KUALA LUMPUR: Astro Malaysia Holdings Berhad terus memperkukuh momentum pertumbuhan pada suku kedua tahun kewangan 2026 (Q2FY26), dengan jumlah penambahan pelanggan kasar TV-Berbayar meningkat 5% suku ke suku, didorong oleh sambutan isi rumah terhadap nilai dan kemudahan yang ditawarkan pakej Astro One dalam pilihan hiburan mereka.
Peningkatan ini turut didokong oleh tahap kesetiaan pelanggan yang lebih baik, apabila kadar churn berkurangan sebanyak 25% berbanding suku sebelumnya, termasuk kembalinya pelanggan lama. Secara keseluruhan, pencapaian ini membantu mengurangkan kehilangan pelanggan TV-Berbayar kira-kira 60% secara sukuan dan tahunan.
Perkembangan ini berterusan hingga ke akhir suku, dengan kemuncaknya pada Ogos apabila Astro mencatat penambahan bersih pelanggan TV-Berbayar buat pertama kali sejak 2018 yang merupakan satu pencapaian penting bagi perniagaan teras syarikat.
PERNIAGAAN BERKAITAN
Seperti suku sebelumnya, syarikat turut mencatat perkembangan memberangsangkan dalam perniagaan berkaitan, iaitu Astro Fibre, sooka dan Enterprise, sebagai sebahagian daripada strategi transformasi untuk mempelbagaikan sumber pendapatan di luar cakupan TV-Berbayar.
Astro Fibre, yang direka untuk menggabungkan kesalinghubungan dan kandungan, mencatat pertumbuhan asas pelanggan sebanyak 12% YoY adalah bukti jelas bahawa pelanggan menghargai gabungan hiburan dengan jalur lebar yang lancar, meskipun dalam pasaran yang sangat kompetitif.
Platform OTT tempatan kami, sooka, terus menunjukkan momentum positif dengan peningkatan hampir 50% dalam asas pelanggan VIP berbayar YoY, ia satu pencapaian menggalakkan terutamanya dengan ketiadaan pelbagai temasya sukan utama yang berlangsung pada suku yang sama tahun kewangan sebelumnya.
Segmen Enterprise pula mencatat pertumbuhan hasil 6% YoY, biarpun sentimen pengguna yang berhati-hati terus membelenggu perniagaan runcit. Asas pelanggan pula kekal berkembang dari suku ke suku dan tahun ke tahun, ia mencerminkan ketahanan segmen ini walaupun Q2 lazimnya merupakan musim sukan yang lebih senggang.
Melangkah ke hadapan, segmen ini dijangka terus mencatat prestasi baik pada separuh kedua tahun kewangan dengan kepulangan acara sukan berprofil tinggi seperti Liga Perdana Inggeris, Liga Bola Sepak Malaysia dan Kejohanan Dunia Badminton 2025.
KANDUNGAN
Suku kedua menyaksikan kemunculan sensasi baharu industri muzik tempatan, iaitu ALPHA, kumpulan kugiran boy-band yang lahir daripada program realiti popular Big Stage Alpha.
Program tersebut mencatatkan kejayaan besar dengan 7.4 juta tontonan TV, ia juga meraih 745 ribu jumlah strim rentas platform On Demand (OD), serta mencatatkan 223 juta tontonan di TikTok dan kemuncaknya menyaksikan lebih 6,000 peminat membanjiri Pavilion Kuala Lumpur untuk persembahan langsung sebelum pusingan akhir berlangsung.
Daripada pentas itu, ALPHA pantas melonjak menjadi igauan ramai. Mereka sekali lagi mencuri perhatian pada acara Merdeka Hello Inilah Kita, apabila ribuan penonton berhimpun untuk menyaksikan persembahan lagu Sahabat, sebuah naskah yang meraikan persahabatan dan perpaduan dalam kepelbagaian Malaysia.
Hanya dalam tempoh tiga bulan sejak kemunculan sulung mereka, ALPHA telah meraih lebih 7.8 juta strim di pelbagai platform. Single sulung mereka, Mona Lisa (Bang Bang) mencatat lebih 1.6 juta strim di Spotify, Apple Music dan YouTube Music, manakala susulan mereka P. Ramlee Saloma pula mencecah 6.1 juta strim di platform yang sama. Pencapaian ini membuktikan kebolehan Astro dalam menukar tontonan televisyen kepada satu fenomena muzik, sekali gus menjalin ikatan dengan peminat yang melangkaui batas skrin.
