PAPA ZOLA THE MOVIE RAIH KUTIPAN RM 59.8 JUTA DI MALAYSIA

Thursday, 15 January 2026

Kuala Lumpur, 15 Januari 2026 – Filem Papa Zola The Movie terus membuktikan kehebatan karya tempatan apabila berjaya mencatat kutipan box office sebanyak RM59.8 untuk kutipan di Malaysia sahaja, dan kutipan keseluruhan sebanyak RM60 juta untuk di Malaysia dan Brunei. 

Untuk tahun lalu, dua filem animasi telah ditayangkan dan menyaksikan total kutipan untuk sebanyak RM118.2 juta - Papa Zola The Movie raih kutipan RM59.8 juta dan  Ejen Ali The Movie 2, RM 58.5 juta. Pencapaian luar biasa ini bukan sahaja mencerminkan sokongan padu penonton tempatan, malah menjadi simbol kebangkitan animasi Malaysia sebagai penggerak penting dalam industri filem tempatan.  

Dari tayangan hari pertama, Papa Zola The Movie konsisten menarik penonton pelbagai lapisan usia dengan penceritaan yang dekat di hati, elemen kekeluargaan yang kuat serta humor yang menghiburkan.

Lebih membanggakan, Papa Zola The Movie bukan sekadar sebuah hiburan, tetapi turut membawa nilai murni, mesej kekeluargaan dan identiti tempatan yang relevan dengan masyarakat Malaysia. Gabungan penceritaan yang tulus dan produksi berkualiti tinggi menjadi faktor utama kejayaan filem ini di pawagam.

Pencapaian RM60 juta ini dilihat sebagai pemangkin inspirasi kepada penggiat kreatif untuk terus menghasilkan karya berani, segar dan berdaya saing di peringkat lebih luas.

Papa Zola The Movie mengisahkan Papa Zola, seorang bapa yang bekerja keras menyara keluarga kecilnya. Tanpa diduga, dia bertemu semula dengan rakan lama yang pernah berkhidmat bersamanya dalam organisasi rahsia P.A.P.A (Protect and Prevent Agency). Namun keadaan menjadi genting apabila anaknya, Pipi, diculik makhluk asing. Papa Zola bersama Mama Zila perlu bertindak pantas untuk menyelamatkan Pipi dan melindungi dunia daripada ancaman tersebut.

Filem ini kini ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei. Filem ini bakal melangkah panggung Indonesia bermula 23 Januari 2026. Filem ini juga akan muncul di layar perak di India, Vietnam dan pasaran Timur Tengah yang merangkumi Arab Saudi, UAE, Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar serta Turki pada April 2026.

“RAYU HATIKU”, KOLABORASI PERTAMA ADIRA SUHAIMI BERSAMA ALTERNATE RECORDS

Wednesday, 14 January 2026

“RAYU HATIKU”, KOLABORASI PERTAMA ADIRA SUHAIMI BERSAMA ALTERNATE RECORDS | LUAHAN EMOSI ADIRA SUHAIMI UNTUK DRAMA TERBAHARU SAMARINDA, BISIK ASMARA

Kuala Lumpur, 14 Januari 2026 – Penyanyi berkaliber, Adira Suhaimi, kembali menyentuh perasaan pendengar menerusi single terbaharu berjudul Rayu Hatiku, sebuah balada penuh emosi yang dipilih sebagai lagu tema drama terbaharu Samarinda, Bisik Asmara. Mengangkat rasa pengorbanan dan harapan yang terpendam, lagu ini menjadi pelengkap sentimen kepada jalan cerita drama tersebut.

Rayu Hatiku mengangkat luahan seorang wanita yang terluka selepas dikhianati insan tersayang. Tanpa nada marah atau penentangan, lagu ini sebaliknya menyelami rasa kehilangan, kerapuhan dan harapan yang kian pudar. Sentuhan penghayatan yang dipersembahkan menjadikan lagu ini dekat dengan realiti perasaan, sekali gus mudah menyentuh jiwa pendengar yang pernah melalui luka yang sama.

Menurut Adira, peluang untuk menyampaikan lagu ini disambut dengan penuh rasa syukur dan tanggungjawab. Katanya, “Saya bersyukur apabila diberi kepercayaan untuk menyanyikan lagu ini. Selagi sesebuah karya itu serasi dengan genre dan jiwa saya sebagai penyanyi, peluang sebegini tidak akan saya lepaskan.”

Dari segi persembahan vokal, Rayu Hatiku menuntut penghayatan yang mendalam. Setiap rangkap lagu disampaikan dengan kawalan vokal yang halus dan teliti, agar rasa sedih serta keikhlasan emosi dapat sampai dengan jelas kepada pendengar.

Bagi Affan Mazlan, lagu ini digarap sebagai sebuah balada bertenaga dengan sentuhan muzik yang lebih gelap dan suram. Elemen kabaret serta muzik desa disuntik secara halus, terinspirasi daripada bunyi muzik era 1960-an dan 1970-an, dalam masa yang sama memberikan identiti tersendiri kepada karya ini. 

“Lagu ini bukan tentang kemarahan, sebaliknya menceritakan tentang rasa tidak dihargai dan kesedihan yang mendalam. Vokal Adira melengkapkan keseluruhan emosi lagu ini, malah hasil akhirnya benar-benar melebihi jangkaan saya,” jelas Affan Mazlan.


Rayu Hatiku menandakan single pertama Adira Suhaimi bersama Alternate Records dan kini boleh didengari di semua termasuk YouTube Music dan Spotify. Lagu ini dijangka menjadi pelengkap emosi kepada drama Samarinda, Bisik Asmara, seterusnya mengukuhkan kedudukan Adira sebagai salah seorang penyanyi balada terkemuka tanah air.

