"MASIH TERNGIANG DALAM FIKIRAN" ARTIS TEMPATAN SEPAKAT PUJI KEHEBATAN KHADAM

Monday, 15 June 2026

Belum pun seminggu ditayangkan di pawagam, Khadam sudah mula mencipta gelombang tersendiri. Bukan sahaja menjadi bualan hangat penonton di media sosial, malah filem ini terus mengundang pelbagai reaksi positif daripada mereka yang telah menyaksikannya.

Antara yang paling mencuri perhatian ialah pelakon dan pengacara terkenal, Yasmin Hani yang menyifatkan Khadam sebagai sebuah karya yang “deserves a space on my grid” dan mengakui filem tersebut masih bermain di fikirannya walaupun tayangan telah berakhir. Turut berkongsi keterujaan ialah Sazzy Falak yang menyatakan bahawa Khadam ini bukan sahaja memenuhi jangkaannya, malah berjaya melangkaui apa yang diharapkannya daripada sebuah filem seram tempatan.


Lebih mengujakan, pengarah dan pelakon tersohor Datuk Afdlin Shauki turut melontarkan pujian, apabila menyifatkan Khadam sebagai calon yang berpotensi untuk meraih pengiktirafan di festival filem akan datang. Kenyataan itu sekali gus menggambarkan keyakinan penggiat industri terhadap kekuatan naskhah dan mutu pembikinan filem ini.

Pujian turut hadir daripada nama-nama besar lain seperti Datin Seri Umie Aida, Sofea Jane, Erma Fatima, Vince Chong, Shahz Jaszle, Sophie Koshka dan Amir Ahnaf. Rata-rata memuji keberkesanan penceritaan, kualiti produksi yang mantap serta pendekatan segar yang dibawakan oleh filem ini. Ada yang menyifatkannya sebagai sebuah karya yang lengkap dan memuaskan, manakala ada juga yang melihat filem ini sebagai nafas baharu kepada genre seram tempatan.

Deretan respons positif daripada figura terkenal tanah air ini membuktikan bahawa Khadam bukan sekadar sebuah filem seram biasa, sebaliknya sebuah karya yang berjaya meninggalkan kesan mendalam kepada penontonnya. Dengan gabungan elemen seram, emosi dan penceritaan yang kuat, filem terbitan Red Communications dan Komet Productions ini terus menerima pujian daripada ramai selebriti serta penggiat industri tempatan, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara filem tempatan yang wajib ditonton tahun ini.

Menampilkan Aghniny Haque, Datuk Remy Ishak, Siti Khadijah Halim, Jun Lojong serta pelakon cilik Zarra Zhaf dan Karl El. Khadam mengisahkan Melor, seorang ibu bisu kepada dua orang anak yang terperangkap dalam warisan keluarga berupa saka turun-temurun. Demi melindungi keluarganya, Melor cuba menolak tanggungjawab tersebut, namun tindakannya mengundang gangguan dan kuasa gelap yang mula menguasai hidupnya sehingga dia kehilangan identiti dan dibayangi paranoia. Ketika keadaan semakin tidak terkawal, keluarganya berusaha merungkai kebenaran di sebalik perubahan itu sebelum segalanya terlambat, hingga akhirnya Melor terpaksa melakukan pengorbanan besar untuk menghentikan kegelapan yang tercetus.

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan sendiri filem yang sedang diperkatakan ramai ini di pawagam seluruh negara. Kongsikan pengalaman anda menggunakan tanda pagar #JanganSampaiJadiTuan dan ikuti platform media sosial rasmi Primeworks Studios serta Khadam The Movie untuk mendapatkan perkembangan terkini, kandungan eksklusif dan pelbagai aktiviti menarik berkaitan filem ini.

#Khadam #JanganSampaiJadiTuan #DiPawagam

Reached 40! Happy Birthday En. Fendy!


10 April lepas kitorang celebrate birthday En. Fendy yang ke-40 dan kitorang semangat nak beli kek dekat Kobo Bakery Ara Damansara. Pilihan dekat Kobo Bakery ni banyak so tak ada lah asyik repeat kek yang sama setiap kali birthday. Kitorang celebrate birthday En. Fendy waktu petang sebelum Asar tapi tak semua orang ada masa ni. Celebrate dengan siapa yang ada je. 


