Drama Review | Alice in Borderland 3 (2025)

Sunday, 12 October 2025


Pengarah: Sato Shinsuke 
Penulis Skrip: Kuramitsu Yasuko, Sato Shinsuke
Pelakon: Kento Yamazaki, Tao Tsuchiya, Kento Kaku, Hayato Isomura, Ayaka Miyoshi, Tina Tamashiro, Koji Ohkura, Risa Sudou, Hiroyuki Ikeuchi, Kotaro Daigo, Hyunri, Sakura Kiryu, Akana Ikeda, Ken Watanabe, Nijiro Murakami, Aya Asahina, Sho Aoyagi, Dori Sakurada, Yuri Tsunematsu
Syarikat Produksi:  
Penyiaran: Netflix 
Genre: Aksi / Thriller / Psikologi / Sains Fiksyen
Jumlah Episod: 6 Episod (65 minit setiap episod)
Tarikh Tayangan: 25 September 2025
Trailer: 


4 tahun selepas keluar dari dunia Borderland, Arisu (Kento Yamazaki) dan Usagi (Tao Tsuchiya) menjalani kehidupan sebagai suami isteri di bandar Tokyo. Arisu bekerja di pusat rawatan trauma sambil berulang-alik ke universiti untuk diselidik tentang pengalaman hampir mati selepas Shibuya Crossing dihentam meteor. Sama juga seperti Usagi, mereka berdua disiasat oleh Ryuji (Kento Kaku), seorang pensyarah yang obses dengan alam sempadan antara hidup dan mati. 

Ryuji yakin Usagi dan Arisu menyertai permainan seperti yang diceritakan oleh pesakit-pesakit lain tapi hilang ingatan tentang kejadian tersebut. Sunato Banda (Hayato Isomura) menggunakan obses Ryuji untuk mengumpan Usagi dan Arisu kembali ke dunia Borderland. Banda perlukan Arisu menjadi penduduk tetap di dunia Borderland kerana dunia tersebut masih ada banyak potential yang belum diterokai sepenuhnya. 


Arisu bertemu dengan Ann (Ayaka Miyoshi) untuk masuk semula ke alam Borderland supaya dapat selamatkan Usagi dan anak di dalam kandungan. Ann jelaskan Arisu perlu berada di sana selama 2 minit mengikut masa Bumi dan sekiranya gagal pulang, Arisu akan mati dan Ann akan didakwa bersubahat untuk kes bunuh diri. 

Sementara Arisu berjumpa dengan beberapa watak Baharu, Usagi bertarung dalam permainan lain bersama Ryuji. Berjaya tak Arisu bawa Usagi pulang ke dunia sebenar, kena tengok lah musim akhir Alice in Borderland di Netflix. 


Naskhah popular yang diadaptasikan dari manga "Imawa no Kuni no Arisu" karya Haro Aso membuka perjalanan baru untuk dua watak hebat – Arisu dan Usagi setelah berjaya keluar dari Borderland. Kalau Alice In Borderland (2020) dan Alice in Borderland 2 (2022) menjadi tempat pertarungan yang sengit berpaksikan harapan untuk keluar, konsep musim akhir ini menggunakan manipulasi dan helah Joker untuk kekalkan Arisu tanpa consent. 

Kalau dua musim terbit rasa bangga dengan kebolehan Usagi, dekat dalam musim 3 ni rasa menyampah sebab terpedaya dengan Ryuji. Setiap masa nak defend Ryuji padahal tak kenal pun dan nampak perangai jahat Ryuji guna peserta lain sebagai pelindung dari tembakan laser berwarna. Mungkin emosi orang mengandung walaupun dah tahu hakikatnya ayah dia dah meninggal tapi mana rasa cinta pada Arisu? 


Gaya penulis tekankan tentang closure Usagi dan ayah dia, boleh jadi ayah Usagi pun stuck dalam Borderland. Teori ni makin kuat bila Banda mentioned pasal ni dalam perbualan bersama kawan dia yang juga pilih untuk menetap di Borderland. Tapi bila masuk episod hujung, teori tu jadi delulu semata sebab babak Usagi berjumpa dengan ayah dia dengan pengakhiran yang dia nak. Skrip musim 3 jadi lemah mungkin sebab manga berakhir dengan dua musim tapi Netflix nak keluarkan juga musim ketiga sebab sambutan hangat walaupun tak ada reference yang kuat. 


Permainan yang dimasukkan adalah Joker Card, Sacred Fortunes, Zombie Hunt, Runaway Train, Tokyo Bingo Tower, Kick the Can dan permainan akhir – Future Sugoroku. Semua permainan yang dimasukkan terlihat menarik dan mempunyai strategi tersendiri untuk menang, bukan bersandarkan pada tuah semata. Walaupun Sacred Fortune menggunakan tuah nasib individu tapi Arisu berjaya crack the code untuk selamatkan diri dan peserta lain. 

Sepanjang main permainan di Borderland, Arisu tersangatlah tenang kecuali bila nampak Usagi peluk Ryuji. Berbeza lah dengan personaliti Arisu yang sebelum ni tak yakin dengan kemahiran juga kelebihan diri sendiri. Mungkin sebab Arisu dah jumpa semangat untuk hidup sebab Arisu sebelum ni adalah loser dalam keluarga tapi lepas bertarung di Borderland, dia jumpa Usagi dan bakal jadi ayah. 


Musim ketiga ada 6 episod sahaja, kurang 2 episod dari musim-musim sebelumnya jadi ada beberapa plot tak dikembangkan sangat macam permainan Runaway Train sedangkan team Arisu berjaya sampai ke koc akhir tanpa ada yang mati atau habis tangka oksigen pun, berbeza dengan Usagi. Dalam manga diterangkan macam mana Arisu jumpa petunjuk untuk menang tapi dalam live-action tak diterangkan pun. 

