EJEN ALI THE MOVIE 2 RAIH KUTIPAN FILEM ANIMASI TEMPATAN DAN ANTARABANGSA TERTINGGI SEPANJANG ZAMAN! | Kerja Kita Belum Selesai! Misi : Pawagam Masih Aktif Untuk Capai Sasaran RM60 Juta
Dengan kutipan mencecah RM55.1 juta, Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) kini secara rasmi dinobatkan sebagai filem animasi dengan kutipan tertinggi dalam sejarah pawagam Malaysia, mengatasi semua karya animasi tempatan dan antarabangsa yang pernah ditayangkan.
Lebih membanggakan, EATM2 kini mengatasi kutipan filem blockbuster dari Hollywood dan juga Asia sepanjang dua bulan ini. Ini sekali gus menjadi bukti nyata terhadap keyakinan serta sokongan luar biasa penonton Malaysia terhadap naskhah animasi yang berteraskan identiti dan semangat tempatan.
“Kejayaan ini bukan milik WAU Animation semata-mata tetapi milik semua ejen-ejen yang percaya dan berdiri bersama kami sejak awal. Saya amat menghargai dedikasi seluruh pasukan WAU Animation yang telah mencurahkan tenaga dan kreativiti tanpa henti dalam menjayakan filem ini. Terima kasih juga kepada rakan produksi kami, Primeworks Studios, yang memberikan sepenuh komitmen dalam mempromosikan filem ini, malah sentiasa tampil dengan idea-idea baharu yang segar dan berani demi memastikan EATM2 terus menjadi pilihan penonton. Dan sudah tentu, penghargaan tertinggi buat para peminat yang menjadi tulang belakang dan sumber semangat utama kami sejak hari pertama,” ujar Encik Usamah Zaid Yasin, pengarah filem EATM2.
“Pencapaian ini adalah hasil kerjasama, kepercayaan dan semangat yang dikongsi bersama. Kami harap para penonton akan terus menyokong EATM2 dan bantu kami untuk mencapai sasaran kutipan seterusnya iaitu RM60 juta. Hanya dengan sokongan teguh anda dapat kami realisasikan impian untuk menghasilkan naskhah Ejen Ali seterusnya, demi perkembangan industri kreatif tempatan yang bakal membanggakan Malaysia,” kata Puan Nini Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios.
Daripada siri animasi di kaca televisyen ke layar perak, Ejen Ali telah berkembang menjadi sebuah francais yang matang dan berpengaruh. Filem kedua ini bukan sahaja mengukuhkan kekuatan jenama, malah mencerminkan evolusi penceritaan animasi tempatan yang lebih berani, berdimensi dan menyentuh hati pelbagai lapisan penonton.
Filem ini masih ditayangkan di pawagam seluruh negara. Ayuh rakyat Malaysia, teruskan sokongan anda — kerana kerja kita belum selesai!
Satria, Bangkit – Filem Aksi Animasi Mempesona, Meledakkan Emosi! Kongsi pengalaman anda di media sosial dengan tanda pagar #ejenalithemovie2 #eatm2 #ejenali #letsplay #AniMY #sapotlokal #SaluteAnimatorTempatan
*****************************
Mengenai Ejen Ali the Movie 2
Di bandar futuristik Cyberaya, “Ejen Ali the Movie 2” mengisahkan seorang budak lelaki yang secara tidak sengaja direkrut sebagai ejen rahsia oleh agensi perisikan Meta Advance Tactical Agency (MATA). Ejen Ali bersemangat untuk membuktikan dirinya dalam Projek Satria, sut berperisai yang dibantu Kecerdasan Buatan (AI) terbaru MATA. Semasa Ali bergelut dengan tanggungjawab barunya untuk menguasai Satria, dia harus menerima keputusan MATA untuk memberikan rakan (dan saingannya) Alicia sebagai pemegang seterusnya peranti superkomputer, IRIS. Sementara itu, penggodam Neonimus muncul semula untuk mencetuskan kekacauan terhadap MATA, menandakan konspirasi yang lebih besar di Cyberaya.
Sejak tayangannya di saluran televisyen Malaysia, TV3, pada tahun 2016, “Ejen Ali” telah disiarkan dan distrim di lebih 65 negara di Asia Tenggara, Timur Tengah dan Afrika Utara, benua India, serta Amerika Utara. Dua musim pertama siri ini diikuti dengan “Ejen Ali The Movie” pada November 2019, yang meraih kutipan box-office yang mengagumkan sebanyak RM30 juta (USD8 juta) di Malaysia, Singapura, Brunei, dan Indonesia, menjadikannya salah satu filem animasi dengan kutipan tertinggi di Malaysia setakat ini. Bahagian terbaru, “Ejen Ali Season 3”, juga memegang gelaran sebagai harta intelek animasi Malaysia pertama yang diterbitkan bersama Disney+ Hotstar Asia Tenggara, dan pertama kali dilancarkan secara eksklusif di perkhidmatan penstriman tersebut pada Jun 2022.
Mengenai Primeworks Studios
Primeworks Studios adalah syarikat pengeluaran terkemuka di Asia Tenggara yang terlibat dalam perniagaan kandungan kreatif di setiap aspek rantaian media dalam pengeluaran TV dan filem, jualan kandungan, pengedaran dan pemasaran filem, animasi, kandungan berjenama, serta pelesenan dan peruncitan. Ia adalah syarikat kandungan yang memenangi pelbagai anugerah dan menghasilkan lebih daripada 3,000 jam kandungan menarik setiap tahun untuk pelbagai platform, termasuk televisyen, pawagam, dan digital. Rumah produksi ini adalah tenaga kreatif di sebalik pelbagai genre kandungan termasuk hiburan, animasi, majalah, dokumentari, sukan, dan drama.
Mengenai WAU Animation
WAU Animation adalah sebuah studio animasi CG yang ditubuhkan pada 18 Mac 2013 oleh sekumpulan bakat kreatif dengan pengalaman hingga 17 tahun dalam menghasilkan siri animasi CG dan filem cereka yang memenangi pelbagai anugerah. Di tengah-tengah WAU Animation adalah keinginan untuk mencipta animasi yang dapat menyentuh hati penonton. Kami bercita-cita untuk menceritakan kisah-kisah yang menakjubkan yang bukan sahaja menghiburkan tetapi juga bermakna dan memberi inspirasi, sambil pada masa yang sama disuntik dengan elemen tempatan, kerana kami percaya kuat dalam menampilkan identiti Malaysia yang unik.
Post a Comment
[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.
[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.
Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.
Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.