Mango King Cake antara bestseller cake dekat Kobo Bakery. Senang dengan En. Fendy ni sebab dia tak ada restrictions pun nak makan flavor apa so kitorang pilih kek ikut tekak kitorang. Mango King Cake ada belahan mangga manis, strawberry dengan blueberry. Kek chifon vanila dengan lapisan pina cota perasa mangga. 

Masa ni kitorang order kek 8 inci lepastu masa lunch keluar kejap pergi pick-up dekat bakeri. Kobo Bakery dekat Dataran Ara Damansara ni senang sebab tepi jalan utama so tak payah nak pening kepala cari parking. 


Hadiah birthday En. Fendy awalnya nak hadiahkan kurta Qhiam sebab butik tu dekat dengan rumah Aiesyah tapi last minute tukar kepada tumblr Montigo siap engrave nama. 













Since it's a throwback post, ucapan pun dah basi tapi semoga angka 4 jadi permulaan baru untuk En. Fendy. Bukan ke arah miang tapi ke arah yang lebih menjana ekonomi RRM 💥💪

FILEM ‘KHADAM’ TAMPIL MENDOMINASI CARTA FILEM LOKAL DI MALAYSIA

Sunday, 14 June 2026

FILEM ‘KHADAM’ TAMPIL MENDOMINASI CARTA FILEM LOKAL DI MALAYSIA | Kutipan RM1.2 Juta Sejak Tayangan, 'Khadam' Buktikan Tarikan Luar Biasa!

Industri filem tempatan sekali lagi dikejutkan dengan kebangkitan luar biasa naskhah seram terbaharu, Khadam, yang kini secara rasmi dinobatkan sebagai filem tempatan nombor satu di Malaysia. Baru sahaja membuka tirai tayangannya, filem yang penuh debaran dan seram ini telah berjaya mengumpul kutipan pecah panggung sebanyak RM1.2 juta, sekali gus mencatatkan permulaan yang amat bertenaga dan mendominasi carta pawagam seluruh negara.

Sambutan luar biasa ini membuktikan bahawa penonton tempatan sentiasa menghargai naskhah seram yang segar dan berkualiti. Malah, gelombang sokongan penonton kali ini memperlihatkan satu anjakan di mana karya lokal tidak lagi sekadar menjadi alternatif, tetapi pilihan utama yang mengungguli saingan sengit filem-filem antarabangsa yang turut ditayangkan serentak. 

Sejak hari pertama ditayangkan, ruangan media sosial dibanjiri dengan pelbagai reaksi, ulasan, serta pujian daripada netizen mahupun orang kuat industri seni sendiri yang menyifatkan Khadam sebagai sebuah penanda aras baharu bagi filem seram Malaysia. 

Antaranya di Threads mengatakan:

  • @nvst1 : “Beautifully Crafted”
  • @my_zurah : “About time to have a Malay horror movie sebagus ini”
  • @mohdjayzuan : “Khadam memang gemilang bukan hanya sebagai filem Malaysia, malah filem secara umum”
  • @budicitawan : “Khadam surprised me, not because it’s scary. Horror is expected. What surprised me was how much care went into the film making itself”
  • @rewanishak : “Ini adalah sebuah filem yang berkualiti pembikinannya serba serbi cukup lengkap.”

Lebih menarik, Khadam turut mendapat pengiktirafan daripada pengarah dan pelakon veteran tanah air. Pengarah tersohor, Erma Fatima memberikan gred tinggi dengan menyatakan Khadam sebagai, “Sebuah naskhah yang cukup rasa” Sentimen yang sama turut dikongsi oleh pelakon popular, Sofea Jane yang meluahkan rasa kagumnya terhadap kualiti skrip filem ini: “Rindu buat penulisan yang baik terubat dengan Khadam.”

Pihak penerbit menzahirkan rasa syukur dan penghargaan yang tidak terhingga atas sokongan padu rakyat Malaysia yang menjadi tunjang utama kepada angka kutipan RM1.2 juta ini. Momentum positif ini dijangka terus meningkat menjelang hujung minggu, didorong oleh reaksi dan perkongsian yang semakin rancak dalam kalangan netizen. 

