KARNIVAL JOM HEBOH SEMPENA HARI NANAS MALAYSIA

Wednesday, 25 June 2025

KARNIVAL JOM HEBOH SEMPENA HARI NANAS MALAYSIA | WARGA SELATAN! JOM RAIKAN MANISNYA HARI NANAS MALAYSIA DI KARNIVAL JOM HEBOH, ANGSANA JOHOR BAHRU MALL HUJUNG MINGGU INI!

Khabar gembira buat warga Johor! Karnival Jom Heboh (KJH) kembali menggegarkan selatan tanah air selama tiga hari berturut-turut dengan pelbagai aktiviti menarik yang boleh diraikan bersama seisi keluarga. Lebih istimewa, Hari Nanas Malaysia diraikan secara besar-besaran dalam suasana penuh warna dan kemeriahan di KJH, sekali gus mengangkat buah tropika kebanggaan negara ke satu tahap yang lebih tinggi.

Tunggu apa lagi? Jangan lepaskan peluang menyertai ribuan pengunjung dalam Karnival Jom Heboh Sempena Hari Nanas Malaysia yang bakal berlangsung hujung minggu ini, dari 27 hingga 29 Jun 2025 (Jumaat hingga Ahad) di Padang B, Angsana Johor Bahru Mall. Ayuh bawa seluruh keluarga dan rasai sendiri kehangatan acara padang paling ikonik di Malaysia!

Hari Nanas Malaysia merupakan satu inisiatif untuk mempromosikan industri nanas secara menyeluruh yang merangkumi aspek pengeluaran, pemrosesan serta mengiktiraf sumbangan para pengusaha tempatan. Inisiatif ini juga bertujuan untuk merakyatkan nanas sebagai komoditi yang penting dalam sektor agro makanan negara.

Antara tarikan utama termasuklah percubaan mencipta rekod Malaysia Book of Records bagi “‘Most Pineapple Tart Bakes in the Event”, Pertandingan Tart Nanas, Seminar Industri Nanas Antarabangsa 2025, pameran serta jualan produk usahawan berasaskan nanas, uji rasa dan demonstrasi produk nanas. Selain itu, pelbagai aktiviti kekeluargaan turut disediakan seperti Teka Silang Kata, Pertandingan E-Sukan, Pertandingan Kupas Nanas, Pertandingan  Rasa Buah, serta peluang untuk pengunjung bertuah membawa pulang buah nanas secara percuma.

Sepanjang tiga hari penganjuran di Johor Bahru, karnival ini menjanjikan pelbagai aktiviti menarik yang pasti mencipta kenangan manis buat para pengunjung. Antara tarikan utama yang lain termasuk peluang memenangi hadiah-hadiah eksklusif menerusi pelbagai reruai interaktif seperti Studio Jom Heboh, Studio Tonton Drama Sangat (TV3, TV9 & Tonton), New Straits Times Press serta Kedai Jom Heboh yang turut memeriahkan suasana sepanjang karnival berlangsung.


Studio Tonton Drama Sangat

Istimewa buat warga selatan, Studio Tonton Drama Sangat membawakan pelbagai pertandingan menarik sepanjang di hujung minggu ini! Antara aktiviti yang boleh disertai termasuk Pertandingan Nasyid Terbuka pada Jumaat, 27 Jun 2025, diikuti Pertandingan Tarian Zapin Kreatif Terbuka pada Sabtu, 28 Jun 2025. Menyusul pada hari Ahad, 29 Jun 2025 ialah dua acara yang pasti mencuri tumpuan si cilik, Ejen Ali Explorace. Rebut peluang ini kerana semua ini pertandingan terbuka untuk penyertaan dan menawarkan hadiah terkumpul hampir sebanyak RM7000 !

Menambah lagi kemeriahan, pengunjung turut berpeluang bertemu dan beramah mesra secara dekat dengan barisan selebriti popular serta personaliti Media Prima yang membintangi drama-drama kegemaran ramai seperti Aku Bukan Ustazah 2, Polis Peronda, Baby Papa dan Pasca Kau Pergi. Antara yang bakal memeriahkan acara termasuklah Ahmad Syafiq, Kodi Rasheed, Shah Iskandar, Faizal Hussein, Kirana Batrisyia, Liza Abdullah, Aleza Shadan dan Didie Alias.

Pentas Utama

Serikan hujung minggu anda dengan persembahan hebat daripada barisan penyanyi popular tanah air di Konsert Jom Heboh, yang bakal berlangsung pada 28 dan 29 Jun 2025 (Sabtu dan Ahad) bermula jam 9.00 malam! Pada malam pertama, pentas akan dimeriahkan dengan aksi bertenaga daripada Amir UK’s, Tuju & Loca B, Wany Kayrie, Haiza dan Sofarz. Manakala malam kedua pula akan menyaksikan persembahan memukau daripada Nabila Razali, Sham Visa, Drama Band, K.O.I dan Jaclyn Victor. Jangan lepaskan peluang untuk alami malam yang pasti meninggalkan kenangan istimewa!

New Straits Times Press

Rasai pengalaman pemanduan yang mendebarkan menerusi NSTP Car Sim Experience, di mana pengunjung boleh menguji skil memandu dalam suasana simulasi yang realistik seolah-olah berada di litar perlumbaan sebenar. Dengan peralatan canggih dan cabaran penuh aksi, aktiviti ini pasti meningkatkan adrenalin dan memberikan pengalaman yang sukar dilupakan.

