dengan Aod tu bukan mudah nak buat. Makeup pada mayat pun nampak real dan mengerikan. Editing pula boleh nampak pada beberapa babak tak kemas tapi boleh pejam mata je. 

Naskhah ni mungkin tak menarik sangat seperti dua installment sebelumnya tapi watak First dan watak Balloon berjaya menghiburkan dengan kerenah masuk air mereka. Kalau layan secara santai tak ada masalah pun untuk enjoy. Tak syok juga kalau tak tengok 2 filem sebelumnya sebab berkait dan banyak penjelasan tentang adat dan upacara untuk menjadi sami atau penebusan dosa. 

1. Team Production +1, 2. Visual +1, 3. Audio +1, 4. Storyline +0.6, 5. Casting +0.8, 6. Genre +0.5, 7. Themes +1, 8. Editing +0.6, 9. Social Message +1, 10. Personal Thought +0.5 = 8/10

Director: Tony Tilse, Sean Masterson, Yee-Wei Chai
Writer: James Lee
Cast : Idan Aedan, Chen Yixin, Caleb Monk, Nikki Dekker
Production Company: Beach House Pictures
Distributor : Netflix
Genre : Horror / Comedy / Mystery
Running Episodes : 13 episodes (28 minutes per episode)
Release Date : 24 October 2022
Trailer :


Series yang diadaptasikan dari novel remaja berjudul Mr. Midnight karya nukilan James Lee yang pernah terkenal pada zaman 90-an dulu ditayangkan di Netflix hasil Garapan 3 orang pengarah Singapura. Menampilkan 4 sekawan di mana Tyar (Idan Aedan), Ling (Chen Yixin), Nat (Caleb Monk) dan Zoe (Nikki Dekker) cuba menyelesaikan misteri yang berlaku di Tanah Merah. 

Disebabkan mereka adalah sekumpulan anak remaja yang mempunyai rasa ingin tahu yang tinggi jadi Tyar cadangkan untuk wujudkan vlog atau podcast supaya orang luar juga berkongsi cerita seram atau aneh mereka. Tyar minta Nat menyamar menjadi Mr. Midnight kerana suara dan lakonan dia menjadi. 


Bermula dari situ mereka mendapat permintaan untuk selesaikan kes misteri di Palm Beach Hotel kerana nenek Amanda Wong meninggal secara misteri. Uncle Tan (Lim Yu-Beng) minta supaya mereka berhati-hati dengan alam angker kerana tak semua hantu adalah roh yang terperangkap. Boleh jadi roh yang menunggu masa untuk menganggu manusia seperti yang pernah terjadi dulu. Dari pengembaraan mereka ini juga Tyar dapat tahu yang dia adalah pewaris dukun dan mempunyai kelebihan seperti arwah datuknya. 

‘A dukun must be constantly vigilant. You are connected to the spirit world now. They will come to you. The undead, good and evil, are drawn to you. It means your life will never be the same again. Everything is going to change.’ – Uncle Tan


Anehnya ibu (Shafiqah Efandi) bapa (Firdaus Rahman) Tyar tak pernah ceritakan tentang kelebihan keturunan itu malah berdalih setiap kali Tyar buka cerita tentang pengalaman anehnya. Di Tanah Merah juga mempunyai simbol seperti pusaran yang digantung di mana-mana seperti tangkal untuk mengelakkan dari sesuatu yang jahat dan mengerikan. 

Masa ternampak trailer Mr. Midnight: Beware the Monsters di Netflix rasa tertarik untuk tengok sebab series ni tak seram walaupun berkisar tentang hantu. Barisan hantu yang diperkenalkan juga lebih kurang sama dengan hantu Malaysia seperti toyol, pocong atau Pontianak cuma bezanya hantu Singapura lebih cantik dan daring. Seolah kombinasi hantu Nusantara dengan orang Barat. Bibir toyol pun letops macam Kylie Jenner. Caleb Monk pula punca kedua kenapa kitorang tekan play. He’s cute hshshs


Walaupun Tanah Merah merupakan salah satu daerah yang popular di Singapura tapi series Mr. Midnight menggunakan studio untuk mewujudkan bandar tersebut. Nampak ketara sangat dalam Episod 1 di tapak pembinaan ataupun kedai Uncle Tang juga asrama tempat Nat tinggal. Tak jadi masalah pun sebab tetap nampak cantik dan kaya dengan senibina warisan. Suka tengok rumah Tyar yang sarat dengan unsur Jawa. Bukan saja sinematografi yang cantik malah lighting juga tak menjadi masalah setiap kali hantu muncul ataupun berlatarkan waktu malam. 