Bagi pencinta filem seram, Khadam menawarkan sebuah pengalaman sinematik yang bukan sahaja mendebarkan, malah mengundang pelbagai persoalan untuk dirungkai. Saksikan sendiri misteri yang menjadi bualan ramai ini di pawagam seluruh negara dan alami sendiri perjalanan yang bakal membuatkan anda terus berfikir walaupun selepas tayangan berakhir. 

Teruskan menyokong, kongsikan pandangan atau pengalaman anda menggunakan tanda pagar #Khadam dan #JanganSampaiJadiTuan. Untuk perkembangan terkini, kandungan eksklusif serta pelbagai aktiviti menarik berkaitan filem ini, ikuti platform media sosial rasmi Primeworks Studios dan Khadam The Movie. 

#Khadam #JanganSampaiJadiTuan #DiPawagam

Movie Review | Kartavya (2026)

Saturday, 13 June 2026

Pengarah: Pulkit   
Penulis Skrip: Pulkit  
Pelakon: Saif Ali Khan, Rasika Dugal, Sanjay Mishra, Zakir Hussain    
Syarikat Produksi: Red Chillies Entertainment  
Pengedar: Netflix 
Genre: Jenayah / Drama 
Durasi Tayangan: 108 minit
Tarikh Tayangan: 15 Mei 2026   
Trailer:


Inspektor Pawan Malik (Saif Ali Khan) menyambut hari jadinya yang ke-40 bersama pembantunya, Ashok Y (Sanjay Mishra) sebelum memulakan tugas menjaga jurnalis bernama Reema Dutta (Radhika Chauhan) yang datang ke Jhamli. Reema menjadi sasaran kerana berani mempersoalkan kebobrokan dalam dunia politik di kawasan tersebut. Namun jeep yang dinaiki dipintas oleh penunggang motosikal lalu menembak kesemua penumpang sehingga mati. 


Walaupun Pawan gagal menjaga keselamatan jurnalis tersebut tapi salah seorang penembak yang diupah berjaya dibunuh sementara seorang lagi melarikan diri. Siasatan mendapati kedua-dua penembak merupakan remaja lelaki berumur 16 tahun dan mendapat arahan dari Anand Shri (Saurabh Dwivedi), figura ternama di pekan tersebut. Inspektor Senior Keshav (Manish Chaudhari) hanya bagi masa selama 7 hari untuk selesaikan kes tersebut.


Di rumah, Pawan mengalami masalah apabila adik bongsunya, Deepak (Saurabh Abrol) jatuh cinta dengan Preeti (Suraksha Gaire) dari kasta bawah dan lari dari rumah untuk berkahwin. Keluarga Preeti mengamuk dan tuduh Harihar Malik (Zakir Hussain) tak pandai jaga anak dan memalukan kasta mereka. Keluarga Preeti bawa perkara tersebut kepada ketua kampung dan semua bersetuju Deepak dan Preeti perlu dibunuh serta-merta demi menjaga maruah keluarga. 


Pawan dan isterinya, Varsha Malik (Rasika Dugal) menyedari Deepak dan Preeti dalam bahaya lalu membawa mereka keluar dari kampung tersebut sehingga keadaan reda. Dalam masa yang sama, Harpal (Yudhvir Ahlawat) tahu dirinya dalam bahaya setelah selesai laksanakan misi terhadap jurnalis tersebut. Dia melarikan diri dari konso-konco Anand Shri dan memohon perlindungan dari Pawan. 

Filem Kartavya (Tanggungjawab) arahan dan penulisan Pulkit menggunakan tema kasta yang masih dipegang oleh penduduk luar bandar negara India. Tahun lepas filem Dhadak 2 (2025) dan Homebound (2025) ketengahkan tema yang sama dengan masalah yang berbeza. Kartavya menggunakan kedua-dua isu dalam satu naskhah sepanjang 108 minit yang ditayangkan secara rasmi di Netflix. 


Lakonan Saif Ali Khan sebagai Inspektor Pawan cemerlang dalam ruang yang diberikan ditambah dengan personaliti sebagai anak sulung dan polis yang tegas. Dia juga mempunyai pemikiran yang moden dan membentuk keluarga barunya dengan prinsip yang sama. Namun dia seorang tidak mampu menghalang pemikiran dan pegangan lapuk di kampung tersebut. Macam mana dia boleh mempunyai pendirian berbeza dari orang lain tak pula diceritakan. 


