ALAMANDA DAN MESRA MALL SEMARAKKAN DEMAM PIALA DUNIA DENGAN  PENGALAMAN BOLA SEPAK IMERSIF DAN GANJARAN HEBAT BUAT PENGUNJUNG | Alamanda Shopping Centre membawakan cabaran keluarga interaktif dan aktiviti VIKids, manakala Mesra Mall kembalikan kempen 'The Golden Ticket’.

PUTRAJAYA, 7 Julai 2026 – Alamanda Shopping Centre telah melancarkan kempen Bola Bola Alamanda yang amat dinanti-nantikan secara rasmi, bermula dari 3 hingga 19 Julai 2026. Melalui  pelancaran yang bertepatan dengan kehangatan Piala Dunia di peringkat global, kempen penuh  bertenaga selama 17 hari ini membawakan suasana stadium yang gah secara terus kepada  komuniti di Putrajaya.

Sebagai destinasi yang berpaksikan komuniti, kedua-dua pusat beli-belah ini kekal komited dalam  menyediakan persekitaran yang selamat dan mesra dengan tumpuan kepada aktiviti sihat serta  penglibatan bermakna buat seisi keluarga. 

Kempen tahunan ini berfungsi sebagai platform utama  untuk menyatukan ibu bapa, anak-anak, dan peminat bola sepak menerusi aktiviti-aktiviti sihat yang  mendorong interaksi aktif dan membina kenangan percutian yang berkekalan. Centre Court Alamanda telah ditransformasi menjadi sebuah arena bertemakan bola sepak yang  meriah, direka khas untuk menggabungkan elemen sukan, hiburan, dan ganjaran yang menarik. 

Para pengunjung boleh menerokai ruang kreatif yang menampilkan pengalaman interaktif fizikal  dan digital, termasuklah PUMA Dribble Challenge, E-Football Arena, Shoot! Goal!, dan Bench  Battle. Selain itu, ruang stan 360° Celebration Cam yang interaktif membolehkan para  pengunjung merakam aksi sambutan gol terbaik mereka dalam bentuk video slow-motion yang  dinamik.

Bagi menyemarakkan lagi suasana kekeluargaan yang meriah, kempen ini memberi penekanan  kepada aspek mesra keluarga, terutamanya menerusi aktiviti bola sepak mini VIKids yang dikhususkan. Pengisian istimewa ini meletakkan Alamanda sebagai premis utama di mana seisi  keluarga boleh menikmati musim bola sepak bersama-sama.

Menerusi Alamanda’s Shoppers Rewards Programme, pengunjung yang berbelanja minimum  RM50 dalam satu resit di mana-mana kedai terpilih akan menerima satu (1) Pas "Bola Bola  Experience". Bagi pengunjung yang berbelanja lebih tinggi, iaitu pembelian minimum sebanyak  RM500 merentasi maksimum dua resit, mereka akan menerima dua (2) Pas "Bola Bola Experience",  kelayakan menyertai Peraduan "Teka Bola Bola" untuk memenangi e-baucar, serta peluang  memutar mesin Gashapon khas untuk membawa pulang jersi bola sepak atau e-Baucar Alamanda.

MESRA MALL MENYEMARAKKAN KEHANGATAN BOLA SEPAK DENGAN 'THE GOLDEN  TICKET'

Sementara itu, Mesra Mall Kemaman turut menganjurkan edisi sambutan bola sepaknya yang  tersendiri menerusi kempen utamanya, The Golden Ticket, di Centre Court dari 4 hingga 19 Julai  2026. Kempen selama 16 hari ini kembali dengan konsep Piala Dunia yang serbaharu dan  mengujakan untuk merangsang kunjungan orang ramai serta menawarkan hiburan interaktif  kepada keluarga.

Berpusatkan konsep Piala Dunia, Centre Court Mesra Mall menampilkan 40 Kotak Misteri (Mystery  Boxes) yang dihiasi dengan reka bentuk bendera negara Piala Dunia sebagai gimik penebusan  harian. Para pengunjung juga boleh menantikan kolaborasi menarik dengan Al-Ikhsan untuk  cabaran Penalty Shootout Challenge yang berlangsung pada 10–11 dan 17–18 Julai 2026. Terbuka  kepada semua pengunjung dan terhad kepada 100 peserta setiap hari, setiap pemain akan  diberikan tiga kali percubaan sepakan penalti pada gol mudah alih. Peserta yang berjaya  menjaringkan gol dalam tempoh tiga percubaan tersebut akan membawa pulang Baucar Beli-belah Al-Ikhsan bernilai RM10.

Mesra Mall's Shoppers Rewards Programme memastikan pengunjung yang berbelanja RM300 ke atas dalam maksimum dua resit di mana-mana kedai terpilih, layak untuk menyertai penebusan ini. Dengan mendaftar di Concierge Counter, pengunjung boleh memilih kotak misteri untuk menentukan kategori hadiah mereka secara serta-merta. Kempen ini menawarkan hadiah harian sebanyak 40 unit terdiri daripada Tiket Biru (baucar RM30), Tiket Perak (baucar RM500), atau Tiket Emas (Golden Ticket) utama yang bernilai RM1,000 dalam bentuk Baucar Beli-belah Mesra Mall.

"Kempen kami berdedikasi untuk memberikan pengalaman yang bermakna, kreatif, serta kegembiraan tanpa sempadan kepada komuniti kami sepanjang musim bola sepak yang meriah ini," kata Francis Tan, Pengarah Eksekutif dan CEO Suria KLCC Sdn Bhd. "Sama ada melalui  cabaran sukan yang aktif dan elemen VIKids yang berpaksikan keluarga di Alamanda, mahupun cabaran cabutan misteri The Golden Ticket di Mesra Mall, fokus kami kekal pada penyediaan pengalaman berorientasikan keluarga untuk para pengunjung kami."