Geram dengan episod akhir bila penulis stretch babak Arisu berjumpa dengan Banda dan lelaki misteri yang paksa dia stay sebagai penduduk di Borderland. Boleh jadi permainan akhir tu ada campur tangan dari Banda sebab dia nak sangat Arisu duduk situ. Watak Usagi pun jadi lemah dan mengharapkan Arisu datang selamatkan padahal dua musim sebelumnya dia adalah action hero sementara Arisu the brain of the show. 


Walaupun kurang menyengat seperti dua musim sebelumnya tapi tetap menarik dengan watak-watak sampingan yang dimasukkan dan mental mereka teruji dalam setiap permainan yang direka oleh Joker. Ada kejutan juga dari beberapa watak sekaligus menjadikan mereka watak yang menarik dan kuat dinamiknya di samping Arisu. Dialog yang dimasukkan mungkin minimal tapi ada mesej kiasan yang bermakna tentang kehidupan.


Sinematografi Alice in Borderland 3 memukau dengan visual yang menarik di Borderland. Setiap permainan mempunyai aesthetic yang tersendiri. Kagum dengan CGI yang digunakan untuk permainan Sacred Fortune bila ada 1 billion panah berapi datang ke arah Arisu selepas gagal jawab soalan. Dalam permainan akhir pun penggunaan warna dan cahaya mewujudkan elemen seram, ngeri dan emosi yang pelbagai. Dekat babak Borderland hancur di hujung tu je nampak ketara penggunaan CGI ditambah pula dengan perubahan warna air yang tak konsisten warna coklat dan jernih padahal dalam tempat yang sama. 



Perasaan jadi bercampur-baur juga bila dah sampai ke hujung episod Alice in Borderland 3 sebab dah sampai ke penghujung cerita. Lepas 5 tahun akhirnya Alice in Borderland bids goodbye walaupun ada potensi musim baru tapi spinoff US dan tak mungkin berjumpa lagi dengan barisan pelakon Jepun yang cemerlang membawakan watak masing-masing. 

Sedih dah habis tapi tak nak juga Arisu masuk lagi ke Borderland sebab alam ni dah ambil banyak nyawa yang Arisu sayang. Macam mana Arisu hilang sparks di Borderland, macam tu juga alam ni mengubah watak Ann yang cool, energetic dan bad-ass kepada pasif dan murung. Anyway, thanks to Alice in Borderland’s production team for creating a good story. 

1. Team Production +0.8, 2. Visual +1, 3. Audio +1, 4. Storyline +0.5, 5. Casting +1, 6. Genre +0.8, 7. Themes +1, 8. Editing +0.8, 9. Social Message +1, 10. Personal Thought +0.7 = 8.5/10

Movie Review | Maargan (2025)


Pengarah: Leo John Paul 
Penulis Skrip: Leo John Paul 
Pelakon: Vijay Antony, Ajay Dhishan    
Syarikat Produksi: Vijay Antony Film Corporation    
Pengedar: JioHotstar, Amazon Prime Video
Genre: Supernatural / Jenayah / Thriller 
Durasi Tayangan: 132 minit
Tarikh Tayangan: 27 June 2025   
Trailer:


Filem bermula dengan pembunuhan kejam terhadap Ramya, seorang wanita yang pulang dari menyambut ulang tahun kelahirannya bersama teman lelakinya, Karthik. Ramya bertegas untuk berjalan kaki ke rumah dari tempat Karthik turunkan dia sebab tak mahu keluarga dia tahu tentang hubungan cinta mereka. Tanpa disangka Ramya dibunuh dengan suntikan kimia bertoksik, campuran kokain dan melatonin hingga menyebabkan dia mati dan badan bertukar menjadi hitam. Mayatnya dibuang dalam tong sampah dan dijumpai keesokan paginya. 


Kerana persamaan kes pembunuhan Ramya dengan kes yang berlaku di Mumbai, ADGP Dhruv Guvarak (Vijay Antony) dipanggil untuk mengetuai siasatan kes jenayah tersebut. Namun dengan syarat supaya dia tidak beremosi kerana mangsa pembunuhan di Mumbai adalah anak perempuan tunggalnya, Priya (Smeha Manimegalai). 

Baru saja sehari, Dhruv mendapat petunjuk baru untuk kes tersebut di mana mereka bertemu dengan atlit sukan renang bernama Tamilarivu (Ajay Dhishan) kerana dia berjogging setiap pagi di kawasan rumah Ramya. Ketika dalam tahanan polis, Tamilarivu menunjukkan sikap aneh apabila dia menghabiskan 20 liter air dan tak tentu arah minta diberikan kembali ubatnya. 


Tamilarivu ceritakan tentang sejarah hitam dia bersama Ramya (Deepshikha), bekas kekasihnya yang menjadi punca rekod renang dia semakin teruk dan hampir dibuang sebagai atlet daerah. Tapi Ramya yang diceritakan Tamilarivu tak sama dengan Ramya yang menjadi mangsa bunuh namun Dhruv masih ingin Tamilarivu berada dalam kawalan pihak polis kerana dia memiliki anugerah luar biasa dan akan menjadi aset pihak polis untuk selesaikan kes. 

Filem Maargan arahan dan penulisan Leo John Paul mengetengahkan konsep kelebihan mempunyai Eidetic memory di mana individu boleh melihat objek dengan jelas dari ingatan walaupun cuma melihatnya sekilas. Dari penjelasan saintifik, manusia boleh mempunyai kelebihan tersebut dari kemalangan, genetik atau kelebihan istimewa dan watak Tamilarivu dapat kelebihan tersebut bila terjatuh ke dalam telaga di kuil keramat Kanjamalai, tempat yang dikaitkan dengan Kalangi Siddhar, tokoh guru spiritual dalam agama Confucius.


