Filem berteraskan kemanusiaan The Voice of Hind Rajab terus mencatat pencapaian membanggakan, apabila Malaysia kini muncul sebagai negara ke-3 dengan jumlah tontonan tertinggi di dunia, hanya di belakang Perancis dan Itali serta mengatasi Belgium dan Sepanyol.
Selepas 21 hari tayangan, filem ini telah merekodkan lebih 60,000 jualan tiket di seluruh negara, sekali gus membuktikan sokongan padu melalui Gerakan Suara Malaysia terhadap karya yang mengangkat nilai empati, kemanusiaan, dan solidariti sejagat. Ditayangkan di 47 lokasi pawagam di seluruh Malaysia, The Voice of Hind Rajab menunjukkan peningkatan tontonan yang konsisten dari hari ke hari.
Momentum ini dijangka terus berkembang seiring dengan pertambahan kesedaran awam serta sokongan berterusan daripada masyarakat terhadap naskhah yang menyentuh realiti kemanusiaan global. Pencapaian ini bukan sahaja mengukuhkan kedudukan filem tersebut di peringkat antarabangsa, malah mencerminkan keterbukaan penonton tempatan dalam menghargai karya sinematik yang membawa mesej mendalam dan berimpak tinggi.
The Voice of Hind Rajab diterbitkan oleh Mime Films dan Tanit Films, dengan Primeworks Studios bertindak sebagai pengedar serta rakan pemasaran rasmi di Malaysia. Filem ini diarahkan oleh pengarah tersohor dari Tunisia, Kaouther Ben Hania yang terkenal dengan sentuhan penceritaan berani dan berjiwa.
Ia dibintangi oleh barisan pelakon antarabangsa termasuk Saja Kilani, Motaz Malhees, Amer Hlehel dan Clara Khoury yang berjaya menghidupkan kisah ini dengan persembahan penuh emosi dan kejujuran.
The Voice of Hind Rajab bukan sekadar sebuah filem tetapi satu bukti, satu rakaman sejarah dan satu suara yang kekal abadi. Diangkat daripada kisah benar yang menyentuh jiwa, filem ini mengajak penonton untuk merenung makna kemanusiaan, kehilangan dan harapan dalam situasi paling getir.
Sebagai simbol empati dan solidariti, Media Prima turut menyumbangkan RM1.00 daripada bahagiannya bagi setiap tiket yang terjual kepada Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima, menjadikan setiap tontonan satu bentuk sokongan nyata.
Hayati sendiri inspirasi kisah benar yang menyentak emosi di minggu terakhir tayangan. Teruskan menjadi sebahagian daripada Gerakan Suara Malaysia.

Tak sangka negara europe adalah top 5 yg menonton filem ni.. Kesedaran dekat negara tu lebih tinggi..
ReplyDelete