Movie Review | The Diplomat (2025)

Sunday, 22 June 2025


Pengarah: Shivam Nair    
Penulis Skrip:  Ritesh Shah
Pelakon: John Abraham, Sadia Khateeb, Jagjeet Sandhu, Kumud Mishra, Sharib Hashmi, Revathy, Ashwath Bhatt  
Syarikat Produksi: T-Series Films, JA Entertainment, Wakaoo Films, Fortune Pictures  
Pengedar: Panorama Studios, AA Films, Netflix
Genre: Politik / Thriller
Durasi Tayangan: 137 minit
Tarikh Tayangan: 14 Mac 2025
Trailer:


Kisah bermula apabila seorang wanita bernama Uzma Ahmed (Sadia Khateeb) lari masuk ke pejabat Kedutaan India di Pakistan lalu merayu supaya diselamatkan dari suaminya, seorang warganegara Pakistan. 

Selepas diselidik, Uzma adalah rakyat warganegara India yang berhijrah ke Malaysia untuk mencari kerja. Di sana dia bertemu dengan Tahir, seorang pemandu teksi yang baik hati. Selepas 6 bulan berkenalan, mereka bercinta lalu Uzma setuju untuk pergi ke Pakistan kerana di sana mempunyai rawatan secara alami untuk penyakit Thalassemia yang dihidap oleh anak perempuannya. 

Apabila tiba di Pakistan, Uzma terkejut dengan penampilan Tahir yang jauh berbeza ketika menetap di Malaysia. Semasa dalam perjalanan ke Buner, Khyber Pakhtunkhwa (KPK), Uzma diberi pil untuk menghilangkan loya. Setelah sedar dari pitam, Uzma sedar pil yang diberikan adalah dadah. Dia kemudiannya dikurung dan diseksa oleh Tahir sehinggalah dipaksa untuk berkahwin. 

Uzma menggunakan helah supaya dia dibawa ke pejabat Kedutaan India di Pakistan supaya dapat meminta bantuan dengan pegawai di sana. J.P. Singh (John Abraham), pegawai diplomasi di Kedutaan India cuba berunding dengan Kerajaan Pakistan untuk membebaskan Uzma namun permintaannya ditolak kerana mereka mengesyaki Uzma adalah ejen perisik India. 

Naskhah politik dan thriller arahan Shivam Nair merupakan adaptasi dari kisah sebenar yang direkodkan oleh Kedutaan India pada tahun 2017. Shivam Nair adalah pengarah yang sama untuk filem Naam Shabana (2017), sekuel kepada Baby (2015). Sama seperti filem sebelumnya, Shivam Nair menggunakan pendekatan yang serius tanpa mengubah personaliti dan karier pegawai diplomasi. 

Memandangkan filem The Diplomat tidak mempunyai babak aksi, John Abraham nampak terperangkap dalam watak J.P. Singh. Kebanyakan filem John Abraham menggunakan genre aksi dan mempunyai dialog yang minimal sementara The Diplomat mempunyai banyak dialog dan kekuatan pelakon terletak pada reaksi muka juga gaya badan. 

Watak J.P. Singh sebagai pegawai Kerajaan India bukan saja perlu pastikan kepentingan semua pihak terjaga malah perlu pastikan dakwaan Uzma sebagai ejen India adalah tidak tepat. Dalam masa yang sama juga mempunyai masalah peribadi apabila berjauhan dengan keluarga. 

Walaupun watak J.P. Singh sendiri adalah watak yang kuat dan John sendiri berikan yang terbaik namun lebih molek sekiranya diberikan kepada pelakon berbakat besar seperti Pratik Gandhi, Akshay Kumar, Anil Kapoor atau Ayushmann Khurrana. 

Watak Uzma ada masanya over the top tapi dengan mudah boleh dijustifikasikan dengan trauma yang dialami sepanjang berada dalam tahanan Tahir. Watak antagonis yang dilakonkan oleh Jagjeet Sandhu meninggalkan impak yang kuat setiap kali muncul onscreen. Tak hairan pun kalau wanita macam Uzma terpedaya sebab kelakuan dia tak ada yang pelik, muka dia pun nampak bersih dan kemas. Bila jejak ke Pakistan terus muncul perangai sebenar. Salah cakap sikit kena tampar tanpa belas. Hilang terus persona dia sebagai lelaki budiman sampaikan rasa ngeri dan risau fikirkan nasib Uzma di second half The Diplomat. 

Penulis cuba wujudkan konflik antara India dan Pakistan bila pegawai mereka syak Uzma adalah ejen perisik dan sengaja timbulkan kekecohan supaya usaha J.P. Singh tergendala. Ada beberapa babak yang sengaja drag atau diperbesarkan untuk wujudkan elemen saspens dan drama namun terlihat dangkal. Situasi tersebut sepatutnya menjadi titik genting tapi olahan Shivam Nair tak mampu mewujudkan keterdesakan Uzma dan pegawai kedutaan yang lain. 

Trauma J.P. Singh yang diceritakan pada babak klimaks tak lah membantu menambahkan melodrama atau backstory J.P. Singh. Baik penulis kembangkan lagi dengan beri pendedahan tentang karier pegawai diplomasi negara. Bukan saja The Diplomat, naskhah Ulajh (2025) dibintangi oleh Janhvi Kapoor sebelum ni juga gagal memberi gambaran yang sama. Sepatutnya The Diplomat fokus pada kisah Uzma dan Tahir tapi memilih untuk fokus pada usaha pegawai Kedutaan. 

Sinematografi dari Dimo Popov dan background music yang digubah oleh A.R. Rahman untuk The Diplomat not bad lah, sesuai mengikut kehendak cerita. 

Dari kes Uzma Ahmed ni boleh lah belajar untuk tidak percaya orang dengan mudah tambah pula kalau berasal dari negara yang terlibat dalam konflik perang. 

1. Team Production +0.6, 2. Visual +1, 3. Audio +0.6, 4. Storyline +0.5, 5. Casting +0.7, 6. Genre +0.6, 7. Themes +1, 8. Editing +0.6, 9. Social Message +1, 10. Personal Thought +0.6 = 7.2/10

Post a Comment

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.