Movie Review | Bhakshak (2024)

Saturday 2 March 2024


Director: Pulkit
Writers: Jyotsana Nath, Pulkit 
Cast: Bhumi Pednekar, Sanjay Mishra, Aditya Srivastava, Sai Tamhankar
Production Company: Red Chillies Entertainment
Distributor: Netflix
Genre: Crime / Drama
Running Time: 135 minutes
Release Date: 09th February 2024 
Trailer :


Vaishali Singh (Bhumi Pednekar) merupakan wartawan kepada siaran kecil dan dibantu oleh jurukamera, Bhaskar (Sanjay Mishra) yang sudah berumur. Satu hari Vaishali mendapat panggilan dari Gupta (Durgesh Kumar) yang ingin memberikan info tentang kes jenayah yang berlaku di rumah perlindungan. 

Gupta memberi satu laporan audit masyarakat yang telah dihantar kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat dua bulan lepas. Dalam laporan tersebut, dinyatakan secara jelas bahawa rumah perlindungan di Munawwapur, Bihar yang diuruskan oleh Bansi Sahu (Aditya Srivastava) mendera gadis-gadis yang berada di rumah perlindungan tersebut. Kebanyakan mereka mempunyai luka yang dalam, kesan melecur dan takut untuk bercakap. 

Laporan tersebut telah pun dihantar ke Jabatan Kebajikan Masyarakat juga Kerajaan Negeri namun setelah dua bulan belum ada apa-apa tindakan dibuat. Umum tahu Bansi Sahu mempunyai hubungan politik yang kuat dengan parti Kerajaan Negeri. Sejak Vaishali mula menyiasat kes tersebut juga, dia sentiasa diekori oleh kenderaan parti tersebut. 

Keluarga suami Vaishali merayu supaya dia lupakan kes tersebut kerana Bansi Sahu bukan orang yang baik. Orang sekitar rumah perlindungan tersebut lebih selamat mendiamkan diri dari membuka mulut. Kalau buat laporan polis pun belum tentu polis akan terima aduan tersebut kerana ramai yang terlibat secara langsung dan tak langsung dengan jenayah rumah perlindungan tersebut. 

Naskhah Bhakshak arahan dan penulisan Pulkit diinspirasikan dari kisah sebenar yang berlaku di rumah perlindungan Muzaffarpur, Bihar pada tahun 2018. Macam mana keadaan rumah perlindungan tersebut, jenayah yang dilakukan oleh pengurus dan warden ataupun keadaan mangsa semuanya dipaparkan tak lari jauh dari keadaan sebenar. 

Lakonan Bhumi Pednekar sebagai Vaishali sebagai wartawan yang berani, tabah dan tegas yang cuba kupas isu jenayah walaupun mengancam nyawa antara kekuatan filem Bhakshak. Dari poster, trailer atau promo materials yang lain kita dah boleh nampak Bhakshak akan jadi filem yang berat, buat kita tak senang duduk dengan realiti yang dibawakan sama ada dari sudut masyarakat yang mementingkan kasta atau pihak berkuasa yang tunduk dengan parti politik. 

Filem Bhakshak diadun dalam pace yang perlahan hingga ada kalanya rasa penat dan hilang fokus sebab kita boleh agak jalan ceritanya. Tak pasti kenapa Pulkit tak fokus kepada watak antagonis ataupun mangsa yang berada di rumah perlindungan tersebut. Kalau pace laju sikit mungkin boleh tambah beberapa babak yang buatkan kita emosi atau sakit hati dengan pihak antagonis. 

Watak SSP Jasmeet Kaur (Sai Tamhankar) pun tak diberi ruang yang banyak walhal boleh jadi key roles dalam naskhah jenayah drama ni. Memang dialog dia ada penggerak untuk watak Vaishali tapi nak juga tengok watak polis bekerjasama dengan polis baik. Ingatkan watak dia akan bagi akses yang lebih kepada watak Vaishali, rupanya dia mengeluh terpaksa akur dengan arahan ketua. Sama juga dengan suami Vaishali, Arvind Singh (Surya Sharma) yang cuma mampu muncul dalam beberapa babak tanpa memberi impak. 

Sinematografi Kumar Sourabh menggunakan pencahayaan yang minimal supaya mood dan tema Bhakshak bergerak seiring dengan penceritaan. Lagu Ganga dendangan Megha Sriram Dalton dan Anurag Saikia, komposer utama untuk filem Bhakshak mempunyai lirik yang kuat lantas menguatkan lagi perasaan suram pada watak Vaishali dan Bhaskar. 

Keputusan yang tepat lah untuk Red Chillies Entertainment pilih platform Netflix untuk tayangan secara rasmi sebab filem yang berat dan menggugat perasaan ni lagi sesuai ditonton secara dekat, di ruangan peribadi supaya pertanyaan Vaishali di hujung filem tinggalkan kesan yang mendalam. Filem Bhakshak bukan saja berlaku di Munawwapur atau Muzaffarpur tapi boleh berlaku di mana-mana pun kalau masyarakat pilih untuk berdiam diri seperti Sudha Kumari (Tanisha Mehta). 

1. Team Production +1, 2. Visual +1, 3. Audio +1, 4. Storyline +0.7, 5. Casting +1, 6. Genre +0.6, 7. Themes +1, 8. Editing +0.5, 9. Social Message +1, 10. Personal Thought +0.6 = 8.4/10

Post a Comment

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.