Untuk maklumat lanjut dan maklumat terkini, sila layari:

i. Alamanda - www.alamanda.com.my / www.facebook.com/AlamandaShoppingCentre

ii. Mesra Mall - www.mesramall.com / www.facebook.com/MyMesraMall

*************************

Mengenai Pusat Beli Belah Alamanda 

Pusat Beli-Belah Alamanda, yang dimiliki oleh Putrajaya Holdings Sdn Bhd dan diuruskan oleh Suria KLCC Sdn Bhd, merangkumi keluasan lantai kasar setinggi 1,035,105 kaki persegi dengan keluasan sewa bersih sebanyak 842,000 kaki persegi. Menerima kunjungan kira-kira 12 juta pembeli setiap tahun, pusat beli-belah ini menawarkan kemudahan dengan dua bangunan tempat letak kereta khas (3,000 petak), kemudahan untuk golongan kurang upaya, bilik ibu bapa, serta surau. Direka sebagai syurga membeli-belah di tengah-tahun Putrajaya, Alamanda membawakan pengalaman ‘Easy, Vibrant Shopping’.

Selain daripada sektor peruncitan, Alamanda merupakan destinasi gaya hidup dinamik serta lokasi placemaking utama untuk bersosial dan beriadah. Pusat beli-belah ini berfungsi sebagai hab hiburan yang komprehensif, menampilkan Escape Putrajaya di Esplanade yang serba baharu—sebuah taman pengembaraan luar seluas 151,548 kaki persegi yang dibangunkan dengan kerjasama Sim Leisure Group Ltd. yang menggabungkan aktiviti lasak yang mendebarkan dengan keindahan alam semula jadi.

Pengalaman hiburan ini dipertingkatkan lagi dengan pawagam TGV 10-dewan, U-Bowl X yang telah dinaik taraf dengan 26 lorong, serta penambahan kemudahan Karaoke, sekali gus memastikan pelbagai aktiviti riadah yang sesuai untuk seisi keluarga dan rakan-rakan.

Dengan Centre Court yang luas di bawah siling berkubah kaca yang menakjubkan, Alamanda menjadi lokasi ideal untuk pelbagai acara, menarik minat pengunjung serta bakal penyewa. Reka bentuknya yang mesra keluarga turut dilengkapi travelator untuk memudahkan pergerakan stroller dan kerusi roda, akses runcit yang lancar, serta susun atur tiga tingkat yang unik bagi memastikan aliran pengunjung yang lebih selesa.

Mengenai Mesra Mall 

Terletak di Kemasik, Terengganu, Mesra Mall menarik pengunjung untuk mendalami kehidupan yang unik di Pantai Timur Malaysia. Merangkumi lebih dari 310,000 kaki persegi, pusat beli-belah ini menawarkan pelbagai jenama tempatan dan antarabangsa, dan telah dikenal pasti sebagai salah satu destinasi utama untuk membeli-belah dan rekreasi, dan hiburan di Kertih dan kawasan sekitarnya, termasuk Paka, Dungun, dan Kemaman.

Selain daripada aktiviti membeli-belah, Mesra Mall juga menawarkan kemudahan riadah untuk seisi keluarga seperti pusat boling 24 lorong, pusat futsal, padang badminton, dan sebuah dewan serba guna seluas 16,000 kaki persegi, yang boleh mengisi lebih 800 tetamu bagi memastikan pengalaman 'Membeli-belah yang Mudah dan Mesra' untuk semua.

Sorotan Kandungan: Astro FANDOM

Astro, syarikat media dan hiburan terkemuka Malaysia, hari ini mengumumkan pelancaran Astro X3, penawaran baharu berteraskan penstriman yang tidak memerlukan dekoder, pemasangan dan kontrak. Dengan pengalaman pendaftaran mudah melalui telefon pintar, pelanggan boleh terus menonton kandungan kegemaran mereka hanya dalam masa beberapa minit. 

Seiring usaha Astro memudahkan akses penonton kepada kandungannya, syarikat itu turut memperkenalkan barisan menarik filem, drama dan program siaran langsung yang bakal menemui penonton, membawakan lebih banyak cerita tempatan, hiburan bertaraf dunia dan aksi sukan secara langsung untuk dinikmati rakyat Malaysia di bulan-bulan akan datang.

 Filem

1. TERBANG

Di Pawagam Bermula 17 September 2026
Pelakon: Irfan Zaini, Zizan Razak, Jack Tan
Pengarah: Chiu Keng Guan (Pengarah Ola Bola, The Journey)
Sinopsis: 

Terbang diilhamkan daripada perjalanan luar biasa juara rali dunia Malaysia, Karamjit Singh. Kisah ini mengisahkan Ajeet, seorang pemandu rali yang dihantui oleh tragedi kemalangan yang membawa kesan mendalam sehingga memaksanya meninggalkan dunia perlumbaan demi mencari ketenangan bersama isterinya, Lisa. Namun, takdir menemukan beliau kembali ke litar perlumbaan apabila menyertai Pasukan PERT Malaysia. Dari situ, Ajeet bangkit semula untuk menghadapi cabaran, mengatasi trauma silam, dan bersaing sekali lagi di pentas rali dunia.

2. HAK: Tuntut Atau Tunduk


Di Pawagam Bermula November 2026
Pelakon: Syafiq Kyle, Beto Kusyairy, Mimi Lana, Kodi Rasheed
Pengarah: Ezrie Gazali (Pengarah dari Abah Saya Uncle Mike)
Sinopsis: 

HAK: Tuntut Atau Tunduk mengisahkan Hakim (Syafiq Kyle), seorang pegawai operasi yang bekerja di sebuah pasar awam dan semakin terdesak untuk mendapatkan wang menjelang kelahiran anak pertamanya. Dalam keadaan terhimpit, dia mula mengambil kesempatan terhadap masyarakat sekeliling demi mencapai matlamatnya. Namun, hidupnya berubah secara mendadak apabila dia menemui sebuah beg yang dipenuhi wang tunai. Penemuan itu meletakkan Hakim dan keluarganya dalam bahaya apabila mereka menjadi sasaran sekumpulan individu kejam yang bertekad untuk mendapatkan semula wang tersebut. Kini, Hakim berdepan perlumbaan melawan masa untuk melindungi orang yang disayanginya. Mampukah dia menyelamatkan keluarganya sebelum semuanya terlambat?