Untuk maklumat terkini berhubung Alternate Records & Talents, layari akaun rasmi media sosial Facebook, @alternate.my_ di Instagram dan @alternate.rt_ di TikTok.


LIRIK LAGU RAYU HATIKU
Artis: Adira Suhaimi
Komposer: Affan Mazlan
Lirik: Affan Mazlan
Susunan: Affan Mazlan
Produser: Affan Mazlan

Tenggelam, dalam tangisanku menghitung pilu
Kau berlalu, membawa separuh dari hatiku
Hancur aku

[Chorus]
Jika kau lepaskanku pergi
Apalah makna diri ini
Seluruh cinta yang ku beri
Dengarlah rayu hatiku ini

Bodoh aku, kau memilih dia lebih dariku
Sedih rasa aku

[Chorus]
Jika kau lepaskanku pergi
Apalah makna diri ini
Seluruh cinta yang ku beri
Dengarlah rayu hatiku ini

[Bridge]
(Rayu hati, demi cinta)
(Rayu hati, demi cinta)

Jika kau lepaskanku pergi
Apalah makna diri ini

[Chorus]
Jika kau lepaskanku pergi
Apalah makna diri ini
Seluruh cinta yang ku beri
Dengarlah rayu hatiku ini

Biarlah saja aku
Mengalun jiwaku menjauh
Dan mungkin tiada ku merayu
Tuk cintamu

Kisah pilu yang menggetarkan emosi, The Voice of Hind Rajab, bakal bergema di Pantai Timur apabila ia dibawakan khas ke Paragon KTCC Mall, Terengganu pada Sabtu ini, 17 Januari 2026, dengan kemunculan istimewa suara kempen filem berkenaan, Zainal Rashid Ahmad (ZRA). Kehadiran ini sekali gus memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk mendekati dan memahami dengan lebih dekat nilai kemanusiaan yang dibawa menerusi karya tersebut.

The Voice of Hind Rajab mengisahkan seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang terperangkap di dalam sebuah kereta ketika serangan hebat berlaku di Gaza, sambil merayu untuk diselamatkan. Sejak mula ditayangkan, filem ini menerima pelbagai reaksi penonton yang menyifatkannya sebagai merobek hati dan sarat emosi, lantas menjadikannya karya yang wajar ditonton dan direnungi.

Menurut ZRA, kehadirannya ke Kuala Terengganu membuka ruang komunikasi secara terus bersama orang ramai agar pengisian filem ini dapat disampaikan dengan lebih berkesan.

“Pada 17 Januari ini, saya akan berada di KTCC Kuala Terengganu Mall yang menayangkan filem ini. Saya menjemput orang ramai untuk datang. Bagi mereka yang ingin mendengar kisah tentang Farid Odeh, saya akan meminta pihak Media Prima menyediakan ruang terbuka di sekitar pusat beli-belah supaya saya dapat berkomunikasi secara langsung walaupun dalam tempoh yang singkat,” katanya.

Selain Terengganu, jelajah The Voice of Hind Rajab turut dijadualkan untuk diteruskan ke beberapa lokasi lain selepas ini sebagai usaha memperluas penyampaian suara kemanusiaan kepada masyarakat di seluruh negara.

Orang ramai, khususnya di Pantai Timur, dijemput hadir ke Paragon KTCC Mall pada 17 Januari ini bagi menyaksikan sebuah karya yang bukan sekadar tontonan, tetapi satu peringatan tentang suara kecil yang membawa makna besar dan tidak seharusnya dilupakan. Maklumat lanjut mengenai waktu kemunculan ZRA akan diumumkan kelak menerusi saluran rasmi Primeworks Studios.

FILEM BERANI MENGANGKAT REALITI NIKAH TIDAK SAH & STIGMA ‘ANAK HARAM’ DALAM MASYARAKAT | ‘Akad Yang Hilang’ membawa pengalaman sinema yang mengubah perspektif

Kuala Lumpur, 13 Januari 2026 – Isu perkahwinan tidak sah bukan sekadar masalah undang-undang, namun ia adalah realiti yang boleh menjejaskan masa depan keluarga. Astro Shaw membuka tirai tahun 2026 dengan filem Akad Yang Hilang, mengetengahkan realiti yang wujud dalam masyarakat kita yang jarang dibincangkan iaitu nikah fasid. 

Nikah fasid merujuk kepada perkahwinan yang dilangsungkan tetapi tidak memenuhi rukun dan syarat sah menurut hukum syarak, sekali gus memberi implikasi besar kepada status perkahwinan dan anak-anak yang terlibat. 

Akad Yang Hilang memaparkan kisah Maryam yang ingin berkahwin dengan kekasih pilhan hatinya, Ammar. Sebagai sebahagian proses pendaftaran perkahwinan, Maryam memohon wali hakim kerana bapanya, Husni, telah meninggal dan satu-satunya adiknya, Zaki, baru berumur 17 tahun. Walau bagaimanapun, langkah yang sepatutnya mudah menjadi rumit dengan pendedahan yang mengejutkan. 

Mahkamah Syariah memaklumkan perkahwinan ibu bapa Maryam tidak sah kerana fasid. Masalah Maryam itu tersebar di media sosial sehingga menjadi perbualan negatif masyarakat. Persoalannya, bagaimana Maryam ingin meneruskan perkahwinannya, berhadapan stigma orang sekeliling dan mencari jawapan mengenai statusnya sebagai anak yang sah. 

