APABILA PERKAHWINAN KONTRAK BERTUKAR MENJADI PENYEMBUHAN JIWA DALAM “NUR UNTUK ARIFF”
Monday, 19 January 2026
Kuala Lumpur, 18 Januari 2026 – Apabila sebuah perkahwinan yang dibina atas kepura-puraan bertukar menjadi ikatan yang menyembuhkan luka lama, mampukah cinta bertahan dalam dunia penuh rahsia dan pengkhianatan? Nur Untuk Ariff bakal menemui penonton bermula 19 Januari, disiarkan setiap hari jam 8.00 malam, eksklusif di TikTok Drama Sangat dan Tonton.
Dibintangi oleh Aprena Manrose dan Nazim Othman, drama ini mengangkat kisah tentang cinta, trauma, perebutan kuasa dan kebenaran yang lama terpendam. Dengan jalan cerita yang sarat konflik keluarga dan permainan emosi, Nur Untuk Ariff menjanjikan naskah drama yang menyentuh perasaan dan mendebarkan.
Siri ini mengisahkan Tajul Ariff (Nazim Othman), pewaris Empayar Holding yang terpaksa membina imej lelaki sempurna demi reputasi keluarga, walaupun menanggung trauma mendalam akibat kemalangan tragis yang meragut nyawa ibu bapa dan adik perempuannya.
Demi menjaga maruah keluarga serta memenuhi permintaan neneknya, Ariff terpaksa bersetuju mengahwini Nur (Aprena Manrose) menerusi sebuah perkahwinan kontrak bagi membersihkan namanya.
Pada awalnya, Ariff enggan membuka hati. Namun, kehadiran Nur perlahan-lahan membawa ketenangan dalam hidupnya yang selama ini dibelenggu mimpi ngeri dan ketakutan. Tanpa disedari, hubungan palsu mereka mula berubah menjadi perasaan yang tulus, meskipun masing-masing cuba menafikannya.
Dalam masa yang sama, konflik keluarga semakin memuncak apabila ibu saudara Ariff, Razita (Aleeza Kasim), berusaha merampas jawatan CEO untuk anak lelakinya, Tajul Haiqal. Keadaan bertambah rumit apabila Haiqal sebenarnya telah lama mengenali dan mencintai Nur. Kembalinya Laila, cinta pertama Ariff, turut mengeruhkan keadaan apabila Nur menjadi mangsa dera mental dan fizikal serta permainan emosi yang kejam.
Di sebalik kelembutan Nur, tersimpan satu misi besar iaitu mencari bukti yang mengaitkan Razita dengan kematian ibu bapa Ariff. Pendedahan demi pendedahan membawa kepada rahsia gelap keluarga, termasuk kebenaran tentang kemalangan tragis tersebut dan kewujudan Ainun, adik Ariff yang selama ini disangka telah tiada.
Kemuncak drama menyaksikan Ariff berhadapan dengan kebenaran pahit, namun cinta Nur menjadi kekuatan untuknya bangkit, melawan trauma dan menuntut keadilan. Kuasa cinta akhirnya menyembuhkan luka lama, membuktikan bahawa keikhlasan mampu mengubah takdir.
Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan drama bersiri vertikal Nur Untuk Ariff, bermula 19 Januari, setiap hari jam 8.00 malam, eksklusif di TikTok Drama Sangat dan Tonton. Ikuti perjalanan penuh emosi tentang perkahwinan kontrak, rahsia keluarga dan cinta yang akhirnya menemukan cahaya.
Untuk mendapatkan info terkini tentang drama dan rancangan kegemaran anda, layari Facebook, X, YouTube dan Instagram TV3 di @TV3Malaysia, ikuti juga Instagram rasmi Drama Sangat di @dramasangat serta platform rasmi tonton di Facebook, X, TikTok dan Instagram di @tontonmy.























.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)