EJEN ALI THE MOVIE 2 RAIH RM34.2 JUTA, PECAH REKOD FILEM PERTAMA!

Tuesday, 3 June 2025

EJEN ALI THE MOVIE 2  RAIH RM34.2 JUTA, PECAH REKOD FILEM PERTAMA! | Sah Filem Pilihan Keluarga Cuti Sekolah Ini

Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) kini secara rasmi mencipta sejarah apabila berjaya mencatat kutipan melebihi RM34.2 juta dalam tempoh 11 hari, sekali gus memecahkan rekod kutipan filem pertamanya. Pencapaian ini turut menjadikan EATM2 filem animasi tempatan dengan kutipan tertinggi dalam masa yang paling singkat!

Lebih membanggakan, EATM2 juga berjaya mengatasi kutipan beberapa filem antarabangsa yang ditayangkan pada bulan Mei 2025 seperti Thunderbolts, Mission: Impossible, dan Lilo & Stitch, sekaligus membuktikan kehebatan karya tempatan yang menerima saingan sengit di layar perak. 


Setakat ini, lebih 2 juta penonton telah melaporkan diri untuk menyaksikan EATM2. Pencapaian memberangsangkan ini dipacu oleh kehadiran luar biasa penonton di pawagam, menjadikan EATM2 sebagai filem pilihan utama seisi keluarga sepanjang musim cuti sekolah yang bermula 29 Mei lalu. Ramai penonton berkongsi  bahawa mereka telah menonton filem ini lebih daripada sekali, dan teruja mengajak ahli keluarga lain untuk turut serta menjadikannya aktiviti beriadah bersama di musim cuti!

Kejayaan ini turut mencerminkan perkembangan positif dalam penerimaan filem animasi tempatan yang dilihat semakin mendapat tempat di hati khalayak umum. Pengarah filem, Encik Usamah Zaid Yasin berkata, “Kami hasilkan sekuel ini dengan sepenuh hati demi memenuhi jangkaan peminat setia yang lama menanti misi Ejen Ali, bukan sahaja untuk membawa animasi Malaysia bersaing setaraf dengan naskhah antarabangsa. Reaksi penonton, air mata, tawa dan tepukan di pawagam, itu semua hadiah paling berharga buat kami dan amat menggalakkan kami untuk terus mengembangkan dunia penceritaan Ejen Ali. Buat para ejen yang sudah berulang kali menonton, terima kasih kerana terus menyokong EATM2 di pawagam.”

Sementara itu, Puan Nini Yusof, Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios turut berkongsi rasa syukur terhadap rekod baharu yang dicapai.  “Kami sangat bersyukur dan terharu dengan sambutan luar biasa yang diberikan kepada Ejen Ali The Movie 2. Kutipan RM34.2 juta ini bukan sekadar satu angka, ia adalah simbol keyakinan rakyat Malaysia terhadap kualiti produksi animasi dan usaha tenaga kerja tempatan. Terima kasih kerana terus mempercayai misi Ejen Ali.” 

Diharapkan sambutan hangat daripada peminat filem tempatan akan berterusan, agar EATM2 terus melakar sejarah di layar perak.

Dato’ Sri Siti Nurhaliza turut luangkan masa bersama anak-anak menonton Ejen Ali The Movie 2! 


Filem Ejen Ali The Movie 2 terus mencuri perhatian pelbagai lapisan penonton, termasuk biduanita negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza yang menonton bersama anaknya, Afwa dan Aafiyah. Beliau memuji mesej positif yang diketengahkan dalam hantarannya di platform TikTok, “Bawak Afwa & Aafiyah menonton Ejen Ali… #EjenAliTheMovie2. Bagi saya movie Ejen Ali banyak mesej positif yang ditampilkan, mengajar anak kita tentang disiplin, keberanian dan keyakinan diri. Parents bolehlah bawa seisi keluarga menonton bersama di musim cuti sekolah ni!”

EATM2 kini masih ditayangkan di pawagam seluruh negara. Bagi yang belum menyaksikannya, inilah masanya untuk menjadi sebahagian daripada fenomena animasi terbesar Malaysia!


Perhatian Ejens, khususnya ibu bapa!

