NUKILAN ROHANI EDDIE G & ASFAN SHAH DALAM ‘YATAGHAYAR’

Thursday 13 April 2023

NUKILAN ROHANI EDDIE G & ASFAN SHAH DALAM ‘YATAGHAYAR’ | ACE Talents Cipta Kelainan Dengan Menerbitkan Lagu Berunsur Kerohanian Tatkala Bulan Ramadhan Yang Penuh Berkah Buat Umat Islam

Syarikat rakaman tempatan yang semakin meraih populariti, ACE Talents mencipta kelainan pada tahun ini dengan tidak menerbitkan lagu Raya yang lazimnya dilakukan oleh label-label tempatan ketika bulan Ramadhan, sebaliknya tampil melancarkan sebuah single berunsur kerohanian berjudul ‘YATAGHAYAR’ nyanyian oleh rapper berpengalaman, Eddie G dengan penyanyi-penulis lagu berbakat besar, Asfan Shah, hasil ciptaan bersama penyanyi rap terkenal, Luca Sickta, bertempat di Hotel Grand Barakah, Ampang, Selangor.

“Lagu ini saya ciptakan secara kebetulan, seakan sebuah aliran yang lancar sehingga terciptanya YATAGHAYAR, yang diambil dari perkataan bahasa Arab yang membawa maksud ubah atau perubahan.

“Setiap insan akan sampai ke satu titik noktah dalam hidup yang tidak mahu apa-apa dan merasa kosong dalam kehidupan. Pelbagai persoalan bermain di fikiran - apa yang perlu di isi? Apa yang kita mahukan dalam kehidupan? Mengapa hidup semakin sukar? Dan bermacam lagi persoalan yang memerlukan jawapan, dan jawapannya terkandung dalam bait-bait lagu ini,” jelas Eddie yang merupakan duta jenama terunggul dari Britain, Fred Perry.

Mungkin ramai yang kurang mengenali Eddie di muzik arus perdana tempatan, namun baginya minat yang mendalam terhadap muzik hip-hop bertitik tolak ketika umurnya 14 tahun lagi sewaktu berada di tingkatan 2, selain itu dia juga turut meminati sukan skateboarding, katanya,

“Saya suka dengan kehidupan ‘street’, seperti kehidupan bangsa kulit hitam di Amerika Syarikat yang susah kerana ditindas di negara sendiri, saya jadikan kisah perjuangan hidup mereka sebagai motivasi untuk maju ke depan.

“Saya sering berangan-angan untuk menjadi seorang ‘rapper’ pada satu hari nanti, diam tidak diam masa pun berlalu, dan saya masih lagi berjuang sehingga ke hari ini. Berkonsepkan kerohanian Islamik, single YATAGHAYAR yang mengambil masa selama sehari untuk disiapkan jatuh dalam nuansa hip-hop dengan melodi yang tidak ‘keras’ dengan lirik yang umum, mudah diamati oleh setiap pendengar.

“Saya ‘perlahankan’ lagu rap ini dan tidak terlalu agresif dengan penggunaan bahasa yang mudah difahami, sesuai untuk pendengaran anak-anak sekolah rendah yang cepat ‘tangkap’, dan sesuai untuk majlis ilmu, serta Asfan saya pilih sendiri sebagai rakan kolaborasi kerana bakat yang dimilikinya dan pendekatan kerohanian yang diutamakannya sekarang,” tambah Eddie.

Menurut Madam Azuein Alonto, selaku Ketua Pegawai Eksekutif & Pengasas ACE Talents,

“Saya mengambil pendekatan pada tahun ini untuk tidak menerbitkan lagu Raya untuk mencipta kelainan, dan lagu YATAGHAYAR ini ‘kena’ dengan bulan yang mulia ini kerana maksudnya yang mengajak ke arah perubahan yang baik dan bulan mana yang lebih sesuai kalau tidak di bulan Ramadhan.

“Selain itu, bakat yang dimiliki Eddie G dan Asfan Shah wajar diberi perhatian kerana pengalaman yang mereka ada cukup dalam dan faham selok-belok industri kita, dan ACE Talents tidak teragak-agak untuk menerbitkan karya yang bermutu ini. Sebagai anak seni yang sudah lama berada dalam industri muzik Malaysia, Eddie tidak mengharapkan apa-apa dan lebih menyerahkannya segala-gala pada yang Maha Kuasa, katanya, “Saya tidak berharap pada makhluk, ini semua kerja Tuhan, namun usaha saya tidak pernah henti, ini hanyalah ‘pit-stop’ sebelum saya ke destinasi yang seterusnya, saya berimpian agar lagu ini sampai ke negara seberang, Indonesia.

“Pesan saya, jangan takut untuk ‘berubah’ dan sedarlah bahawa hidup ini hanya sekali. Lagu ‘YATAGHAYAR’ boleh dimuat turun di iTunes dan boleh juga dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.

Manakala lirik video single ini boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube ACE Talents.


1 comment

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.