Persoalan ini menjadi nadi Akad Yang Hilang dengan mengetengahkan refleksi realiti bagaimana seseorang terperangkap di antara implikasi undang-undang dan stigma masyarakat. 

Menurut Penerbit Eksekutif Akad Yang Hilang merangkap Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, “Sebagai penerbit, Astro Shaw percaya filem mampu menjadi medium perubahan sosial. Akad Yang Hilang bukan sekadar sebuah filem, tetapi sebuah naskhah yang mampu mencetuskan perbualan dan perdebatan tentang realiti sosial yang mungkin kita terlepas pandang. 

Filem ini akan membuatkan anda berpaling kepada orang di sebelah dan bertanya, “Apa yang akan kita lakukan jika perkara ini berlaku kepada kita?”. Kami mahu mencetuskan perbualan – di dalam pawagam, dalam perjalanan pulang dan di meja makan. Kerana kesedaran adalah langkah pertama untuk melindungi yang tersayang. 

Dengan gabungan elemen cinta dan konflik moral, kami merasakan naskah seperti Akad Yang Hilang jarang dipersembahkan di pawagam tempatan. Ia membawa penonton untuk lebih memahami impak besar yang timbul daripada satu kesilapan atau keputusan kecil, sekaligus mencabar persepsi dan cemuhan masyarakat terhadap mereka yang terbabit.” 

Akad Yang Hilang dibintangi Mira Filzah, yang terkenal dengan kemampuan lakonan emosinya. Ini menandakan penampilan semula Mira di layar perak selepas beberapa tahun. Ini juga gandingan pertamanya dengan Syarul Ezany yang juga membuat kemunculan semula di pawagam sejak penampilan terakhir pada tahun 2008. Bintang hebat lain yang menggerakkan watak dengan penuh dramatik adalah, Idan Aedan, Aleza Shadan dan Sherie Merlis. 

Filem ini diarahkan  Bahri Uma Bajuri yang juga membuat sentuhan sulung untuk layar perak. Dengan pengalaman luas dalam pengarahan drama, Bahri membawakan garapan emosi yang kuat dengan sokongan skrip oleh Zuli Ismail dan Eenaz Mokhtar. Manakala lagu berjudul ‘Yang Tertulis’ dendangan Dinda Dania menjadi lagu tema utama. 

Saksikan Akad Yang Hilang di pawagam seluruh negara bermula 15 Januari 2026. Gunakan #AkadYangHilang di platform media sosial untuk berkatan filem ini. Ikuti semua akaun media sosial Astro Shaw untuk info dan klip menarik Akad Yang Hilang.

“SUATU KEKEJAMAN TANPA BATAS SAMPAI HILANGNYA NILAI KEMANUSIAAN” - DATUK YUSOF HASLAM

Tuesday, 13 January 2026

Itulah ungkapan ringkas tetapi penuh makna yang dilontarkan oleh Datuk Yusof Haslam sebaik melangkah keluar pawagam selepas menonton The Voice of Hind Rajab, sebuah filem yang merakam sisi paling getir konflik kemanusiaan melalui satu elemen yang jarang digunakan, iaitu suara sebenar daripada rakaman asal.

Menurut beliau, tragedi yang dipaparkan bukan sekadar kisah untuk ditonton, tetapi satu seruan kesedaran. “Apa yang boleh kita sokong, kita bantu rakyat Palestin melalui bantuan apa yang kita mampu,” ujarnya yang menyifatkan filem ini sebagai peringatan tentang tanggungjawab kemanusiaan yang tidak seharusnya dipandang ringan. 

Mengangkat kisah benar Hind Rajab, The Voice of Hind Rajab membawa penonton menyelami detik-detik cemas yang selama ini hanya dilihat sepintas lalu di media sosial. Bezanya, pengalaman itu kini dihidangkan secara lebih dekat dan peribadi di layar perak, menjadikannya satu pengalaman emosi yang menyesakkan dada.

Keberanian pendekatan ini turut mendapat perhatian pengarah tersohor, Usamah Zaid, yang meluahkan rasa kagum terhadap pasukan produksi. “Saya tak boleh bayangkan bagaimana jika saya yang diberikan amanah untuk menghasilkan filem seperti ini. Saya respect semua yang terlibat di belakang tabir,” katanya, merujuk kepada kehalusan dan sensitiviti yang diperlukan untuk menghidupkan kisah sebenar seperti ini.

Pelakon Zahiril Adzim pula melihat filem ini dari sudut pengalaman penonton. “Kita sudah banyak lihat pengeboman dan kemusnahan di media sosial, tetapi filem ini membuatkan kita benar-benar ‘duduk’ dalam situasi kecemasan itu. Perasaan cemas dan tidak berdaya itu sangat terasa,” katanya.

Perasaan sama turut dikongsi oleh Shera Aiyob, yang terkesan dengan ketabahan seorang ibu dalam situasi paling menyayat hati, “Saya kagum dengan ketenangan ibu kepada Hind Rajab yang masih mampu memberi kata-kata positif walaupun berdepan situasi yang sangat mencemaskan,” ujarnya, menyifatkan momen tersebut sebagai antara paling menyentuh hati. 

Bagi pempengaruh media sosial, Nyna Bukater, pengalaman menonton The Voice of Hind Rajab jauh lebih mendalam daripada sekadar mengetahui kisahnya. “Saya pernah mengupas kisah Hind Rajab di media sosial, tetapi apabila berpeluang mendengar sendiri suara daripada rakaman asal, saya tidak dapat mengawal emosi. Ia sangat meruntun hati dan menyentuh perasaan,” katanya. Malah, menurut Nyna, filem ini menyemarakkan lagi semangat untuk terus menjadi suara kepada mereka yang tidak didengari.

