Penyakit Tak Mengenal Jantina, Ada 7 Sakit Orang Perempuan Boleh ‘Hinggap’ Pada Lelaki

Klik gambar untuk baca lebih banyak artikel kesihatan

Ramai sering menganggap penyakit seperti kanser payudara dan osteoporosis adalah eksklusif untuk mereka yang bergelar wanita. Walau bagaimanapun, sedikit trivia berkenaan dengan hukum alam, ia tidak mempunyai sebarang bentuk diskriminasi. Mungkin mereka lebih berisiko, namun lelaki juga boleh didiagnosis dengan masalah terbabit.

Artikel ini akan memperkenalkan 7 ‘penyakit wanita’ yang turut mempengaruhi kaum Adam.


#1 Osteoporosis, penyakit tulang rapuh 

Osteoporosis agak popular dan jika anda perhatikan iklan di televisyen, kebanyakan penghidap (jika bukan semua) diperwatakkan oleh pelakon wanita. Keadaan ini menyebabkan timbul salah faham berkenaan dengan maklumat demografi dan risiko bagi penyakit tulang rapuh. Apabila tulang anda mengalami penurunan ketumpatan, ia mudah retak dan menyebabkan komplikasi serius.

Walaupun kajian menunjukkan setinggi 1 daripada 3 wanita menghidap masalah ini, namun lelaki juga tidak terlepas daripada didiagnosis walaupun tidak sekerap itu (1 daripada 5 lelaki). Keadaan ini berlaku berikutan perubahan proses fisiologi wanita selepas mereka mencapai usia menopaus.

Namun, apabila mencecah usia 65 hingga 70 tahun, proses patologi penyakit berlaku pada kadar yang hampir sama bagi kedua-dua jantina.


#2 Kanser payudara, boleh didiagnosis pada lelaki


Walaupun payudara sering dianggap sebagai penyakit wanita, namun pernyataan tersebut adalah tidak tepat.

Kedua-dua lelaki dan wanita mempunyai tisu payudara. Cuma wanita mengalami tumbesaran dan peningkatan pada jumlah tisu payudara akibat peningkatan hormon ketika mereka akil baligh. Payudara lelaki akan kekal rata seumur hidup mereka.

Melalui fakta tersebut, kita boleh simpulkan segelintir lelaki berisiko untuk mendapat masalah kanser payudara walaupun sangat jarang berlaku. Terdahulu, kajian menunjukkan kira-kira 1 peratus lelaki berisiko mendapat masalah kanser ini namun insidennya semakin meningkat tahun demi tahun.

Oleh sebab ia merupakan satu bentuk tabu, keadaan kesihatan ini sukar dikesan pada peringkat awal, maka tahap kelangsungan hidup lelaki jauh lebih rendah berbanding dengan wanita yang turut mempunyai kanser payudara.


#3 Masalah berkaitan organ tiroid

Tiroid adalah organ kelenjar kecil yang terletak di bahagian bawah hadapan leher. Ia merupakan satu organ yang penting dalam mengawal kadar metabolisme badan melalui penghasilan dan rembesan hormon. Jika jumlah hormon yang dihasilkan berada di luar kawalan, ia boleh menyebabkan masalah hipertiroid.

Penghidap boleh mengalami simptom seperti:

  • Kelesuan
  • Mudah lupa
  • Rambut dan kulit kering dan kasar
  • Berat badan susut secara berlebihan
  • Apa akan terjadi jika jumlah hormon yang dihasilkan tidak mencukupi? Anda boleh didiagnosis dengan masalah hipotiroid.

Simptomnya adalah:

  • Lemah otot
  • Sukar tidur
  • Berat badan naik
  • Mudah marah
Walaupun keadaan kesihatan ini adalah 5 hingga 8 kali ganda lebih lazim didiagnosis dalam kalangan wanita, namun lelaki turut menjadi mangsa memandangkan mereka juga mempunyai organ tersebut.


#4 Kecelaruan tabiat pemakanan, hanya untuk wanita?

Apabila kita berbicara mengenai masalah tabiat pemakanan seperti anoreksia dan bulimia, jarang sekali kita terbayangkan lelaki.