‘You know he’ll never accept a daughter-in-law from another caste. It’ll be a blow to his honour.’ – Pawan
 
Sayangnya, Pulkit tak beri peluang kepada Rasika Dugal untuk menyerlah sebagai isteri Pawan. Anand Shri juga tak keluar taring sebaliknya watak lain yang diberikan peluang untuk deliver kejutan dan kejahatan. Patutnya biar sahaja Anand Shri dan pengikut dia berada di pihak lawan untuk kuatkan tema kasta dan penganiayaan yang dilakukan kasta atas terhadap kasta bawahan. 

‘When it was happening in other homes, we looked the other away. Now, when it’s happening in our home, we understand what it’s like.’ - Varsha


Yudhvir Ahlawat yang membawa persona lelaki remaja berumur 16 tahun dan tertindas akibat menjadi budak suruhan Anand mencuri perhatian. Masa tengok filem Kartavya, rasa kagum dengan lakonan dia sebab muda lagi tapi berbakat besar. Terkejut betul bila tahu Yudhvir dah berumur 33 tahun dan pernah berlakon sebagai pelakon sampingan dalam filem Saand Ki Aankh (2019), Shamshera (2022) dan Love Hostel (2022).


Filem Kartavya yang diterbitkan oleh Red Chillies Entertainment mempunyai jalan cerita yang menarik dengan paparkan perjalanan penyiasatan Pawan dan juga saspen untuk Deepak dan Preeti. Namun elemen drama yang dimasukkan tidak lah betul-betul kuat dan beremosi sampai final act menjadi lesu walaupun jalan yang diambil oleh Pawan adalah tepat. Pace penceritaan juga perlahan dan beberapa babak tak dikembangkan dengan baik sekaligus melemahkan perjalanan Kartavya hingga ke penghujung cerita.

1. Team Production +0.6, 2. Visual +1, 3. Audio +0.7, 4. Storyline +0.5, 5. Casting +0.5, 6. Genre +0.4, 7. Themes +0.6, 8. Editing +0.5, 9. Social Message +0.8, 10. Personal Thought +0.4 = 6/10

Movie Review | Maa Behen (2026)

Pengarah: Suresh Triveni  
Penulis Skrip: Suresh Triveni, Pooja Tolani   
Pelakon: Madhuri Dixit, Triptii Dimri, Dharna Durga, Ravi Kishan, Arunoday Singh, Geetanjali Kulkarni, Shardul Bhardwaj, Rrama Sharma, Jatin Sarna, Paresh Rawal
Syarikat Produksi: Abundantia Entertainment, Opening Image Films    
Pengedar: Netflix 
Genre: Black comedy / Thriller 
Durasi Tayangan: 127 minit
Tarikh Tayangan:  4 Jun 2026  
Trailer:


Di Adarsh Colony, Rekha (Madhuri Dixit) merupakan seorang janda yang tinggal seorang diri di rumah. Satu malam, selepas dia pulang dari kerja, ada tetamu yang datang ke rumah. Rekha kemudiannya menelefon anak sulungnya, Jaya (Triptii Dimri) dan yang bongsu, Sushma (Dharna Duga) supaya pulang dengan segera. 

Tetamu yang dimaksudkan adalah Charitra Kumar Gupta (Ravi Kishan), jiran berhadapan dengan rumah mereka. Sebaik saja lelaki tersebut datang, Rekha disalah anggap ingin tidur bersama padahal dia cuma mahukan teman bermain poker. Ketika bergelut entah macam mana Gupta tersadung dan terhantuk hingga tercedera di kepala lalu meninggal dunia. 


Rekha cadangkan kepada Jaya dan Sushma untuk bantu dia buang mayat Gupta ke tali air sebelum lebih ramai saudara-mara jiran mereka perasan. Kebetulan pada ketika itu jirannya tengah sibuk menguruskan majlis perkahwinan anak perempuannya, Goldie (Rrama Sharma). 

Jaya geram mendengar cadangan gila Rekha dan ingin pulang ke rumah sebelum bapa mertua dia mengamuk kerana mengambil kereta kepunyaannya. Tapi bila Rekha berterus-terang kenapa mereka tak perlu libatkan polis, baru lah Jaya bertenang. Ketika dia cuba membantu, Maheshwari (Arunoday Singh), adik kepada Gupta pula muncul. Ketika itu juga, suaminya Manas (Shardul Bhardwaj) syak dia pulang kerana ada hubungan sulit. 