The Voice of Hind Rajab membuktikan bahawa satu suara yang kecil berupaya menggoncang jiwa dan memaksa dunia berhenti seketika untuk mendengar. Ia bukan sekadar sebuah filem, tetapi satu seruan kemanusiaan tentang empati, tanggungjawab dan keberanian untuk tidak lagi berpaling daripada realiti yang sedang berlaku. Saksikan The Voice of Hind Rajab di pawagam terpilih, bukan hanya untuk menonton, tetapi untuk mendengar dan merasai.

THE VOICE OF HIND RAJAB: MALAYSIA DISASAR DALAM LIMA NEGARA TERATAS KUTIPAN TAYANGAN – ZRA

Monday, 12 January 2026

Malaysia disasarkan untuk berada dalam kelompok lima negara teratas dari segi kutipan tayangan filem The Voice of Hind Rajab, sekali gus membuka peluang lebih luas kepada pengiktirafan filem berkenaan di peringkat antarabangsa termasuk anugerah Oscar.

Perkara itu dikongsikan oleh Zainal Rashid Ahmad atau ZRA dalam sesi Coffee Talk bersama ZRA yang berlangsung pada 10 Januari 2026. Jelasnya, filem berkenaan bukan sahaja berfungsi sebagai medium naratif realiti, malah menjadi ruang katarsis emosi kepada penonton yang terkesan dengan konflik berterusan di Gaza sejak hampir 800 hari lalu. 

Menurut ZRA, The Voice of Hind Rajab dilihat sebagai antara naskhah perfileman yang berjaya mengetengahkan kisah sebenar penderitaan rakyat Palestin melalui penceritaan visual yang berasaskan dokumentasi dan nilai sejarah. “Keberuntungan kita hari ini ialah kerana kisah Hind Rajab ini sempat dirakam. Banyak kisah lain sejak 52 tahun lalu tidak pernah difilemkan,” katanya.

Beliau yang turut bertindak sebagai suara kempen filem itu berkata, kekuatan utama karya berkenaan terletak pada realiti kisah Hind Rajab yang berjaya dirakam dan difilemkan, menjadikannya antara tragedi sebenar pertama melibatkan kanak-kanak Palestin yang dipersembahkan secara terperinci kepada penonton umum. 

Coffee Talk bersama ZRA juga menjadi kupasan pasca tayangan The Voice of Hind Rajab, yang menekankan bahawa kisah Hind Rajab adalah kesinambungan daripada 50 tahun siri pembunuhan terancang terhadap kanak-kanak Palestin. 

Dalam sesi itu, penonton dibawa mengimbau kisah kanak-kanak lain yang syahid seperti Lamis Najim, Faris Odeh, Muhammad Al-Durrah dan Reem Nabhan bagi memberi perspektif lebih luas tentang penderitaan generasi muda di Gaza. 

Tetamu yang hadir mendapat manfaat pengetahuan mengenai siri kekejaman pembunuhan yang meliputi bukan sahaja di Gaza tetapi juga di kawasan lain yang terlibat dalam konflik, menjadikan sesi tersebut lebih daripada sekadar perbincangan filem, ia adalah ruang pendidikan dan kesedaran kemanusiaan. 

Dalam pada itu, beliau turut menyeru rakyat Malaysia agar terus menjadi suara kepada Palestin dengan memberikan sokongan melalui kehadiran ke pawagam bagi menonton filem berkenaan, sekali gus menyemarakkan inisiatif #GerakanSuaraMalaysia. “Jika negara lain boleh berada di kedudukan lima teratas, kenapa tidak Malaysia?” jelasnya.

Sesi Coffee Talk bersama ZRA dan tayangan filem The Voice of Hind Rajab, dihadiri lebih 200 peserta juga mendapat sokongan beberapa selebriti tempatan dan aktivis kemanusiaan, antaranya Heliza dan Hazwani Helmi, Zizi Kirana serta Dr Hafiz Sulaiman, Mior Malek Raiyani, Asrulnizam Kadir dan Amirulhakim Lokman. Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Nini Yusof.

Filem yang mula ditayangkan bermula 8 Januari lalu dan kini berada di 32 lokasi, mengisahkan tragedi sebenar yang menimpa Hind Rajab, seorang kanak-kanak Palestin berusia enam tahun yang terkorban selepas terperangkap di dalam sebuah kenderaan di Gaza susulan serangan tentera Israel pada 29 Januari 2024.

Tragedi berkenaan merakam usaha sukarelawan yang menerima panggilan daripada Hind ketika berusaha menyelaras penghantaran bantuan kecemasan, namun misi itu gagal menyelamatkan nyawanya.

Movie Review | Student of the Year (2012)

Sunday, 11 January 2026


Pengarah: Karan Johar
Penulis Skrip: Rensil D'Silva, Niranjan Iyengar, Karan Johar
Pelakon: Sidharth Malhotra, Alia Bhatt, Varun Dhawan, Rishi Kapoor, Ronit Roy, Sahil Anand, Manjot Singh, Ram Kapoor, Farida Jalal, Manasi Rachh, Sana Saeed, Kayoze Irani
Syarikat Produksi: Dharma Productions, Red Chillies Entertainment
Pengedar: AA Films (India), Eros International (International), Netflix
Genre: Romantik / Komedi
Durasi Tayangan: 146 minit
Tarikh Tayangan: 19 Oktober 2012
Trailer:

Rohan Nanda (Varun Dhawan) merupakan anak bongsu kepada taikun bisnes bernama Ashok Nanda (Ram Kapoor). Walaupun popular di Kolej St. Teresa kerana kacak, berbakat dalam muzik, kaya dan aktif bersukan namun lain ceritanya di rumah bila dia sering dipandang rendah oleh abang dan ayahnya. Hanya ibunya (Gautami Kapoor) sering memujuk tapi kebanyakan masa cuma menurut kata-kata Ashok. 