Drama tempatan terus menjadi tonggak tontonan On Demand (OD) pada Q2FY26. Dia Bukan Syurga sahaja berjaya menarik 6.9 juta penonton TV sejak mula ditayangkan pada Mei, selain meraih 1.5 bilion tontonan di TikTok. Menariknya, 26% daripada jumlah penstriman datang daripada khalayak bukan Melayu, sekali gus membuktikan kekuatan naskah Melayu nukilan Astro yang mampu merentasi sempadan komuniti.
Daya tarik silang budaya ini turut terserlah dalam drama Cina dan Tamil Astro. Step Dave dan Aadhira masing-masing mencatat 65% dan 50% tontonan daripada khalayak bukan penutur asal, menunjukkan permintaan yang semakin luas terhadap cerita yang mampu menembusi batas bahasa.
Kandungan kami juga mencetuskan perbualan sosial yang penting. Aadhira, misalnya, mengetengahkan isu keganasan rumah tangga, manakala Mandul Bukan Pilihan, yang menerima 29% tontonan daripada khalayak bukan Melayu, menelusuri stigma berkaitan ketidaksuburan. Sokongan yang diberikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, turut memperkukuh impak mesej yang disampaikan dalam karya-karya ini.
Sempena sambutan Merdeka tahun ini, Astro membuktikan keupayaannya untuk memperkukuh suara, kreativiti dan semangat kebersamaan yang melangkaui skrin televisyen menerusi kempen Inilah KITA, Sehati Bersama.
Bermula Ogos hingga September, kempen ini menghimpunkan rakyat Malaysia melalui saluran khas KITA (CH100) yang menampilkan lebih 50 program, lagu tema Bangkit Malaysia nyanyian Hael Husaini, serta acara Inilah KITA di Pavilion KL yang berjaya menarik lebih 12,000 pengunjung.
Sambutan ini turut diperluas dengan kembalinya KITA FM, yang menjelajah 13 negeri dalam siri jelajah seluruh negara. Dipelopori oleh Astro Audio, edisi kedua KITA FM sekali lagi menyerlahkan kekuatan jenama audio kami sebagai rangkaian radio nombor satu di Malaysia, dengan capaian 10.64 juta pendengar yang menjadi bualan hangat di media sosial.
ADEX
Dari segi Perbelanjaan Pengiklanan (ADEX), prestasi pada suku kedua FY26 agak menyederhana dengan kutipan sebanyak RM61 juta, susut 12% QoQ merentasi TV, Pengiklanan Bersasar, Radio dan Digital. Keadaan ini mencerminkan sentimen makro yang lemah, khususnya apabila syarikat multinasional memilih untuk menangguh atau mengubah hala bajet pemasaran mereka.
Meskipun begitu, Astro terus memperkukuh kedudukannya sebagai ‘Attention Company’ dengan membangunkan keupayaan yang mampu menawarkan tumpuan bernilai yang merupakan sesuatu yang sentiasa dicari oleh jenama.
Salah satu langkah penting pada suku ini ialah pelancaran KULT, usaha pemasaran digital berteraskan budaya. KULT memanfaatkan ekosistem kandungan premium Astro, data pihak pertama serta rangkaian pencipta untuk membantu jenama bergerak seiring arus budaya semasa. Pendekatan ini memastikan mesej lebih relevan dapat merentasi platform-platform utama, sekali gus mengukuhkan Astro sebagai ekosistem pengiklanan pilihan serta membuka aliran hasil baharu dengan impak yang jelas dan boleh diukur oleh pengiklan.
KEWANGAN
Di sebalik cabaran ekonomi serta perbelanjaan pengguna yang berhati-hati, Astro mencatatkan hasil suku tahunan berjumlah RM683 juta, dengan EBITDA sebanyak RM169 juta dan PATAMI sebanyak RM16 juta. Syarikat terus menunjukkan daya tahan, kekal menjana aliran tunai dengan free cash flow sebanyak RM138 juta bagi suku berkenaan.
CETAK ROMPAK DIGITAL
Astro turut memperkukuh usahanya dalam melindungi ekonomi kreatif dengan menyertai Alliance for Creativity and Entertainment (ACE), gabungan anti-cetak rompak kandungan yang terbesar di dunia, sekali gus meletakkan syarikat pada kedudukan yang lebih kukuh untuk menumpaskan operasi cetak rompak yang menjejaskan pasaran sah.
Di peringkat domestik, Astro meraih beberapa kejayaan undang-undang penting dengan pemulihan berjumlah RM287,000 hasil daripada penyelesaian, ganti rugi, kos dan yuran langganan komersial daripada kes melibatkan pengendali homestay, beberapa restoran serta sebuah kedai elektronik yang menjual kotak TV haram.
