‘Bukalah Hati’ Kemeriahan Syawal Dirai

Thursday 6 April 2023

‘Bukalah Hati’ Kemeriahan Syawal Dirai | Iklan ‘Pertemuan Dua Hati’ dinspirasikan oleh Chee Hoi Lan dan Rohana Abdullah serta pelbagai sajian kandungan Raya menarik menanti Aidilfitri ini

Mengangkat tema ‘Bukalah Hati’, syarikat penyiar dan penstriman utama negara menyambut ketibaan bulan Syawal dengan pelbagai sajian hiburan yang merangkumi variasi genre termasuk pelbagai telefilem, rancangan variasi, komedi dan kanak-kanak yang sesuai untuk tatapan seisi keluarga. 

Seringkali menjadi antara iklan Raya yang dinanti-nantikan, Astro kali ini mempersembahkan iklan, Pertemuan Dua Hati yang sarat dengan penceritaan penuh emosi di antara seorang ibu tunggal dan anak angkatnya. Iklan kali ini mengangkat kisah Chee Hoi Lan, atau Laoshi, Anugerah Ikon Ibu Sejati Sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2022 yang bertungkus lumus dalam membesarkan anak angkatnya, Rohana Abdullah yang berlainan bangsa dan agama. Iklan yang mengambil masa penggambaran selama dua hari ini diarahkan oleh Dick Chua yang dikenali dengan naratif emosi menerusi karya-karyanya. 

Petikan Kenyataan Rasmi Wakil Astro  (Azlin Reza Azmi, Naib Presiden Perniagaan Saluran Melayu Astro)

 “Syawal ini bakal membukakan hati kita dengan setulus ikhlasnya. Mengangkat tema Bukalah Hati, iklan Raya kami, Pertemuan Dua Hati memaparkan kisah yang diadaptasi daripada kisah benar,  yakni Chee Hoi Lan, atau Laoshi yang membesarkan Rohana Abdullah tatkala dirinya masih bayi sehingga ke menara gading. Kisah yang penuh emosi ini membuktikan apabila kita membuka hati, apa jua jurang perbezaan pasti akan diatasi. Bukan itu sahaja, kasih sayang tidak mengenali bangsa, agama mahupun kedudukan. Semoga iklan kali ini mampu menyentuh hati sanubari semua yang menonton, jadikannya aspirasi untuk kita korbankan diri untuk mereka tersayang tanpa mengharapkan apa jua balasan. Kami turut berasa terharu kerana diberi kepercayaan untuk mengadaptasi kisah yang penuh inspirasi ini sebagai nadi iklan kami. 

Sajian Astro pula kali ini sarat dengan rancangan-rancangan hebat yang bakal memberikan kepuasan hati untuk setiap lapisan penonton kami. Menerusi platform televisyen, kami bakal menyajikan 10 telefilem khas Aidilfitri di saluran Astro Ria, bermula malam raya hinggalah Syawal ke-9 nanti. Antaranya Pondok Quran Buruk, Sumpahan Peti Ais, Heisdilfitri, Bro Jenin, Pengantin Tangkap Muat, Raya Sebagai Isteri, Challenge Accepted, Biar Biasa Biasa, Langit Tak Mendengar dan Diari Cinta Aku. Menerusi saluran Astro Warna pula, Debunk 2 akan kembali menemui penonton pada malam raya nanti.  

Manakala genre variasi, komedi serta kanak-kanak bakal memaparkan Holla Dolla, Siapa No. Syatu? Lina Vs Rina, Gegar Vaganza Raya, Gempak Most Wanted Raya, Celebrity Family Feud, Bombastika Raya, MeleTop Raya, Raya Lawak Warna, Spontan Balik Raya, Royal Gerambel, Famili Yang Popular dan banyak lagi. Pastinya ramai akan terhibur dan tidak kering gusi sepanjang bulan Syawal ini. Manakala Polis Evo 3 dan MALBATT Misi: Bakara bakal menemui peminat-peminat filem di pawagam kelak. Platform-platform Digital dan Radio turut akan menyajikan pelbagai jenis hiburan yang hebat, tiada henti sepanjang Syawal ini. 

