RATU TEN PIN KEMBALI DENGAN KISAH RATU BOLING NEGARA, SHALIN ZULKIFLI

Monday 27 June 2022

Astro Ria membawa drama bersiri ‘Ratu Ten Pin 2: Shalin’ yang merupakan sambungan kepada siri ‘Ratu Ten Pin’ hasil terbitan JS Pictures Sdn Bhd. Penceritaan menerusi 20 episod ini diinspirasikan daripada kisah hidup ratu boling negara, Shalin Zulkifli termasuk bibit-bibit permulaan dirinya berkecimpung dan menyertai pasukan boling negara.

Menerusi musim kedua, Mem Maria menjemput Shalin menyertai pasukan boling negara kerana kagum melihat kebolehannya. Setelah melihat kebolehan ahli baharu pasukan negara itu, Norma dan Sandra mula mencemburui kebolehan Shalin dan berpura-pura berbaik dengannya. Mereka berhasrat untuk menjatuhkan Shalin kerana merasakan diri mereka terancam dengan kehadirannya. Penonton juga akan dapat menyaksikan bagaimana hubungan Shalin dan Azidi bermula hingga akhirnya membawa ke jinjang pelamin.

Drama yang berunsurkan genre sukan ini mengangkat barisan pelakon popular seperti Jasmine Suraya, Yusuf Bahrin, Elisya Sandha, Nazim Othman dan Sheila Rusly. Drama ‘Ratu Ten Pin 2: Shalin’ merupakan arahan sutradara Hj Azman Hj Yahya (Jinggo) dan turut didukung oleh barisan pelakon terkenal tanah air seperti Nasz Sally, Wani Kayrie, Linda Onn, Riezman Khuzaimi, Dato’ Fizz Fairuz dan juga bekas pemain profesional tenpin boling Malaysia, Syaidatul Afifah.

‘Ratu Ten Pin 2: Shalin’ akan ditayangkan pada setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 11.00 malam mulai 11 Julai 2022 secara eksklusif melalui saluran Astro Ria (104) serta turut boleh distrim menerusi On Demand di Astro Box dan aplikasi Astro GO untuk pilihan yang fleksibel. Dapatkan Pek Primary Astro serendah RM59.99 sebulan secara online di astro.com.my untuk menikmati drama ini di Astro.

Muhammad Idlan Afiq bin. Mohamad Zahari - Pengurus Saluran Astro Ria

“Mengangkat kisah Shalin Zulkifli sebagai naratif utama, pihak Astro berbangga kerana diberikan peluang untuk menjadi platform untuk memaparkan kisah ratu boling negara. Drama bersiri ini menjanjikan pelbagai kelainan- sepertimana kita tahu, ia berunsurkan sukan boling dan bagaimana kompetitifnya arena sukan tersebut. Drama ini mengangkat watak-watak wanita muda yang progresif dan berdaya saing, lantas menjadi role model kepada anak-anak muda, terutamanya mereka yang menceburi bidang sukan.

Jasmine Suraya mengubah dirinya bukan sahaja dari segi perwatakan tetapi juga secara fizikal demi menjiwai watak Shalin. Perubahan ini amat mengagumkan. Pastinya para penonton akan terkejut melihat transformasinya itu.

Pihak Astro turut berterima kasih dengan JS Pictures Sdn Bhd kerana meneruskan penceritaan Ratu Ten Pin, drama rantaian yang lain daripada lain. Kesungguhan Azman & Sheila serta krewnya untuk meneruskan genre drama sukan seperti ini amat kami kagumi.

Kami berharap agar penonton terhibur dengan sambungan Ratu Ten Pin yang berpaksikan kisah Shalin, iaitu ikon sukan negara. Sudah pastinya ramai ingin menonton kisah permulaan Shalin dalam melakar namanya di persada dunia sukan boling.”

Hj Azman Hj Yahya (Jinggo) - Pengarah Drama ‘Ratu Ten Pin 2: Shalin’

“Jarang sekali kita lihat seni kreatif mengeluarkan drama yang berunsur sukan, lebih-lebih lagi apabila ia membawa naratif yang menunjukkan bibit-bibit realiti kesusahan di sebalik pencapaian mereka. Dari mulanya penceritaan drama ini, kami ingin mengubah landskap dan trend drama tempatan yang biasa dan terapkan unsur-unsur yang mampu membanggakan para penonton.

Signifikan drama ini adalah Shalin itu sendiri. Dia adalah ikon atau orang yang lebih dikenali dengan dunia sukan boling. Sejak kecil, saya ikuti cerita dia. Dari usia muda, dia telah mewakili negara dengan pelbagai kemenangan. Pada musim pertama, kita lebih kepada intro, namun untuk musim kedua pula memang kami buat cerita mengenai Shalin untuk mengelak jalan cerita yang sama. 

Penceritaan kali ini lebih banyak kepada pengorbanan dan kepayahan Shalin dalam mencipta nama sebagai Ratu Ten Pin negara. Cerita kepayahan dan kesusahan ditambah dengan subplot yang lain untuk dijadikan bahan-bahan atau fakta yang menyokong ceritanya. Kalau kita buat cerita Shalin sahaja, 2 episod sudah habis. Kita tokok tambah untuk menjadikan ceritanya lebih menarik.