Filem komedi arahan Suresh Triveni diinspirasikan dari sabun pencuci jenama Nirma dan kerja rumah sering dilakukan oleh kaum wanita. Jadi sebab itu lah tajuknya Maa Behen (Ibu Kakak). Iklan yang digunakan pun sentiasa paparkan sisi ceria sabun pencuci membantu kaum wanita mengemas rumah. 
Nama setiap watak utama pun ada kaitan dengan iklan sabun pencuci Nirma.  

‘Hema, Rekha, Jaya aur Sushma sabki pasand nirmaaaaaa, nirmaa.’


Babak awal dalam filem Maa Behen pun dah paparkan penindasan terhadap kaum wanita yang tertekan mencari jalan untuk dapatkan anak sedangkan lelaki yang lemah tenaga batin. Telefon tak berhenti berbunyi sebab bapa mertua, adik-adik ipar dan suami tak boleh memasak bila lapar. Dari pagi sampai ke malam kena mengasuh orang lelaki sebab tak mampu buat kerja rumah. Tengok babak Jaya jadi isteri mithali pun dah rimas sebab tak boleh hadam kehidupan seharian Jaya.

Tertarik untuk tonton Maa Behen sebab ramai yang puji lakonan Tripti sebagai Jaya dan betul lah seperti yang dikatakan. Tripti menyerlah sebagai perempuan yang tertindas dan menjadi mangsa kecaman Adarsh Colony hanya kerana dia anak kepada Rekha. Kebanyakan perempuan di kawasan perumahan tu pun tak suka dengan Rekha yang cantik dan melaram, tak sama seperti balu yang lain yang berselubung dalam kain putih. 


Dari awal lagi dah boleh nampak yang naratif tentang Rekha adalah rekaan penduduk di Adarsh Colony sebab tak ada apa masalah pun dengan pemakaian dia tapi orang situ yang merentan lebih. Komedi yang dimasukkan dalam Maa Behen adalah black comedy and it’s definitely not my type. Walaupun ada genre thriller tapi kurang menyengat dan ada masanya sesetengah perkara seperti tak realistik. The fact yang Jaya kena kahwin dengan Manas tu pun dah tak boleh diterima akal.


Watak Gupta Aunty tu dah menarik dan I expect dia akan hadirkan lebih banyak lagi babak komedi tapi screentime dia tak banyak pun. Watak Maheshwari pun menghilang lepas dia tahu tentang penculikan Gupta padahal watak dia pun boleh dikembangkan lagi walaupun tak lah function sangats sebagai polis. Dalam filem Maa Behen ni semua lelaki tak boleh pakai.

Sinematografi dari Anuj Rakesh Dhawan mendukung screenplay dan menjadikan beberapa situasi kena dengan genre yang dimasukkan. Music album Maa Behen hasil gubahan dari Akashdeep Sengupta tak ada pun lagu yang menarik sedangkan ada 5 buah lagu dimasukkan. Kaari Kaari okay lah dengan genre dan suasana filem. 


Kalau suka dengan black comedy dan peminat Madhuri atau Tripti boleh lah layan Maa Behen di Netflix.  

1. Team Production +0.7, 2. Visual +1, 3. Audio +0.3, 4. Storyline +0.6, 5. Casting +0.5, 6. Genre +0.4, 7. Themes +0.7, 8. Editing +0.5, 9. Social Message +1, 10. Personal Thought +0.5 = 6.2/10

Kuala Lumpur, 13 Jun 2026 - Nama pengarah Adrian Teh tidak asing dalam landskap perfileman tempatan, khususnya dalam genre aksi. Menerusi karya-karya pecah panggung termasuk PASKAL: The Movie dan MALBATT: Misi Bakara, beliau sinonim dengan pendekatan pengarahan yang realistik dan berani mengambil risiko dari segi teknikal.

Bakal kembali dengan sebuah filem aksi bertajuk Chelot, ia telah pun mencipta sejarah tersendiri apabila menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records. Rekod itu dicipta menerusi kategori Babak Aksi ‘Single Take’ Terpanjang Dalam Filem (Longest Single-Take Action Sequence in a Movie). Ini adalah satu pencapaian yang jarang sekali dilakukan dalam industri perfileman tempatan kerana memerlukan ketepatan teknikal tinggi. Babak tersebut dirakam menggunakan 1 kamera untuk adegan sejauh 1.9 kilometer, dan mengambil masa 5 minit 19 saat. Pihak produksi yang melibatkan 300 kru ini mengambil masa 150 hari untuk membuat persiapan, 60 jam untuk raptai. Manakala, 50 kereta prop telah digunakan. 

