ASTRO ORIGINALS MEMPERSEMBAHKAN ‘HONEY TRAP’ KISAH THRILLER PERISIK WANITA DALAM DUNIA POLITIK

Wednesday, 18 June 2025

Astro Originals mempersembahkan sebuah siri premium terbaru, ‘Honey Trap’ yang membawa kisah thriller perisik wanita dalam dunia politik. Honey Trap menjanjikan pengalaman menonton yang mendebarkan, penuh aksi dan sarat emosi. 

‘Honey Trap’ merupakan naskhah yang dikembangkan daripada dunia KUDETA, siri premium Astro Originals yang ditayangkan pada tahun 2022, lakonan Vanidah Imran yang memegang watak Perdana Menteri wanita pertama di negara fiksyen, Masraya. 

Menerusi 8 episod serta 2 episod istimewa, Honey Trap masih berlatarkan dunia Masraya dari siri KUDETA dengan memperkenalkan watak baharu iaitu Surya Gabriel, seorang perisik wanita yang hebat, berkaliber, menawan dan berani dalam usahanya mempertahankan keselamatan negara. Namun, Surya terperangkap dalam permainan kuasa yang rumit, dipenuhi pengkhianatan, dilema, dan ancaman.

Membariskan pelakon berbakat tanah air, seperti Nina KSC yang pertama kali memegang watak utama, Syarul Ezani, Ungku Ismail, Irfan Zaini, Ayez Shaukat Fonseka, Michael Chen, Chazzy Nash, Amyza Aznan, Eugene Ong, May June, Dai Fuad, Sefik Khair serta penampilan daripada watak-watak dari siri premium KUDETA.  

Naskhah ini diarahkan oleh pengarah KUDETA, iaitu Imran Sheik yang turut bertindak sebagai penulis skrip bersama Siti Marzuliana Marzuki, Zuli Ismail, Amar Amir, Lemuel Ong dan Syakir ‘Mo’ Zakii. Diterbitkan oleh Astro Shaw dan produksi oleh Lacuna Pictures, siri ini bakal menemui penonton bermula 20 Jun 2025 di platform On Demand dan sooka bermula 12 tengah malam setiap Jumaat, serta Astro CITRA (saluran 108) pada hari yang sama, Jumaat jam 9.00 malam dan Astro RIA (saluran 104) setiap Isnin jam 9.00 malam. Istimewa, penonton dapat strim dua episod pertama di platform On Demand pada 20 Jun nanti. 

Honey Trap mengisahkan tentang seorang perisik wanita yang cantik, terdorong oleh misi peribadinya untuk menjatuhkan sebuah kumpulan pemberontak di Masraya, perlu merekrut seorang aset yang ada kaitan rapat dengan musuh. Namun apabila kerjasama mereka semakin erat, integritinya tercabar oleh hubungan romantik yang terjalin tanpa diduga.

Penerbit Eksekutif Honey Trap merangkap Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad menyatakan, “Honey Trap adalah kesinambungan kepada drama premium KUDETA dan naskhah ini  membawa nafas baharu dalam dunia penceritaan perisikan tempatan, lebih-lebih lagi ia mengangkat tema pandangan feminin sebagai nadi utama penceritaan. Jika KUDETA memfokuskan kuasa dan politik secara besar-besaran, Honey Trap pula lebih bersifat peribadi dan mendalam dengan menampilkan sisi psikologi dan isu sosial seperti kesihatan mental di tempat kerja, ketidakseimbangan kuasa dalam organisasi, dan manipulasi yang sering tersembunyi di sebalik struktur autoriti. Elemen-elemen ini jarang diketengahkan dalam genre sebegini. Kami percaya ini akan memberikan pengalaman tontonan yang segar, berani dan relevan, bukan sahaja untuk peminat drama thriller tetapi juga untuk penonton yang mahukan cerita yang menyentuh jiwa.”

Sementara itu, Pengarah Honey Trap, Imran Sheik berkata, “Idea menghasilkan Honey Trap ini tercetus daripada pengalaman peribadi saya menjaga ahli keluarga dengan schizophrenia. Bukan niat saya untuk mensensasikan penyakit ini, sebaliknya untuk meningkatkan empati masyarakat terhadap mereka yang menghadapi isu kesihatan mental. Walaupun mereka berhadapan dengan cabaran tersebut, pesakit mental memiliki kekuatan dalaman luar biasa yang jarang kita sedari. Bagi menjayakan siri premium ini, pihak produksi berdepan dengan cabaran utama termasuklah usaha menggambarkan dengan tepat dari sudut pemikiran seorang pesakit mental yang juga perisik yang dipertanggungjawabkan tugas besar. Walaupun Honey Trap berada dalam 'universe' Kudeta, penonton baru tidak akan keliru kerana kali ini kami memberi tumpuan khusus pada dunia agensi perisikan dan ancaman kumpulan pemberontak.”

Siri Premium Astro Originals menyaksikan kolaborasi ketiga bersama jenama ikonik tanah air, Goodday Charge, susu diperkaya pertama di Malaysia yang mengandungi 10 nutrien penting untuk membantu mengekalkan tenaga anda sepanjang hari. Kerjasama strategik ini melibatkan inisiatif promosi pemasaran untuk kedua jenama dan juga penempatan produk. Astro Shaw juga turut menerbitkan sebuah video khas berdurasi 30 saat, untuk Goodday bersempena dengan kerjasama ini.

Saksikan drama siri premium Astro Originals, Honey Trap, bermula 20 Jun 2025 di platform On Demand dan sooka bermula 12 tengah malam setiap Jumaat, serta Astro CITRA (saluran 108) pada hari yang sama, Jumaat jam 9.00 malam dan Astro RIA (saluran 104) setiap Isnin jam 9.00 malam.

Gunakan tanda pagar #HoneyTrap #SeducingTheCorrupt untuk berkongsi tentang keterujaan tentang siri ini. Ikuti akaun media sosial Astro Shaw seperti TikTok, Instagram, X, Facebook untuk info dan klip-klip menarik Honey Trap. 

Post a Comment

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.