Rohan tercabar dengan kehadiran Abhimanyu Singh (Siddharth Malhotra) yang mencuri perhatian pelajar lain kerana kacak, bijak, aktif bersukan dan berani. Sekaligus Rohan juga tergugat kerana dia kini ada pesaing untuk trofi Student of the Year di mana kesemua pelajar yang terpilih akan dinilai melalui kebijaksanaan, tarian dan sukan triathlon. Abhi juga mengagumi Ashok Nanda kerana kejayaan yang dicapai dalam bidang perniagaan. 

Walaupun sering bergaduh apabila berjumpa, lama-kelamaan Rohan dan Abhi berkawan baik kerana mereka berdua senasib. Rohan dengan Abhi mengalami masalah keluarga yang sama bila sering diabaikan dan sunyi. 

Sejak Netflix dah jadi arkib utama rom-com genre Bollywood, banyak filem lama dapat rewatch balik. Boleh sangat tengok dekat platform lain tapi sebab ada akaun Netflix, buat apa bazir dekat tempat lain kan? Kualiti pun perform. 

Lepas 13 tahun dijadikan launching platform untuk anak-anak angkat Karan Johar, filem Student of the Year 1 masih seronok ditonton pada masa sekarang. I layan balik filem ni tahun lepas so it explains the math. Bukan saja lakonan debutantes dipersembahkan dengan bagus, skrip dan music album antara kekuatan utama filem yang diterbitkan oleh Gauri Khan melalui Red Chillies Entertainment dan Hiroo Yash Johar dari Dharma Productions. 

Dari tahun 2012 sampai sekarang ramai yang pertikaikan jalan cerita Student of the Year yang tak logik sebab kewujudan pertandingan Student of the Year dan leisure lifestyle pelajar Kolej St. Teresa tapi nama pun fiksyen, ikut kreativiti penulis lah nak karang cerita macam mana. Personally, for me, mesej yang dipamerkan dalam Student of the Year yang lebih kuat berbanding logik yang dipertikaikan. 

Emosi yang dipamerkan menerusi watak Rohan dan Abhi yang buatkan rasa connected dengan kedua-dua watak ni. Dinamik Sidharth Malhotra dengan Varun Dhawan menguatkan enemy to friendship trope dalam Student of the Year sementara Alia Bhat bersinar sebagai Shanaya Singha yang mewujudkan konflik cinta tiga segi. Selain pertandingan Student of the Year, watak Rohan dan Abhi perlu bersaing untuk meraih cinta Shanaya. 

Babak Abhi tenangkan Shanaya bila anting-anting dia hilang tu antara babak beremosi dalam naskhah romantik Student of the Year 1. Pandangan Abhi sendiri dah cukup untuk jelaskan perasaan dia pada Shanaya. 

Pelakon sampingan yang lain juga membantu dunia Student of the Year terlihat meyakinkan dan menyeronokkan. Walaupun ada babak yang over dari Dekan Yogi Vashist (Rishi Kapoor) yang suka dengan guru sukan (Ronit Roy) tapi terlihat kelakar dan menghiburkan. Comic timing Rishi menjadi. 

Ram Kapoor menyerlah sebagai antagonis dalam dunia remaja yang masih tercari-cari hala tuju hidup. Tak kisah lah masa pertama kali tengok atau rewatch, tetap terasa pedih dengan kata-kata Ashok Nanda. Dari gaya dia pandang Rohan pun dah boleh faham kenapa Rohan tak rasa nak duduk dekat rumah. 

Filem Student of the Year 1 bukan saja menjadi debut platform kepada Alia Bhatt, Varun Dhawan dan Sidharth Malhotra malah kepada Sana Saeed juga yang pernah berlakon sebagai Anjali, anak kepada Rahul dalam filem Kuch Kuch Hota Hai (1998). Sama juga dengan Kayoze Irani, anak kepada pelakon senior Bollywood – Boman Irani. 

Sinematografi dari lensa Ayananka Bose menggunakan keindahan landskap Dehradun yang bersalji dan berbukit-bukau. Beberapa babak juga difilemkan di Srinagar juga Thailand. Walaupun mengamalkan konsep santai namun uniform Kolej St. Teresa tampak eksklusif dan elegan. Ketiga-tiga watak utama diberikan wardrobe yang sesuai dengan personaliti masing-masing. Muka Alia dalam Student of the Year nampak muda sangat jadi ada beberapa babak dia nampak overdressed. Dalam lagu Disco Deewane dan majlis perkahwinan abang Rohan, style dia nampak comel dan stylish. 

Music album Student of the Year menggunakan khidmat komposer duo terkenal, Vishal-Shekhar dengan lirik yang dikarang oleh Anvita Dutt. Semua lagu ada impaknya tersendiri terutamanya Ishq Wala Love dan Disco Deewane yang pernah popular pada tahun 1981 diberikan nafas baru dengan musik yang lebih funky dan energetic, sesuai dengan signature Vishal-Shekhar. Intro song Rohan yang diambil dari lagu Papa Kehte Hain dari filem Qayamat Se Qayamat Tak (1991) pun my personal favorite tapi lagu dia sekejap sangat. 