Semoga santapan Syawal kami mampu menyemarakkan semangat Aidilfitri ini walaupun setiap daripada kita mempunyai perjuangan tersendiri. Bukalah hati, nescaya kemeriahan Syawal pasti akan dirai. Akhir sekali, ampun dan maaf kami pinta jika ada tersalah kata mahupun terkasar bahasa. Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.”

SOROTAN UTAMA KANDUNGAN ASTRO
PLATFORM TELEVISYEN 

  • Sajian Telefilem Raya Menarik

Kemeriahan yang bakal dirai bersama telefilem-telefilem Raya yang hebat, yang dicipta khas untuk tontonan para pelanggan sempena Syawal ini. Antaranya Quran Pondok Buruk yang merupakan kesinambungan daripada telefilem lagenda Pondok Buruk 1 dan 2, Quran Pondok Buruk membawakan kisah obsesi tiga adik-beradik yang derhaka, terdesak mahukan keampunan daripada ibu mereka yang telahpun meninggal dunia. Dibintangi Dato Rosyam Nor, Fauziah Nawi, Raja Azura, Vanidah Imran dan Dato’ Jalaluddin Hassan. 

Sumpahan Peti Ais pula mengenai pepatah lama kerana mulut badan binasa dan kerana mulut berlagak Tina disumpah menjadi peti ais oleh ibu mertuanya pada waktu malam. Apa yang disangkakan mimpi rupanya kenyataan. Mampukah Tina mengawal mulut lancangnya dan membatalkan sumpahan peti ais pada aidilfitri ini? Dibintagi Sherry Al Hadad, Didie Alias dan Sharifah Sakinah

Heist-Dilfitri merupakan arahan sulung Zizan Razak, Heist-dilfitri mengisahkan 3 sahabat, Ibrahim, Musa dan Anis lakonan Zizan Razak, Issey dan Shiqin Kamal, perompak profesional yang tidak pernah merasai kemeriahan Aidilfitri bersama keluarga. Musa mendapat idea untuk merompak rumah pasangan hartawan lakonan Khir Rahman dan Maria Farida dan memaksanya untuk menyambut raya seperti sebuah keluarga bersama mereka.  

Diari Chinta pula mengenai Chinta lakonan Dewi Remaja 2022, Tracie Sinidol yang selalu gagal dalam kisah cintanya dihadiahkan sebuah diari ajaib untuk dia menulis babak cinta yang diidamkan di dalam diari tersebut. Hidup Chinta mula berubah bila apa sahaja yang ditulis di dalam diari itu, termasuk lelaki idamannya lakonan Ben Amir semuanya menjadi kenyataan.  

Langit Tak Mendengar mengenai Jue lakonan Emma Maembong terpaksa membawa ibunya lakonan Ku Fridah yang seakan-akan nyanyuk untuk tinggal bersamanya apabila abangnya tidak mampu lagi menjaga ibu mereka. Hidup Jue mula terbeban dengan pilihan mahu menjadi anak kepada ibunya atau isteri kepada suaminya lakonan Fikry Ibrahim. 

Pengantin Tangkap Muat mengisahkan Arif dan Mazwin lakonan bertemu jodoh dalam keadaan mengejut apabila mereka dikahwinkan tanpa perancangan. Mereka dijadikan pengantin ganti saat akhir kerana pengantin asal Harishah dan Natasha melarikan diri pada malam akad nikah. Pelakon: Raff Roslee, Siti Saleha dan Nafiz Zaidi. 