Penceritaan Mr. Midnight ni tak lah berat sangat sebab konsep dia ala-ala series Disney yang lebih tersasar kepada golongan kanak-kanak dan remaja jadi series nib oleh ditonton bersama keluarga. Tak ada jumpscare atau seram yang berlebihan. Macam Sccoby Doo pun ada juga. Maybe some parts of the plot ada yang cringe ataupun tampak canggung namun jalan cerita tetap menarik. Marathon satu hari pun boleh habis sebab durasi untuk setiap episod tak lah terlalu lama. 


Tak perlu risau pun kalau tak pernah baca novel Mr. Midnight sebab tak ada pun momen yang buat kita pelik atau perlu refer pada novel. I pun tak ingat pernah baca ke tak novel bersiri ni. Kalau pernah pun entah dah lupa gamaknya. Yang pastinya drama Mr. Midnight akan muncul musim kedua sebab ada urusan yang belum selesai cuma tak pasti bila akan keluar. 

1. Team Production +1, 2. Visual +1, 3. Audio +1, 4. Storyline +1, 5. Casting +1, 6. Genre +1, 7. Themes +1, 8. Editing +0.8, 9. Social Message +1, 10. Personal Thought +0.6 = 9.4/10

Movie Review | Ngeri Ngeri Sedap (2021)


Pengarah : Bene Dion Rajagukguk
Penulis Skrip : Bene Dion Rajagukguk 
Pelakon :  Arswendy Beningswara Nasution, Tika Panggabean, Boris Bokir Manullang, Gita Bhebhita Butarbutar, Lolox, Indra Jegel
Syarikat Produksi : Imajinari, Visionari Film Fund
Pengedar : Netflix 
Genre : Komedi / Drama  
Durasi Tayangan : 114 minit
Tarikh Tayangan :  02 Jun 2022 (Indonesia), 06 Oktober 2022 (Netflix)
Trailer :


Sebelum ni pernah nampak berita filem Ngeri-Ngeri Sedap merupakan filem Indonesia yang dihantar secara rasminya ke Oscar 2022 untuk kategori Best Foreign Film. Rasa tertarik untuk tengok naskhah penulisan dan olahan dari Bene Dion Rajagukguk yang bertemakan kekeluargaan ni bila tahu dinobatkan sebagai Filem Terbaik di Festival Film Wartawan Indonesia. 

Mengisahkan Pak Domu (Arswendi Nasution) yang kecewa dengan anak-anaknya dari sulung sehingga lah ke bongsu. Setelah membanting tulang empat kerat sejak usia mudanya, Pak Domu berhasil memberi pelajaran tahap tinggi kepada anak-anaknya sehingga hidup berjaya di kota. 

Namun anak sulungnya, Domu (Boris Bokir Manullang) ingin berkahwin dengan perempuan berketurunan Sunda. Memang benar sama-sama manusia tapi siapa yang akan menjaga warisan keturunan mereka, suku kaum Batak nanti? Anak ketiga pula, si Gabe (Lolox) menjadi pelawak selebriti sedangkan dia graduan undang-undang. Harapan Pak Domu untuk melihat anaknya menjadi hakim atau peguam terkubur. 
Anak bongsunya pula, Sahat (Indra Jegel) perlu pulang ke rumah untuk menjaga orang tua dan mewarisi rumah dan tanah mereka menurut adat Batak namun Sahat memilih untuk tinggal bersama Pak Pomo dan mengusahakan ladang di situ. 

Mak Domu (Tika Panggabean) cuba memujuk untuk anak-anaknya pulang ke rumah malangnya tetap gagal. Kerana rindu dan ingin melihat kesemua anak mereka berkumpul untuk meraikan pesta kesyukuran, Pak Domu dan Mak Domu berlakon ingin bercerai. Anak kedua mereka, Sarma (Gita Bhebhita) yang tinggal bersama merayu supaya abang dan adik-adiknya pulang segera. 

Pada separuh masa pertama terhibur dengan penceritaan yang menarik akibat sketsa cerai oleh pasangan yang rindukan anak-anak ni. Dalam ketawa terselit juga perasaan sedih sebab kesian tengok orang tua terpaksa merayu anak-anak balik tapi sebagai anak, faham juga kenapa mereka semua berkeras hati. Dari kecil sampai besar ikut saja aturan keluarga, bila dah besar mesti lah nak ikut kata hati. Mereka semua bukan jenis mengamuk atau membentak terutamanya Sahat yang banyak berdiam saja tapi semuanya protes dengan tidak pulang. Yang jadi mangsa, Mak Domu dan Sarma. 

