RM50.7 JUTA! EJEN ALI THE MOVIE 2 UNGGULI CARTA FILEM ANIMASI TEMPATAN

Monday, 9 June 2025

RM50.7 JUTA! EJEN ALI THE MOVIE 2 UNGGULI CARTA FILEM ANIMASI TEMPATAN | Memperkukuhkan Kedudukan Sebagai Pemacu Utama Industri Animasi Malaysia

Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) yang telahpun meraih status sebagai filem animasi tempatan nombor satu sejak kutipan mencecah RM40 juta minggu lalu, kini meneruskan prestasi cemerlang dengan kutipan terkini sebanyak RM50.7 juta selepas 18 hari tayangan. Pencapaian ini membuktikan bahawa animasi tempatan semakin mendapat pengiktirafan dan tempat di hati penonton, sekali gus membuka peluang lebih luas bagi karya animasi Malaysia (AniMY) untuk terus berkembang dan diangkat ke peringkat yang lebih tinggi!

Sejak tayangan bermula pada 22 Mei 2025, filem ini menerima sambutan hangat daripada pelbagai lapisan penonton, yang merangkumi seisi keluarga, remaja hinggalah peminat setia francais. Mereka memuji mutu produksi teknikal yang bertaraf antarabangsa, naratif yang menyentuh hati serta pengalaman sinematik mengujakan yang mendorong ramai untuk menontonnya berulang kali.

Menurut pengarah filem ini, Encik Usamah Zaid Yasin, kejayaan yang dicapai adalah hasil daripada sokongan luar biasa para peminat dan kepercayaan mereka terhadap karya tempatan. “Alhamdulillah, saya bersyukur filem EATM2 mendapat sambutan yang luar biasa dari penonton. Saya juga sangat berterima kasih kepada semua ahli pasukan dari Primeworks Studios dan WAU Animation yang saban hari berusaha keras untuk mempromosikan filem ini sejak tayangan bermula. Mereka berani mencuba pelbagai cara promosi baharu untuk memenangi hati penonton dan bagi saya ia komponen yang amat penting yang melengkapkan lagi strategi pemasaran filem yang telah kami hasilkan. Tidak lupa juga pada peminat-peminat tegar yang memberikan sokongan dan dorongan terus menerus, terima kasih kerana memilih filem kami untuk anda sekeluarga.”

Puan Nini Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios berkata, “Kejayaan ini benar-benar menunjukkan bahawa animasi tempatan mampu mencipta impak besar apabila mendapat sokongan padu daripada penonton. Lebih daripada sekadar kutipan box office, pencapaian EATM2 membuktikan keyakinan terhadap kualiti kandungan buatan Malaysia dan memberi semangat baharu untuk kami terus melabur dalam industri animasi tempatan serta melebarkan sayap Ejen Ali ke peringkat antarabangsa bersama rakan-rakan strategik terpilih.”

Selain kejayaan di Malaysia dan Brunei, EATM2 turut berjaya menembusi pasaran Singapura bermula 5 Jun lalu dan dijadualkan untuk tayangan di Indonesia pada 27 Jun. Pembukaan tayangan baharu ini satu langkah penting dalam membawa animasi Malaysia ke pentas serantau, dan diharap akan membuka peluang perniagaan baharu dalam sektor pelesenan & pembarangan (licensing & merchandising) melalui penjualan produk berjenama Ejen Ali seperti pakaian, peralatan sekolah, permainan dan sebagainya.

Filem ini masih ditayangkan di pawagam seluruh negara. Ayuh rakyat Malaysia, teruskan sokongan anda! Bersama-sama kita tunaikan aspirasi untuk mengangkat EATM2 sebagai filem animasi tempatan dengan kutipan tertinggi sepanjang zaman!

Satria, Bangkit - Filem Aksi Animasi Mempesona, Meledakkan Emosi! Kongsi pengalaman anda di media sosial dengan tanda pagar #ejenalithemovie2 #eatm2 #ejenali #letsplay #AniMY #sapotlokal #SaluteAnimatorTempatan

******************************

Mengenai Ejen Ali the Movie 2

Di bandar futuristik Cyberaya, “Ejen Ali the Movie 2” mengisahkan seorang budak lelaki yang secara tidak sengaja direkrut sebagai ejen rahsia  oleh agensi perisikan Meta Advance Tactical Agency (MATA). Ejen Ali bersemangat untuk membuktikan dirinya dalam Projek Satria, sut berperisai yang dibantu Kecerdasan Buatan (AI) terbaru MATA. Semasa Ali bergelut dengan tanggungjawab barunya untuk menguasai Satria, dia harus menerima keputusan MATA untuk memberikan rakan (dan saingannya) Alicia sebagai pemegang seterusnya peranti superkomputer, IRIS. Sementara itu, penggodam Neonimus muncul semula untuk mencetuskan kekacauan terhadap MATA, menandakan konspirasi yang lebih besar di Cyberaya.

Sejak tayangannya di saluran televisyen Malaysia, TV3, pada tahun 2016, “Ejen Ali” telah disiarkan dan distrim di lebih 65 negara di Asia Tenggara, Timur Tengah dan Afrika Utara, benua India, serta Amerika Utara. Dua musim pertama siri ini diikuti  dengan “Ejen Ali The Movie” pada November 2019, yang meraih kutipan box-office yang mengagumkan sebanyak RM30 juta (USD8 juta) di Malaysia, Singapura, Brunei, dan Indonesia, menjadikannya salah satu filem animasi dengan kutipan tertinggi di Malaysia setakat ini. Bahagian terbaru, “Ejen Ali Season 3”, juga memegang gelaran sebagai harta intelek animasi Malaysia pertama yang diterbitkan bersama Disney+ Hotstar Asia Tenggara, dan pertama kali dilancarkan secara eksklusif di perkhidmatan penstriman tersebut pada Jun 2022.

Mengenai Primeworks Studios

Primeworks Studios adalah syarikat pengeluaran terkemuka di Asia Tenggara yang terlibat dalam perniagaan kandungan kreatif di setiap aspek rantaian media dalam pengeluaran TV dan filem, jualan kandungan, pengedaran dan pemasaran filem, animasi, kandungan berjenama, serta pelesenan dan peruncitan. Ia adalah syarikat kandungan yang memenangi pelbagai anugerah dan menghasilkan lebih daripada 3,000 jam kandungan menarik setiap tahun untuk pelbagai platform, termasuk televisyen, pawagam, dan digital. Rumah produksi ini adalah tenaga kreatif di sebalik pelbagai genre kandungan termasuk hiburan, animasi, majalah, dokumentari, sukan, dan drama.

Mengenai WAU Animation
WAU Animation adalah sebuah studio animasi CG yang ditubuhkan pada 18 Mac 2013 oleh sekumpulan bakat kreatif dengan pengalaman hingga 17 tahun dalam menghasilkan siri animasi CG dan filem cereka yang memenangi pelbagai anugerah. Di tengah-tengah WAU Animation adalah keinginan untuk mencipta animasi yang dapat menyentuh hati penonton. Kami bercita-cita untuk menceritakan kisah-kisah yang menakjubkan yang bukan sahaja menghiburkan tetapi juga bermakna dan memberi inspirasi, sambil pada masa yang sama disuntik dengan elemen tempatan, kerana kami percaya kuat dalam menampilkan identiti Malaysia yang unik.

Post a Comment

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.