Pentas Pavilion Hari Nanas Malaysia

Sempena Hari Nanas Malaysia, warga selatan juga dijemput hadir ke program ‘Jom Selawat’ pada 27 Jun 2025 (Jumaat), jam 9.00 malam di Padang B, Angsana Johor Bahru Mall. Saksikan barisan penceramah terkenal seperti Fahmi Tajuddin, Ustaz Azam Al-Kankari, dan persembahan Kumpulan Qasidah Fitrah Al-Masarrah.  Ayuh hadir beramai-ramai bersama keluarga untuk mengimarahkan majlis ilmu dan berselawat bersempena tema ‘Nanas Kita, Kebanggaan Negara’.

Kedai Jom Heboh

Reruai Kedai Jom Heboh turut menjadi tarikan utama dengan menawarkan pelbagai barangan cenderahati eksklusif daripada rangkaian TV Media Prima seperti TV3, Jom Heboh, dan Ejen Ali pada harga yang berpatutan. Pengunjung boleh mendapatkan pelbagai pilihan menarik termasuk t-shirt, topi, botol air, payung dan banyak lagi barangan eksklusif yang sesuai dijadikan kenangan mahupun hadiah buat yang tersayang.

Tidak ketinggalan, selain reruai di bawah naungan Media Prima, lebih 170  reruai lain juga akan menawarkan promosi hebat dan hadiah menarik! Antara yang terlibat termasuk TikTok Shop, Perkampungan Jom Tani, 100PLUS, CelcomDigi, Affin Bank, Snekku dan banyak lagi. 



Pengunjung Karnival Jom Heboh Sempena Hari Nanas Malaysia pastinya tidak akan pulang dengan tangan kosong kerana pelbagai hadiah menarik menanti anda! Rebut peluang ini untuk membawa pulang hadiah lumayan seperti iPad, T-Shirt Exclusive Jom Heboh dan banyak lagi.

Warga Johor dan seluruh penduduk Selatan, ini masa anda! Ayuh sertai kemeriahan KJH Johor Bahru X Hari Nanas Malaysia yang akan berlangsung selama tiga hari, dari 27 hingga 29 Jun 2025 (Jumaat hingga Ahad) di Padang B, Angsana Johor Bahru Mall!

Luangkan hujung minggu anda bersama keluarga dan nikmati pelbagai aktiviti menarik, hiburan, makanan viral serta peluang bertemu selebriti kegemaran anda. Jangan lupa abadikan momen anda dan kongsikan keseronokan dengan menggunakan tanda pagar rasmi #TV3SentiasaBersamamu, #KarnivalJomHeboh, dan #HariNanasMalaysia.

Untuk info lanjut, layari www.jomheboh.com.my dan ikuti kami di media sosial rasmi di Facebook dan Instagram: @jomhebohofficial. Jom ramai-ramai kita gegarkan Johor Bahru dan raikan karnival paling dinanti tahun ini!

***********************

Mengenai Media Prima Omnia

Media Prima Omnia (Omnia) menawarkan penyelesaian integrasi yang merangkumi khidmat kreatif dan pemasaran bersepadu merentasi semua platform Media Prima, dengan kepakaran khusus dalam kempen penjenamaan, pengurusan acara dan kandungan kreatif.

The Omnia Solution membuka peluang kepada setiap pelanggan syarikat Media Prima untuk memasarkan jenama mereka menerusi semua aset media di bawah naungan Media Prima, termasuk Rangkaian Televisyen Media Prima (siaran TV percuma), Ripple (radio, media digital dan e-dagang), New Straits Times Press (media cetak dan digital), Big Tree (pengiklanan luar rumah), Rev Media Group (media digital) dan Primeworks Studios (kandungan kreatif dan penerbitan). 

Hanya dengan sekali penerangan ringkas, The Omnia Solution mampu menikmati pakej paling menarik - mendapat pulangan atau Return-on-Investment yang menguntungkan. Perkhidmatan Omnia yang sedia ada telah memenuhi keperluan 98% isi rumah di Malaysia dan 24 juta penonton dari semua peringkat umur dan lapisan masyarakat di negara kita pada setiap hari.

Mengenai Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) 

LPNM ditubuhkan secara rasmi pada 1 September 1957 sebagai sebuah badan berkanun di bawah Akta Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia 1957 (Akta 427). Ketika itu, ia dikenali sebagai Lembaga Perindustrian Nanas Tanah Melayu, bertujuan untuk mengawal selia, menyelaras dan memajukan industri nanas yang ketika itu merupakan antara komoditi eksport penting, terutama dalam bentuk nanas dalam tin ke pasaran Eropah. 

Penubuhan LPNM adalah hasil kesedaran awal kerajaan tentang potensi besar tanaman nanas sebagai salah satu komoditi eksport utama negara. 

Nanas sebagai satu industri - Sebelum kemerdekaan, iaitu pada waktu penjajahan, pihak British melihat nanas sebagai satu industri yang berpotensi tinggi kepada Tanah Melayu pada masa itu dan perlombongan biji besi memberi satu nilai tambah kepada negara. Sektor pengetinan sangat membantu dalam pengeksportan nanas kaleng ke luar negara. Disebabkan itu kenapa satu Lembaga ditubuhkan khas untuk bertanggungjawab ke atas industri ini. Dan inilah kenapa perkataan Industri digunakan untuk menggambarkan kepentingan sektor nanas kepada negara. 

LPNM kini aktif memacu industri nanas negara ke arah modenisasi, teknologi pintar, dan kelestarian. Usaha-usaha seperti pembiakan varieti premium seperti MD2, penggunaan teknologi pertanian pintar (IoT), dan program Nanas Fertigasi Moden diperluas ke seluruh negara. LPNM juga menjadi peneraju dalam memacu industri nanas sebagai sumber pendapatan alternatif kepada usahawan muda dan pekebun kecil, sejajar dengan agenda Sekuriti Makanan Negara dan Agromakanan Madani.

Makluman lanjut layari laman rasmi, https://www.mpib.gov.my/ dan sosial media Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia.

Post a Comment

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.