TV3 & ALTERNATE RECORDS GONDOL DUA ANUGERAH ANTARABANGSA DI CONTENTASIA AWARDS 2025!

Friday, 5 September 2025

TV3 & ALTERNATE RECORDS GONDOL DUA ANUGERAH ANTARABANGSA DI CONTENTASIA AWARDS 2025! | ‘Hening Rindu’ dan ‘Fail Mahkamah’ Bawa Pulang Anugerah Gold dan Silver!

Bangsar, 5 September 2025 – TV3 dan Alternate Records sekali lagi membuktikan keunggulan sebagai peneraju industri muzik kreatif dan kandungan negara apabila berjaya merangkul dua anugerah berprestij di pentas antarabangsa, ContentAsia Awards 2025, yang berlangsung meriah di Taipei pada 4 September 2025.

Momen penuh kebanggaan ini diraikan apabila lagu popular “Hening Rindu” nyanyian Marsha Milan yang merupakan runut bunyi rasmi drama Aku Bukan Ustazah di Slot Akasia TV3, diumumkan sebagai Gold Award  bagi kategori Best Sound Design Created in Asia for an Asian TV Programme/Series. 

Kemenangan ini menobatkan “Hening Rindu” – ciptaan Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh dengan lirik oleh Ikhwan Fatanna – sebagai karya bertaraf antarabangsa, sekali gus mengangkat nama Malaysia sebaris dengan pencalonan hebat lain dari seluruh Asia.  Awal tahun ini, “Hening Rindu” juga telah diangkat sebagai juara di Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL 39), menjadikannya bukan sahaja pemenang anugerah muzik paling berprestij di tanah air, malah kini turut mendapat pengiktirafan juri antarabangsa.  

Gabungan melodi yang menyentuh jiwa, susunan bunyi yang penuh emosi serta padanan sempurna dengan jalan cerita menjadikan lagu ini elemen penting dalam kejayaan dramatik siri drama tersebut.  Pengiktirafan di ContentAsia Awards 2025 ini sekali gus membuktikan mutu karya tempatan mampu berdiri sama tinggi, bahkan setanding dengan produksi antarabangsa.

Antara pencalonan lain dalam kategori ini termasuk, Bad Guys (Vidio, BASE Entertainment, CJ ENM Hong Kong Limited), Furever Yours (Mediacorp Pte Ltd), Karuvanam (Mediacorp Pte Ltd / Storybots Asia), Lamput Season 4 - Boss On The Moon (Warner Bros. Discovery) dan Shape of Love (Hakka TV / LUMINOSO FILM CO., LTD).

Anugerah ini diterima oleh Puan Shahila Shah, Pengurus Besar Kanan, Filem, Muzik & Produksi Dalaman, Media Prima Television Networks, bagi pihak produksi.  Mengulas mengenai kemenangan ini, Shahila berkata, “‘Hening Rindu” bukan sahaja menyentuh jiwa penonton di Malaysia, malah kini berjaya diiktiraf di peringkat antarabangsa.  Kejayaan ini membuktikan bahawa karya tempatan, khususnya terbitan Alternate Records, mampu menembusi persaingan serantau serta meraih pengiktirafan dunia. Kami amat berbangga kerana pencapaian ini lahir daripada dedikasi serta semangat karyawan tempatan yang sentiasa memberikan yang terbaik.” 

Kemenangan ini juga mencerminkan bagaimana kreativiti dan muzik boleh memperkuat penceritaan dalam drama.  Semoga detik bersejarah ini terus memberi inspirasi untuk kita menghasilkan kandungan bertaraf global, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju muzik dan kandungan di rantau Asia.” tambah beliau.

Tidak cukup dengan itu, TV3 turut mengharumkan nama negara dengan meraih Silver Award bagi kategori Best Current Affairs Programme Made in Asia for a Single Market in Asia melalui dokumentari penuh emosi, “Fail Mahkamah: Zulfarhan; 19 Lawan 1.


‘Fail Mahkamah: Zulfarhan; 19 Lawan 1’ bukan sekadar program TV, tetapi cerminan jiwa, dan keberanian rakyat Malaysia.  Karya ini berjaya mengetengahkan tragedi penuh emosi yang menyentuh hati, sekaligus memperkukuhkan peranan TV3 sebagai penerbit kandungan berimpak tinggi yang mengangkat isu masyarakat ke pentas antarabangsa. Kejayaan ini turut meletakkan nama Malaysia sebaris dengan syarikat produksi besar Asia yang lain.  

Antara calon lain dalam kategori ini ialah, Eun-soo’s Democracy Lesson (Taigi TV Station), NewsMagazine: Hidden Profits - The Dark Reality of Public Housing Abuse (Television Broadcasts Limited), Shifting Horizons (IFA for CNA, Mediacorp Pte Ltd) dan CNA Correspondent: They Are Coming Home (CNA, Mediacorp Pte Ltd).


Ahmad Farith Zahir, Penerbit Eksekutif Fail Mahkamah, berkata, “Kes membabitkan Allahyarham Zulfarhan bukan sekadar kisah jenayah biasa. Ia adalah pengajaran besar tentang sebuah amanah, persahabatan serta kepercayaan yang dikhianati. Dengan menyampaikan semula kisah ini, kami berharap masyarakat tidak hanya mengingati tragedi, tetapi turut mengambil iktibar agar insiden sebegini tidak lagi berulang.” 

Tambah Farith lagi, “Dua episod khas yang dipertontonkan memberi ruang untuk masyarakat melihat dengan lebih dekat bagaimana kekejaman boleh meragut masa depan seorang anak muda yang penuh potensi.  Pada masa yang sama ia membuka perbincangan lebih luas tentang isu buli dan penderaan yang masih wujud dalam masyarakat. Kisah Zulfarhan ini membawa mesej jelas bahawa setiap suara yang terabai mampu membawa padah.”


Dua episod khas “Fail Mahkamah: Zulfarhan; 19 Lawan 1” kini boleh distrim secara eksklusif di Tonton, memberi peluang kepada penonton untuk menelusuri semula kisah penuh pengajaran ini dengan lebih mendalam.

Majlis anugerah berprestij ini menghimpunkan lebih 150 pencalonan dari pelbagai negara Asia dan disiarkan secara langsung melalui platform digital ContentAsia, dengan AXN sebagai rakan penyiar rasmi Red Carpet.

Dengan kemenangan ini, TV3 dan Alternate Records  sekali lagi mengangkat martabat industri hiburan dan kandungan produksi Malaysia ke puncak antarabangsa, membuktikan bahawa karya tempatan bukan sahaja mampu bersaing, malah mampu mengungguli.

Post a Comment

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.