Manakala Bro Jenin mengisahkan Mat Jenin lakonan Remy Ishak terjatuh dari pokok ketika berangan dan tanpa dia sedar, dia telah merentasi masa dan dibawa ke tahun 2023. Berhadapan dengan kejutan budaya yang ekstrem, Jenin cuba untuk menyesuaikan diri sambil cuba untuk kembali ke zamannya dengan bantuan Emily lakonan Daiyan Trisha. 

  • Sajian Variasi, Komedi Dan Kanak-Kanak Terbaik

Menerusi Astro RIA, nantikan pelbagai rancangan beraneka genre yang bakal menggamatkan bulan Syawal penonton. Celebrity Family Feud Malaysia akan disiarkan selama sembilan hari berturut-turut dari 1 Syawal pertama hingga 9 Syawal yang membariskan gabungan selebriti selebriti dari program program terbitan Astro dan hasil kemenangan bakal disalurkan ke badan badan kebajikan terpilih.  

Malam Raya bakal disemarakkan dengan program istimewa konsert jalanan Bombastika Raya dengan penampilan istimewa selebriti popular seperti Anuar Zain, Dayang Nurfaizah, Aina Abdul dan ramai lagi bersama hos Sherry Alhadad dan Jihan Muse.  Holla Dolla menyaksikan DOLLA dan rakan artis generasi kini berdepan cabaran untuk mempersembahkan lagu popular daripada ikon industri muzik tanah air seperti Amy Mastura, Ramlah Ram dan Jeffrydin

Siapa No. Syatu? Lina Vs Rina mengikut perjalanan Kak Lina ke Jakarta untuk bertemu penghibur wanita nombor satu Indonesia, Rina Nose. Saksikan gelagat mereka beradu lawak jenaka, di samping Kak Lina mempelajari kemahiran ajukan daripada Rina Nose. Manakala signature tersohor negara, Gegar Vaganza membawa Gegar Vaganza Raya. Dengan konsep 'Hari Keluarga', selebriti Gegar Vaganza 9 berkumpul kembali dalam satu perjalanan percutian untuk bernyanyi dan berkongsi momen kegemaran mereka semasa pertandingan.

Astro Warna pula akan memaparkan 7 Malam Raya Sepahtu bakal menggeletek malam raya anda dengan sajian pelbagai genre dari Sepahtu seperti Konsert, ‘Stagecom’, dan buat pertama kalinya ‘Telesketsa’ khas untuk pelanggan Astro. UBI Superstar Raya pula memaparkan Fad Bocey, Sharif Zero, Namie, bersama Ajak Shiro dan Shuib Sepahtu kembali menghiburkan para penonton sempena Syawal ini dengan sketsa komedi muzikal bertemakan Hari Raya. 

Astro Warna juga bakal menghidangkan seleksi program-program terbaharu dan format segar sepanjang Syawal ini seperti Polis Sentri, Cuba Try Test, Cia Cia Cia Gelanggang Bersemut, Nak Rasa Raya, Jangan dan Royal Gerambel yakni sebuah program pertembungan antara 2 kumpulan pelawak yang bakal dirungkaikan melalui pertandingan cabaran cabaran Lawak dalam gelanggang. Selain itu, Astro Warna juga turut mengembalikan program nostalgia seperti Spontan Balik Raya dan Raya Lawak Warna

Turut tidak ketinggalan hiburan kanak-kanak dan keluarga yang bersiaran di Astro Ceria. Antaranya Famili Yang Popular yang mengisahkan sebuah keluarga influencer yang mementingkan dunia media sosial terkejut apabila mendapat tahu salah seorang ahli keluarga menghidap kanser, adakah mereka akan mengharungi dugaan ini bersama? Dibintangi Ziana Zain, Sherry Alhadad dan Rashidi Ishak. 

