ANNA JOBLING TERCALON DI SEOUL INTERNATIONAL DRAMA AWARDS 2025!
Thursday, 21 August 2025
ANNA JOBLING TERCALON DI SEOUL INTERNATIONAL DRAMA AWARDS 2025! | Hai Cinta, Dengarkanlah! Menaikkan Nama Anna Jobling Di Pentas Antarabangsa
Malaysia sekali lagi berasa bangga apabila pelakon serba boleh, Anna Jobling, diumumkan tercalon sebagai Outstanding Asian Star – Malaysia di Seoul International Drama Awards (SDA) 2025, yang bakal berlangsung pada 2 Oktober 2025 di Yeouido KBS Hall, Seoul, Korea Selatan. Anna membawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa menerusi lakonannya yang memukau dalam drama ‘Hai Cinta, Dengarkanlah’, siaran popular TV3 dalam slot Akasia.
Tentang Seoul International Drama Awards (SDA)
SDA merupakan salah satu anugerah drama antarabangsa paling berprestij yang menghimpunkan bakat-bakat dari seluruh Asia. Tahun ini, Anna bakal bersaing dengan bintang-bintang ternama dari Jepun, China, Thailand, Filipina dan negara Asia lain. Sistem pemilihan pemenang ditentukan melalui proses undian secara global yang dipilih berdasarkan undian peminat dari seluruh dunia melalui aplikasi IDOL CHAMP, menjadikan setiap pencalonan sangat kompetitif. Tahun lalu, pencalonan Malaysia turut membuahkan kejayaan apabila Siti Saleha merangkul kategori yang sama, menandakan prestasi Malaysia semakin diiktiraf di peringkat serantau.
Anna Jobling
Anna Jobling kini merupakan antara pelakon muda paling berpengaruh di Malaysia. Beliau pernah memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik di Anugerah Drama Festival Malaysia (DFM) dan tersenarai dalam pelbagai produksi drama popular TV3. Dengan pencalonan di SDA 2025, karier Anna melonjak ke peringkat serantau, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai ikon bakat Malaysia di mata dunia.
Anna Jobling berkongsi "Saya benar-benar terkejut dan terharu dengan pencalonan ini. Ia merupakan satu penghormatan besar bukan sahaja untuk saya, tetapi juga untuk seluruh pasukan produksi 'Hai Cinta, Dengarkanlah'. Sokongan daripada keluarga, rakan-rakan sepasukan, dan para peminat sentiasa menjadi sumber inspirasi saya. Saya berharap dapat membawa pulang kemenangan ini untuk Malaysia!"
“Saya sangat berterima kasih dan teruja dengan pencalonan ini. Ia bukan sahaja satu penghargaan untuk saya secara peribadi, tetapi juga satu kebanggaan buat Malaysia dan TV3 yang sentiasa menyokong karya seni tempatan. Saya akan lakukan yang terbaik untuk membawa nama Malaysia lebih tinggi di pentas antarabangsa,” tegas Anna.
Drama ‘Hai Cinta, Dengarkanlah’
Drama bersiri 28 episod ini menyajikan kisah penuh liku kehidupan dan percintaan yang tidak dijangka. Anna membawa watak Cahaya, seorang wanita yang dikejutkan dengan berita kematian suaminya, Firdaus (Nazrief Nazri), pada hari ulang tahun perkahwinan mereka. Ketika Cahaya sedang menghitung hari untuk menyambut kelahiran anak sulungnya, kebahagiaan yang diharapkan menjadi kenyataan musnah dalam sekelip mata. Lakonan penuh emosi dan mendalam Anna berjaya mencuri perhatian penonton, sekaligus membuka ruang buatnya di pentas antarabangsa.