3. Kudrat 1968

Di Pawagam Bermula Oktober 2026
Pelakon: Mierul Aiman
Pengarah: Zulaikha Zakaria (Pengarah dari Project: High Council, Project: Exit) & Khairi Asyraff
Sinopsis: 

Mengisahkan tentang seorang anak yang ditinggalkan oleh pengasas lagenda sebuah institusi terpaksa menyertai institusi yang dibina atas legasi bapanya. Di situ, dia berdepan dilema besar — sama ada mempertahankan empayar yang pernah menolaknya atau menjatuhkannya hingga rebah ke bumi

DRAMA

1. Bulan Henti Bicara


Astro Ria (Saluran 104), Astro GO, On Demand, Sooka
Tayangan: 27 Julai, Setiap Isnin - Khamis, 10:00 Malam  
Pelakon: Ezzanie Jasny, Azhan Rani, Azar Azmi, Ali Reza
Sinopsis: 

Bulan Henti Bicara mengisahkan Zulfa, seorang wanita muda yang terikat dengan nasihat tegas ayahnya bahawa untuk keluar daripada kemiskinan, dia perlu berkahwin dengan seorang lelaki yang bukan sahaja soleh, malah mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh. Nasihat itu mendorong Zulfa untuk mengorbankan cinta sejatinya, Afghan, seorang lelaki berprinsip tetapi hidup dalam serba kekurangan, yang tidak direstui oleh ayahnya. 

Demi memenuhi harapan keluarga, Zulfa mengetepikan hasrat dan perasaannya sendiri lalu menerima lamaran Jamali, seorang lelaki yang pada zahirnya kelihatan terhormat dan mampu memberikan kestabilan hidup seperti yang sentiasa diimpikan oleh ayahnya untuk masa depan anaknya. Keputusan yang dibuat Zulfa merupakan usahanya untuk mencapai “kebahagiaan” yang selama ini tidak pernah benar-benar dinikmati oleh keluarganya. Namun, pilihan tersebut akhirnya menguji makna sebenar cinta, pengorbanan dan kebahagiaan dalam hidupnya.

2. Sumpahan Mencintai


Astro Ria (Saluran 104), Astro GO, On Demand, Sooka
Tayangan: 14 September, Setiap Isnin - Khamis, 10:00 Malam
Pelakon: Nizam Zaidi, Siti Hariessa
Sinopsis: 

Sumpahan Mencintai mengisahkan Kiera, seorang wanita yang pulang ke kampung halamannya selepas tiga tahun membawa trauma emosi yang mendalam akibat satu insiden tragis yang telah memusnahkan kehidupannya. Kepulangannya tidak disambut dengan baik, malah dia berdepan layanan dingin dan permusuhan, terutamanya daripada ibu saudaranya, Puan Hazrah, serta Zakief, seorang lelaki yang percaya bahawa Kiera merupakan punca kepada aib dan kejatuhan keluarga mereka. Hakikatnya, Kiera pernah diculik dan dipaksa menyaksikan satu pembunuhan, pengalaman ngeri yang meninggalkan kesan trauma yang mendalam dalam dirinya. 

Namun, demi menjaga hubungan kekeluargaan dan memelihara keharmonian keluarga, Kiera memilih untuk merahsiakan kebenaran tersebut serta menanggung segala tohmahan dan kutukan masyarakat terhadap dirinya secara senyap. Dalam perjuangannya untuk meneruskan kehidupan dan mencari kedamaian, Kiera terpaksa berhadapan dengan luka lampau, prasangka orang sekeliling dan rahsia yang boleh mengubah segala-galanya jika terbongkar.

3. Kasih Yang Terkorban


Astro Prima (Saluran 105), Astro GO, On Demand, Sooka
Tayangan: 13 Julai, Setiap Isnin - Jumaat, 6.00 Petang  
Pelakon: Fasha Sandha, Johan Ashaari
Sinopsis: 

Siri ini, yang berlatarbelakangkan Malaysia dari era 1990-an hingga ke masa kini, mengisahkan percintaan terlarang antara Mariana, pewaris sebuah ladang perladangan, dan Johan, seorang buruh imigran. Cinta mereka mencetuskan sebuah kisah yang penuh dengan keghairahan, konflik dan kepiluan, dengan akibat yang melangkaui zaman serta mengikat kehidupan beberapa generasi.

4. Jutawan Ekspres 2


Astro Ceria (Saluran 611), Astro Prima (Saluran 105), Astro GO, On Demand, Sooka
Tayangan: 17 Julai, Setiap Jumaat, 9:00 Malam  
Pelakon: Azhar Sulaiman, Bell Ngasri, Azhan Rani, Rashid Ishak, Sazzy Falak, Elly Mazlan
Sinopsis: 

Yusni (Elly Mazlein) dan Yunoh (Rashidi Ishak) kembali dengan tekad baharu untuk menjadi jutawan. Namun, seperti sebelumnya, perjalanan mereka tidak semudah yang disangka apabila mereka terjebak dalam satu peluang pelaburan yang meragukan. Tanpa mereka sedari, mereka sebenarnya telah menjadi mangsa sebuah skim mencurigakan yang mungkin mempunyai kaitan dengan Amir (Bell Ngasri), seorang lelaki yang selama ini mereka percaya telah lama meninggal dunia. 

Dalam masa yang sama, jiran mereka, Datuk Kadir (Azhar Sulaiman) dan isterinya, Datin Maimon (Sazzy Falak), memainkan peranan penting dalam membantu menyelamatkan rumah tangga Yusni dan Yunoh yang mula menunjukkan tanda-tanda keretakan. Ketika berdepan pelbagai cabaran dan dugaan, pasangan itu perlu mencari jalan untuk mengatasi masalah kewangan serta mengukuhkan kembali hubungan mereka sebelum keadaan menjadi semakin rumit.