Masa keluarga ni pergi makan angin di Danau Toba, Mak Domu banyak kali tahan senyum sebab gembira sangat dapat spend time dengan anak-anak. Pak Domu pun ceria walaupun terpaksa berlakon muram kerana ‘masalah’ mereka. 

Visual yang dihidangkan bukan saja menggunakan tona warna yang cantik dalam memaparkan keindahan kawasan pinggiran Danau Toba malah memperlihatkan kekuatan budaya suku kaum Batak melalui pesta kesyukuran juga kawasan sekitarnya. Macam mana mengikut adat Batak bila si isteri lari dari rumah, macam mana adat perkahwinan mereka dan lain-lain. Dialog menguatkan lagi keindahan budaya tersebut dengan sekecil-kecil perbualan tentang ucapan salam orang Batak.

Daya penarik filem Ngeri-Ngeri Sedap memang terletak pada alur cerita yang mampan kerana barisan pelakonnya bukan yang mempunyai rupa paras cantik seperti kebiasaannya. Anak-anak Pak Domu dan Mak Domu lebih mengikut paras rupa mereka cuma pelik lah kenapa Gabe dengan Sarma berbadan besar dan berkulit cerah. Tak ada masalah pun kalau pengarah ambil pelakon yang segak sebab screentime anak-anak agak terhad dengan dialog yang minimal. Bukan sebab penulis tak beri tumpuan dekat situ tapi memang adik-beradik ni tak rapat sepertimana yang dijelaskan oleh Domu.

Filem Ngeri-Ngeri Sedap bukan bersifat memberi hukuman kepada sesiapa tapi lebih kepada bercerita sebab tak ada siapa yang salah atau siapa yang betul. Bak kata ibu Pak Domu, generasi berbeza dan situasi yang berbeza menghasilkan cara didikan yang berbeza. Manusia ni tak akan pernah berhenti belajar hingga ke usia tua pun masih lagi belajar. Tak hairanlah kenapa filem Ngeri-Ngeri Sedap berhasil menjadi Filem Terbaik.
1. Team Production +1, 2. Visual +1, 3. Audio +1, 4. Storyline +1, 5. Casting +1, 6. Genre +1, 7. Themes +1, 8. Editing +1, 9. Social Message +1, 10. Personal Thought +1 = 10/10

Movie Review | Halimun (2022)

Friday 3 February 2023


Pengarah : Muzzamer Rahman  
Penulis Skrip : Muzzamer Rahman 
Pelakon : Beto Kusyairy, Nabila Huda, Kodi Rasheed, Chubb-E, Harun Hashim, Puteri Balqis Azizi  
Syarikat Produksi : Azura Pictures Sdn. Bhd. 
Pengedar : Astro First 
Genre : Seram / Drama
Durasi Tayangan : 115 minit
Tarikh Tayangan : 5 November 2022
Trailer :


Halimun arahan Muzzamer Rahman mengangkat tema saka dan pendamping di mana bukan sesuatu yang asing dalam kehidupan masyarakat Melayu. Antara nak percaya atau tidak saja, sama seperti Zahir (Beto Kusyairy) yang masih menidakkan kewujudan saka atau makhluk halus sehingga lah dia berkahwin dengan Laila (Nabila Huda).

Pertemuan pertama kali Zahir dengan Laila di hotel tempat pemuda tersebut bekerja membuahkan rasa cinta lantas ambil keputusan untuk berkahwin. Zahir mula ambil tahu tentang latar belakang Laila selepas mereka berkahwin itupun tidak banyak yang Laila ceritakan. Zahir selalu mengalami mimpi ngeri ataupun ternampak kelibat perempuan tua (Sarah Monica) di rumahnya. 


Kerana risaukan keselamatan Laila dan anak di dalam kandungan, Zahir minta bantuan Adi (Kodi Rasheed) untuk datang jenguk rumahnya. Kalau ada benda minta Adi buang dan pagar rumah tersebut dari gangguan makhluk yang sukar dilihat di pandangan mata kasar. Sangkanya keadaan Zahir dan Laila semakin pulih namun sebaliknya. Prof Sulaiman (Hafidzuddin Fazil) berpesan supaya bawa Ashif (Chubb-E) sebagai peneman semasa berubatkan suami isteri tersebut. 


Filem yang mengambil masa selama 14 hari untuk penggambaran memang ringkas jalan ceritanya dengan tema yang sudah selalu digunakan dalam genre seram namun hasilnya kemas dan menarik. Filem Halimun tak menggunakan jump scare atau seram yang berlebihan pun tapi dah cukup buatkan bulu roma berdiri tegak. Seram tengok babak Laila balik dari pasaraya ataupun masa saka hisap darah di hujung katil. 