Misi cuti sekolah kini bermula — jangan lepaskan peluang untuk menghabiskan masa berkualiti bersama insan tersayang! Pawagam-pawagam kini sudah mula dipenuhi, lebih-lebih lagi dengan adanya pelbagai aktiviti tambahan seperti pertandingan mewarna, penampilan maskot serta koleksi barangan terhad di lokasi terpilih. Jadi pastikan anda tidak ketinggalan! Bawa anak anda ke pawagam terdekat dan alami sendiri keseronokan serta pengajaran bermakna yang dibawa oleh filem ini.

Satria, Bangkit - Filem Aksi Animasi Mempesona, Meledakkan Emosi! Jangan lepaskan peluang untuk mengikuti perkembangan terkini, kandungan eksklusif, dan kemas kini di sebalik tabir menerusi saluran YouTube rasmi Ejen Ali serta akaun media sosial Primeworks Studios Film.

Gunakan #ejenalithemovie2 #eatm2 #ejenali #AniMY #sapotlokal #SaluteAnimatorTempatan untuk kongsikan pengalaman anda dan hangatkan lagi perbualan di media sosial!

****************************

Mengenai Ejen Ali the Movie 2
Di bandar futuristik Cyberaya, “Ejen Ali the Movie 2” mengisahkan seorang budak lelaki yang secara tidak sengaja direkrut sebagai ejen rahsia  oleh agensi perisikan Meta Advance Tactical Agency (MATA). Ejen Ali bersemangat untuk membuktikan dirinya dalam Projek Satria, sut berperisai yang dibantu Kecerdasan Buatan (AI) terbaru MATA. Semasa Ali bergelut dengan tanggungjawab barunya untuk menguasai Satria, dia harus menerima keputusan MATA untuk memberikan rakan (dan saingannya) Alicia sebagai pemegang seterusnya peranti superkomputer, IRIS. Sementara itu, penggodam Neonimus muncul semula untuk mencetuskan kekacauan terhadap MATA, menandakan konspirasi yang lebih besar di Cyberaya.

Sejak tayangannya di saluran televisyen Malaysia, TV3, pada tahun 2016, “Ejen Ali” telah disiarkan dan distrim di lebih 65 negara di Asia Tenggara, Timur Tengah dan Afrika Utara, benua India, serta Amerika Utara. Dua musim pertama siri ini diikuti  dengan “Ejen Ali The Movie” pada November 2019, yang meraih kutipan box-office yang mengagumkan sebanyak RM30 juta (USD8 juta) di Malaysia, Singapura, Brunei, dan Indonesia, menjadikannya salah satu filem animasi dengan kutipan tertinggi di 

Malaysia setakat ini. Bahagian terbaru, “Ejen Ali Season 3”, juga memegang gelaran sebagai harta intelek animasi Malaysia pertama yang diterbitkan bersama Disney+ Hotstar Asia Tenggara, dan pertama kali dilancarkan secara eksklusif di perkhidmatan penstriman tersebut pada Jun 2022.

Mengenai Primeworks Studios
Primeworks Studios adalah syarikat pengeluaran terkemuka di Asia Tenggara yang terlibat dalam perniagaan kandungan kreatif di setiap aspek rantaian media dalam pengeluaran TV dan filem, jualan kandungan, pengedaran dan pemasaran filem, animasi, kandungan berjenama, serta pelesenan dan peruncitan. Ia adalah syarikat kandungan yang memenangi pelbagai anugerah dan menghasilkan lebih daripada 3,000 jam kandungan menarik setiap tahun untuk pelbagai platform, termasuk televisyen, pawagam, dan digital. Rumah produksi ini adalah tenaga kreatif di sebalik pelbagai genre kandungan termasuk hiburan, animasi, majalah, dokumentari, sukan, dan drama.

Mengenai WAU Animation
WAU Animation adalah sebuah studio animasi CG yang ditubuhkan pada 18 Mac 2013 oleh sekumpulan bakat kreatif dengan pengalaman hingga 17 tahun dalam menghasilkan siri animasi CG dan filem cereka yang memenangi pelbagai anugerah. Di tengah-tengah WAU Animation adalah keinginan untuk mencipta animasi yang dapat menyentuh hati penonton. Kami bercita-cita untuk menceritakan kisah-kisah yang menakjubkan yang bukan sahaja menghiburkan tetapi juga bermakna dan memberi inspirasi, sambil pada masa yang sama disuntik dengan elemen tempatan, kerana kami percaya kuat dalam menampilkan identiti Malaysia yang unik.

Post a Comment

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.