5. Premier League: I Love You


Astro Ria (Saluran 104), Astro GO, On Demand, Sooka
Tayangan: 26 Ogos, Setiap Rabu & Khamis, 9:00 Malam  
Pelakon: Kamal Adli, Intan Serah, Theeban G, Hawa Rizwana, Evertts Gomes, Nina Jasmine
Sinopsis: 

Sebuah komedi romantik yang mengisahkan tentang cinta, kesetiaan dan persaingan bola sepak. Lily, seorang peguam berjaya dan peminat tegar Arsenal, bertekad untuk menunaikan hasrat terakhir arwah bapanya yang mahu melihatnya berkahwin dengan seorang penyokong Arsenal. Namun, teman lelakinya Adam, seorang pemilik bengkel yang sedang bergelut dengan masalah perniagaan dan penyokong setia Chelsea, enggan mengkhianati kelab kesayangannya. Perbezaan itu akhirnya menjadi punca perpisahan mereka. 

Apabila satu gurauan yang tidak menjadi menyebabkan Adam mengalami amnesia, Lily yang dibelenggu rasa bersalah berusaha membantunya mendapatkan semula ingatannya. Pada masa yang sama, dia menemui sebuah pertandingan Liga Perdana Inggeris yang menawarkan hadiah perkahwinan impian di Stadium Emirates. Demi merealisasikan impiannya, Lily secara rahsia meyakinkan Adam bahawa dia sebenarnya seorang peminat Arsenal, lalu membawanya ke London untuk menyertai pertandingan tersebut. Di sana, mereka terperangkap dalam pelbagai situasi lucu dan tidak dijangka apabila dunia bola sepak, pembohongan dan percintaan bertembung, sekali gus menguji perasaan serta kejujuran mereka terhadap satu sama lain.

6. WOLONG: The Mastermind 


Astro AEC (Saluran 306), Astro GO, On Demand, Sooka
Tayangan: 6 September, Setiap Ahad, 9:30 Malam
Pelakon: Mimi Kung, Kevin Chu, Chris Tong, Karena Teo, Ribbon Ooi, Huang Qiming, Melvin Sia, Juztin Lan, April Chan 
Sinopsis: 

Zhuge Liang dari era Tiga Kerajaan secara tidak dijangka merentas masa ke Malaysia dan memulakan kerjaya sebagai pekerja bawahan di sebuah syarikat awam. Dengan memanfaatkan Tiga Puluh Enam Strategi, beliau membantu tiga pewaris wanita sebuah keluarga korporat yang masing-masing memiliki personaliti yang sangat berbeza, sambil berdepan dengan musuh lamanya — Zhou Yu, yang kini merupakan seorang eksekutif kanan di sebuah syarikat pesaing. 

Dalam dunia korporat moden yang penuh cabaran dan percaturan, Zhuge Liang menggunakan kebijaksanaan serta strategi luar biasanya untuk mengharungi pelbagai konflik, membina pakatan, dan membantu menentukan masa depan syarikat tersebut.

7. Maara


Astro Vinmeen (Saluran 202), Astro GO, On Demand, Sooka
Tayangan: 6 Julai, Setiap Isnin-Khamis, 9:30 Malam
Pelakon: Dishaaleny Jack, Punitah Shanmugam, Thivyah Kia, Sattiya Kandi, K Prakash 
Sinopsis: 

Maragathavalli, atau lebih dikenali sebagai Maara, merupakan seorang pelajar universiti berusia 19 tahun yang mengejar kemasyhuran dan kestabilan kewangan sebagai pempengaruh media sosial di bawah bimbingan mentornya, Alice. Apabila cita-citanya semakin memuncak, Maara mula melampaui batas etika — mengeksploitasi adik perempuannya yang kurang upaya demi menghasilkan kandungan tular, dan kemudian membocorkan video peribadi pesaingnya, Brindha, yang akhirnya membawa kepada akibat yang tragis. 

Ketika pihak polis semakin menghampiri kebenaran, Maara cuba memadamkan jejak digitalnya dan menyembunyikan diri. Namun, akhirnya dia terperangkap dalam dilema antara rasa bersalah dan naluri untuk terus hidup. Pilihan yang perlu dibuatnya — sama ada untuk mengaku kesalahan atau terus melarikan diri — menjadi teras utama penceritaan kisah ini.

8. Marmadesam


Astro Vinmeen (Saluran 202), Astro GO, On Demand, Sooka
Tayangan: 17 Julai, Setiap Jumaat, 9:30 Malam 
Pelakon: RJ Geetha dan ramai lagi
Sinopsis: 

Siri ini dibintangi oleh RJ Geetha, yang menerusi naratif lewat malamnya membawa penonton menyelami pelbagai pengalaman misteri dan menyeramkan. Daripada rumah berhantu hingga sumpahan warisan keluarga, setiap kisah menggabungkan unsur ketakutan dengan emosi kemanusiaan yang mendalam. Marmadesam meneroka dunia yang tidak dapat dilihat, sambil mengangkat tema memori, kepercayaan dan hubungan sesama manusia, menjadikan setiap cerita bukan sahaja mendebarkan, tetapi juga penuh makna dan refleksi.

Program Siaran Langsung Utama

1. Astro Star Quest 2026 - The Next Wave


Astro AEC (Saluran 306), Astro GO, On Demand, Sooka
Tayangan: 10 Oktober, Setiap Sabtu, 8:30 Malam 
Hos: Siow Hui Mei, Priscilla Abby
Susulan kejayaan kembalinya Astro Star Quest 2026 – The Next Wave, yang mendapat sambutan luar biasa daripada penonton serta mengukuhkan kedudukannya sebagai jenama pertandingan nyanyian yang berpengaruh dan berwibawa, Astro secara rasmi memperkenalkan musim baharu Astro Star Quest 2026 – The Next Wave, meneruskan komitmennya dalam mencungkil dan mengembangkan bakat muzik generasi baharu Malaysia.

Musim ini menjadikan “WAVE” sebagai DNA tahunan program, dengan menampilkan konsep pembangunan artis “The Next Wave” sebagai tunjang utama. Program ini bertujuan mentakrif semula piawaian penghibur masa depan melalui pencarian individu yang berpotensi menerajui gelombang baharu dalam industri hiburan. Ia menekankan bahawa muzik bukan sekadar tentang kemampuan vokal, tetapi juga keupayaan mencipta pengaruh yang dapat dilihat, diingati, diperkasakan dan dikekalkan dalam landskap hiburan masa kini.