Yang kecil turut akan teruja dengan animasi Nussa the Movie yang mengisahkan Nussa, seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun yang menyertai pertandingan sains sekolahnya untuk menarik perhatian bapanya yang pulang ke tanah air selepas setahun berada di luar negara. Bagi peminat animasi tempatan, disajikan Upin & Ipin Raya dan buat pertama kalinya Astro Ceria menyiarkan siri BoBoiBoy Galaxy. Si Manis Bulan Ramadan juga kembali dengan episod Syawal di mana Naim Daniel menjadi tetamu jemputan rumah terbuka.

  • ASTRO SHAW DAN ASTRO FIRST 

Astro Shaw bakal gamatkan pawagam tempatan dengan filem-filem yang menjanjikan aksi, inspirasi serta hiburan berkualiti tinggi menerusi filem-filem terbaharunya. Polis Evo 3 mengisahkan penyiasat handalan Khai dan Sani yang ditugaskan untuk menyisat dalang di sebalik sebuah letupan yang mengorbankan banyak nyawa di Pulau Pinang. Dalam merungkai misteri pembunuhan tersebut, mereka mendapati bahawa Khai adalah mangsa seterusnya. Dibintangi Shaheizy Sam, Zizan Razak, Sharnaaz Ahmad dan Syafiq Kyle.  

MALBATT Misi: Bakara mengisahkan kisah benar ahli-ahli Rejimen Askar Melayu Diraja ke-19 dari Malaysian Batalion 1 (MALBATT) dan perjalanan mereka yang penuh liku untuk menyelamatkan 70 Ranger Amerika Syarikat yang terperangkap di Bakara Market, Mogadishu, Somalia. Dibintangi Adlin Aman Ramlie, Fauzi Nawawi, Bront Palarae, Zahiril Adzim, Hairul Azreen, Iedil Dzuhrie, Syazwan Zulkifly dan Shaheizy Sam. 

Gemencheh Boys merupakan sebuah kisah berkisarkan tentang sekumpulan anak-anak kampung yang tertarik untuk bermain kriket. Dengan penuh tekad, mereka mengorak langkah berani untuk bertanding di pentas antarabangsa. Dibintangi Pekin Ibrahim, Muhamad Aqil Yahaya, Syed Muhammad Syed Asmaei dan Dato’ Ahmad Tamimi Serigar. 

Manakala Astro First membawakan Satu Hari Sebelum Raya yang mengisahkan tentang perjalanan dua beradik miskin, Ika dan Yoe untuk mendapatkan sepasang baju raya sehari sebelum raya. Dibintangi Yoe Parey, Asif Suhaimi dan Wanie Rohaimie. 

Manakala Zaara mengisahkan Remy, suka berlumba kereta tetapi dia sangat takutkan hantu. Ketakutannya sangat melampau hingga dia masih tidur dengan ibu bapanya. Gara-gara ketakutan, Remy menghadapi masalah untuk keluar dating bersama Maya pada waktu malam. Dibintangi AC Mizal, Kamal Adli dan Atikah Suhaimie. 

Bas Terakhir Malam Raya pula mengisahkan sekumpulan anak muda yang ingin pulang ke kampung untuk menyambut Hari Raya. Malangnya, pelbagai masalah menimpa menyebabkan mereka terpaksa membeli tiket bas daripada ulat tiket yang mempunyai misi rahsia. Dibintangi Floor 88, Hawa Rizwana, Datuk Syafinaz, Bidin Waknat, Ropie dan Joey Daud.

  • PLATFORM DIGITAL

Menerusi slot Gempak Originals di Astro Ria, saksikan Scammer Geng Marhaban yang mengisahkan dua beradik rider penghantar makanan yang tidak akrab, bersaing untuk memikat hati seorang gadis. Namun gadis tersebut sebenarnya menipu duit persatuan marhaban yang diketuai ibu mereka. Dibintangi Amir Ahnaf, Lorenzo Irman dan Ozlynn Waty

Seperti tahun-tahun yang lalu, Gempak turut menerbitkan filem pendek khas hari raya, Hatim Dari Bangladesh yang mengisahkan Hatim, seorang pekerja warga Bangladesh yang mencuba nasib sebagai seorang stand-up comedian. Rancangan carta popular, Gempak Most Wanted Raya pula akan menampilkan para artis serta pempengaruh yang trending dan tersenarai di carta Top 5 Raya. Dihoskan oleh Amelia Henderson, Sean Lee, Isha Norsham dan Daniel Cheang.

