SCHA ELINNEA & SYARUL EZANI DILAMUN CINTA? | Hospital Loveline, Kisah Penuh Warna Tentang Pertembungan Hati Di Dunia Hospital!
Kuala Lumpur, 3 September 2025 - Bila si ceria bertemu si tegas, lahirlah cinta tak diduga di hospital. Drama terbaharu slot Akasia, Hospital Loveline, hadir dengan gabungan romantik, komedi dan emosi menyentuh hati. Berlatarbelakangkan suasana hospital, ia mengisahkan perjalanan cinta Sophia (Scha Elinnea), gadis riang yang setia menjaga neneknya, bersama Dr. Arfan (Syarul Ezani), seorang doktor tampan yang hidup penuh disiplin dan ketegasan.
Hospital Loveline, arahan Ng Ken Kin terbitan Orangetree Production Sdn Bhd, bakal ditayangkan selama 13 episod menerusi slot Akasia. Membariskan gandingan utama Scha Elinnea dan Syarul Ezani, drama ini turut menampilkan Sean Lee, Jaja Iliyes, Hanna Aqeela, Kismah Johar, Dato’ Jalaluddin Hassan dan Apich Lo, menjadikan naskhah romantik komedi ini lebih segar, berwarna dan dekat di hati penonton.
Sophia, seorang ahli fisioterapi di Hospital Insani, tidak pernah terpesona dengan aura Dr. Arfan, doktor muda yang sering menjadi perhatian setiap kali melangkah masuk ke hospital. Walaupun ramai yang mengaguminya, Sophia lebih memilih untuk menumpukan kasih sayang kepada neneknya, Opah Tijah (Kismah Johar), satu-satunya tempat dia bergantung setelah kehilangan ibu dan ayahnya berkahwin lain.
Takdir mempertemukan Sophia dan Dr. Arfan dalam satu insiden cemas yang mengubah hubungan mereka. Dalam masa sama, hospital turut berdepan tekanan apabila Dr. Farhad (Dato’ Jalaluddin Hassan), ayah kepada Dr. Arfan merangkap pengarah hospital, ditekan oleh adiknya Dr. Malik (Zarul Umbrella) kerana gagal menangani isu-isu pengurusan yang semakin meruncing. Konflik profesional ini menambah lapisan drama di sebalik dunia perubatan yang penuh cabaran.
Ketika hidup Sophia semakin sibuk, kehadiran mengejut Opah di Kuala Lumpur membawa kebahagiaan seketika sebelum bertukar panik apabila Opah tiba-tiba jatuh di tepi jalan dan terpaksa dirawat di hospital tempat Sophia bekerja. Secara tidak disangka, Dr. Arfan ditugaskan untuk menjaga Opah, dan dari situ bermulalah misi penuh manis dan lucu apabila Opah cuba menyatukan dua hati tetapi mampukah usaha Opah benar-benar berjaya? Atau adakah rahsia dan konflik lain bakal menghalang cinta mereka?
Menurut Scha Elinnea “Saya sangat teruja membawakan watak Sophia kerana dia seorang yang ceria, spontan dan penuh kasih sayang, namun dalam masa sama berdepan situasi tidak dijangka di hospital. Hospital Loveline bukan sekadar kisah cinta biasa kerana ia menggabungkan humor, konflik dan mesej tentang keluarga. Saya percaya penonton akan terhibur dengan gelagat Sophia dan Dr. Arfan, sambil turut merasai sisi emosi yang lebih mendalam.”
Dengan gabungan jalan cerita yang penuh warna, konflik yang mengusik hati dan watak-watak yang segar, Hospital Loveline dijangka menjadi tontonan wajib bagi peminat drama romantik komedi tempatan. Ia bukan sekadar kisah cinta di sebalik dinding hospital, tetapi juga perjalanan tentang bagaimana pertemuan tanpa diduga boleh merubah takdir dan membuka pintu hati.
Jangan terlepas untuk saksikan Hospital Loveline, bermula 4 September 2025, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam di slot Akasia TV3. Strim episod baharu 24 jam lebih awal di www.tonton.com.my, atau muat turun aplikasi Tonton di Google Play dan App Store.
Untuk mendapatkan info terkini tentang drama kegemaran anda, layari laman sosial Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia, Instagram rasmi Drama Sangat iaitu @dramasangat.
Post a Comment
[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.
[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.
Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.
Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.