2.Astro Classic Golden Melody Singing Competition 2026


3. Big Stage Rocketfuel

Astro Ria (Saluran 104), Astro GO, On Demand, Sooka
Tayangan : 28 Jun, Setiap Ahad, 9.00 Malam
Hos: Nabil Ahmad, Azeva (TTMM2)

Big Stage Rocketfuel kembali dengan musim baharu yang lebih segar untuk mencari bakat nyanyian seterusnya yang bakal menyerlah di bawah naungan Rocketfuel Entertainment. Selepas kejayaan luar biasa Big Stage Alpha yang telah menampilkan barisan peserta lelaki sepenuhnya, pertandingan kali ini kembali membuka pentas kepada kedua-dua peserta lelaki dan wanita untuk bersaing merebut peluang bergelar bintang masa depan. 

Mengangkat tema yang penuh semangat, “Dominasi For Real” (#DominasiFR), musim ini dijangka menyemarakkan lagi persaingan dalam usaha melahirkan seorang bintang baharu yang berpotensi menguasai industri hiburan. Dengan gabungan bakat, karisma dan persembahan yang memukau, Big Stage Rocketfuel bakal menjadi platform terbaik untuk mencungkil dan membentuk sensasi nyanyian generasi seterusnya.

4. Kilauan Emas Selebriti


Astro Prima (Saluran 105), Astro GO, On Demand, Sooka
Tayangan: 22 Ogos 2026, Setiap Sabtu, 9.00 Malam
Hos: Raja Azura @ Kak Engku

Kilauan Emas kembali dengan edisi istimewa, membawa personaliti Malaysia yang disayangi ramai kembali menyerlah di pentas. Saksikan wajah-wajah yang sudah dikenali melangkah keluar daripada zon selesa mereka, menemui semula potensi diri, dan memperlihatkan bakat nyanyian terpendam yang belum pernah disaksikan sebelum ini. 

Menampilkan selebriti terpilih yang tidak mempunyai latar belakang nyanyian profesional, edisi khas ini menjanjikan kejutan baharu, persembahan yang tidak dapat dilupakan, serta kelainan yang mengujakan buat para penonton.

KUALA LUMPUR, 7 Julai 2026 – Astro, syarikat media dan hiburan terkemuka Malaysia, hari ini mengumumkan pelancaran Astro X3, penawaran baharu berteraskan penstriman yang tidak memerlukan dekoder, pemasangan dan kontrak. Dengan pengalaman pendaftaran mudah melalui telefon pintar, pelanggan boleh terus menonton kandungan kegemaran mereka hanya dalam masa beberapa minit. Seiring usaha Astro memudahkan akses penonton kepada kandungannya, syarikat itu turut memperkenalkan barisan menarik filem, drama dan program siaran langsung yang bakal menemui penonton, membawakan lebih banyak cerita tempatan, hiburan bertaraf dunia dan aksi sukan secara langsung untuk dinikmati rakyat Malaysia di bulan-bulan akan datang.

Henry Tan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, berkata, “Di Astro, fokus kami adalah untuk menghubungkan rakyat Malaysia dengan kandungan yang paling dekat di hati mereka – daripada kisah tempatan yang menarik dan hiburan secara langsung hinggalah siaran langsung sukan bertaraf dunia serta kandungan antarabangsa. Seiring perubahan tabiat tontonan, Astro X3 mencerminkan komitmen kami untuk menjadikan Astro lebih mudah dan mudah diakses berbanding sebelum ini. Pelanggan boleh mendaftar terus melalui peranti mudah alih mereka dan mula menstrim serta-merta. Tanpa dekoder, tanpa pemasangan dan mulai Disember 2026, tanpa kontrak, Astro X3 memberikan pelanggan lebih kebebasan dan fleksibiliti untuk menikmati Astro mengikut keperluan mereka sendiri.”

Memperkenalkan Astro X3: Cara Lebih Mudah untuk Menstrim Astro

Dibangunkan untuk penonton masa kini yang lebih fokus kepada penstriman, Astro X3 membolehkan pelanggan mendaftar dan boleh terus menonton rancangan kegemaran mereka melalui aplikasi Astro di TV pintar (Smart TV) yang serasi, sambil menikmati pengalaman tontonan lancar merentas pelbagai peranti termasuk Astro GO. Dengan akses kepada Astro Originals, siaran langsung sukan berprestij termasuk Liga Perdana, Liga Juara-Juara AFC dan UEFA, Formula 1, MotoGP, Wimbledon serta kejohanan badminton antarabangsa, di samping kandungan hiburan global secara langsung, Astro X3 menawarkan cara yang mudah dan fleksibel untuk menikmati Astro.

Mulai 20 Julai 2026, pelanggan boleh melanggan Astro X3 melalui salah satu daripada dua pelan kontrak 12 bulan: Astro X3: Entertainment 12 Pack (RM39.99/sebulan) atau Astro X3: Sports 12 Pack (RM89.99/sebulan). Bagi menawarkan fleksibiliti yang lebih premium, Astro akan memperkenalkan pelan tanpa kontrak bermula Disember 2026, dengan pilihan antara Astro X3: Entertainment Pack – daripada RM59.99/sebulan atau Astro X3: Sports Pack – daripada RM109.99/sebulan. Pelanggan boleh melanggan, menunda atau membatalkan perkhidmatan mereka pada bila-bila masa mengikut keperluan. Semua Astro X3: Sports Pack turut merangkumi semua saluran dalam Entertainment Pack.

Apa yang Bakal Ditayangkan di Astro

Seiring pelancaran Astro X3, Astro turut memperkenalkan barisan kandungan baharu dan kegemaran ramai yang bakal kembali menemui penonton, sekali gus memperluas lagi tawaran hiburannya. Daripada filem yang dinanti-nantikan dan Astro Originals hinggalah program siaran langsung utama serta mikrodrama bersaiz pendek, barisan kandungan akan datang ini mencerminkan komitmen berterusan Astro untuk membawakan cerita dan pengalaman unik kepada penonton.

