TV3 SAMBUT ULANG TAHUN KE-41, PEMINAT DRAMA TERUS JADI NADI KEJAYAAN

Tuesday, 3 June 2025


Genap 41 tahun menemani rakyat Malaysia, TV3 terus unggul di persada penyiaran negara sebagai stesen televisyen nombor satu yang dekat di hati penonton. Dengan sejarah cemerlang sejak penubuhannya pada 1 Jun 1984, TV3 bukan sekadar sebuah saluran hiburan, ia adalah sebahagian daripada denyut nadi budaya pop, pencorak cita rasa rakyat, dan pemacu utama dunia drama tanah air.

Tahun demi tahun, TV3 terus mencipta fenomena daripada Nur Kasih, 7 Hari Mencintaiku, Takdir Yang Tertulis, Melur Untuk Firdaus, sehinggalah ke Aku Bukan Ustazah dan Anak-Anak Mafia, drama TV3 bukan sahaja memahat rating tertinggi di kaca TV, malah menjadi perbualan hangat di sosial media dan kekal dalam memori penonton pelbagai generasi.

Menyambut ulang tahun ke-41 tahun ini, TV3 membawakan pelbagai program menarik, aktiviti interaktif dan kolaborasi gah dan eksklusif buat penonton setia untuk menyemarakkan cinta peminat terhadap drama Melayu. Antara inisiatif utama tahun ini ialah penglibatan eksklusif TV3 di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2025 (PBAKL) melalui kerjasama istimewa bersama MPH Bookstores.

Mengangkat tema 41 Tahun Penuh Drama, sambutan ulang tahun ke-41 ini membawa makna yang mendalam, menzahirkan penghargaan terhadap drama-drama ikonik dan terbaharu yang telah memberi impak besar kepada penonton TV3 sejak dulu. TV3 berterima kasih kepada semua lapisan usia penonton yang telah menjadi tulang belakang setia menonton dan menyokong karya-karya drama yang dihidangkan sepanjang tahun.

Sebagai sebahagian daripada sambutan ini, TV3 dengan bangganya memperkenalkan beberapa inisiatif menarik termasuk:

1. Pakej Drama Sangat - TV3 X MPH Bookstores


Ibarat menggabungkan dunia cetak dan digital, TV3 dan MPH Bookstore memperkenalkan pakej istimewa yang menawarkan koleksi novel adaptasi drama popular TV3 seperti 7 Hari Mencintaiku, Melur Untuk Firdaus (My Rude Wife), Suamiku Lelaki Pendosa (Imamku Lelaki Pendosa) dan banyak lagi pada harga RM59 untuk dua buku yang tertera bersama langganan percuma selama sebulan ke platform TontonUp. 

Pakej eksklusif ini boleh didapati di reruai MPH sepanjang Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2025 (23 Mei 2025–1 Jun 2025). Pengunjung yang berbelanja minimum RM150 berpeluang menebus baucar langganan TontonUp percuma, terhad kepada 500 penebusan pertama. Tawaran ini memberikan pengalaman hiburan yang lebih lengkap kepada peminat drama TV3.

2. Tayangan Semula Drama-Drama Ikonik TV3

41 Tahun Penuh Drama, TV3 menghadiahkan penonton dengan tayangan semula drama-drama ikonik yang pernah mencetus fenomena dan menjadi bualan ramai. Inisiatif ini membolehkan penonton mengimbau kembali detik-detik emosional, jalan cerita yang memukau serta watak-watak yang membentuk legasi TV3 selama ini. Setiap karya ini bukan sahaja mencatat jutaan tontonan malah meninggalkan impak mendalam dalam landskap drama tempatan.

Antara drama pilihan yang bakal ditayangkan semula adalah:

  • 7 Hari Mencintaiku 2 (28 Mei – 23 Julai, Isnin hingga Khamis, 6.00–7.00 petang)
  • Nur Kasih (10 Jun – 23 Julai, Isnin hingga Khamis, 3.00–4.00 petang) 
  • Nur (22 Jun – 24 Ogos, Sabtu dan Ahad, 6.00–7.00 petang). 