Bila bergabung dengan kuasa spiritual, elemen eidetic memory dari penjelasan saintifik dah menyimpang jauh sebab roh Tamilarivu boleh mengembara dan menjejak penjenayah. Kelebihan Tamilarivu bukan lagi eidetic memory tapi kuasa psikik which at times boleh bertukar kepada merepek. Tapi memandangkan filem ni bergenre supernatural dan diceritakan macam mana dia dapat kuasa tersebut, kira okay lah boleh pejam mata terima lah logik tu. Momentum cerita Maargan jadi flat sebab watak ADGP tak beraksi sangat selebihnya bagi ruang kepada Tamilarivu. 


Filem ni ada genre thriller tapi tak lah strong sangat sebab dah tenggelam dengan genre supernatural yang dimasukkan. Mungkin nak menutup kelemahan pihak polis untuk menyiasat bila bertemu jalan buntu. Filem Maargan cuba nak guna plot jalan buntu untuk serlahkan kelebihan Tamilarivu tapi tak faham kenapa ADGP Dhruv tak siasat geng Sadiq sedangkan dia nampak mayat Sadiq terima nasib yang sama dengan Priya. Dekat situ jadi lompong besar sebab ada banyak petunjuk. Beberapa watak sampingan yang terlibat dalam kes jenayah ni pun hilang dan muncul semula bila cerita memerlukan. 

Personally, I rasa twist lebih kuat kalau Ramya kekasih Karthik adalah Ramya yang sama kecewakan Tamilarivu supaya konflik dan drama yang dimasukkan tu jadi lagi kuat. Elemen eidetic memory pun lebih kuat sebab circle tak lari jauh. Masa watak Rajesh (Abhishek Vinod) jadi suspek pihak polis macam lemah juga lah plot tu sebab jauh berbeza sangat fizikal pembunuh dengan Rajesh. Tak faham kenapa Tamilarivu tak describe fizikal pembunuh supaya jadi salah satu petunjuk kes. 


Sinematografi filem Maargan dari S. Yuva mendukung visi sang pengarah tapi kelemahan masih lagi terlihat ketara untuk penggunaan CGI dalam babak Tamilarivu jatuh ke telaga atau beberapa babak kuasa dia. Burung hantu yang dimasukkan pun tak nampak real, tak pasti kenapa nak guna burung hantu kalau susah nak dapat yang asli. 

Sebelum ni tak pernah layan filem lakonan Vijay Antony sebab jarang layan filem Tamil tapi not bad lah filem Maargan ni. Naskhah jenayah thriller ni pun diterbitkan oleh syarikat kepunyaan Vijay Antony sendiri dan dekat awal filem pun dia dah bagitahu nak perkenalkan talent baru - Ajay Dhishan so boleh faham lah kenapa watak Tamilarivu dapat ruang lebih dari watak utama. 


Overall, it’s a good one time watch film.    

1. Team Production +0.6, 2. Visual +0.6, 3. Audio +1, 4. Storyline +0.6, 5. Casting +0.7, 6. Genre +0.5, 7. Themes +0.6, 8. Editing +0.5, 9. Social Message +1, 10. Personal Thought +0.6 = 6.7/10

Movie Review | Qifarah (2025)

Saturday, 11 October 2025


Pengarah: Ghaz Abu Bakar
Penulis Skrip: Ghaz Abu Bakar, Hadi M. Nor  
Pelakon: Datuk Remy Ishak, Sharifah Sakinah, Liyana Jasmay, Namron, Esma Daniel, Vanida Imran, Rita Nadira, Rafique Iskandar
Syarikat Produksi: Skop Productions, My Way Pictures    
Pengedar: Primeworks Studios, Astro Shaw
Genre: Seram 
Durasi Tayangan: 94 minit
Tarikh Tayangan: 09 Oktober 2025  
Trailer:


Qifarah mengisahkan Yusoff (Remy Ishak), seorang perantau yang telah lama menetap di Kaherah bersama isterinya, Marissa (Rita Nadira), serta anak mereka, Mikhail (Rafique Iskandar). Namun, apabila menerima perkhabaran tentang bapanya, Ghazali (Esma Daniel) yang sedang nazak, Yusoff kembali ke tanah air selepas 30 tahun. 

Ghazali dijaga oleh isteri mudanya bernama Mawar (Sharifah Sakinah) yang menjadi yatim piatu setelah rumah keluarganya terbakar. Kebetulan Ghazali dalam perjalanan pulang lalu terlihat kejadian tersebut dan berkahwin dengan Mawar untuk membantu wanita malang itu. Walaupun Nur teragak-agak untuk menerima tapi Mawar tak berniat untuk merosakkan rumahtangga Ghazali dan Nur. 


Mawar sentiasa membantu Nur dan Ghazali menjaga Yusoff dan Eykha selain menguruskan rumah bersama Neng. Pak Mat (Namron) pula berkhidmat sebagai pemandu keluarga dan membantu kerja-kerja di kawasan rumah. Namun ada perkara yang berlaku dalam keluarga tersebut hingga Ghazali ambil keputusan untuk hantar Yusoff ke London dan Nur akan menjaga anak lelakinya di sana. 

Anehnya, Nur tidak pernah tiba ke London dan Yusoff pula bawa diri kerana menganggap dibuang oleh keluarga. Eykha yang dahulunya sihat menjadi sakit dan pendiam. Dia selalu berjalan dalam tidur menuju ke pokok besar di belakang rumah. 