Bila tengok balik filem Student of the Year rasa happy sebab filem ni satu-satunya filem Varun dan Sidharth berlakon bersama sebelum friendship masing-masing bertukar rakan sekerja semata. Apart from being a fun movie, this remain a nostalgic project for their fans. Lurvvvee!

1. Team Production +1, 2. Visual +1, 3. Audio +1, 4. Storyline +0.7, 5. Casting +0.8, 6. Genre +1, 7. Themes +0.7, 8. Editing +1, 9. Social Message +1, 10. Personal Thought +1 = 9.2/10

Movie Review | Bhool Chuk Maaf (2025)


Pengarah: Karan Sharma  
Penulis Skrip: Karan Sharma, Haider Rizvi 
Pelakon: Rajkummar Rao, Wamiqa Gabbi, Seema Pahwa, Sanjay Mishra, Raghubir Yadav, Zakir Hussain    
Syarikat Produksi: Amazon MGM Studios, Maddock Films  
Pengedar: Pen Marudhar (India), Yash Raj Films (International), Amazon Prime Video
Genre: Romantik / Komedi 
Durasi Tayangan: 121 minit
Tarikh Tayangan: 23 Mei 2025  
Trailer:


Titli Mishra (Wamiqa Gabbi) dan Ranjan Tiwari (Rajkummar Rao) adalah sepasang kekasih yang berhasrat untuk lari dari kampung kerana cinta mereka tidak dipersetujui oleh keluarga. Tapi rancangan mereka tak menjadi kerana Titli manja dengan ayahnya. Baru beberapa kilometer keluar dari kampung, Titli dah menangis rindukan Brijmohan Mishra (Zakir Hussain). 

Kerana anaknya beria memujuk, Brijmohan letak syarat yang Ranjan perlu dapatkan kerja Kerajaan dalam masa dua bulan. Semua orang tahu perkara tersebut mustahil untuk dilaksanakan jadi Ranjan beri rasuah kepada Bhagwan (Sanjay Mishra) untuk dapat tempat dalam mana-mana Jabatan. Beberapa hari selepas bayar deposit kepada Bhagwan, dia dapat berita lelaki tua tersebut menghilangkan diri. 


Kecewa dengan nasib hidup, Ranjan pergi ke kuil minta bantuan dan bernazar akan lakukan perkara baik sekiranya dia dapat kerja Kerajaan. Tak lama kemudian, Bhagwan pulang dari Lucknow dan bawa berita gembira kerana Ranjan dapat kerja di Jabatan Pengairan. Rancangan Ranjan untuk rasuah orang dalam untuk dapat kerja menjadi, hasrat dia untuk berkahwin dengan Titli juga berjaya. 

Tarikh perkahwinan mereka ditetapkan pada 30 Mei dan 29 haribulan adalah hari berinai dan mandi kunyit. Segala persiapan dilakukan oleh kedua-dua belah keluarga dan Ranjan tak sabar untuk menjalani kehidupan baru bersama Titli dan juga sebagai staf Kerajaan. Terjaga dari tidur, Ranjan menjalani 29 haribulan berulang kali hingga dia stress. Ranjan tak tahu dan perlu cari tahu kenapa dia tersekat pada tarikh tersebut. 


Naskhah Bhool Chuk Maaf yang berkonsepkan time-loop arahan dan penulisan Karan Sharma menggunakan tema rasuah dan kesannya kepada orang yang teraniaya. Walaupun kesan yang dimaksudkan berada pada second half tapi penulis bina penceritaan yang menarik di first half movie. Walau baik macam mana pun watak Ranjan Tiwari tapi disebabkan rasuah, habis musnah imej baik yang dia jaga selama ni. 

Tapi kalau nak salahkan Ranjan sepenuhnya pun tak boleh juga sebab keluarga Titli pun merepek sebab obsess sangat dengan kerja Kerajaan. Penulis tak kembangkan dengan lebih pun kenapa keluarga Titli beria sangat dengan kerja Kerajaan tapi semua pun tahu jawatan ni stabil dan tak perlukan banyak usaha pun. Banyak juga kelebihan kalau bekerja dengan Kerajaan sampai saudara-mara boleh menumpang sekali. 


Berbalik kepada filem Bhool Chuk Maaf, filem ini agak kasihan sebab dibatalkan tayangan di pawagam kerana konflik India-Pakistan. Kena bash juga sebab ada remake lagu Chor Bazari yang pernah popular dalam filem Love Aaj Kal (2009). Ada yang buat review kata filem ni filem paling teruk untuk tahun 2025 which is quite nonsense lah sebab ada setengah tahun lagi untuk filem lain ditayangkan. 

I personally enjoy je filem Bhool Chuk Maaf sebab chemistry Rajkumar dengan Wamiqa menjadi memandangkan kedua-duanya berbakat besar dalam lakonan. Perjalanan cerita juga diceritakan dengan kemas kecuali pada babak klimaks bila pengarah drag lama sangat bila beberapa watak nak ceramahkan orang kampung. Patutnya biar watak Ranjan selesaikan dengan kedua-dua keluarga sahaja sebab orang kampung datang nak makan je. 


Elemen komedi terhasil dari time loop yang terjadi dan juga konflik cinta terhalang. Kebanyakan babak komedi digalas oleh Rajkummar dan pembantu sampingan yang lain. Watak adik Ranjan, Keri Tiwari (Pragati Mishra) not bad lah untuk pelakon baru tapi untuk buat dia bercinta dengan Sushil (Jay Thakkar) untuk tujuan komedi, agak merepek for me. 