Antara filem yang bakal ditayangkan termasuklah Terbang, Kudrat 1968 dan HAK: Tuntut atau Tunduk manakala, penawaran drama Astro terus berkembang menerusi Bulan Henti Bicara, Sumpahan Mencintai, Love of My Life, Jutawan Ekspres 2, Premier League: I Love You, WOLONG: The Mastermind, Maara dan juga Marmadesam. Astro juga akan terus membawakan kepada penonton program siaran langsung utama (Signature Live), termasuk Big Stage Rocketfuel, Astro Star Quest 2026 – The Next Wave, Astro Classic Golden Melody Singing Competition 2026 dan Kilauan Emas Selebriti.

Daripada filem blokbuster dan drama yang menarik hinggalah kepada hiburan langsung, sukan serta penceritaan ringkas bersaiz pendek, Astro terus mengembangkan ekosistem kandungannya untuk memenuhi keperluan penonton di mana sahaja mereka berada. Dengan Astro X3 yang menjadikan hiburan kini lebih mudah diakses, Astro membuka lebih banyak peluang kepada rakyat Malaysia untuk menemui, menikmati dan berhubung dengan kisah serta detik-detik yang mereka gemari.

Temui barisan filem, drama dan program Signature Live Astro yang akan datang di semua platform Astro, serta saksikan tayangan filem terpilih di pawagam apabila tersedia. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Astro X3 dan mendaftarkan minat anda, layari https://m.astro.as/x3 atau astro.com.my mulai 20 Julai 2026.

Movie Review | Pangku (2025)

Tuesday, 7 July 2026

 

Pengarah: Reza Rahadian   
Penulis Skrip: Reza Rahadian, Felix K. Nesi  
Pelakon: Claresta Taufan, Fedi Nuril, Christine Hakim, Shakeel Fauzi, Devano Danendra   
Syarikat Produksi: Gambar Gerak   
Pengedar:  Antenna Entertainment (Malaysia), Netflix 
Genre:  Drama 
Durasi Tayangan: 100 minit
Tarikh Tayangan: 20 September 2025 (Busan), 06 November 2025 (Indonesia), 11 Disember 2025 (Malaysia)
Trailer:


Setelah berlakon dalam 70 buah filem, Reza Rahadian akhirnya yakin untuk berada di bangku pengarah dengan buah tangannya berjudul Pangku. Berbekalkan tema ketabahan seorang manusia untuk terus kuat menjalani hidup ketika ujian melanda, Reza mengangkat watak Sartika yang tak punya pilihan setelah diusir oleh keluarga.

Berlatarkan krisis ekonomi pada tahun 1998, seorang wanita muda yang sarat hamil bernama Sartika (Claresta Taufan) mencari tempat tinggal juga kerja. Dia kebetulannya bekerja dengan Maya (Christine Hakim) yang mempunyai warung kopi kecil di Jalur Pantura. 


Sartika cuma perlu membancuh air kopi kepada pelanggan dan duduk di atas pangku mereka. Dari kerjanya dia mampu menyara anaknya, Bayu (Shakeel Aisy) sehingga besar dengan sihat dan manja. 

Satu hari Sartika bertemu Hadi (Fedi Nuril) yang bekerja sebagai penjual ikan. Jika dia menyinggah ke warung kopi Mbak Maya, dia pasti menghadiahkan ikan yang segar kepada mereka. Ikan yang kurang segar sebenarnya tapi buat Sartika sekeluarga, lebih dari cukup. Mereka berdua saling tertarik kemudiannya buat keputusan untuk berkahwin. 


Filem Pangku mendapat penghargaan White Light Post-Production Awards di JAFF Future Project (JFP) 2024 kjemudiannya mendapat tayangan perdana di Marché du Film, Festival Filem Cannes 2025. 

Dari awal filem dah boleh baca personaliti Sartika yang pendiam lalu kebanyakan babak dia cuma diekspresikan dari mimik muka yang tak juga jelas kelihatan. Watak yang dimasukkan dalam filem Pangku tidak ramai lantas buatkan kita mudah kenal dan faham apa yang cuba diceritakan. Chemistry Fedi Nuril dan Claresta banyak menggerakkan cerita walaupun cuma dari pandangan mata dan senyum simpul. 


Filem Pangku bukan selera semua orang sebab tak ada banyak dialog yang dilontarkan dan rutin harian watak utama cuma berulang-ulang tapi cukup untuk menceritakan masalah yang dialami pada ketika itu. 

Babak Bayu tak dapat didaftarkan di sekolah antara babak penting dalam filem Pangku terbitan Gambar Gerak. Ada duit yang cukup pun belum tentu dapat laksanakan perkara yang mudah. Pihak sekolah masih perlukan dokumen penting seperti surat beranak atau slip gaji si ayah. 


Untuk kita yang menonton urusan-urusan mendaftarkan berjalan dengan lancar dan mudah tapi untuk Bayu dan Sartika, belum tentu jumpa jalan penyelesaian. Mungkin, sebab itu juga Sartika tak mampu nak benci Hadi sepenuhnya atas apa yang dia buat. Masih ada budi yang dia buat dalam hidup Sartika dan Bayu. 

Kekuatan Pangku semestinya terletak pada sinematografinya dari lensa Teoh Gay Hian yang perlu mendukung sepenuhnya screenplay yang mengetengahkan tentang pergelutan antara moral hidup dan kesempitan ekonomi demi menyara keluarga. Pangku banyak menggunakan medium shot dan close-up untuk menzahirkan elemen drama sebaiknya. 


Uniknya, walaupun Sartika dan isi rumah yang lain tinggal di pesisir laut namun untuk makan ikan bukan sesuatu yang mudah. Ironi tapi realiti orang hidup melarat. Laut banyak menjadi simbol emosi yang dipendam oleh Sartika dalam beberapa babak. Ada rasa sedih, ada marah dan juga harapan terhadap hidup yang lebih mudah dijalani untuk Bayu.