Filem Qifarah arahan dan penulisan Ghaz Abu Bakar merupakan filem seram pertama arahannya selepas popular dengan aksi komedi Cicakman 3 (2015), Polis EVO (2015) dan Bulan dan Pria Terhebat (2020)

Penceritaan Qifarah mudah difahami walaupun bersilih ganti antara masa sekarang dan flashbacks yang dimasukkan oleh beberapa watak utama. Pengarah tak berselindung tentang siapa watak antagonis sebab dari promo materials pun dah nampak yang watak Mawar atau Mak War mempunyai agenda tersendiri dan menjadi dalang di sebalik kejadian-kejadian misteri di dalam rumah mewah tersebut. 


Kekuatan filem Qifarah terletak pada sinematografi yang cemerlang dari Izzat Emir Mainon dengan penataan cahaya yang mendukung suasana seram dan ngeri. Suasana kelam dalam rumah boleh diterima akal bila Mak War bagitahu Yusoff yang Ghazali tak suka terang-terang, nanti silau. Props yang digunakan pun sesuai dengan perjalanan filem Qifarah yang menggambarkan kekayaan ‘old money’ Malaysia. 

Lakonan Sharifah Sakinah sebagai Mawar antara yang menarik dalam Qifarah, bukan saja mempunyai lenggok dan bahasa badan yang tersendiri malah menghidupkan watak ibu tiri yang dengan mudah nya menghasut orang lain. Macam mana dia berlagak kesian di hadapan Ghazali dan pandai mengatur langkah supaya Nur tak sakit hati, macam tu juga dia pujuk Marisa supaya terima dia sebagai mertua yang baik. 


Selain Sakinah, pelakon kanak-kanak Rafique Iskandar sebagai Mikhael pun mencuri perhatian juga dalam ruang yang terhad. Comel bila tengok Mikhael berkawan dengan Eykha sebaik saja sampai ke rumah tersebut. 

Walaupun filem Qifarah adalah filem seram namun naskhah ni lebih terarah pada konflik keluarga. Satu demi satu rahsia keluarga dirungkai, bukan saja tentang Mawar, Nur atau Ghazali malah rahsia keluarga Yusoff sendiri yang cuba menerima Marissa selepas dicurangi. Kenapa Marissa curang, tak diceritakan.

 
Banyak persoalan yang timbul selepas menonton Qifarah macam siapa Din yang suka dengan patung monyet kepunyaan Yusoff? Macam mana Eykha boleh sakit sedangkan dia sihat sebelum Yusoff dihantar ke London? Kenapa Yusoff tak bawa Mikhael ke hospital bila anak dia demam walhal dia pun tahu serba sedikit tentang Mawar. Apa perlunya masukkan babak Mikhael tak mampu habiskan bacaan ayat Qursi kalau tak ada babak Mikhael guna ayat Qursi sebagai pelindung bila diganggu? 

Agak kecewa dengan watak Yusof yang merupakan Profesor Sejarah Islam dan Budaya di Kaherah tapi bila berdepan dengan Mawar, lebih banyak berdiam. Watak Yusoff sama macam watak Salma dalam Dasim (2025) yang dibina dengan latar belakang agama yang tinggi tapi lemah bila berlawan dengan makhluk halus. Bacaan pun pincang apatah lagi amalan yang lain. I tak salahkan pelakon tapi kelemahan ni dari penulis sepenuhnya. 


Pace bergerak terlalu perlahan buatkan filem terasa bosan dengan sound effect yang keterlaluan dan pointless. Twist yang dimasukkan boleh dijangka dan terlihat cliché. Sayang bila sesebuah naskhah tak dikembangkan dengan baik tapi lebih terarah pada visual style yang menarik.

1. Team Production +0.6, 2. Visual +1, 3. Audio +0.4, 4. Storyline +0.5, 5. Casting +0.7, 6. Genre +0.5, 7. Themes +0.6, 8. Editing +0.5, 9. Social Message +0.4, 10. Personal Thought +0.3 = 5.5/10

REMY ISHAK BUAT COMEBACK PADU DALAM GENRE SERAM!

Friday, 10 October 2025

REMY ISHAK BUAT COMEBACK PADU DALAM GENRE SERAM! | Bertarung Dengan Legasi Demi Nyawa Tersayang!

Aura Remy Ishak sebagai “Hero Pujaan Malaya” memang tak pernah pudar. Dikenali sebagai pelakon yang mampu menjiwai pelbagai watak, Remy kini kembali ke layar perak dengan sisi lebih matang, misteri dan beremosi menerusi filem seram terbaharu, Qifarah.

Kembalinya Remy bukan sekadar penampilan semula, tetapi bukti bahawa kekuatannya sebagai pelakon masih relevan dan utuh. Beliau masih menjadi pilihan utama penerbit dan pengarah untuk membawa watak hero, menegaskan pengaruhnya dalam industri.

Dalam Qifarah, Remy menghidupkan watak Yusoff, seorang lelaki yang pulang ke tanah air selepas bertahun-tahun menetap di Kaherah bersama isteri dan anaknya. Kepulangannya ke rumah pusaka kerana ayahnya yang tenat membuka semula pintu kepada rahsia lama dan kegelapan yang tidak pernah benar-benar padam.

Watak Yusoff bukan hanya bertindak sebagai lelaki yang pulang menuntut kebenaran. Dia merupakan jiwa yang berperang dengan kisah silam, menghadapi misteri dan kuasa jahat yang terus membelenggu. Di sebalik semua itu, Yusoff tampil sebagai suami dan bapa tabah, melindungi insan tersayang sebelum semuanya terlambat.

Menurut Remy, watak Yusoff dalam Qifarah memberi peluang untuk menonjolkan sisi lakonan yang berbeza. “Dah lama saya tak membawa watak dalam filem seram. Tapi bila baca skrip Qifarah, saya rasa karakter Yusoff mempunyai intensiti tersendiri. Ceritanya gelap, seram dan misteri, sebab itu saya teruja untuk terlibat dengan projek ini,” jelas Remy.