Sinematografi dari Sudeep Chatterjee yang popular dengan kerjanya dalam filem Bajirao Mastani (2015), Brahmastra: Part One – Shiva (2022) dan Chandu Champion (2024) menggunakan keindahan Mira Road dan Vanarasi dengan cemerlang untuk elemen romantik antara Titli dan Ranjan. Keindahan budaya masyarakat yang berkait rapat dengan tempat keagamaan juga dipaparkan dengan cantik melalui penggunaan warna dan rutin seharian. 


Seronok tengok wardrobe Wamiqa Gabi dalam filem Bhool Chuk Maaf sebab lehenga atau Anarkali dia guna warna yang kontra tapi serasi. Pakaian untuk watak Titli semuanya sopan dan cantik, sesuai lah dengan watak dia yang dibesarkan di kawasan yang menggunakan aktiviti kerohanian sebagai sumber pendapatan. 



Music album Bhool Chuk Maaf dari Tanishk Bagchi kurang menjadi bila lagu romantik Koi Naa sahaja yang mencuri perhatian. Selebihnya passable termasuklah Chor Bazari Phir Se. Tak faham kenapa Maddock Films klasifikasikan filem Bhool Chuk Maaf sebagai romantik komedi sedangkan vibe dia lebih kepada komedi drama. 

1. Team Production +1, 2. Visual +1, 3. Audio +0.6, 4. Storyline +0.8, 5. Casting +1, 6. Genre +0.7, 7. Themes +1, 8. Editing +0.7, 9. Social Message +1, 10. Personal Thought +1 = 8.9/10

Movie Review | Black Phone 2 (2025)


Pengarah: Scott Derrickson
Penulis Skrip: Scott Derrickson, C. Robert Cargill  
Pelakon: Mason Thames, Madeleine McGraw, Jeremy Davies, Demián Bichir, Ethan Hawke, Arianna Rivas, Anna Lore  
Syarikat Produksi: Blumhouse Productions, Crooked Highway  
Pengedar: Universal Pictures, Peacock, Amazon Prime Video
Genre: Seram / Misteri / Thriller 
Durasi Tayangan: 114 minit
Tarikh Tayangan: 20 September 2025 (Fantastic Fest), 17 October 2025 (United States)   
Trailer:


Pada tahun 1982, empat tahun selepas Finney Blake (Mason Thames) bunuh the Grabber (Ethan Hawke), adik perempuannya, Gwen (Madeleine McGraw) mula mengalami mimpi ngeri di mana dia dapat menyaksikan pembunuhan kanak-kanak yang berlaku di Alpine Lake Camp pada tahun 1957. Awalnya dia cuma menganggap mimpi buruk namun apa yang dirasakan terlalu nyata dan dia, tanpa sedar mula berjalan dalam tidur. 

Nasibnya baik kerana Finney sentiasa bersiaga dan selamatkan Gwen sejak insiden ngeri bersama the Grabber. Makin membuatkan Gwen yakin ianya bukan sekadar mimpi apabila Gwen menerima panggilan telefon dari mendiang ibunya, Hope (Anna Lore) yang berada di tahun 1957. Pada tahun tersebut, Hope merupakan salah seorang peserta di kem tersebut. 


Gwen pujuk abangnya untuk pergi mencari petunjuk di Alpine Lake Camp bersama Ernesto (Miguel Mora). Di sana mereka berjumpa dengan penjaga kem bernama Armando (Demián Bichir). Mereka berterus-terang tentang tujuan mereka ke kem tersebut dalam keadaan cuaca yang buruk kerana masa tersangat terhad. Mereka bertiga perlu mencari jawapan pada petunjuk di dalam semua mimpi Gwen sebelum diserang oleh roh the Grabber. 


Tak pasti kenapa beria sangat nak tengok sekuel tanpa tengok yang pertama padahal tak pernah tahu pun kewujudan filem ni. Mungkin sebab rating tinggi kot. Naskhah seram Black Phone 2 arahan dan penulisan Scott Derrickson menggunakan latar masa 80-an di mana penggunaan teknologi masih terhad. 

Mudah sangat nak wujudkan suasana saspens dan misteri setiap kali tengok Gwen berjalan dalam tidur atau babak mereka diserang oleh mana-mana entiti menyeramkan. Sebagai penonton dah tentu kita tahu ke mana perginya sekian sekian watak tapi watak Ernesto atau Finney akan jumpa jalan buntu untuk membantu. 


Walaupun tak tengok filem The Black Phone (2021) tapi rasa seram dan gerun dengan the Grabber berada di tahap maksima. Hidup sebagai manusia pun membahayakan masyarakat, bila dah jadi hantu makin bertambah merisaukan. Dalam filem yang menggunakan entiti ghaib sebagai antagonis, jalan penyelesaian terletak sepenuhnya pada watak-watak utama. 

Watak the Grabber tak muncul sangat pun dalam filem Black Phone 2 sebab dia cuma roh yang tak mampu dilihat oleh mata kasar kecuali Gwen. Gangguan the Grabber lebih kepada suara yang mengerikan dan penuh dendam. 


Sinematografi dari Pär M. Ekberg menggunakan grading yang bersifat vintage untuk membezakan alam mimpi dan dunia nyata. Penggunaan cahaya dan transisi menghidupkan lagi babak-babak seram dalam filem Black Phone 2. Landskap latar tempat yang bersalji dengan mudahnya menghasilkan visual tinggi seni estetik namun mengerikan. Music score dari Atticus Derrickson menjadi sinergi yang kukuh sekaligus mewujudkan suasana yang mengerikan. Rasa berdebar setiap kali dengar deringan telefon pada tengah malam. 

