Ketawa lebih kalut di Kerajaan Takhta Nusantara dalam ‘MEGA SPONTAN’ baharu

Friday 12 May 2023

Ketawa lebih kalut di Kerajaan Takhta Nusantara dalam ‘MEGA SPONTAN’ baharu | Gelanggang lebih epik dengan kombinasi pelawak, pelakon, penyanyi, pempengaruh & rakyat Malaysia 

Astro Warna kembali menghiburkan para penonton Astro dengan permainan lawak spontan terbaharu berskala besar tahun ini dengan kerjasama KLPOST dalam ‘MEGA SPONTAN’. Dengan bernadikan ‘Takhta Nusantara’ pada kali ini, rancangan berformat game show komedi ini menyatukan empat kumpulan yang mewakili kerajaan-kerajaan Nusantara iaitu Srivijanda, Langkataksuka, Majakelat dan Campaktakjauh dalam permainan lawak spontan secara  improvisasi yang menguji daya kreativiti masing-masing dalam masa yang terhad untuk dinobatkan menjadi ‘Raja Kerajaan Takhta Nusantara’

Pencapaian rancangan-rancangan komedi Astro terdahulu dalam mencipta fenomena melahirkan kemahuan para penonton untuk melihat muka-muka baharu dalam industri komedi. Apatah lagi apabila tumpuan kini dialih kepada bakat-bakat komedi daripada generasi media sosial yang semakin meraih populariti luar biasa di pelbagai platform hiburan. Oleh itu, uniknya pada kali ini apabila barisan pemain rancangan ini turut melibatkan rakyat Malaysia serta generasi BBNU yang mempunyai bakat komedi yang hebat secara spontan. 

‘MEGA SPONTAN’ akan dijayakan oleh seramai 20 pemain yang dibahagikan kepada empat buah kumpulan. Buat julung kalinya, setiap kumpulan bukan sahaja dipenuhi barisan pelawak ‘otai’ dan popular serta selebriti-selebriti yang mempunyai kelebihan dalam berkomedi. Namun ia juga terdiri daripada wajah-wajah baharu industri hiburan, pempengaruh sosial media dan rakyat umum yang dipilih menerusi uji bakat terbuka.

Antara nama-nama pelawak yang bukan asing lagi dalam industri komedi yang menyertai rancangan ini termasuk Roy Azman, Dato’ Jalaluddin Hassan, Mark Adam, Atu Zero, Joey, Adlin Aman Ramli, Ramona Zam Zam dan Aya Amiruddin. 

Manakala wajah-wajah baharu yang akan muncul buat pertama kali dalam hiburan komedi menerusi rancangan ini adalah pelakon dan penyanyi popular Naim Daniel, Farahdhiya, Noreen Iman, Fadhli Masoot serta penyandang gelaran ratu cantik, Sanjna Suri. Kumpulan barisan pemain ini termasuk empat pemain yang dipilih menerusi uji bakat terbuka akan diperkenalkan pada minggu pertama kelak.

 
Menarik lagi buat edisi ‘MEGA SPONTAN’ kali ini adalah pengenalan mentor bagi setiap kumpulan yang akan membantu strategi kumpulan yang diwakili serta memberi komen kepada persembahan setiap kumpulan termasuk persaingan Battle Royale. Barisan mentor ini digalas oleh pelawak versatil tersohor negara termasuk Zizan Razak yang mewakili kerajaan Majakelat, Douglas Lim untuk kerajaan Campaktakjauh, Sabri Yunus untuk kerajaan Langkataksuka serta Kamal Adli untuk kerajaan Srivijanda.

Gerak-geri setiap pemain akan dinilai oleh Dato’ Afdlin Shauki sebagai Game Master. Beliau akan menentukan peraturan setiap permainan serta mempunyai kuasa mutlak dalam pemilihan pemenang, pemilihan hukuman buat kumpulan yang tercorot serta pemberian Immunity kepada pemain mahupun kumpulan. 


Pertandingan lawak spontan kali ini bakal digamatkan dengan penampilan pelawak dan pengacara popular negara yang bakal mengemudi rancangan ini. Sherry Alhadad bakal menggalas tugasan pengacara buat kali pertama di samping Amir Raja Lawak yang akan bertindak sebagai pengacara bersama untuk menanyakan soalan-soalan panas kepada setiap kumpulan. 

‘MEGA SPONTAN’ akan berlangsung selama lapan (8) minggu dan bersiara secara langsung dari Panggung Percubaan, Universiti Putra Malaysia, Serdang mulai 19 Mei, setiap Jumaat, jam 9.00 malam eksklusif di Astro Warna (saluran 107). Untuk pilihan fleksible, strim rancangan ini melalui platform On Demand menerusi Astro Box dan aplikasi Astro GO. Dapatkan Pek Premium 1 untuk penjimatan hebat dengan hanya RM 99.99 sebulan untuk enam bulan pertama. Whatsapp “NAK ASTRO” ke 03-9543 3838 untuk menikmati ‘MEGA SPONTAN’ di Astro.


Penganjuran ‘MEGA SPONTAN 2023’ ini turut dimeriahkan dengan kolaborasi bersama Gempak dan Zon Lawak selaku Rakan Digital serta SINAR sebagai Rakan Radio Rasmi.  

Idlan Zahari - Pengurus Saluran Astro Warna

“Kemampuan berkarya secara berkomedi dan mampu membuat para penonton ketawa merupakan akar umbi kepada rancangan-rancangan hiburan komedi kami yang kian menjadi sukses di negara kita. Setelah lima tahun memberi laluan kepada rancangan-rancangan komedi terbaik yang lain, kami kembali dengan rancangan lawak spontan yang lebih epik dan gah menerusi ‘MEGA SPONTAN’. 