Semasa penggambaran, Remy dikatakan turut mengalami kejadian pelik di lokasi. “Kami berada di rumah itu selama dua setengah minggu untuk penggambaran. Satu malam, ketika saya tengah solat di tingkat atas, saya ternampak kelibat seseorang. Ingatkan kru, tapi dia memakai baju batik. Esoknya baru saya tahu rumah itu agak ‘keras’ rupanya,” katanya sambil tersenyum.

Qifarah kini di pawagam! Saksikan Remy Ishak kembali beraksi dalam filem seram, menentang kegelapan yang menghantuinya!


“TANGISAN SEORANG PENDOSA” | Muzik Video Bernuansa Hitam Putih Tampil Dramatik, Bawa Penonton Menyusuri Jejak Masa

Kuala Lumpur, 10 Oktober 2025 – Penyanyi bersuara lunak, Marsha Milan kembali mencuri perhatian dengan pelancaran muzik video terbaharu untuk single Tangisan Seorang Pendosa malam ini. Mengangkat tema keinsafan dan pergolakan jiwa yang begitu kuat dalam menempuh perjalanan hidup, muzik video ini ditayangkan sepenuhnya dalam visual dramatik hitam putih, melahirkan suasana melankolik yang penuh simbolik dan mendalam.

Penggambaran MV dijalankan di Pulau Pinang dengan bangunan bersejarah dipilih sebagai latar utama bagi melambangkan memori masa lalu. Manakala, babak di pelabuhan pula menzahirkan suasana masa hadapan, melengkapkan kesinambungan naratif visual. 

Menurut pengarah dan penerbit produksi 71 Studios, Izuan Mokhtar, pilihan lokasi di Pulau Pinang memberi ruang untuk visual yang lebih puitis serta sarat nilai estetika. Kolaborasi antara beliau, Marsha dan pengarah fotografi Mad Nor Kassim melahirkan karya visual yang berjiwa, di mana setiap elemen diperlihatkan dengan penuh teliti bagi menyampaikan sebuah kisah emosi yang jauh daripada sekadar jalan cerita linear. Mereka mahu penonton bukan sekadar melihat, tetapi turut merasakan apa yang cuba diterjemahkan melalui lensa kamera.

“Sejak awal lagi, saya dan Marsha sepakat untuk menghasilkan sesuatu yang lebih daripada sekadar muzik video. Kami mahu visual yang puitis, simbolik, dan mampu membuat penonton benar-benar merasai roh lagu Tangisan Seorang Pendosa. Cabaran cuaca, cahaya dan lokasi bersejarah hanya menjadikan pengalaman ini lebih bermakna,” katanya.

Dalam pada itu, perjalanan menghasilkan muzik video ini tidak terlepas daripada cabaran. Rakaman malam di bangunan warisan menuntut kawalan pencahayaan yang rapi, sementara faktor cuaca turut memaksa krew menghentikan penggambaran beberapa kali. Babak di pelabuhan juga harus dilaksanakan dalam tempoh singkat demi menangkap cahaya semula jadi yang sempurna. 

Antara momen paling diingati ialah sewaktu penggambaran di Raffles Lighthouse, apabila Marsha terpaksa mengatasi ketakutan terhadap ketinggian. Walaupun gugup, beliau tetap berdiri dengan penuh emosi dan menyampaikan nyanyian yang meresap jiwa.

Keseluruhan muzik video ini diperkaya dengan elemen hitam putih yang memberi nuansa abadi, gaya serba hitam Marsha yang menambahkan misteri serta drama, dan peralihan lokasi yang melambangkan perjalanan masa lalu serta masa depan. 

Bagi Marsha sendiri, Tangisan Seorang Pendosa bukan sekadar sebuah muzik video untuk ditonton, tetapi sebuah pengalaman emosi yang menghubungkan penonton dengan roh sebenar lagunya. “Bagi saya, Tangisan Seorang Pendosa bukan sekadar sebuah karya, tetapi sebuah perjalanan yang benar-benar dekat dengan hati saya. Ada babak yang sukar kerana saya sendiri perlu melawan ketakutan, tetapi akhirnya semua itu membantu saya menyampaikan rasa lagu ini dengan lebih jujur. Saya harap penonton juga dapat merasainya,” ujarnya.

Lagu Tangisan Seorang Pendosa juga merupakan runut bunyi (OST) serta pelengkap kepada drama Keluarga Itu yang menjadi fenomena di TV3, memikat penonton dengan jalan ceritanya yang penuh emosi. 

Jangan ketinggalan untuk menyaksikan muzik video Tangisan Seorang Pendosa yang akan dilancarkan hari ini, Jumaat, 10 Oktober 2025 jam 8 malam di saluran YouTube rasmi Alternate Records & Talents. Pastikan anda antara yang pertama menontonnya!



Untuk mendapatkan maklumat terkini tentang Alternate Records & Talents, layari akaun rasmi media sosial Alternate Records & Talents di Facebook, @alternate.my_ di Instagram, dan @alternate.rt_ di TikTok.

RATU SERAM ERA BAHARU, SHARIFAH SAKINAH BUAT PENONTON TAK SENANG DUDUK!

Thursday, 9 October 2025

RATU SERAM ERA BAHARU, SHARIFAH SAKINAH BUAT PENONTON TAK SENANG DUDUK! | Qifarah Menampilkan Adegan Ritual Berdarah Yang Cukup Mendebarkan

Sharifah Sakinah sekali lagi tampil mengagumkan dengan lakonan mantapnya sebagai watak kompleks dan penuh misteri dalam filem seram terbaru arahan Ghaz Abu Bakar, Qifarah, yang mula menghantui pawagam seluruh Malaysia bermula hari ini. Dalam filem ini, beliau membawakan watak Mawar, seorang ibu tiri yang menyimpan rahsia gelap dan sanggup mengamalkan ilmu hitam demi memenuhi niat tersembunyi yang dipenuhi dendam dan misteri.