Pada mulanya ingatkan watak Finn akan jadi watak utama dalam filem Black Phone 2 rupanya pengarah fokus pada Gwen yang degil. Geram juga tengok Gwen suka bertindak melulu bila bertemu dengan the Grabber tanpa pedulikan keselamatan dia. Ada beberapa babak yang ngeri dan gore dalam Black Phone 2 jadi sebab tu juga lah jadi geram bila Gwen berani sangat. 


Watak Terrence (Jeremy Davies), ayah kepada Finn dan Gwen paling tak function dalam cerita ni sebab biarkan anak-anak pergi ke tempat bahaya. Nasib baik Armando dan anak buah dia, Mustang (Arianna Rivas) mampu jaga tiga remaja yang jadi sasaran the Grabber. 

Tapi tak boleh nak salahkan Jeremy juga lah sebab penulis yang beria sangat fokus pada watak Gwen tanpa seimbangkan watak-watak lain. Ada masanya nampak Gwen ni sebagai manusia terpaling. Bila tengok apa yang jadi pada Hope, tak hairan lah kalau anak pun ada perangai macam tu. Padan muka dia bila kena ganggu secara agresif dengan the Grabber, masa tu baru tahu langit tinggi ke rendah. Senang sangat dismissed rasa trauma Finn lepas insiden ngeri tu.


Memandangkan I tak layan yang pertama, susah nak kata naskhah mana yang bagus ataupun tidak but I do enjoy this movie walaupun dekat hujung draggy dengan dialog yang merepek. Apapun, vibe dia macam filem Five Nights at Freddy's (2023) atau Speak No Evil (2024) sebab di bawah produksi yang sama. 

1. Team Production +0.7, 2. Visual +1, 3. Audio +1, 4. Storyline +0.7, 5. Casting +1, 6. Genre +1, 7. Themes +1, 8. Editing +0.7, 9. Social Message +0.7, 10. Personal Thought +0.8 = 8.7/10

HIND RAJAB: SUARA KECIL YANG DIBUNUH OLEH DUNIA YANG MEMBISU

Saturday, 10 January 2026

Namanya Hind Rajab Hamada. Usianya baru enam tahun. Dunia mendengar rintihannya, lalu berpaling seolah-olah nyawanya tidak bernilai. 

Hind bukan pejuang, bukan askar mahupun ancaman. Dia hanya seorang kanak-kanak Palestin yang terperangkap di dalam sebuah kereta, dikelilingi mayat ahli keluarganya sendiri sambil memegang telefon dan merayu untuk hidup. Dalam suara yang bergetar, Hind meminta bantuan “Please come,” tuturnya dengan pilu. Meskipun dunia mendengar, dunia gagal untuk menyelamatkan. 

Pada 29 Januari 2024, Hind berada di Gaza bersama keluarganya apabila kereta mereka diserang. Seorang demi seorang terkorban. Tinggallah Hind, sendirian dikelilingi jasad yang sudah tidak bernyawa. Dia menghubungi perkhidmatan kecemasan Palestin bukan untuk menangis tetapi untuk bertahan.

Dalam rakaman panggilan itu, suara Hind kecil, lemah namun penuh harapan. Dia tidak faham mengapa dia dibiarkan begitu lama. Dia tidak tahu bahawa bantuan yang dijanjikan kepadanya tidak pernah sampai. 

Selama lebih dua jam, Hind bertahan di talian telefon. Dia menjawab soalan dengan suara yang semakin perlahan. Dia memberitahu bahawa dia takut. Dia memberitahu bahawa semua orang di sekelilingnya sudah ‘tidak bergerak.’

Apabila talian itu akhirnya senyap, ia rupanya jam terakhir sebuah zaman kanak-kanak. Ambulans yang tiba membawa harapan turut menjadi sasaran, dengan dua orang paramedik yang hadir dalam misi menyelamat itu akhirnya gugur di medan yang sama.

Menurut laporan pengesahan oleh PRCS dan pihak berkuasa tempatan Gaza, disokong juga oleh laporan BBC & Al Jazeera, Hind ditemui tidak bernyawa bersama enam ahli keluarganya, 12 hari kemudian, iaitu pada 10 Februari 2024, selepas pengunduran tentera Zionis. Sebanyak 355 butir peluru dilaporkan menembusi kenderaan yang mereka naiki.

Di saat pemimpin berdebat, di saat istilah ‘kerosakan sampingan’ digunakan, seorang kanak-kanak mati ketakutan, sendirian. Soalan paling menyayat hati bukanlah bagaimana Hind mati, tetapi mengapa tiada siapa menghentikannya daripada mati.

Hind Adalah Anak Kita Semua. Jika Hind lahir di tempat lain, jika dia bercakap bahasa lain, jika kulitnya berbeza warna, adakah nasibnya akan sama? Hind Rajab mengajar dunia satu perkara yang pahit bahawa nyawa seorang kanak-kanak Palestin masih perlu diperjuangkan untuk diakui sebagai nyawa yang berharga.

Hind Rajab bukan sekadar satu nama dalam senarai korban. Dia adalah simbol kepada kegagalan dunia untuk melindungi mereka yang paling tidak berdosa. 

Hind sudah tiada. Tetapi suaranya masih bergema dalam rakaman, dalam ingatan, dalam hati nurani mereka yang masih mampu merasa. Setiap kali dunia memilih untuk berpaling, ingatlah suara kecil itu yang pernah berkata: “Please come…”

Ayuh bersama kita menonton The Voice of Hind Rajab, di pawagam terpilih di seluruh negara.