Drama Semakin Menjadi-Jadi Menerusi ‘The Maid 2’
Thursday, 30 June 2022
Drama Semakin Menjadi-Jadi Menerusi ‘The Maid 2’ | Susulan Kejayaan Musim Pertama Menembusi Pasaran Filipina
Drama bersiri popular terbitan Gempak, ‘The Maid’ berjaya mencipta fenomena tersendiri apabila ditayangkan pada awal tahun 2021. Bukan sahaja membawakan genre misteri pembunuhan atau ‘whodunnit’ yang jarang dipersembahkan dalam nuansa tempatan, ‘The Maid’ menjadi bualan kerana elemen komedinya yang bersahaja dan diperkuatkan dengan barisan pelakon terkemuka.
‘The Maid’ bukan sekadar mencuri perhatian penonton Malaysia, malah idea yang dicetuskan oleh Sham Hashim, penulis dari Gempak ini turut menarik minat stesen televisyen terkemuka Filipina, GMA. Stesen penyiar itu kini menayangkan ‘The Maid’ musim pertama yang dialih suara dalam Bahasa Tagalog.
Kejayaan ini merupakan satu rekod baru untuk industri penyiaran tempatan apabila ‘The Maid’ menjadi drama bersiri pertama Malaysia yang ditayangkan di kaca televisyen Filipina. Susulan kejayaan demi kejayaan, ‘The Maid 2’ bakal menemui pengikut setianya dengan pengembaraan terbaru yang lebih dramatik. Peminat bakal menyaksikan kesinambungan telatah Suhana, Nadia dan Fika selepas mereka diceraikan oleh Jay, penulis novel Payung Emas yang kini mempunyai isteri baharu bernama Qina.
Jay dituduh merampas kesemua harta milik bekas isteri-isterinya setelah memperdayakan mereka. Ketika Jay dan Qina melancarkan sebuah resort di Pulau Dao, Suhana, Nadia, Fika dan Kak Mel mengekori mereka dengan hasrat untuk membunuh Jay. Namun belum sempat mereka melaksanakan apa yang dirancang, Jay ditemui mati. Kini ketiga-tiga bekas isteri terperangkap di resort tersebut dan menjadi suspek utama pembunuhan.
Sekuel dengan 12 episod ini mengembalikan semula barisan pelakon asal seperti Sherry Alhadad, Datin Seri Paduka Eina Azman, Ezzaty Abdullah, Ieda Moin, Nabil Aqil dan Norman Hakim. Musim terbaharu ini juga memperkenalkan watak-watak baru lakonan Marsha Milan, Yuna Rahim, Sean Lee, Hazeeq Dean dan Aniq Suhair.
Masih mengekalkan penulis skrip seperti Sham Hashim dan Nazri Vovinski, ‘The Maid 2’ merupakan arahan bersama dua sutradara popular, Michael Ang dan Hadith Omar. ‘The Maid 2’ akan ditayangkan pada setiap hari Rabu, jam 9.30 malam mulai 6 Julai 2022 melalui saluran Astro Ria (104) serta turut boleh distrim menerusi On Demand di Astro Box dan aplikasi Astro GO untuk pilihan yang fleksibel.
Khas untuk pelanggan Astro, mereka berpeluang menyaksikan dua episod pertama secara serentak, juga pada 6 Julai 2022 mulai jam 9.30 malam secara strim menerusi On Demand. Dapatkan Pek Primary Astro serendah RM59.99 sebulan secara online di astro.com.my untuk menikmati siri komedi ini di Astro.
Selain itu, ‘Video Pengakuan The Maid 2’ (Digital Extension) boleh ditonton secara percuma di platform Gempak.com setiap Rabu pukul 10.05 mulai 6 Julai. Video Pengakuan ini menampilkan temubual secara intim dengan karakter-karakter seperti pengakuan Suhana, Nadia, Fika, Qina dan ramai lagi mengenai apa yang berlaku setiap minggu.