Sejak babak awal lagi, penonton sudah dapat merasai aura dendam dan kelicikan yang dibawa oleh watak Mawar. Watak ini bukan sekadar menambah elemen seram dalam Qifarah, tetapi menjadi pusat kepada pelbagai konflik mistik yang menggerakkan keseluruhan jalan cerita. Lakonan Sharifah Sakinah benar-benar meninggalkan impak yang begitu meyakinkan hingga menjadikan Mawar watak antagonis paling menyeramkan dan sukar dilupakan. Satu demi satu rahsia serta kejahatan yang disembunyikannya mula terbongkar, membawa penonton merasai sendiri deretan kejutan dan plot twist yang tidak disangka.

Antara babak paling mengerikan dalam Qifarah ialah adegan ritual berdarah yang benar-benar mengganggu emosi penonton, membangkitkan rasa takut dari segi psikologi dan visual. Selain itu, aura misteri yang menyelubungi rumah besar berkonsep klasik bangsawan lama semakin menguatkan lagi rasa seram yang menghantui setiap babak, seolah-olah bangunan itu sendiri menyimpan rahsia gelap yang enggan terungkai. Di sinilah tersembunyi perjanjian ghaib yang mengikat keluarga Mawar, menjadikan Qifarah satu pengalaman menonton yang mendebarkan, berani dan menonjol dengan penerokaan tema gelap mistik yang jarang sekali diketengahkan dalam sinema tempatan.

Serbu pawagam berhampiran anda bermula hari ini, 9 Oktober 2025 untuk menyaksikan Qifarah, filem seram terbaru yang sarat dengan debar, misteri dan rahsia gelap yang bakal menghantui fikiran anda! Ajak keluarga atau rakan sekali dan jangan lupa ikuti Facebook, Instagram, Twitter, serta YouTube Primeworks Studios untuk perkembangan terkini dan kandungan eksklusif.

Kuala Lumpur, 9 Oktober 2025 – Lima kandungan utama terbitan dan edaran Media Prima serta Primeworks Studios terus membuktikan keunggulan mereka di pentas industri apabila menerima pengiktirafan berprestij di Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34). Pencapaian ini bukan sahaja menonjolkan kekuatan produksi dan penceritaan yang berkualiti tinggi, tetapi juga mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua entiti dalam mengangkat martabat kandungan tempatan ke tahap yang setanding dengan standard antarabangsa.

Antara karya yang mencuri perhatian di FFM34 termasuk tiga produksi terbitan TV3, Fail Mahkamah: Derita Zara, Fail Mahkamah: Rindu Tak Berpenghujung dan Majalah 3: Nadi Peralihan Tenaga yang menampilkan kekuatan naratif berasaskan realiti serta sarat dengan mesej kemanusiaan dan nilai inspirasi. Turut menjadi tumpuan ialah dua karya besar terbitan Primeworks Studios, Blood Brothers: Bara Naga dan Ejen Ali The Movie 2 yang masing-masing membuktikan keunggulan produksi tempatan dalam melahirkan karya dengan penceritaan mantap dan visual sinematik bertaraf antarabangsa.

EJEN ALI THE MOVIE 2 - Primeworks Studios & WAU Animation

Filem animasi kebanggaan negara ini bukan sahaja mencipta fenomena luar biasa dengan rekod kutipan tertinggi di pawagam tempatan, malah terus mengukuhkan reputasinya apabila mengungguli pencalonan dalam 3 kategori di FFM34. Antara kategori yang dipertandingkan termasuk:

  • Skor Muzik Asal Terbaik – Azri Yunus & Hakim Kamal
  • Kesan Khas Visual Terbaik – Faiz Hanafiah & Naim Sarip
  • Penataan Bunyi Terbaik – Fadhil Shafian, Hakim Kamal, Shafiq Isa & Qayyim Zamani

BLOOD BROTHERS: BARA NAGA - Skop Productions / Primeworks Studios

Menjadi antara filem paling dominan tahun ini, Blood Brothers: Bara Naga, arahan Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra, terus mendominasi panggung FFM34 dengan pencalonan merentasi kategori utama, satu pencapaian yang disokong oleh kejayaan box-office filem ini dan penerimaan hangat penonton serta pengkritik. Kategori yang diiktiraf meliputi:

  • Filem Terbaik
  • Pengarah Terbaik – Syafiq Yusof & Abhilash Chandra
  • Pelakon Lelaki Terbaik – Sharnaaz Ahmad
  • Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik – Shukri Yahaya, Syazwan Zulkifly & Syafiq Kyle
  • Lakon Layar Terbaik – Ashraf Modee Zain
  • Sinematografi Terbaik – Nicholas Chin
  • Aksi & Lagak Ngeri Terbaik – Ubbaidillah Amirzan
  • Penataan Bunyi Terbaik – Mohsin Othman
  • Penataan Seni Terbaik – Nazrul Asraff Mahzan
  • Lagu Tema Terbaik – Bara Jiwa (Penyanyi: Azlan & The Typewriter & Muzza | Komposer: Muzza | Lirik: Nana Azmi)
  • Rekaan Kostum/Busana Terbaik – Nasirah Ramlan

FAIL MAHKAMAH: DERITA ZARA - TV3 / Primeworks Studios

Dokumentari ini membawa penonton menyelami kisah sebenar seorang wanita yang melangkaui keperitan dan cabaran sewaktu memperjuangkan keadilan dalam sistem perundangan yang penuh halangan. Fail Mahkamah: Derita Zara dicalonkan dalam kategori Dokumentari Terbaik di FFM34 sebagai penghormatan kepada naratif yang tulus dan keberanian penceritaan yang mengetengahkan nilai kemanusiaan, sekaligus memperlihatkan bagaimana seni dokumentari mampu menjadi suara untuk yang terpinggir dan menyentuh hati masyarakat.