3. Meet & Greet: Anak-Anak Mafia dan Aku Bukan Ustazah 2



Kemeriahan berterusan apabila sambutan ulang tahun ke-41 ini turut diserikan dengan sesi Meet & Greet bersama barisan pelakon drama popular antaranya adalah drama terbaharu di Tonton iaitu Anak-Anak Mafia akan membuat kemunculan pada 31 Mei (Sabtu), manakala pelakon drama Aku Bukan Ustazah 2 akan memeriahkan pentas utama pada 1 Jun (Ahad). Antara selebriti yang bakal hadir termasuk Mierul Aiman, Fitri Farok, Fariz Isqandar, Zhen Ning, Scha Elinnea, MK K-Clique, Erysha Emyra, Haneesya Hanee, Shaza Bae dan Fikhree Bakar.

4. Dari Layar Ke Lensa


Istimewa sempena ulang tahun ke-41, TV3 memperkenalkan projek khas Dari Layar Ke Lensa yang menampilkan empat bintang ternama, Siti Saleha, Fattah Amin, Janna Nick dan Zahiril Adzim yang tampil sebagai pengarah. Usaha ini bukan sahaja menyajikan penceritaan segar kepada penonton, malah mencerminkan komitmen TV3 dalam memupuk bakat baharu serta memperkayakan kandungan tempatan. Projek ini juga memberi peluang kepada mereka untuk mengetengahkan perspektif serta visi kreatif tersendiri dalam empat Cerekarama istimewa: 
  • Siti Saleha - Rentak 2 Hati (5 Julai 2025, Sabtu, 10.00 malam)
  • Fattah Amin - Noktah Dosa (12 Julai 2025, Sabtu, 10.00 malam)
  • Janna Nick - Susu Lima Kupang (19 Julai 2025, Sabtu, 10.00 malam)
  • Zahiril Adzim - Pencuri Rumah Imam (26 Julai 2025, Sabtu, 10.00 malam)

5. Pencarian Pelakon Drama Sangat & Ujibakat Pitch Story Anda ke TV3


Seiring dengan tema 41 Tahun Penuh Drama, TV3 memperkenalkan inisiatif istimewa Drama Sangat melalui Pencarian Pelakon Drama Sangat, sebuah peluang emas untuk bakat baharu yang bercita-cita menyerlah dalam dunia lakonan. Peserta hanya perlu menghadiri sesi uji bakat dengan menggunakan skrip yang telah disediakan. Dua bintang baharu yang terpilih bukan sahaja akan mendapat kontrak di bawah naungan Alternate Records, malah berpeluang membintangi drama terbaharu terbitan TV3. 

Bukan sekadar memperkukuh dominasi dalam dunia drama tempatan, TV3 juga terus menghargai sokongan peminat yang menjadi tulang belakang kejayaan jenama ini. Menerusi inisiatif Ujibakat Pitch Story Anda ke TV3! TV3 membuka ruang kepada pencipta idea baharu untuk mengetengahkan bakat dan kreativiti mereka, dengan jumlah hadiah terkumpul sebanyak RM9,000. Program ini turut mendapat suntikan kerjasama bersama Universiti Malaya dan Taylor’s University, yang akan menjadi lokasi rasmi sesi uji bakat pada 14 Jun 2025 (Sabtu) di Universiti Malaya dan 21 Jun 2025 (Sabtu) di Taylor’s University.

6. 9 Wajah Baharu Buletin TV3

Seterusnya, TV3 memperkenalkan sembilan wajah baharu penyampai berita yang akan mula bersiaran mulai 1 Jun. Lima daripadanya dipilih daripada hampir 800 peserta ujibakat terbuka hujung tahun lalu dan kini bertugas sebagai wartawan serta tenaga produksi. Antara yang terpilih ialah Douglas Elliot David, Hirsham Azmi, Asyiha Ariffin, Deerina Sheikh Faisal, dan Izabelle Choong.

Empat lagi merupakan wajah sedia ada yang diberi kepercayaan menyampaikan Buletin Utama dan Buletin 1.30, termasuk Vinsla Santiran, Fahmi Tajuddin, Zati Nizam, dan Afrina Romzi. TV3 terus komited mencungkil bakat baharu melalui latihan berterusan dan program Mentor Mentee Bilik Berita, bagi melahirkan pelapis penyiaran yang segar dan berwibawa.