Format permainan kali ini diubah secara keseluruhan. Semuanya baharu untuk memberikan pengalaman hiburan yang hebat. Buat julung kalinya, kami membuka penyertaan kepada rakyat Malaysia yang mempunyai bakat berkomedi. Kami juga mempunyai wajah-wajah baharu industri hiburan yang belum pernah menerokai dunia komedi. Kombinasi mereka semua termasuk barisan pelawak yang sudah menempah nama dalam arena ini pastinya akan memberikan persembahan yang melangkaui jangkaan para penonton. Semestinya mereka semua akan menambat hati rakyat Malaysia, yang muda mahupun tua.

Bukan itu sahaja, buat julung kalinya kami juga membawa pengacara yang sangat sinonim dengan dunia komedi iaitu Sherry Alhadad. Bakat beliau yang lebih dikenali dengan lawak-lawak manja bersama dengan telatah Amir Raja Lawak pastinya akan membuat rakyat Malaysia kering gusi ketawa.

 
Selain daripada muka-muka baharu, kali ini turut membawa kemunculan pelawak-pelawak ‘otai‘ arena komedi negara iaitu Zizan Razak, Sabri Yunus dan Douglas Lim serta pelakon versatil Kamal Adli yang akan tampil sebagai mentor kepada pemain-pemain yang hebat ini. Merekalah yang akan menolong dan mereka jugalah yang akan mengacau setiap pemain. Dato’ Afdlin Shauki turut kembali sebagai Game Master yang pastinya akan mengagumkan Panggung Percubaan UPM Serdang dengan komen-komen beliau serta telatahnya yang kelakar. 

Dengan penerbitan semula rancangan lawak spontan kami yang berwajah baharu, saya berharap para penonton terhibur dengan apa yang bakal dipersembahkan sekaligus melihat bakat-bakat komedi pemain-pemain baharu dalam kalangan masyarakat yang akan diserlahkan di pentas ‘MEGA SPONTAN’. 

FORMAT RANCANGAN

Seramai 20 pemain yang dibahagikan kepada empat kumpulan terdiri daripada barisan pelawak ‘otai’ dan popular industri komedi, selebriti-selebriti ternama, bakat-bakat generasi muda serta pemain yang dipilih menerusi uji bakat terbuka akan bertanding dalam permainan lawak spontan yang akan berlangsung selama lapan minggu. 


Pertandingan mingguan akan dipecahkan kepada lapan segmen. Setiap kumpulan mempunyai ‘Hulubalang dan pahlawan-pahlawannya’. Pertandingan akan dipecahkan kepada enam pusingan yang terdiri daripada persaingan antara dua kumpulan dalam permainan lawak spontan dan juga permainan Battle Royale di mana kesemua empat kumpulan akan bersaing bersama secara bergilir-gilir. Setiap permainan yang dipilih akan melibatkan teknik improvisasi serta kreativiti para pemain  dalam masa yang terhad. Kumpulan yang menarik perhatian para juri dan Game Master dengan lemparan lawak spontan paling hebat akan memenangi pusingan tersebut. 

Mengekalkan format terdahulu, barisan ‘komentator’ atau mentor akan memberikan ulasan ringkas mengenai persembahan setiap kumpulan yang bersaing serta menggunakan helah mereka untuk mengacau dan menjatuhkan kumpulan pihak lawan di samping Dato’ Afdlin Shauki yang akan menilai setiap persembahan mengikut peraturan yang telah ditetapkan sebagai Game Master. 


Selain itu, pemberian kad imuniti turut dikekalkan dalam format permainan yang perlu diraih dalam pusingan Physical Challenge. Kesemua empat kumpulan akan bersaing dalam permainan fizikal untuk memenangi imuniti. Kad imuniti akan diberikan kepada seorang pemain atau kumpulan pemenang yang ditentukan oleh Game Master untuk menjadi kebal daripada penyingkiran. Kad imuniti akan diberikan pada setiap minggu. 

Pemarkahan untuk persembahan terbaik bagi setiap minggu ditentukan oleh para penonton menerusi undian secara dalam talian di www.gempak.com. Kesemua markah undian dalam talian akan dijumlahkan untuk menentukan pemenang mingguan serta bottom 2. Kumpulan yang mendapat markah terendah harus melalui hukuman yang disediakan oleh Game Master. Namun jika kumpulan tersebut meraih kad imuniti, hukuman akan diberikan kepada kumpulan  kedua terendah. Buat julung kalinya, penyingkiran akan dilakukan secara berkumpulan dan hanya akan diadakan pada minggu-minggu yang terpilih.  

SENARAI PESERTA MEGA SPONTAN 2023

Game Master: Dato’ Afdlin Shauki

Mentor

Kerajaan Majakelat : Zizan Razak
Kerajaan Srivijanda : Kamal Adli
Kerajaan Langkataksuka : Sabri Yunus
Kerajaan Campaktakjauh : Douglas Lim


Pemain MEGA SPONTAN 2023

Atu Zero 
Mamak Puteh
Joey
Mark Adam
Ropie
Roy Azman
Dato’ Jalaluddin Hassan
Adlin Aman Ramli
Naim Daniel
Fadli Masoot
Aya Amiruddin
Noreen Iman
Ramona Zam Zam
Farahdhiya
Mamat Sepah
Sanjna Suri

HADIAH KEMENANGAN MEGA SPONTAN 2023 

Kumpulan Juara Mega Spontan: RM200,000 dan sebuah trofi
Pemain Terbaik Pusingan Akhir : RM 10,000 dan sebuah trofi
Hadiah Mingguan: RM5,000 (Didermakan kepada badan amal terpilih)

2 comments

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.