Bagi separuh pertama FY26, Astro turut meningkatkan penguatkuasaan anti-cetak rompak kandungan dengan menurunkan 748,000 pautan laman web dan media sosial. Melalui kerjasama bersama platform global utama, syarikat berjaya menutup 580 kumpulan Telegram yang mempunyai 32.2 juta pelanggan serta mengalih keluar 5,000 pautan melanggar hak cipta daripada laman perkongsian video antarabangsa.
Di platform e-dagang pula, tindakan penguatkuasaan menyaksikan 10.9 ribu iklan dipadamkan, 417 akaun penjual digantung dan dua laman sesawang perkhidmatan cetak rompak kendiri ditutup
ESG
Astro terus memperkukuh amalan ESG dalam operasi syarikat dengan memberi tumpuan kepada keterangkuman sosial, tanggungjawab alam sekitar dan pemerkasaan budaya.
Melalui program Astro Kem Badminton dan Klinik STL, lebih 3,400 kanak-kanak di seluruh negara menerima latihan sukan berstruktur yang membentuk nilai kerjasama serta disiplin. Kempen seperti Kami Benci Buli serta pencapaian daripada IP kanak-kanak popular, Didi & Friends, mengukuhkan lagi komitmen Astro dalam menyediakan ruang yang selamat dan inklusif.
Antara pencapaian penting ialah rekod Malaysia Book of Records bagi sesi penceritaan kanak-kanak terbesar dengan penyertaan 2,172 peserta, di samping usaha memperluas akses melalui buku audio dan video dengan bahasa isyarat bagi menjadikan hiburan kanak-kanak lebih mesra semua golongan.
Dari segi alam sekitar, inisiatif seperti MIX & MELODY River Rangers dan Ini Sungai Kita telah melibatkan pendengar, sukarelawan serta sekolah bukan sahaja untuk membersihkan sungai, malah meningkatkan kesedaran tentang pemuliharaan sungai dan biodiversiti sekali gus mengukuhkan hubungan komuniti berasaskan kelestarian.
KENYATAAN KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF – EUAN SMITH
“Prestasi suku ini memberi kami lebih banyak sebab untuk berasa optimis.
Pelanggan semakin menyambut baik kemudahan dan nilai yang ditawarkan oleh pakej Astro One, manakala penggunaan Ultra dan Ulti Box terus mendorong kepuasan pelanggan. Ini terbukti melalui peningkatan berterusan dalam Net Promoter Scores. Pada bulan Ogos, kami turut mencatatkan pertambahan bersih pelanggan Pay-TV positif buat kali pertama sejak 2018, ia satu pencapaian bermakna yang menandakan usaha kami mula membuahkan hasil.
Momentum baik turut dilihat pada Astro Fibre, yang telah mengatasi peneraju pasaran jalur lebar dalam pertambahan bersih pelanggan pada suku ini. Pencapaian ini mencerminkan daya tarikan pakej gabungan jalur lebar dan hiburan kami dalam kalangan isi rumah.
Pada masa yang sama, enjin pertumbuhan baharu terus terbentuk.
sooka menyambut ulang tahun keempatnya sebagai aplikasi sukan nombor satu di Malaysia. Sebagai aplikasi dengan pertumbuhan terpantas di Malaysia, sooka kini tersenarai dalam lima aplikasi dengan hasil tertinggi di Google Play. Lebih mengagumkan, semua ini dicapai dalam suku tanpa temasya sukan besar yang mana penglibatan pengguna tetap meningkat sepertiga. Ia tanda jelas bahawa pelanggan menghargai pengalaman hiburan di samping tawaran sukan dalam sooka.
Pencapaian ini bukan kebetulan. Pasukan kami sentiasa konsisten menambah baik aplikasi, daripada ciri sembang berasaskan AI hingga cadangan tontonan yang lebih pintar, di samping memperkukuh kerjasama, termasuk pelancaran pakej bundle baharu bersama Maxis. Dengan tambahan pelan langganan dua tahun, langkah-langkah ini membina asas kukuh untuk babak seterusnya dalam perjalanan sooka.
Meskipun jalan di hadapan tetap mencabar, namun prestasi Q2 membuktikan Astro mampu untuk terus mara ke hadapan. Kami akan terus menambah pelanggan, mengembangkan perniagaan berkaitan, serta mengurangkan kos legasi, sambil mengekalkan komitmen untuk menjadi destinasi hiburan dan penstriman nombor satu Malaysia.
Post a Comment
[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.
[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.
Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.
Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.