Syazwan Zakariah - Ketua Content Studio, Astro
“Jenama Gempak Originals Series terus mensasarkan variasi konten menarik dan segar dengan idea-idea yang jarang dipersembahkan di kaca televisyen. Melihat siri original terbitan kami sebelum ini seperti ‘The House’, ‘Ahli Bapak Bapak Club’, ‘Ex Aku Pontianak’, ‘Tikam’ dan ‘Beriani Gam Kak Aspalela’, ia bukan sahaja berjaya mencipta kelompok pengikut tersendiri, malah boleh dinikmati penonton pelbagai peringkat usia.
Misi ini diperkukuhkan lagi apabila ‘The Maid’ musim pertama berjaya menembusi pasaran antarabangsa. Drama bersiri ini telah dialihsuara ke bahasa Tagalog dan kini ditayangkan di saluran televisyen popular Filipina, GMA mulai 20 Jun lalu. Satu rekod baru untuk produksi terbitan Gempak.
Sokongan padu dari penonton Malaysia dan kejayaan menembusi pasaran luar mendorong kami untuk muncul dengan sekuelnya iaitu ‘The Maid 2’ yang bakal ditayangkan mulai 6 Julai ini. Walaupun mengambil masa setahun untuk menyempurnakannya, kami yakin peminat masih setia menanti apakah cerita terbaru Mr Jay dan isteri-isterinya serta pembantu-pembantu mereka.
Apa yang boleh saya katakan, bersiap sedialah untuk satu pengembaraan misteri terbaharu dengan plot yang lebih dramatik serta mendebarkan dan sinematografi yang lebih memukau berlatarkan sebuah resort. Setiap episod akan membuatkan anda tidak senang duduk, malah ternanti-nanti apakah yang bakal berlaku seterusnya.”
TRIVIA MENARIK DRAMA BERSIRI ‘THE MAID 2’
1. Drama ini mengambil masa hampir setahun untuk menyelesaikan penggambarannya.
2. ‘The Maid 2’ memulakan penggambaran pada bulan Ramadan 2021 tetapi penggambaran terpaksa dihentikan atas sebab-sebab berikut:
• Beberapa pelakon dan krew dijangkiti Covid-19.
• Kesukaran pihak produksi mendapatkan jadual para pelakon atas kekangan SOP PKP dan cabaran logistik.
• Ezzaty Abdullah sempat hamil dan bersalin sepanjang penggambaran dihentikan.
3. Penggambaran dilakukan sepenuhnya di Grand Lexis, Port Dickson.
4. Kesemua pelakon utama seperti Sherry, Eina, Ezzaty dan Ieda merancang untuk memakai busana dalam tona warna yang sama agar mereka kelihatan sebagai satu unit yang bersatu.
5. Berkonsepkan rumah agam, ‘The Agam’ merupakan lokasi untuk pelbagai majlis seperti majlis perkahwinan, acara korporat, majlis hari jadi dan sebagainya. Terletak di Kampung Sungai Penchala, Kuala Lumpur, The Agam mampu memuatkan 800 orang tetamu pada masa yang sama dengan pelbagai kemudahan yang disediakan. Antara kemudahan-kemudahan yang ada termasuk sebuah halaman luar yang luas, tiga suite peribadi untuk tetamu bermalam, kolam renang, dapur yang lengkap dan juga dua buah dewan tertutup. The Agam semestinya pilihan yang terbaik untuk memenuhi apa sahaja keperluan mana-mana majlis serta mampu mencipta kenangan manis untuk hari bersejarah anda.