Chelot diterbitkan oleh ACT 2 Pictures, Golden Screen Cinemas (GSC), Astro Shaw, SunStrong Entertainment dan Marvelous Culture & Film. Poster teaser yang menampilkan Beto Kusyairy dan Shukri Yahya baru saja dilancarkan. 

Menurut Adrian Teh, “Selepas mengarahkan MALBATT: Misi Bakara pada 2022, saya memilih untuk berundur seketika daripada dunia aksi bagi memberi ruang dalam meneroka genre serta penceritaan berbeza, baik sebagai pengarah mahupun penerbit. Namun, kepulangan ini bukan sekadar untuk kembali ke genre yang sama, tetapi saya mahu kembali dengan sesuatu yang benar-benar segar, sesuatu yang belum pernah disaksikan dalam sinema Malaysia.

Perancangan dan persediaan untuk babak tanpa suntingan (1 shot 1 take) tersebut mengambil masa berbulan-bulan kerana memerlukan pelaksanaan yang sangat teliti pada hari penggambaran. Pencapaian ini bukan kejayaan individu, tetapi hasil usaha kolektif seluruh pasukan produksi, yang direalisasikan dengan sokongan tidak berbelah bahagi daripada Polis Diraja Malaysia dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. 

Kami yakin ramai yang tertanya apa itu Chelot? Semuanya akan terjawab pada bulan Ogos hadapan di pawagam seluruh tanah air.”

Nantikan filem aksi Chelot yang akan berada di pawagam tahun ini. Gunakan #CHELOT di media sosial dan ikuti perkembangan terbaru serta klip menarik di akaun media sosial ACT 2 Pictures, GSC Movies, Astro Shaw. 

BERWAJAH AGAMA TAPI DERA ANAK, WATAK ABI “NERAKA YANG TERHIJAB” BUAT NETIZEN PANAS | RAMAI AKUI TERUSIK DENGAN REALITI YANG DIPAPARKAN

Watak Abi yang dilakonkan Lan Siro dalam drama Neraka Yang Terhijab siri Tonton Originals terbaharu, kini menjadi antara topik paling hangat diperkatakan penonton di media sosial. Bukan kerana dia seorang antagonis yang tipikal tetapi kerana ramai merasakan karakter tersebut terlalu dekat dengan realiti kehidupan sebenar.

Sepanjang drama ini ditayangkan sejak 4 Jun lalu, ruangan komen media sosial dibanjiri pelbagai reaksi daripada penonton yang mengakui berasa marah, kecewa dan emosi setiap kali menyaksikan tindakan Abi terhadap anak-anaknya. Lebih mengejutkan, ramai netizen tampil berkongsi pengalaman peribadi yang hampir sama, termasuk kisah ibu bapa yang terlalu bergantung kepada anak-anak dari sudut kewangan sehingga mengabaikan masa depan dan kebajikan mereka sendiri. 

Antara komen yang mendapat perhatian ramai ialah perkongsian seorang netizen yang mendakwa pernah berdepan situasi serupa apabila wang pendidikan anak digunakan oleh ibu bapa untuk kepentingan lain. “Wujud bapak macam ni. Last sekali dia yang guna duit anak. Allah maha kaya, umur ayah pun tak panjang. Tapi dalam hati anak tersimpan dendam kesumat yang sampai bila-bila anak tak lupa.”


Seorang lagi netizen turut berkongsi pengalaman yang lebih menyedihkan apabila mendakwa dana pendidikan adiknya digunakan untuk membeli kereta sehingga menyebabkan adiknya tidak dapat meneruskan pengajian. “Aku dapat tahu PTPTN adik aku ayah aku pergi buat beli kereta. Lepas tu adik lelaki aku tak dapat sambung belajar sebab kena kerja jadi penanggung keluarga.