Pasti gambaran wanita kurus kering bermain di fikiran anda.

Hakikatnya, 10 hingga 15 peratus daripada jumlah mereka yang didiagnosis terdiri daripada jantina lelaki. Ia bukanlah satu penyakit yang eksklusif untuk wanita.

Atlet, individu obes, lelaki homoseksual dan transgender serta individu yang mempunyai personaliti tertentu seperti mudah resah, perfectionist dan sebagainya berisiko untuk mendapat masalah ini.

Komplikasi serius seperti masalah jantung, osteoporosis, kegagalan organ dan kematian boleh berlaku jika ia tidak dirujuk kepada pakar.


#5 Jangkitan pundi kencing bukan penyakit wanita sahaja

Ya, wanita lebih mudah untuk mendapat jangkitan pundi kencing berikutan struktur uretra mereka yang lebih pendek. Namun, lelaki juga boleh didiagnosis dengan masalah ini terutamanya bagi penghidap:

  • Masalah prostat bengkak
  • Batu karang
  • Kecacatan kongenital pada uretra
Mereka yang mengalaminya boleh mendapat simptom seperti:

  • Kerap kencing
  • Air kencing keruh
  • Tidak boleh tahan kencing
  • Rasa terbakar semasa kencing
  • Demam

#6 Kemurungan, turut dialami kaum Adam


Walaupun wanita adalah dua kali ganda lebih berisiko untuk didiagnosis dengan masalah kemurungan, tapi terdapat percanggahan berkaitan dengan maklumat tersebut.

Secara amnya, lelaki dan wanita boleh menunjukkan simptom kemurungan yang berbeza. Lelaki lebih mudah untuk marah, tertekan dan hilang motivasi untuk melakukan sesuatu manakala wanita pula lebih kepada perasaan sedih dan sering menangis.

Keadaan ini menyukarkan proses diagnosis justeru ramai lelaki yang mengalami kemurungan tidak mendapatkan rawatan yang sepatutnya. Mereka lebih cenderung untuk mencuba dadah terlarang, alkohol atau terlibat dalam aktiviti berisiko.

Lelaki juga lebih berisiko untuk berjaya membunuh diri sendiri sekiranya mereka mencubanya. Tanpa rawatan, kemurungan boleh menyebabkan komplikasi yang boleh mengancam nyawa.


#7 Masalah autoimun lupus sering didiagnosis pada wanita

Dianggarkan 90 peratus wanita menghidap masalah autoimun ini. 

Selebihnya adalah lelaki yang terkesima dengan diagnosis yang dikatakan ‘sangat jarang’ berlaku dalam jantina mereka. Mereka yang mengalaminya boleh menunjukkan simptom seperti:

  • Bengkak dan sakit sendi
  • Lemah otot
  • Kelesuan ekstrem
  • Demam yang tidak diketahui puncanya
  • Keguguran rambut
  • Kaki bengkak
  • Mata bengkak
  • Sakit mulut
  • Kelenjar bengkak
  • Ruam merah persis bentuk rama-rama pada kawasan hidung dan pipi

Konklusi

Sekiranya anda didiagnosis dengan mana-mana masalah kesihatan seperti yang tersenarai, jangan ragu-ragu. Anda masih lelaki. Lelaki juga boleh mendapat masalah yang sama seperti wanita.

Mungkin anda berasa tertekan selepas didiagnosis dengan kanser payudara namun rawatan awal boleh menyelamatkan nyawa anda. Maka penting bagi setiap lelaki untuk memberikan perhatian terhadap simptom yang mungkin dialami kesan daripada ‘penyakit wanita’.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

4 comments

  1. Penyakit tak mengira jantina.. semoga kita semua sentiasa menjaga kesihatan..

    ReplyDelete
  2. betul tu, penyakit tak mengira jantina... mana ada perempuan je boleh kemurungan berapa ramai lelaki yang bunuh diri sebab kemurungan, depressi

    ReplyDelete
  3. tak pernah tahu cancer breast boleh dpt dekat lelaki juga..thank you for sharing

    ReplyDelete
  4. nice sharing.. info2 kesihatan kita mmg kena slalu alert..

    ReplyDelete

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.