Selain itu, dalam musim kali ini ada watak-watak yang kami gugurkan dan ada juga watak- watak baharu yang kami tambah. Watak yang kami bawa dalam musim kedua ini ialah pemain boling negara kita sendiri. Kesemua 9 bekas pemain boling negara kita dibawa dan diajar cara untuk berlakon dan watak-watak ini dibawa lebih kepada untuk meredakan ceritanya. Untuk mengetahui mereka, nantikan tayangan drama ini.

Untuk watak utama dalam musim ini pula, kami bawakan Jasmine Suraya kerana dia merupakan seorang pemain boling juga, cumanya level dia tidak sama seperti Shalin. Jadi, kami dapatkan Shalin untuk melatih Jasmine. Jasmine Suraya sangat komited dan bekerja keras untuk wataknya sebagai Shalin. Malah, dia sanggup memotong rambutnya dan menaikkan badannya untuk menjadi seperti Shalin yang sebenar. Berapa ramai pelakon yang sanggup melakukan seperti itu? Jadi saya memang sangat gembira dengan lakonannya.

Saya berharap para penonton akan suka dengan Ratu Ten Pin 2 ini dan boleh menerima jalan ceritanya dengan baik. Semoga penceritaan tentang Ratu Boling Ten Pin negara kita ini boleh dijadikan sebuah karya yang boleh saya sumbangkan kepada penonton-penonton di Astro”.

TRIVIA MENARIK DRAMA ’RATU TEN PIN 2: SHALIN’

1. Drama bersiri ini merupakan sambungan daripada musim pertamanya, ‘Ratu Ten Pin’.

2. Diinspirasikan daripada kehidupan Shalin Zulkifli, pemain boling 10 pin profesional Malaysia dan bekas pemain nombor 1 Asia.

3. 9 orang bekas pemain boling negara juga berlakon dalam drama ini.

4. Penggambaran dilakukan ketika keadaan Covid-19 masih getir, semua kru dan pelakon bergilir-gilir dijangkiti wabak tersebut.

5. Jasmine Suraya yang memegang watak Shalin menggunting rambutnya untuk menggambarkan watak Shalin Zulkifli yang sebenar.

PECAHAN WATAK DRAMA ’RATU TEN PIN 2: SHALIN’

Jasmine Suraya sebagai Shalin

Yusuf Bahrin sebagai Azidi

Elisya Sandha sebagai Norma

Nazim Othman sebagai Arief

Wani Kayrie sebagai Suzana

Nasz Sally sebagai Nurin

Sheila Rusly sebagai Maria

Syaidatul Afifah sebagai Sandra

LOGLINE DRAMA ’RATU TEN PIN 2: SHALIN’

Diinspirasikan daripada kisah kehidupan ratu boling negara, Shalin Zulkifli, ‘Ratu Ten Pin 2: Shalin’ mengisahkan perjuangan, cabaran dan keperitan yang perlu dilalui oleh Shalin, ahli baharu pasukan boling negara dalam perjalanannya untuk menjadi juara dunia.

SINOPSIS DRAMA ’RATU TEN PIN 2: SHALIN’

Norma, Reez, Sandra dan Suzana kini telah menjadi pemain senior dalam pasukan boling negara. Namun, Reez dan Suzana ingin menarik diri daripada pasukan tersebut. Walaupun minatnya dalam sukan boling masih tinggi, Reez tetap memilih untuk mengutamakan masanya bersama dengan keluarga setelah persengketaan dengan bapanya menjadi baik untuk menguruskan legasi bisnes keluarganya.

Selepas Reez menarik diri, pasukan boling negara menjadi kekurangan seorang pemain. Maria, jurulatih pasukan tersebut mengambil Shalin sebagai pemain baharu untuk mencukupkan bilangan pemainnya. Shalin merupakan seorang pemain boling yang handal tetapi tidak dikenali oleh orang ramai. 

Norma dan Sandra juga pernah mengetahui tentang kehebatan Shalin dalam sukan boling tetapi tidak pernah berjumpa dengannya. Norma yang merasakan dirinya sebagai pemain nombor satu negara dan menganggap dirinya sebagai Ratu Ten Pin berasa terancam dengan kehadiran Shalin. Dia akan melakukan apa sahaja untuk menjatuhkan Shalin dan mengekalkan dirinya sebagai pemain nombor satu dalam pasukannya.

5 comments

  1. Thanks for your sharing , I'll waiting for your visite:)

    https://camdandusler.blogspot.com/2022/06/vegan-leatger-bagsinbono.html

    ReplyDelete
  2. drama berunsur sukan mcm ni selalunya best! tapi tula, nak kena melanggan lepastu tengok tak seberapa tu yg rasa membazir.. apapun, happy watching sis!

    ReplyDelete
  3. dari yg no 1 tu, fana, aida tertarik utk menonton.
    JS pictures memang jarang menghampakan dgn drama / telemovie mereka.
    tapi tu la, again and again, alasan aida, tak langgan astro ria.
    hu hu hu hu :(

    but yg melanggan wajib nonton ni.
    ajak anak2 sekali nonton sebab boleh bangkitkan semangat kesukanan.
    and mengenali jaguh sukan negara kita :)

    ReplyDelete

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.