Walaupun Reza memilih untuk konsep show, not tell namun ada beberapa perkara juga yang belum dijelaskan sebaiknya. Tak diceritakan sama ada Hadi tahu tentang anak yang dia perlukan tapi nak kata Hadi tak tahu pun macam mustahil juga sebab anak dia boleh bersekolah. Atau mungkin sebab sistem pendidikan Indonesia dah benarkan anak tanpa bapa belajar seperti pelajar lain. 


Tertanya-tanya juga sama ada Sartika ada cuba atau tidak dapatkan sijil beranak Bayu bila tahu anak dia perlu didaftarkan di sekolah awam. Itu perkara asas pendaftaran untuk mana-mana institusi pun. Walaupun dia bersalin di rumah, dia daftarkan tak si Bayu selepas lahir? 

Tak ada babak Sartika cuba cari bantuan kerajaan atau NGO untuk masalah yang dialami. Kita talk didedahkan sama ada dia dirogol atau terpedaya dengan janji manis buaya darat sampai mengandungkan Bayu. Filem Pangku lebih kurang sama dengan filem Abang Adik (2023) yang buat I persoalkan pilihan yang dibuat oleh watak-watak utama. 


Dari awal nampak watak Maya sebagai orang yang baik membantu Sartika, bagi tempat tidur dan juga kerja tapi dia sendiri pun ada agenda tersendiri. Dia sayang dengan Bayu dan Sartika sebab wanita muda tu bantu perniagaan dia menjadi laris. Makin senang hati bila Hadi datang bawa ikan sebagai lauk sedap. 

Watak Maya tak lari jauh dari syarikat kapitalis yang menjerat manusia untuk romanticise kemiskinan supaya sentiasa rasa bersyukur dengan apa yang diberi oleh sistem. Mungkin Hadi watak antagonis yang cuba digambarkan oleh Pangku tapi sejak kahwin, Hadi dukung impian Sartika untuk berniaga. 


Dari penceritaan Pangku, bukan sentimen drama yang buatkan filem ni meninggalkan impak mendalam tapi perilaku manusia yang ambil kesempatan atas kesulitan orang lain yang menjadi pengajaran. 

1. Team Production +0.7, 2. Visual +1, 3. Audio +1, 4. Storyline +0.6, 5. Casting +1, 6. Genre +0.6, 7. Themes +0.7, 8. Editing +0.6, 9. Social Message +0.7, 10. Personal Thought +0.6 = 7.5/10

Pengarah: Chiska Doppert  
Penulis Skrip: Reza Keling, Adi Nugroho, Mo Sidik 
Pelakon:  Mael Lee, Daffa Ariq, Dodit Mulyanto, Yewen, Sara Fajira, Carissa Perusset, Sara Wijayanto, Gary M. Ishak, Kanaya Gleadys, Anif Bulbul, Azul Pratama, Rahut Sitompul
Syarikat Produksi: Makara Production    
Pengedar: Makara Production, Vidio 
Genre: Seram / Komedi  
Durasi Tayangan: 91 minit
Tarikh Tayangan: 23 Oktober 2025    
Trailer:


Filem Maju Serem Mundur Horor mengisahkan tentang empat mahasiswa jurusan perfilman iaitu Poltak (Mael Lee), Bowo (Dodit Mulyanto), Dede (Daffa Ariq), dan Asikin (Yewen) perlu menyiapkan tugasan akhir supaya dapat graduasi tepat pada waktunya. Mereka ingin menghasilkan filem seram tapi ketandusan idea sementara tempoh waktu yang diberikan oleh pensyarah (Gary Iskak) mereka cuma berbaki 3 bulan saja lagi.

Kebetulan, mereka berempat menyelamatkan Tiara (Carissa Perusset) dari diserbu oleh wartawan gara-gara kisah cinta dia yang terkubur. Dari insiden tersebut, mereka mendapat tahu ibu Tiara bernama Nyai Suketi (Sara Wijayanto) adalah seorang dukun yang cantik. Setelah pulang dari rumah Nyai Suketi, mereka berempat mengalami mimpi seram yang sama lantas menjadikan mimpi tersebut sebagai plot utama projek akhir mereka. 

Setelah berjaya memujuk Tiara dan rakan baiknya, Mumun (Sara Fajira), mereka kenetulan terjumpa tapak kubur Belanda iaitu lokasi yang sama seperti di dalam mimpi. Orang kampung melarang mereka menjalani penggambaran di situ tapi semuanya sudah nekad untuk jadikan kawasan tersebut sebagai lokasi utama. Ketika penggambaran berjalan, banyak perkara misteri dan menyeramkan berlaku. 

Filem seram komedi arahan Chiska Doppert menggunakan tema persahabatan yang diadun dalam komedi slapstik. Penggunaan watak mahasiswa menguatkan lagi tema yang dibawa kerana semangat setiakawan yang tinggi ketika zaman belajar dan juga keterdesakan mereka menghadapi pengalaman seram demi lulus pengajian.  

Penceritaan Maju Serem Mundur Horor bergerak laju dengan konflik-konflik yang dimasukkan seperti Poltak yang ingin buktikan dia mempunyai kemahiran dan bakat sebagai pengarah. Ada juga konflik yang datang dari kekangan dana kerana mereka semua cuma mahasiswa tahun akhir. Banyak juga konflik yang timbul tapi ada yang menjadi, ada yang memalukan macam watak Asikin yang boner tengok Tiara. 

Walaupun watak 4 sekawan adalah pelajar universiti tahun akhir tapi muka semua pelakon utama dah senja. Mungkin lama sangat repeat paper sampai pensyarah pun dah jemu tengok muka keempat-empat orang ni. Entah apa malang sangat nasib Tiara dan Mumun terperangkap dalam projek akhir mereka berempat. Masing-masing pun miang tengok Tiara macam miang keladi bila lelaki menginjak masuk umur 40-an. Geli tengok perangai masing-masing satu hal, dialog pun double meaning. Macam mana entah boleh lepas ditayangkan di pawagam. 