PECAHAN WATAK DRAMA BERSIRI ‘THE MAID 2’
Sherry Alhadad - Suhana
Datin Seri Paduka Eina Azman - Nadia
Ezzaty Abdullah - Fika
Marsha Milan - Qina
Norman Hakim - Jay
Yuna Rahim - Kiambang
Eida Moin - Kak Mel
Nabil Aqil - Remy
Sean Lee - Dean
Hazeeq Dean - Inspektor Kasri
Aniq Suhair - Sa’abon
LOGLINE DRAMA BERSIRI ‘THE MAID 2’
Selepas diceraikan oleh Jay, Suhana, Nadia, Fika dan Kak Mel mengekori bekas suami mereka ke sebuah resort dengan perancangan untuk membunuh Jay. Namun, Jay telah dibunuh oleh pembunuh misteri sebelum mereka sempat berbuat apa-apa.
SINOPSIS DRAMA BERSIRI ‘THE MAID 2’
Drama bersiri ini mengisahkan tentang Suhana, Nadia dan Fika yang baru sahaja diceraikan oleh Jay selepas Jay mengahwini Qina, isterinya yang paling baharu dan muda. Situasi mereka bertambah buruk apabila harta mereka telah berpindah milik kepada Jay setelah Jay berjaya memperdayakan mereka untuk menandatangani satu surat. Justeru, Suhana, Nadia dan Fika mula berbaik dengan satu sama lain dan merancang untuk membalas dendam kepada Jay.
Jay dan Qina pergi bercuti di sebuah resort yang terletak di Pulau Dao. Resort itu baru sahaja diambil alih oleh Qina. Suhana, Nadia, Fika dan Kak Mel mengekori Jay ke resort itu dengan senyap untuk membunuhnya. Ketika mereka berada di resort, mereka terserempak dengan Remy yang kini bekerja sebagai Ketua Pengawal Keselamatan. Remy berasa hairan kerana mereka semua check in ke dalam hotel itu menggunakan identiti palsu. Namun, sebelum mereka sempat melaksanakan perancangan untuk membunuh Jay, Jay telah ditemui mati di kolam renang resort itu.
Situasi bertambah buruk apabila resort itu diarahkan untuk tutup dan dikawal dengan ketat supaya tiada sesiapa pun dapat melarikan diri ketika siasatan dijalankan. Keadaan menjadi lebih bahaya apabila mereka semua turut diancam oleh pembunuh misteri. Siapakah pembunuh misteri pada kali ini?
RATU TEN PIN KEMBALI DENGAN KISAH RATU BOLING NEGARA, SHALIN ZULKIFLI
Monday, 27 June 2022
Astro Ria membawa drama bersiri ‘Ratu Ten Pin 2: Shalin’ yang merupakan sambungan kepada siri ‘Ratu Ten Pin’ hasil terbitan JS Pictures Sdn Bhd. Penceritaan menerusi 20 episod ini diinspirasikan daripada kisah hidup ratu boling negara, Shalin Zulkifli termasuk bibit-bibit permulaan dirinya berkecimpung dan menyertai pasukan boling negara.
Menerusi musim kedua, Mem Maria menjemput Shalin menyertai pasukan boling negara kerana kagum melihat kebolehannya. Setelah melihat kebolehan ahli baharu pasukan negara itu, Norma dan Sandra mula mencemburui kebolehan Shalin dan berpura-pura berbaik dengannya. Mereka berhasrat untuk menjatuhkan Shalin kerana merasakan diri mereka terancam dengan kehadirannya. Penonton juga akan dapat menyaksikan bagaimana hubungan Shalin dan Azidi bermula hingga akhirnya membawa ke jinjang pelamin.
Drama yang berunsurkan genre sukan ini mengangkat barisan pelakon popular seperti Jasmine Suraya, Yusuf Bahrin, Elisya Sandha, Nazim Othman dan Sheila Rusly. Drama ‘Ratu Ten Pin 2: Shalin’ merupakan arahan sutradara Hj Azman Hj Yahya (Jinggo) dan turut didukung oleh barisan pelakon terkenal tanah air seperti Nasz Sally, Wani Kayrie, Linda Onn, Riezman Khuzaimi, Dato’ Fizz Fairuz dan juga bekas pemain profesional tenpin boling Malaysia, Syaidatul Afifah.
