JANNA NICK BUAT CERITA LEPAS TERNAMPAK POSTER SUSU KAMBING!

Wednesday, 16 July 2025

JANNA NICK BUAT CERITA LEPAS TERNAMPAK POSTER SUSU KAMBING! | Kisah Misi Seorang Anak Demi Ibu Tercinta

Kasih seorang anak kecil yang kekal tulus, walau hidupnya dibalut kesempitan. Itulah yang dicerminkan dalam Susu Lima Kupang, telefilem terbaharu arahan Janna Nick bagi projek Dari Layar Ke Lensa, yang menyentuh soal kekeluargaan, pengorbanan dan kecekalan. Disulam dengan emosi dan realiti hidup, naskhah ini bakal menemui penonton pada Sabtu, 19 Julai 2025, jam 10 malam di slot Cerekarama TV3.

Dari Layar Ke Lensa merupakan inisiatif TV3 yang menampilkan empat pelakon tersohor iaitu Siti Saleha, Fattah Amin, Janna Nick dan Zahiril Adzim yang kini mengambil kerusi pengarah untuk memperkaya kandungan tempatan. Dengan mengetengahkan penceritaan yang lahir daripada jiwa dan pengalaman mereka sendiri, projek ini mencerminkan komitmen TV3 dalam memperkasa bakat kreatif tempatan serta membuka ruang kepada naratif segar melalui sudut pandang unik para penggiat seni.

Cerekarama ini mengisahkan Zakaria (Aiman Badrul), seorang kanak-kanak sembilan tahun yang tinggal bersama ibu autistik (Trisha Ooi) dan neneknya (Farah Ahmad). Zakaria lebih rela menyendiri dan membantu neneknya daripada ke sekolah, kerana dia sering menjadi sasaran ejekan hanya disebabkan dibesarkan tanpa seorang ayah.

Zakaria mula menjaga seekor kambing bunting yang sering mengekorinya hingga ke sekolah, lalu menamakannya Maryam. Namun satu hari, Maryam merosakkan radio kesayangan ibunya, sehingga membuatkan ibunya mula meracau. Zakaria yang nekad mencari jalan penyelesaian, mendapat idea untuk menjual susu Maryam demi membeli radio baharu atas nasihat neneknya.

“Proses tercetusnya idea untuk telefilem Susu Lima Kupang ni sangat unexpected,” ujar Janna Nick. “Ketika saya dan pihak produksi sedang berbincang di sebuah restoran mamak, saya ternampak poster susu kambing. Terus saya cakap, jom buat cerita pasal kambing. Dari situ kami mula bangunkan jalan ceritanya.”

Berkongsi cabaran sepanjang penggambaran, Janna mengulas, “Semua babak melibatkan kambing betul-betul menguji kesabaran saya sebab masa dan hari penggambaran sangat terhad, dan babak dengan kambing pula mengambil banyak masa. Ini juga kali pertama saya mengarah untuk produksi luar, jadi cabarannya bukan hanya dari segi teknikal, tapi lebih kepada kemahiran kepimpinan dan pengurusan orang. Saya belajar bagaimana untuk bekerja dalam bajet yang ditetapkan, namun masih ingin menyampaikan naskhah yang terbaik untuk penonton.”

“Daripada cerita ini, saya harap penonton sedar bahawa dalam Islam, tiada anak haram. Yang haram adalah perbuatan, bukan manusia itu sendiri,” tambah Janna. “Saya juga mahu orang ramai lebih menghargai nikmat yang kita ada, dan tetap mencari kebahagiaan walaupun hidup dalam serba kekurangan.”

Pelakon Susu Lima Kupang dibarisi oleh Trisha Ooi, Aiman Badrul dan Farah Ahmad, yang masing-masing menghidupkan emosi dan lapisan karakter dengan mendalam. Berjayakah Zakaria mengumpul wang secukupnya? Dan sejauh mana seorang anak sanggup berkorban demi melihat senyuman ibunya kembali?

Jangan lepaskan peluang menyaksikan Susu Lima Kupang, cerekarama ketiga dalam Dari Layar Ke Lensa, Sabtu ini hanya di TV3. Nantikan juga telefilem terakhir, Pencuri Rumah Imam arahan Zahiril Adzim yang akan disiarkan pada 26 Julai 2025 di slot dan waktu yang sama, sebagai penutup istimewa bagi projek ini.

Untuk mendapatkan info terkini tentang drama kegemaran anda, layari laman sosial Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia, Instagram rasmi Drama Sangat iaitu @dramasangat.

1 comment

  1. Kalau lakonan jannah nick memang padu 💖💖💖

    ReplyDelete

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.