FAIL MAHKAMAH: RINDU TAK BERPENGHUJUNG - TV3 / Primeworks Studios

Mengangkat kisah benar yang menyentuh emosi, dokumentari ini membuka perspektif baharu terhadap realiti dunia perundangan dan perjuangan mencari keadilan. Rindu Tak Berpenghujung menonjol melalui pendekatan penceritaan yang jujur dan berempati, sekali gus melayakkannya menerima pencalonan bagi kategori Dokumentari Terbaik di FFM34 sebagai pengiktirafan terhadap keberanian dan kepekaan pasukan produksi dalam mengetengahkan isu kemanusiaan sebenar.

MAJALAH 3: NADI PERALIHAN TENAGA - TV3 / Primeworks Studios

Episod khas yang diterbitkan sempena sambutan ulang tahun Tenaga Nasional Berhad (TNB) ini mengupas perjalanan serta strategi peralihan tenaga negara, termasuk pelaksanaan inisiatif tenaga boleh diperbaharui dan hala tuju pembangunan mampan untuk masa hadapan. Pencalonan bagi kategori Dokumentari Terbaik di FFM34 mengiktiraf usaha pasukan Majalah 3 dalam menghasilkan kandungan berimpak yang informatif dan mendidik.

Kejayaan ini sekali lagi menegaskan komitmen Media Prima dan Primeworks Studios dalam memperkukuh landskap kreatif tanah air, bukan sekadar menghasilkan karya hiburan, tetapi menjadikannya sebagai wadah untuk menyampaikan mesej, nilai serta inspirasi kepada masyarakat.

Malam Anugerah FFM34 bakal berlangsung pada 1 November 2025, jam 8.30 malam, menyaksikan pertembungan karya terbaik tanah air dalam meraikan kehebatan sinema tempatan. Majlis anugerah berprestij ini akan disiarkan secara langsung di TV2 RTM dan saluran rasmi YouTube FINAS, membolehkan para peminat industri filem sama-sama menyaksikan detik bersejarah yang mengiktiraf bakat dan dedikasi penggiat seni Malaysia.

KUALA LUMPUR, 9 Oktober 2025 – Astro, peneraju kandungan dan hiburan di Malaysia, meraikan musim 10.10 dengan pelancaran promosi 10.10 Jualan Epik untuk semua pelanggan baharu, berserta kemunculan semula saluran Pop-Up LOL (CH 100), yang menawarkan hiburan penuh lawak untuk seisi keluarga. Oktober ini, Astro ingin mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia dengan memberikan nilai hebat, pilihan yang berbagai, serta hiburan yang boleh dinikmati bersama sempena musim akhir tahun.

Dapatkan Astro dengan Hanya RM101 Sebulan melalui 10.10 Jualan Epik

Dari 10 hingga 17 Oktober 2025, pelanggan baru yang melanggan Pek Epic Astro One menerusi laman astro.com.my akan mendapat kadar istimewa sebanyak RM101 sebulan bagi tempoh 24 bulan (harga biasa: RM199.99 sebulan). Promosi ini menawarkan hiburan premium selama dua tahun pada hampir separuh daripada harga biasa.

Pek Epic Astro One menawarkan langganan fleksibel dan menyeluruh untuk seluruh ahli keluarga dengan lebih 145 saluran dan 8 aplikasi penstriman popular — Netflix, Disney+, HBO Max, Prime Video, iQIYI, Sun NXT, BBC Player dan beIN SPORTS. Pakej ini turut merangkumi Astro GO, yang membolehkan penstriman serentak di sehingga 4 peranti, agar setiap ahli keluarga boleh menonton kandungan yang digemari bila-bila masa dan di mana sahaja. Daripada siaran langsung sukan dan drama popular hingga filem blockbuster, siri kegemaran kanak-kanak dan dokumentari, pek ini menggabungkan hiburan Melayu, Korea, Cina, India dan antarabangsa dalam satu tempat.

Dengan hanya RM101 sebulan, pelanggan boleh menonton pelbagai rancangan tempatan hebat seperti Generasi: Perfect 10, Mutiara Dalam Debuan Kabus, Jika Cinta Itu Buta, Talk To My Manager, dan musim terbaru Gegar Vaganza yang bakal disiarkan tidak lama lagi.

Tidak ketinggalan, pelanggan juga boleh menonton rancangan global popular seperti Hell’s Kitchen: Battle of the States, The Rain Maker, Race Across the World (Musim ke-5), The Great Australian Bake Off (Musim ke-8), Alone (Musim 12), Sinners, The Ghost Game, dan banyak lagi - termasuk siaran langsung aksi sukan terhangat seperti Piala Asia 2027, Piala FA Malaysia, Premier League, MotoGP Malaysia dan kejohanan badminton utama.

Tawaran eksklusif ini sah dari 10 hingga 17 Oktober 2025 sahaja. Rebut peluang hebat ini sebelum terlambat!

Saluran Pop-Up LOL (CH 100) Kembali dengan Lebih Banyak Gelak Tawa

Selepas menerima sambutan hangat daripada penonton, saluran pop-up LOL (CH 100) kembali dari 15 Oktober hingga 16 November 2025 – kini lebih lucu, lebih menghiburkan dan lebih banyak kandungan! Sepanjang musim Halloween ini, LOL (CH 100) menggantikan elemen seram dengan hiburan penuh keriangan, dengan lebih 100 kandungan lucu merentasi genre dan bahasa termasuk Bahasa Malaysia, Cina, Tamil, Korea dan Inggeris.