‘Ratu Ten Pin 2: Shalin’ akan ditayangkan pada setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 11.00 malam mulai 11 Julai 2022 secara eksklusif melalui saluran Astro Ria (104) serta turut boleh distrim menerusi On Demand di Astro Box dan aplikasi Astro GO untuk pilihan yang fleksibel. Dapatkan Pek Primary Astro serendah RM59.99 sebulan secara online di astro.com.my untuk menikmati drama ini di Astro.
Muhammad Idlan Afiq bin. Mohamad Zahari - Pengurus Saluran Astro Ria
“Mengangkat kisah Shalin Zulkifli sebagai naratif utama, pihak Astro berbangga kerana diberikan peluang untuk menjadi platform untuk memaparkan kisah ratu boling negara. Drama bersiri ini menjanjikan pelbagai kelainan- sepertimana kita tahu, ia berunsurkan sukan boling dan bagaimana kompetitifnya arena sukan tersebut. Drama ini mengangkat watak-watak wanita muda yang progresif dan berdaya saing, lantas menjadi role model kepada anak-anak muda, terutamanya mereka yang menceburi bidang sukan.
Jasmine Suraya mengubah dirinya bukan sahaja dari segi perwatakan tetapi juga secara fizikal demi menjiwai watak Shalin. Perubahan ini amat mengagumkan. Pastinya para penonton akan terkejut melihat transformasinya itu.
Pihak Astro turut berterima kasih dengan JS Pictures Sdn Bhd kerana meneruskan penceritaan Ratu Ten Pin, drama rantaian yang lain daripada lain. Kesungguhan Azman & Sheila serta krewnya untuk meneruskan genre drama sukan seperti ini amat kami kagumi.
Kami berharap agar penonton terhibur dengan sambungan Ratu Ten Pin yang berpaksikan kisah Shalin, iaitu ikon sukan negara. Sudah pastinya ramai ingin menonton kisah permulaan Shalin dalam melakar namanya di persada dunia sukan boling.”
Hj Azman Hj Yahya (Jinggo) - Pengarah Drama ‘Ratu Ten Pin 2: Shalin’
“Jarang sekali kita lihat seni kreatif mengeluarkan drama yang berunsur sukan, lebih-lebih lagi apabila ia membawa naratif yang menunjukkan bibit-bibit realiti kesusahan di sebalik pencapaian mereka. Dari mulanya penceritaan drama ini, kami ingin mengubah landskap dan trend drama tempatan yang biasa dan terapkan unsur-unsur yang mampu membanggakan para penonton.
Signifikan drama ini adalah Shalin itu sendiri. Dia adalah ikon atau orang yang lebih dikenali dengan dunia sukan boling. Sejak kecil, saya ikuti cerita dia. Dari usia muda, dia telah mewakili negara dengan pelbagai kemenangan. Pada musim pertama, kita lebih kepada intro, namun untuk musim kedua pula memang kami buat cerita mengenai Shalin untuk mengelak jalan cerita yang sama.
Penceritaan kali ini lebih banyak kepada pengorbanan dan kepayahan Shalin dalam mencipta nama sebagai Ratu Ten Pin negara. Cerita kepayahan dan kesusahan ditambah dengan subplot yang lain untuk dijadikan bahan-bahan atau fakta yang menyokong ceritanya. Kalau kita buat cerita Shalin sahaja, 2 episod sudah habis. Kita tokok tambah untuk menjadikan ceritanya lebih menarik.
Selain itu, dalam musim kali ini ada watak-watak yang kami gugurkan dan ada juga watak- watak baharu yang kami tambah. Watak yang kami bawa dalam musim kedua ini ialah pemain boling negara kita sendiri. Kesemua 9 bekas pemain boling negara kita dibawa dan diajar cara untuk berlakon dan watak-watak ini dibawa lebih kepada untuk meredakan ceritanya. Untuk mengetahui mereka, nantikan tayangan drama ini.
