Movie Review | Sumpahan Jerunei (2023)

Monday 11 December 2023


Pengarah:  Jason Chong
Penulis Skrip: Jason Chong, Sky Khor, Sofia J. Rhyland, Wendy Wong
Pelakon: Bront Palarae, Uqasha Senrose, Syafie Naswip, Amerul Affendi, Daiyan Trisha, Tony Eusoff
Ruminah Sidek, Yuyun Hikmah 
Syarikat Produksi: Produksi Seni 2020
Pengedar: GSC Movies, Primeworks Studios, Netflix
Genre: Seram
Durasi Tayangan: 100 minit
Tarikh Tayangan: 27 Julai 2023
Trailer:


Filem Sumpahan Jerunei diilhamkan oleh upacara pengorbanan sebenar yang bermula sejak abad ke-13 dalam masyarakat kaum Melanau di Sarawak. Kisah bermula dengan ekspedisi yang disertai oleh Dr. Suraya (Sabrina Hassan) untuk menggali lebih banyak tentang Jerunei dihentikan serta-merta. Dr. Suraya merupakan isteri kepada Dr. Sani (Bront Palarae), pengkaji yang bertugas di Jabatan Muzium di Kuching dan juga penulis buku. 

Kehilangan Dr. Suraya dan rakan-rakannya membuatkan Dr. Sani turut serta penyelidikan Bee (Uqasha Senrose) dan Hana (Daiyan Trisha) di Mukah. Penyelidikan tersebut disertai juga oleh Arjuna (Syafie Naswip) dan Youtuber Tommy (Amerul Affendi). Sebelum masuk ke dalam hutan, mereka berlima berkumpul dahulu di rumah Madui (Tony Eusoff). Semasa di sana, Madui beritahu supaya elakkaan dari berjumpa Nula (Ruminah Sidek) kerana wanita tua tersebut merupakan anak dukun yang jahat. Bee pula diganggu oleh roh remaja perempuan bernama Matalau (Yuyun Hikmah). 


Mereka berlima dihantar ke rumah panjang usang yang terletak berdekatan dengan Jerunei. Tak lama pun di sana, mereka sudah diganggu dengan pelbagai jenis gangguan. Paling teruk sekali Bee dan Hana yang terjaga di dalam hutan. Kerana takut dengan gangguan tersebut, Hana ambil keputusan untuk pulang tapi dia tak berjaya keluar dari kawasan tersebut. 

Bee sudah berpesan supaya tidak menyentuh tiang Jerunei namun Arjuna mengendahkan nasihat tersebut. Kerana dia, habis semua orang dalam ekspedisi tersebut menjadi mangsa dan terima nasib yang sama dengan ekspedisi Dr. Suraya. 


Produser filem Sumpahan Jerunei, Datin Dr Wendy Wong dan Datuk Nancie Foo mengambil langkah untuk menceritakan tentang adat dan budaya masyarakat Melanau untuk menceritakan sejarah Bumi Kenyalang yang kian lapuk dilupakan masyarakat generasi kini. 

Jerunei merupakan tempat bersemadi golongan raja, bangsawan, pemimpin tinggi juga saudagar-saudagar yang bersifat dermawan pada masa dulu. Jerunei diperbuat daripada kayu belian bersaiz besar supaya tahan lebih lama dengan suhu iklim Malaysia. Bahagian tiangnya setinggi 12 meter hingga 15 meter, terdapat dua atau tiga lubang untuk menempatkan mayat dan barang bernilai milik si mati. Bahagian luar tiang Jerunei dihiasi dengan ukiran bermotifkan binatang harimau, naga, ular  dan sebagainya sebagai simbol status si pemilik. 


Kejamnya pembinaan Jerunei ni bila lubang sedalam 2 meter akan digali dan seorang hamba akan dihumban ke dalam lubang tersebut lantas ditanam hidup-hidup sebelum tiang Jerunei dipacakkan. Gadis yatim piatu dari golongan hamba juga akan diikat dan digantung di tengah Jerunei, dibiarkan mati kebuluran. Jadi tak hairan lah kenapa roh yang menghuni Jerunei mempunyai dendam yang dashat. 

Filem Sumpahan Jerunei meraih 5 anugerah di Florence Film Awards iaitu Filem Cereka Terbaik, Pengarah Terbaik (Jason Chong), Sinematografi Terbaik (Haris Hue Abdullah), Muzik Skor Asal Terbaik (Sharon Paul) dan Penerbit Terbaik (Wendy Wong dan Nancie Foo). Tak dinafikan filem Sumpahan Jerunei mempunyai input yang unik dan tak pernah diceritakan sebelum ini walaupun jalan cerita menggunakan template klise dan boleh dijangka. 


Sinematografi Sumpahan Jerunei juga menggunakan khidmat CGI dan menjadi salah satu punca filem ini dikritik hebat tapi kalau diikutkan tak lah mengganggu penceritaan sangat. Suasana filem Sumpahan Jerunei juga menyeramkan terutamanya di kawasan rumah panjang kerana keadaannya yang usang dan terletak di dalam hutan. 

Nak kata visual adalah faktor kelemahan Sumpahan Jerunei tu tak juga sebab beberapa plot tak dikembangkan dengan baik. Kenapa Bee dan Hana mengajak Youtuber untuk turut serta pun tak pasti. Lakonan Amerul Affendi sebagai Youtuber Tommy pun menyakitkan hati juga, tak perlu ada pun tak apa sebab screentime tu boleh bagi dekat Dr. Sani. Watak Hana juga patutnya perlu diberikan kepada pelakon yang lebih berbakat. 


Walaupun filem Sumpahan Jerunei ada kelemahan tapi not bad lah untuk ditonton secara santai. 

1. Team Production +0.7, 2. Visual +0.5, 3. Audio +1, 4. Storyline +0.7, 5. Casting +0.6, 6. Genre +0.6, 7. Themes +1, 8. Editing +0.6, 9. Social Message +1, 10. Personal Thought +0.8 = 7.5/10

1 comment

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.