Idea untuk menggabungkan watak dari budaya Batak, Sunda, Jawa dan Papua tu dah menarik tapi kembangkan semua watak dalam acuan miang dan menggelikan ni memang tak patut sangat. Boleh sangat ketengahkan budaya masing-masing berhadapan dengan alam mistik. Pretty sure setiap kaum ada amalan dan pantang-larangnya tersendiri. 

Pertama kali tengok Sara Fajira berlakon filem komedi sebab selalunya dia berlakon filem seram macam Para Betina Pengikut Iblis (2023) atau Jagad Alam Gaib: Sinden Gaib (2024) tapi dalam persona Mumun, dia keluar dari kepompong watak yang menakutkan atau ditakutkan. I guess Sara Fajira dah boleh berlakon dalam genre lain sebab dia ada bakat yang lebih besar selain filem seram. 

Watak Tiara dan Nyai Suketi tak ada ruang untuk berkembang pun sebab hidup dalam dunia lelaki gatal. Memang masuk untuk jadi pasu bunga dan ikut telunjuk watak-watak utama walhal ada potensi tersendiri. 

Dari awal sampai ke klimaks memang filem Maju Serem Mundur Horor ada seram dan komedinya tapi bila masuk babak klimaks dah berubah kepada genre drama padahal tak perlu pun. Perubahan yang mendadak dan terkeluar dari landasan asal. Merepek betul sampai nak ke tahap tu padahal boleh sangat habiskan filem dengan momen yang kelakar bila semua dapat grad. 91 minit hadap filem macam ni bukan sesuatu yang mudah.  

1. Team Production +0.5, 2. Visual +0.6, 3. Audio +0.5, 4. Storyline +0.2, 5. Casting +0.3, 6. Genre +0.2, 7. Themes +0.4, 8. Editing +0.3, 9. Social Message +0.4, 10. Personal Thought +0 = 3.4/10

Sebuah pencapaian luar biasa! Filem seram thriller yang masih menjadi bualan hangat, Khadam, secara rasmi telah melonjakkan angka kutipan ‘box office’ tempatan dengan mencecah RM5 JUTA! Pihak produksi REDCOMM & KOMET, bersama barisan pelakon dan krew ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia serta rakan media yang tidak putus-putus memberikan sokongan padu.

"Terima kasih atas setiap tiket yang dibeli dan setiap sokongan yang diberikan."

Esok Hari Rabu, Jom Serbu Pawagam!

Berita baik! Esok ialah hari Rabu, waktu paling berbaloi untuk ke panggung memandangkan kebanyakan pawagam menawarkan harga tiket yang jauh lebih murah. Jadi, buat anda yang belum sempat menyaksikan fenomena seram ini atau mahu mengulangi semula debaran #Khadam, inilah masa terbaik untuk serbu pawagam berhampiran!

Ayuh teruskan sokongan padu anda terhadap industri filem tanah air. Kongsikan ulasan, reaksi, serta pengalaman menonton anda di media sosial dengan menggunakan tanda pagar #Khadam dan #JanganSampaiJadiTuan.

Untuk perkembangan terkini, kandungan eksklusif di sebalik tabir, serta pelbagai aktiviti menarik, pastikan anda mengikuti platform media sosial rasmi Primeworks Studios dan Khadam The Movie.

#Khadam #JanganSampaiJadiTuan #MasihDiPawagam

Tuah menyebelahi seorang suri rumah dari Kuching, Sarawak apabila beliau memenangi sebuah TQ Wuling Bingo Pro EV bernilai RM67,332 selepas muncul sebagai pemenang hadiah utama Pusingan 1 kempen Tonton Non Stop, On Top!.

Pemenang, Zizie Aina Anak Rigus, 29, yang berada di Sarawak, diwakili rakannya untuk menerima hadiah pada majlis penyampaian yang berlangsung di Kuala Lumpur hari ini.

Zizie berjaya mengumpul 64,561 mata sepanjang Pusingan 1 yang berlangsung dari 15 hingga 28 Jun lalu menerusi tontonan kandungan terpilih di platform Tonton.

Menurut Zizie, beliau mengetahui mengenai kempen itu menerusi media sosial sebelum menonton kandungan terpilih secara konsisten bagi mengumpul mata. “Saya tengok dari pagi sampai malam. Strateginya teruskan tengok dan jangan tutup mata,” katanya.

Beliau menyifatkan kemenangan itu sebagai rezeki yang amat bermakna buat dirinya dan keluarga, selain bercadang menggunakan kereta elektrik berkenaan untuk kegunaan harian, termasuk menghantar anak ke sekolah.

Sementara itu, Pengurus Besar, Pembangunan Produk & Perniagaan Tonton, Fikri Rizal Mahruddin, berkata penyampaian hadiah utama pertama itu merupakan satu detik bermakna buat Tonton.

“Hari ini merupakan satu detik yang cukup bermakna kerana kami telah menyampaikan hadiah utama pertama kepada pemenang Pusingan 1 kempen Tonton Non Stop, On Top!. Lebih istimewa, ini merupakan program ganjaran terbesar yang pernah dilancarkan oleh Tonton setakat ini, dengan jumlah hadiah keseluruhan bernilai lebih RM700,000,” katanya.

Beliau menambah, sambutan terhadap kempen itu amat menggalakkan dengan penyertaan melebihi 11,000 peserta setakat ini dan angka tersebut dijangka terus meningkat sehingga kempen berakhir.

Kempen Tonton Non Stop, On Top! masih berlangsung sehingga 9 Ogos 2026 dengan 3 lagi hadiah utama berupa kereta menanti pemenang. Pusingan 2 kini berlangsung sehingga 12 Julai, dengan kutipan mata ditetapkan semula mengikut mekanisme kempen bagi memberi peluang kepada semua peserta bermula semula dari garisan yang sama. Semakin banyak kandungan terpilih yang ditonton, semakin cerah peluang untuk menang. 

Untuk maklumat lanjut, layari contest.tonton.com.my/nonstopontop

Untuk maklumat yang lebih lanjut tentang rancangan kegemaran anda, ikuti kami di Facebook, Twitter, TikTok, dan Instagram di @tontonmy