Kalau pada first half plot banyak terarah pada rumahtangga Zahir dan Laila, second half pula pada watak Ashif yang buta tapi dapat melihat dan mendengar menggunakan kelebihannya. Tak hairan lah kenapa Prof Sulaiman pesan pada Adi supaya bawa pelajar baru ni, sebab dia tahu Ashif layak dan mampu jaga Adi dari perangkap syaitan. 

Tak pasti lah watak Zahir dan Laila dalam golongan umur berapa sebab masing-masing nampak dalam fasa lewat 30-an. Lagipun Zahir dah beruban lepastu dia bagitahu Adi yang dia menyesal tak kahwin awal. Saja nak point out yang chemistry Beto dengan Nabila Huda sebagai pasangan berkahwin nampak cantik je onscreen. Sebelum ni jadi kembar dalam KL Gangster Underworld (2018) pun ngam jugak. Beto dengan Nabila ni macam Ranveer Singh dengan Priyanka Chopra, kalau bekerja bersama tu nampak serasi sangat. 


Personally, filem Halimun memang layak mendapat pujian dan masuk dalam senarai filem seram terbaik namun ada juga kekurangan baik pada plot ataupun aspek lain. Macam screentime Puteri Balqis yang terhad sangat sedangkan boleh dikembangkan lagi sama ada menerusi mimpi Zahir ataupun flashback. Tunggu bila Puteri Balqis nak muncul tapi kecewa lah ada satu babak sahaja. 

Sinematografi tak ada masalah langsung sampai lah masuk babak Adi berjumpa dengan Zahir di rumah pusaka kepunyaan Dato Ismail (Harun Hashim). Gelap sangat sampai tak nampak mana Zahir, mana Adi. 


Kenapa Zahir bertindak untuk bawa Laila keluar dari rumah lepas Adi ubatkan tu pun tak faham juga sebab clearly rumah pusaka bukan tempat untuk bertenang. Untuk orang berharta macam Zahir, tak jadi masalah pun kalau dia nak bawa Laila pergi bercuti dekat Maldives ataupun Semporna yang kaya dengan keindahan alam semulajadi. Baru betul lah healing. 

But that’s just my personal opinion je, sebab I tak nak healing dekat rumah kampung yang seram macam tu. Anyway, happy tengok Halimun sebab hotel tempat Zahir bekerja tu dekat EDC Hotel yang memang sedap makanannya. Tempat Adi buat Master pun dekat KUIS, rindu pulak zaman Diploma tengok fakulti AI masuk dalam filem ni. Special mention untuk dialog dalam filem Halimun yang tampak bersahaja dan tak preachy. Kudos to Muzzamer Rahman!

1. Team Production +1, 2. Visual +0.7, 3. Audio +1, 4. Storyline +0.6, 5. Casting +1, 6. Genre +1, 7. Themes +0.7, 8. Editing +0.7, 9. Social Message +1, 10. Personal Thought +0.7 =  8.4/10

Movie Review | Coast Guard Malaysia: Ops Helang (2023)

Wednesday 1 February 2023


Pengarah : Pitt Hanif
Penulis Skrip : N/A
Pelakon : Saharul Ridzwan, Julia Farhana, Adlin Aman Ramlee, Datuk Fizz Fairuz, Sabri Yunus, Kodi Rasheed, Gambit Saifullah, Aziz M Osman, Sherie Merlis, Wanna Ali, Jaja Iliyes, Aman Nassim, Yuznor, Azlan Komeng, Hushairi Husain, Akmal Ahmad, Eqy Affandi, Iman Zulkarnain, Trisha Ooi
Syarikat Produksi : Flying Deals Sdn. Bhd, Arie Zaharie Production
Pengedar : Metrowealth International Group (MIG)
Genre : Aksi / Drama 
Durasi Tayangan : 85 minit
Tarikh Tayangan : 2 Februari 2023
Trailer :


Filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang arahan Pitt Hanif berlatarkan unit beruniform, Pegawai Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di mana watak Leftenan Maritim Hafiz (Saharul Ridzwan) ingin memulakan kehidupan baru di sebuah pulau setelah mengalami Gangguan Stress Pasca Trauma (PTSD) akibat kehilangan rakan setugasnya dalam sebuah misi operasi. 