Perkongsian seperti ini menyebabkan ramai penonton melihat watak Abi bukan sekadar karakter rekaan, sebaliknya gambaran kepada realiti yang benar-benar berlaku dalam masyarakat. Dalam masa yang sama, watak Abi turut mencetuskan perdebatan apabila ada penonton mempersoalkan bagaimana seorang individu yang dilihat warak dan berimej alim boleh bertindak sedemikian terhadap keluarganya. 

Malah terdapat juga netizen yang berpendapat drama tersebut membuka mata masyarakat tentang kewujudan individu yang menggunakan imej agama untuk mendapatkan kepercayaan orang ramai. “Kena buka mata masyarakat. Banyak orang yang tunggang agama, tunjuk alim.”


Perdebatan ini sekali gus membuka ruang kepada perbincangan yang lebih besar mengenai tanggungjawab anak terhadap ibu bapa. 

Apa yang pasti, reaksi luar biasa terhadap watak Abi membuktikan bahawa Neraka Yang Terhijab berjaya menyentuh isu yang sangat dekat dengan masyarakat. Kemarahan penonton terhadap watak tersebut bukan semata-mata kerana lakonannya yang berkesan, tetapi kerana ramai melihat sebahagian daripada pengalaman hidup mereka sendiri.


Siri 20 episod ini turut menampilkan Ezzanie Jasny, Lorenzo Irman dan Arfie Shah di bawah arahan Azri Izhar serta nukilan Liza Nur. Neraka Yang Terhijab memaparkan realiti tekanan hidup, kemiskinan dan pilihan moral yang semakin kabur apabila seseorang dihimpit kesusahan.

Adakah kisah Adda lebih dekat dengan realiti daripada yang kita sangka? Saksikan Neraka Yang Terhijab, setiap Khamis hingga Ahad, eksklusif di Tonton.

KHADAM TURUN PADANG! | Jangan Lepaskan Peluang, Jelajah Khadam Bermula Hujung Minggu Ini!

Menjelang tayangan rasminya di pawagam bermula 11 Jun 2026, kehangatan filem seram thriller Khadam semakin dirasai apabila barisan pelakonnya bakal turun padang menemui peminat menerusi siri Jelajah Khadam yang akan berlangsung di beberapa lokasi terpilih sekitar Lembah Klang dari 12 hingga 14 Jun 2026. Program ini bukan sahaja memberi peluang kepada orang ramai untuk bertemu lebih dekat dengan para pelakon, malah turut menyemarakkan lagi keterujaan terhadap filem yang kini semakin mencuri perhatian penonton. 

Sepanjang tiga hari jelajah berlangsung, orang ramai berpeluang menyertai pelbagai aktiviti menarik termasuk sesi bertemu mesra bersama barisan pelakon dan pasukan produksi yang terlibat dalam pembikinan Khadam. Kehadiran mereka di setiap lokasi bukan sahaja memeriahkan suasana, malah membuka ruang kepada peminat untuk mendengar sendiri perkongsian pengalaman sepanjang proses penggambaran serta memahami dengan lebih mendalam mesej yang ingin disampaikan menerusi naskhah ini. 

Orang ramai dijemput hadir dan memeriahkan siri Jelajah Khadam di lokasi-lokasi berikut:

1. 12 Jun 2026 (Jumaat)

  • GSC KL East Mall – 8.30 malam
  • GSC Melawati Mall – 8.30 malam

2. 13 Jun 2026 (Sabtu)

  • GSC IOI City Mall Putrajaya (East) – 1.15 petang
  • GSC IOI City Mall Putrajaya (West) – 3.30 petang
  • GSC Setia City Mall – 6.00 petang
  • TGV Central i-City – 9.20 malam

3. 14 Jun 2026 (Ahad)

  • GSC MyTOWN – 1.00 petang
  • TGV KLCC – 3.00 petang

Jangan lepaskan peluang untuk menjadi antara yang terawal menyaksikan Khadam serta bertemu sendiri wajah-wajah di sebalik filem yang dijangka memberikan pengalaman seram yang berbeza kepada penonton. Dapatkan tiket anda sekarang dan sertai Jelajah Khadam!

Untuk memeriahkan perbualan di media sosial, para peminat digalakkan untuk berkongsi pengalaman serta menggunakan tanda pagar #JanganSampaiJadiTuan dan #JelajahKhadam. Jangan lupa untuk dapatkan perkembangan terkini dan kandungan eksklusif Khadam dengan ikuti platform media sosial rasmi Primeworks Studios dan Khadam The Movie.