7. TV3 X Ernie Zakri

TV3 juga tampil dengan kolaborasi eksklusif bersama bintang bersuara emas dan ikon fesyen, Ernie Zakri, menerusi pelancaran koleksi istimewa TV3 X Ernie Zakri. Bermula 23 Mei 2025 selama sebulan, kempen ini mempersembahkan bundle edisi terhad berharga RM99 yang hanya tersedia sebanyak 2,000 unit sahaja. Setiap pembelian mengandungi hijab eksklusif daripada koleksi Zeleb+ NMN by Ernie Zakri x Ayuwan dan tote bag rekaan khas Ernie Zakri, menjadikan kolaborasi ini bukan sekadar cenderamata, tetapi satu simbol gaya, seni dan penghargaan buat peminat setia TV3 dan Ernie Zakri.

Sambutan 41 Tahun Penuh Drama ini bukan sekadar menoleh ke belakang untuk mengenang kejayaan, tetapi juga menyusun langkah ke hadapan dengan penuh aspirasi dan semangat baharu. TV3 berjanji untuk terus menjadi suara rakyat, cermin masyarakat, dan platform utama dalam dunia hiburan tanah air.

Di sebalik segala pencapaian gemilang ini, TV3 tetap berdiri teguh dengan satu misi iaitu untuk terus mempersembahkan kandungan terbaik, melahirkan bakat baharu, dan menjadi medium yang menyatukan rakyat Malaysia melalui drama, berita dan hiburan yang menyentuh hati.

TV3 turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para penonton yang menjadi nadi kepada setiap langkah kami – penonton setia yang tidak pernah jemu memberi sokongan sepanjang lebih empat dekad perjalanan ini. Sambutan ulang tahun ini adalah bukti cinta dan penghargaan kami kepada anda semua.

Teruskan menyokong TV3 agar kami dapat terus menghasilkan karya-karya berkualiti, penuh makna dan sarat dengan hiburan yang mendidik serta menginspirasikan seluruh lapisan masyarakat. Bersama kita terus menulis kisah kejayaan, dari hati untuk semua.

Untuk mendapatkan info terkini tentang drama kegemaran anda, layari laman sosial Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia, Instagram rasmi Drama Sangat iaitu @dramasangat.

**********************************

Mengenai TV3
TV3 merupakan saluran televisyen No.1 di Malaysia yang telah beroperasi sejak tahun 1984. TV3 telah mendominasi pasaran penyiaran menerusi penerbitan drama berkualiti seperti Melur Untuk Firdaus, Suamiku Lelaki Pendosa, Kerana Cinta Itu Ada, dan Jaga Aku Selamanya merupakan sebahagian daripada drama-drama bersiri yang telah mencipta fenomena besar. 

TV3 telah berjaya menambat hati penonton menerusi rancangan hiburan ikoniknya seperti Anugerah Juara Lagu, Anugerah Tonton Drama Sangat, Famili Duo, Melodi, I Can See Your Voice dan Master In The House. Buletin Utama, 999, Fail Mahkamah, dan Majalah 3 terus kukuh sebagai rancangan berita dan dokumentari terunggul pilihan utama rakyat Malaysia hingga mencecah jutaan penonton setiap hari. 

Platform media sosial @TV3Malaysia juga menunjukkan peningkatan yang mengagumkan (24 juta pengikut di YouTube, Facebook, Instagram, Twitter dan Tiktok) dan menjadi salah satu digital platform terbesar di negara ini. 

Untuk mendapat informasi terbaharu berkaitan program menarik di TV3, layari akaun rasmi media sosial @TV3Malaysia, atau strim langsung secara eksklusif di Tonton, myFreeview CH103, Astro CH103, serta unifi CH103.Untuk mendapatkan info terkini tentang drama kegemaran anda, layari laman sosial Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia, Instagram rasmi Drama Sangat iaitu @dramasangat.

Post a Comment

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.