  • PLATFORM RADIO

Kemeriahan Syawal turut disemarakkan di Astro Radio dengan pelbagai sajian menarik menerusi jenama-jenama radio buat para peminat. Peminat ERA boleh beraya bersama personaliti radio dalam ERA Raya Sekampung dan peminat dipelawa hadir ke Rumah Terbuka ERA bersama IJM Land untuk bertemu personaliti ERA dan selebriti tempatan pada Syawal nanti. ERA Sarawak menawarkan RM1000 dalam peraduan Lip Lap Raya dan peluang beraya bersama personaliti dalam ERA Berjarah Raya. Peminat ERA Sabah pula boleh sertai peraduan Cucul Terbaik ERA dan menerima kehadiran personaliti radio dengan Keluarga Raya ERA. 

SINAR mempelawa peminat ke Rumah Terbuka SINAR Bersama IJM Rimbayu dan menikmati Borak Selebriti Aidilfitri di platform media sosial. Manakala GEGAR menyediakan Lagu & Video Muzik Raya GEGAR serta melawat para peminat dengan GEGAR Raya Ghumoh Demo pada Syawal ini. Terakhir, ZAYAN meneruskan acara ziarah dalam ZAYAN Marhaban dan peminat boleh menyaksikan Iklan Raya ZAYAN pada malam Hari Raya. 

TAWARAN PRODUK DAN PERKHIDMATAN ASTRO
  • GO SHOP
Go Shop telah melancarkan kempen Raya mereka, ‘Biar Biasa Janji Bersama’ yang berlangsung sehingga 22 April 2023 dan menampilkan pelbagai rangkaian jenama eksklusif, tawaran istimewa dan inisiatif aktiviti amal. Sebagai sebahagian daripada inisiatif amal Go Shop, RM1 akan didermakan kepada rumah amal yang dipilih untuk setiap produk yang dibeli sebagai sebahagian daripada kempen ini. Inisiatif ini hanya terpakai untuk produk terpilih yang dipamerkan di program TV Go Shop. 

Selain itu, para pelanggan boleh menikmati diskaun istimewa dan penghantaran percuma juga disediakan di Semenanjung Malaysia pada hari bekerja sepanjang tempoh kempen dan di seluruh negara pada hujung minggu sehingga 16 April 2023. Layari www.goshop.com.my atau muat turun aplikasi Go Shop dari Google Play dan App Store untuk mengetahui lebih banyak tawaran menarik.

  • NJOI
Sempena sambutan Hari Raya, NJOI akan memperkenalkan tiga pek promo Raya Ekstra Mega kepada para pelanggan dari 7 April hingga 6 Jun 2023. Pek bundle ini akan tersedia kepada para pelanggan pada harga diskaun. Selain itu, pelanggan yang membeli Box NJOI dari sekarang hingga 31 Mei 2023 boleh menikmati akses percuma pek HD selama 30 hari dan menerima kredit RM30. Untuk maklumat lanjut, layari ke www.njoi.com.my.
  • TANGGUNGJAWAB SOSIAL KORPORAT
Astro Kasih ESG bekerjasama dengan Ibupreneur dalam menyokong usaha-usaha memperkasakan ibu-ibu tunggal. Antara kerjasama yang terjalin adalah pembelian biskut-biskut Raya untuk dijadikan sebagai cenderahati bagi para jemputan dan pihak media sempena Majlis Tayangan Perdana Program Raya Astro 2023. 

Post a Comment

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.