LAGI BANYAK TONTON, LAGI BESAR PELUANG MENANG KERETA | Tonton Non Stop, On Top! Tawar Ganjaran Terbesar Tahun Ini

Kuala Lumpur, 12 Jun 2026 – Menangi kereta baharu dan pelbagai hadiah lumayan bernilai lebih RM700,000 hanya dengan menonton drama kegemaran anda! Tonton Non Stop, On Top! merupakan program ganjaran terbesar pernah dilancarkan oleh Tonton setakat ini yang bakal berlangsung dari 15 Jun hingga 9 Ogos 2026, memberi peluang kepada pelanggan mengumpul mata dan bersaing hanya melalui strim.

Pelbagai hadiah yang pastinya menjadi idaman ramai menanti! Antara yang ditawarkan termasuk sebuah Nissan Kicks e-Power 1.2L VL, sebuah GAC Emkoo 1.5L Turbo dan dua buah TQ Wuling Bingo EV. Turut menjadi rebutan ialah 70 unit telefon pintar Oppo serta 1,120 baucar tunai Watsons bernilai RM108 setiap satu. 

298 Pemenang Dicari Setiap Dua Minggu

Sepanjang tempoh kempen berlangsung, seramai 298 pemenang akan diumumkan pada setiap kitaran dua minggu, merangkumi kategori Hadiah Utama, Naib Johan, Hadiah Saguhati dan Hadiah Saguhati Khas. Bagi memberi peluang kepada lebih ramai peserta untuk menang, kutipan mata dan kedudukan peserta akan ditetapkan semula pada setiap penghujung kitaran dua minggu. Pemenang Hadiah Utama dan Naib Johan terdahulu tidak layak memenangi hadiah utama yang sama pada pusingan seterusnya, namun masih berpeluang memenangi Hadiah Saguhati dan Hadiah Saguhati Khas sepanjang kempen berlangsung.

Strim dan Menang!

Cara penyertaannya cukup mudah! Pengguna hanya perlu melanggan pelan TontonUp selama 3 bulan atau 12 bulan sebelum mula memperoleh mata hasil tontonan drama yang ditetapkan. Semakin banyak masa yang diluangkan untuk menonton, semakin besar peluang untuk memperkukuh kedudukan serta muncul sebagai pemenang.

Maksimumkan Kutipan Mata Anda

Walaupun kutipan mata melalui aktiviti penstriman mempunyai had tertentu, pengguna masih boleh terus mengumpul mata tambahan tanpa had menerusi pembelian Tonton Subscription Gifts untuk keluarga dan rakan-rakan. Setiap hadiah langganan selama 3 bulan menawarkan 100 mata bonus, manakala hadiah langganan selama 12 bulan memberikan 400 mata bonus.

Turboost: Mata Berganda Setiap Hujung Minggu

Lebih menarik, Tonton turut memperkenalkan Turboost, iaitu sistem gandaan mata khas pada setiap hujung minggu. Pengguna yang menstrim kandungan terpilih pada hari Sabtu dan Ahad akan menikmati mata berganda secara automatik, sekali gus membantu mereka melonjak lebih pantas dalam kedudukan carta.

Sebagai platform penstriman yang sentiasa menawarkan pengalaman hiburan yang relevan kepada pengguna, Tonton terus memperkenalkan pelbagai inisiatif yang memberi nilai tambah kepada semua. Tonton Non Stop, On Top! bukan sahaja membuka peluang untuk memenangi pelbagai hadiah menarik, malah menggalakkan penonton meneroka lebih banyak cerita eksklusif yang tersedia di platform tersebut. 

Orang ramai kini boleh bersedia untuk menyertai Tonton Non Stop, On Top! dengan memuat turun aplikasi Tonton atau melayari tonton.com.my, mendaftar atau log masuk ke akaun masing-masing dan mula menstrim kandungan terpilih mulai 15 Jun ini. 

Lagi banyak program yang ditonton, lagi cerah peluang untuk mendaki carta peserta dan muncul sebagai antara pemenang bertuah! 

Untuk maklumat yang lebih lanjut tentang rancangan kegemaran anda, ikuti kami di Facebook, Twitter, TikTok, dan Instagram di @tontonmy