Untuk watak utama dalam musim ini pula, kami bawakan Jasmine Suraya kerana dia merupakan seorang pemain boling juga, cumanya level dia tidak sama seperti Shalin. Jadi, kami dapatkan Shalin untuk melatih Jasmine. Jasmine Suraya sangat komited dan bekerja keras untuk wataknya sebagai Shalin. Malah, dia sanggup memotong rambutnya dan menaikkan badannya untuk menjadi seperti Shalin yang sebenar. Berapa ramai pelakon yang sanggup melakukan seperti itu? Jadi saya memang sangat gembira dengan lakonannya.
Saya berharap para penonton akan suka dengan Ratu Ten Pin 2 ini dan boleh menerima jalan ceritanya dengan baik. Semoga penceritaan tentang Ratu Boling Ten Pin negara kita ini boleh dijadikan sebuah karya yang boleh saya sumbangkan kepada penonton-penonton di Astro”.
TRIVIA MENARIK DRAMA ’RATU TEN PIN 2: SHALIN’
1. Drama bersiri ini merupakan sambungan daripada musim pertamanya, ‘Ratu Ten Pin’.
2. Diinspirasikan daripada kehidupan Shalin Zulkifli, pemain boling 10 pin profesional Malaysia dan bekas pemain nombor 1 Asia.
3. 9 orang bekas pemain boling negara juga berlakon dalam drama ini.
4. Penggambaran dilakukan ketika keadaan Covid-19 masih getir, semua kru dan pelakon bergilir-gilir dijangkiti wabak tersebut.
5. Jasmine Suraya yang memegang watak Shalin menggunting rambutnya untuk menggambarkan watak Shalin Zulkifli yang sebenar.
PECAHAN WATAK DRAMA ’RATU TEN PIN 2: SHALIN’
Jasmine Suraya sebagai Shalin
Yusuf Bahrin sebagai Azidi
Elisya Sandha sebagai Norma
Nazim Othman sebagai Arief
Wani Kayrie sebagai Suzana
Nasz Sally sebagai Nurin
Sheila Rusly sebagai Maria
Syaidatul Afifah sebagai Sandra
LOGLINE DRAMA ’RATU TEN PIN 2: SHALIN’
Diinspirasikan daripada kisah kehidupan ratu boling negara, Shalin Zulkifli, ‘Ratu Ten Pin 2: Shalin’ mengisahkan perjuangan, cabaran dan keperitan yang perlu dilalui oleh Shalin, ahli baharu pasukan boling negara dalam perjalanannya untuk menjadi juara dunia.
SINOPSIS DRAMA ’RATU TEN PIN 2: SHALIN’
Norma, Reez, Sandra dan Suzana kini telah menjadi pemain senior dalam pasukan boling negara. Namun, Reez dan Suzana ingin menarik diri daripada pasukan tersebut. Walaupun minatnya dalam sukan boling masih tinggi, Reez tetap memilih untuk mengutamakan masanya bersama dengan keluarga setelah persengketaan dengan bapanya menjadi baik untuk menguruskan legasi bisnes keluarganya.
Selepas Reez menarik diri, pasukan boling negara menjadi kekurangan seorang pemain. Maria, jurulatih pasukan tersebut mengambil Shalin sebagai pemain baharu untuk mencukupkan bilangan pemainnya. Shalin merupakan seorang pemain boling yang handal tetapi tidak dikenali oleh orang ramai.
Norma dan Sandra juga pernah mengetahui tentang kehebatan Shalin dalam sukan boling tetapi tidak pernah berjumpa dengannya. Norma yang merasakan dirinya sebagai pemain nombor satu negara dan menganggap dirinya sebagai Ratu Ten Pin berasa terancam dengan kehadiran Shalin. Dia akan melakukan apa sahaja untuk menjatuhkan Shalin dan mengekalkan dirinya sebagai pemain nombor satu dalam pasukannya.


.png)






























