Malam Gala Sore: Istri dari Masa Depan Disambut Meriah di Malaysia, Bukti Keunggulan Sinema Romantis Indonesia

Thursday, 25 September 2025

Kuala Lumpur, 24 September 2025 – Selepas mencatat kutipan box office melebihi USD 9 juta serta meraih lebih 3 juta penonton di pawagam Indonesia, filem romantik fantasi “Sore: Istri dari Masa Depan” kini bersedia menawan layar perak Malaysia. Lebih membanggakan, karya ini turut terpilih sebagai wakil rasmi Indonesia ke Academy Awards ke-98 (Oscar) bagi kategori Best International Feature Film.

Sebagai pengedar dan rakan pemasaran rasmi, Primeworks Studios dengan bangga membawakan naskhah istimewa ini khas buat peminat filem di Malaysia, dengan tayangan bermula 25 September 2025 di pawagam seluruh negara. Diterbitkan oleh Cerita Films di bawah pimpinan Suryana Paramita dan diarahkan oleh sutradara berbakat Yandy Laurens, Sore menampilkan barisan pelakon hebat termasuk Dion Wiyoko, Sheila Dara Aisha, Goran Bogdan, Lara Nekic, Livio Badurina, Maya Hasan dan Mathias Muchus.

Sebuah Kisah Cinta Melawan Waktu

Apa yang akan berlaku jika pasangan hidup anda tiba-tiba muncul dari masa depan dengan misi mengubah jalan hidup anda, sedangkan anda percaya hidup anda sudah baik-baik sahaja? 

Itulah intipati utama “Sore: Istri dari Masa Depan,” yang mengisahkan Jonathan (lakonan Dion Wiyoko) yang dikejutkan dengan kemunculan seorang wanita asing bernama Sore (lakonan Sheila Dara) yang mendakwa dirinya sebagai isteri Jonathan dari masa depan.

Sore hanya mempunyai satu tujuan iaitu mengubah gaya hidup Jonathan sebelum segalanya terlambat. Namun apabila rahsia masa depan terbongkar, sesuatu yang tidak disangka-sangka menggoncang perjalanan mereka. Mampukah usaha Sore benar-benar mengubah hidup Jonathan?

Diadaptasi daripada webseries popular dengan judul sama, versi layar perak ini bukan sekadar pengulangan, sebaliknya tampil dengan skala lebih megah, emosi lebih mendalam, serta sentuhan sinematik yang lebih berani.

“Sore: Istri dari Masa Depan lahir daripada perenungan peribadi saya selepas berumah tangga dan dikurniakan dua anak, ketika saya mula memahami erti cinta tanpa batas. Bermula sebagai sebuah webseries sederhana, ia kini berkembang menjadi filem berskala besar yang berjaya menyentuh jutaan penonton. Saya sangat teruja untuk berkongsi kisah ini dengan penonton Malaysia kerana saya percaya mesej tentang cinta dan kesempatan kedua adalah sesuatu yang universal,” kata Yandy Laurens, pengarah dan penulis skrip filem ini yang juga dikenali menerusi karya seperti Keluarga Cemara, Jatuh Cinta Seperti di Film-Film dan 1 Kakak 7 Ponakan.

Mengiringi kisah yang penuh makna ini, Sore juga mempersembahkan sinematografi yang mempesona. Penonton akan dibawa menjelajah tiga dunia berbeza iaitu Jakarta, Croatia dan Finland melalui hamparan ais yang membeku, panorama aurora dan mentari senja yang menakjubkan, serta landskap desa Eropah yang memukau. Kontras visual ini bukan hanya memperkukuh jalan cerita, malah menghidupkan sebuah romansa fantasi yang melintasi ruang, masa dan sempadan.

Kedalaman emosi filem ini turut diserlahkan melalui runut bunyi utama Terbuang Dalam Waktu nyanyian kumpulan rock alternatif Indonesia, Barasuara. Setiap alunan melodi berdenyut seakan nadi yang mendampingi perjalanan Jonathan dan Sore, menjadikan pengalaman menonton lebih intim dan sukar dilupakan.

Kenangan Coffee dengan bangganya mengumumkan kerjasama eksklusif sebagai rakan promosi rasmi untuk filem yang dinanti-nantikan, “Sore: Istri dari Masa Depan.”

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan naskhah box office ini yang kini berada pada kedudukan keenam tertinggi kutipan di Indonesia tahun ini. “Sore: Istri dari Masa Depan” bakal menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia mulai 25 September 2025.

Sebuah kisah tentang cinta, takdir dan pengorbanan. Jika diberi kesempatan kedua, apa yang akan anda ubah dalam hidup anda?

Untuk perkembangan terkini dan kandungan eksklusif Sore: Istri dari Masa Depan, ikuti kami di Facebook, Instagram, X dan YouTube Primeworks Studios.

Post a Comment

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.