Penonton boleh menantikan barisan rancangan lucu seperti filem Inggeris Johnny English Strikes Again, Are We There Yet?, Just Go with It, Instant Family, Paul Blart: Mall Cop, dan White Chicks; pilihan untuk kanak-kanak seperti The Tiger’s Apprentice, PAW Patrol: The

Movie, dan The SpongeBob SquarePants Movie; filem blockbuster Cina seperti Kung Fu Yoga dan Godspeed; rancangan popular Melayu antaranya Dr. Pontianak, Jutawan Ekspres, Travelawak: Projek Bapak Bapak (Musim 1 & ke-2), Cun, Girlfriend Aku Dari Neraka, dan Merewang Keluarga Pak Awang; serta siri Korea seperti Hitman: Agent Jun, My Love, My Bride, dan Midnight Runners — dan banyak lagi.

Untuk maklumat lanjut atau untuk melanggan Pek Epic Astro One, sila layari astro.com.my atau WhatsApp 03-9543 3838 untuk sebarang pertanyaan.

LIRIK LAGU DENDAM - FIRDAUS RAHMAT

Wednesday, 8 October 2025


LIRIK LAGU DENDAM
Penyanyi: Firdaus Rahmat 
Komposer : Firdaus Rahmat
Lirik : Firdaus Rahmat
Susunan : Firdaus Rahmat
Produser : Firdaus Rahmat
Label : World Peace Music


Verse
Kata,
Yang tak terolah oleh mu
Timbul segala soalan
Di fikiran ragu

Aku
Yang seharusnya terjaga
Engkau lepaskan semata
Kasih yang kau mahu

Pre Chorus

Takkan ku biarkan kau
bermaharajalela
Takkan ku biar diri ku bernafas
lelah
Ku mahu kau rasa sakitnya

Chorus
Pendam dalam diam pendam
Apakah kau mengerti?
Hati ku yang membenci
Dendam dalam diam dendam
Balas segala laku
Kau terhadap diri ku
Namun ku biar kan Tuhan
Mengadili dusta mu

Verse 2
Aku
Yang s'lama ini membeku
dileburkan bara api membakar
janjimu

Bridge
(Pendam dalam diam,
Dendam dalam diam,
Namun biar Tuhan
membalasnya)
Membalasnya ...

‘DENDAM’– PERGELUTAN JIWA MENUJU KEINSAFAN | KISAH LUKA DAN REDA DISULAM DALAM BALADA TERBAHARU FIRDAUS RAHMAT

Kuala Lumpur, 8 Oktober 2025 – Penyanyi dan komposer berbakat, Firdaus Rahmat, kembali dengan single terbaharunya berjudul Dendam, sebuah balada sarat emosi yang menyingkap sisi kemanusiaan dan pergelutan dalaman antara marah, kecewa dan keikhlasan.

Lagu ini merupakan hasil ciptaan sepenuhnya oleh Firdaus sendiri daripada melodi hingga ke lirik, menjadikan Dendam sebuah karya yang sangat peribadi dan dekat di hati. Dengan susunan muzik yang segar serta lirik yang mendalam, lagu ini mengajak pendengar menyelami rasa dendam yang akhirnya terlerai melalui keinsafan dan penyerahan kepada Tuhan. 

“Dendam adalah keinginan membalas sifat buruk seseorang terhadap kita, namun akhirnya kita sedar hanya Tuhan yang berhak menentukan penghakiman sebenar,” katanya yang turut berperanan sebagai komposer lagu ini.

Berbeza daripada karya-karya sebelumnya, Dendam menonjolkan sisi vokal Firdaus yang lebih matang dan berani bereksperimen. “Lagu ini mencabar dari segi lontaran dan teknik nyanyian. Untuk menyeimbangkan rasa, ton suara dan teknik adalah sesuatu yang mencabar bagi saya yang jarang menyanyikan lagu balada sebegini. Tapi saya percaya ton suara boleh memberi impak besar dalam menyampaikan emosi sebenar lagu ini,” ujar beliau lagi.

Proses pembikinan lagu ini mengambil masa sekitar dua minggu, manakala sesi rakaman berlangsung selama tiga jam merupakan satu proses yang penuh intensiti. 

Firdaus turut berkongsi pengalaman menarik di studio. “Saya sempat berehat seketika di pertengahan rakaman kerana emosi dan tenaga yang diperlukan untuk menyampaikan lagu ini agak berat. Namun saya teruskan kerana saya mahu lagu ini disampaikan dengan jujur dan sepenuh hati,” jelasnya.

Dari segi penceritaan, Dendam mengangkat tema yang dekat dengan masyarakat yakni pergelutan antara amarah dan keinsafan, keinginan untuk membalas namun akhirnya menyerah pada takdir keadilan Ilahi. Ia bukan sekadar sebuah lagu balada, tetapi juga sebuah renungan diri.

Menerusi karya ini, Firdaus Rahmat membuktikan kemampuan dirinya bukan sahaja sebagai penyanyi berbakat, tetapi juga komposer dan penulis lirik yang mampu mencipta karya yang berjiwa, matang dan bermakna. 

Lagu Dendam juga merupakan runut bunyi (OST) bagi drama Takdir Cinta Terlarang di slot Akasia TV3, kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital termasuk YouTube Music dan Spotify. 

Untuk maklumat terkini berhubung Alternate Records & Talents, layari akaun rasmi media sosial Facebook, @alternate.my_ di Instagram, dan @alternate.rt_ di TikTok.