Hafiz juga membawa tunangnya, Nurul (Wanna Ali) untuk tinggal bersama setelah mereka memutuskan untuk berkahwin. Namun, ketika majlis sambutan pertunangan Hafiz dan Nurul, sekumpulan penjenayah yang diketuai oleh Samad (Adlin Aman Ramlie) telah menyerang untuk lunaskan dendam lama kerana Rima dibunuh setahun yang lepas. 


Leftenan Maritim Melati (Julia Farhana), Pegawai Penyiasat APMM telah ditugaskan untuk menyiasat kes tersebut. Dari video tape yang ditemui, mereka dapat jejak lokasi sebenar Leftenan Hafiz dan tebusan lain tapi Samad dan konco-konconya mempunyai rencana lain sehingga pihak APMM terpaksa mengaktifkan operasi besar-besaran demi menjaga keamanan perairan negara. 

Setelah kejayaan filem Paskal (2018) yang memaparkan kehidupan unit khas tentera laut dan filem Air Force The Movie (2022) yang berlatarkan tentera udara, industri filem tempatan muncul pula dengan unit beruniform yang jarang didendangkan kisahnya. Penggambaran yang dilakukan mendapat tunjuk ajar dari pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) ini telah menelan belanja sebanyak RM13 juta.


Tak sia-sia lah laburkan bajet tersebut untuk membantu orang awam kenal dengan lebih mendalam lagi kerjaya Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), skop kerja mereka dan bagaimana perjuangan setiap anggota kepada ibu pertiwi. Sebelum ni ada netizen yang pertikaikan kenapa pihak unit beruniform tegas dan kononnya tak ada belas terhadap lanun tapi dalam filem ini boleh nampak perangai sebenar lanun. Dalam trailer khususnya, kita boleh nampak anggota maritim yang dipenggal kepala tanpa belas. Sebak tengok beberapa babak sebab tugas mereka tak mengenal waktu, berjauhan pula dengan keluarga. 

Bukan saja memerlukan fizikal yang tegap, mental juga perlu mantap berhadapan dengan manipulasi pihak musuh macam Leftenan Hafiz yang terpaksa berdepan dengan manipulasi dan helah Samad dan Mustafa. Kawan anggota mati dibunuh disebabkan dia, tunang diculik pun Leftenan Hafiz kena kuatkan semangat untuk bertempur dalam misi yang ditugaskan oleh pihak atasan. 


Penceritaan Coast Guard Malaysia : Ops Helang mungkin boleh ditebak kerana flow cerita yang sama dalam mana-mana operasi unit beruniform namun penulis selitkan beberapa plot twist untuk menghiburkan penonton. Namun ada masanya editing mengganggu flow cerita untuk nampak lebih kemas macam babak ibu Nurul (Sherie Merlis) yang meninggal tanpa tahu puncanya kenapa atau siapa. 

Kita memang boleh tahu dia dibunuh oleh geng lanun tersebut tapi lagi cantik lah kalau ditunjukkan dengan jelas sebab durasi filem ini tak lah panjang mana jadi boleh saja untuk penulis kembangkan babak tersebut lantas kuatkan lagi genre drama yang dimasukkan. Sama juga dengan watak Leftenan Hafiz yang tak diberikan banyak ruang untuk tonjolkan sisi trauma dia sedangkan babak tersebut perlu untuk ikat hati penonton. 


Sinematografi yang dipaparkan ada masanya menampakkkan kelemahan CGI atau visual yang diambil dari footage kepunyaan pihak maritim namun tak lah sampai mencacatkan cerita. Terpesona juga dengan keindahan Pulau Langkawi yang menjadi latar tempat untuk filem Coast Guard. Resort tempat Leftenan Hafiz tenangkan diri pun cantik. Stunt yang dipamerkan tampak kemas dan meninggalkan impak untuk naskhah aksi. Babak pertarungan Leftenan Hafiz dan Samad antara highlight dalam filem Coast Guard Malaysia : Ops Helang yang diterbitkan oleh Metrowealth International Group (MIG). 


Bukan saja watak utama malah antagonis yang kuat juga dipertaruhkan dalam naskhah aksi dengan lakonan bersahaja oleh Adlin Aman Ramlie. Dekat hujung filem boleh nampak potensi untuk sekuel, hopefully pihak penerbit dan APMM boleh bekerjasama lagi untuk operasi dan musuh lain pula akan datang. 

1. Team Production +0.7, 2. Visual +0.6, 3. Audio +0.6, 4. Storyline +0.5, 5. Casting +0.6, 6. Genre +0.7, 7. Themes +1, 8. Editing +0.4, 9. Social Message +1, 10. Personal Thought +0.6 = 6.7/10