CHELOT BAWA KEMERIAHAN DAN AKSI KE IOI CITY MALL

Wednesday, 19 August 2026

CHELOT BAWA KEMERIAHAN DAN AKSI KE IOI CITY MALL | CHELOT bakal menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia mulai 27 Ogos 2026

PUTRAJAYA, 18 Ogos 2026 – Filem aksi penuh misteri, CHELOT, telah melakar satu lagi detik penting menerusi penganjuran Gala Premiere Filem CHELOT yang telah berlangsung meriah di IOI City Mall, Putrajaya pada 18 Ogos 2026.

Acara tersebut telah menghimpunkan barisan pelakon, penerbit, penggiat industri, tetamu kehormat serta rakan-rakan media bagi meraikan perjalanan filem CHELOT menjelang tayangannya di pawagam seluruh Malaysia.Turut hadir ialah Ketua Polis Negara, YBhg. Tan Sri Dato' Seri Haji Mohd Khalid bin Haji Ismail sebagai tetamu kehormat yang telah memberikan sokongan terhadap penganjuran acara tersebut.

Berlangsung di Concourse, LG West Court, IOI City Mall Putrajaya, acara tersebut telah menampilkan konsep red carpet yang istimewa dan penuh bertenaga, selari dengan identiti serta karakter filem CHELOT.

Majlis telah dimulakan dengan kemunculan barisan pelakon sebelum suasana dimeriahkan dengan kemunculan penuh tenaga perarakan Urumi Melam, pergerakan kumpulan muzik tradisional masyarakat Tamil yang menggunakan gendang Urumi, yang menampilkan pelakon Theebaan G dan  Chandni Nagadurga.

Kemunculan tersebut telah memberikan suasana yang lebih meriah sebelum barisan pelakon utama CHELOT iaitu Beto Kusyairy, Shukri Yahaya, Shaheizy Sam, Nadhir Nasar, Alicia Amin, dan Azhan Rani membuat kemunculan dari arah bertentangan dengan entrance yang diinspirasikan daripada gaya polis Malaysia, sejajar dengan konsep movie CHELOT.

Konsep kemunculan yang menggabungkan elemen kemeriahan Urumi Melam dengan aura elegan ala polis Malaysia telah mencerminkan kepelbagaian serta karakter tersendiri yang menjadi sebahagian daripada dunia CHELOT.

ADRIAN TEH KONGSI VISI DI SEBALIK CHELOT

Acara tersebut turut menampilkan ucapan daripada Adrian Teh, selaku Pengarah, Penulis Skrip dan Penerbit CHELOT merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Act 2 Pictures. Dalam ucapannya, Adrian telah berkongsi mengenai visi serta perjalanan di sebalik pembikinan CHELOT dan bagaimana karya tersebut telah dibawa daripada peringkat idea sehingga ke layar perak.

Beliau turut berkongsi antara cabaran terbesar dalam pembikinan filem tersebut, khususnya babak aksi one-take yang menjadi antara pencapaian utama CHELOT. Babak berdurasi 5 minit 19 saat itu dirakam secara berterusan merentasi laluan sepanjang 1.9 kilometer, dari Quill City Mall ke Pertama Complex, dan telah diiktiraf secara rasmi oleh Malaysia Book of Records sebagai “Longest Single-Take Action Sequence in a Movie.

Menurut Adrian, merealisasikan babak tersebut memerlukan perancangan dan persiapan yang sangat teliti, dengan penglibatan lebih 300 kru produksi, 150 hari persiapan, 60 jam latihan dan 8 jam penggambaran, selain penggunaan 50 buah kenderaan prop bagi menjayakan keseluruhan babak.

Dengan konsep one-take, setiap pergerakan pelakon, kru, kamera, kenderaan dan elemen aksi perlu diselaraskan dengan tepat kerana babak tersebut dirakam tanpa sebarang potongan. Pencapaian tersebut sekali gus mencerminkan komitmen serta kerjasama seluruh pasukan produksi dalam merealisasikan visi CHELOT di layar perak.

TAYANGAN EKSKLUSIF DAN SIDANG MEDIA CHELOT

Selepas sesi red carpet dan fotografi berkumpulan, barisan pelakon, tetamu kehormat serta rakan-rakan media telah bergerak ke GSC IOI City Mall untuk menyaksikan tayangan eksklusif CHELOT dan seterusnya sesi Meet and Greet bersama para pelakon.

Sesi tersebut telah disusuli dengan Sidang Media CHELOT yang berlangsung di Hall 11, GSC IOI City Mall, dengan menampilkan barisan pelakon serta produksi filem.

Dalam sesi sidang media tersebut, para pelakon telah berkongsi pengalaman sepanjang pembikinan CHELOT, termasuk mengenai karakter masing-masing, cabaran sepanjang penggambaran, pengalaman bekerja bersama serta momen yang paling diingati sepanjang menjayakan filem berkenaan.

Rakan-rakan media turut diberikan peluang untuk mengemukakan soalan secara langsung kepada barisan pelakon dan pasukan produksi sebelum meneruskan sesi temu bual secara one-to-one.

CHELOT BAKAL MENEMUI PENONTON DI PAWAGAM

Penganjuran Gala Premiere CHELOT telah menjadi antara kemuncak perjalanan promosi filem tersebut sebelum ia menemui penonton di seluruh Malaysia. CHELOT akan ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia mulai 27 Ogos 2026.

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan sendiri kisah, aksi dan misteri yang menjadi taruhan CHELOT di layar perak.

Movie Review | Patah Hati Yang Kupilih (2025)

Tuesday, 18 August 2026

Pengarah: Danial Rifki
Penulis Skrip: Junisya Aurelita, Ezra Cecio, Santy Diliana 
Pelakon: Prilly Latuconsina, Bryan Domani, Indian Akbar, Humaira Jahra, Marissa Anita, Rowiena Umboh, Willem Bevers
Syarikat Produksi: Sinemaku Pictures, Legacy Pictures, Masih Belajar Project
Pengedar: Antenna Entertainment, Netflix
Genre: Drama / Romantik
Durasi Tayangan: 109 minit
Tarikh Tayangan: 24 Disember 2025 (Indonesia), 08 Januari 2026 (Malaysia)
Trailer:

Alya (Prilly Latuconsina) membesarkan anaknya, Freya (Humaira Jahra) bersama ibunya (Marissa Anita) dan tinggal di rumah kedai. Di bahagian bawah untuk restoran milik ibunya menjual mi sementara di bahagian atas adalah ruang kediaman mereka bertiga. Alya bakal berkahwin dengan Fadil (Akbar Indian) yang bekerja satu pejabat dengannya dan juga menerima dia seadanya walaupun tahu identiti Freya tanpa kehadiran ayah yang sah. 

Satu hari Alya mendapat khabar bahawa Gideon (Willem Bevers) meninggal dunia lalu dia bersama Freya pergi ke pengebumian. Di sana dia berjumpa kembali dengan Ben (Bryan Domani) setelah 5 tahun berpisah. Setelah mereka putuskan hubungan, Ben bawa diri ke Itali untuk menjadi chef di sana. 


Ben pulang ke Indonesia kerana ayah dia meninggal namun tak sangka dia mendapat khabar bahawa dia mempunyai anak perempuan. Ben cuba berkenalan dengan Freya secara curi-curi kerana tak mahu bertegang urat dengan keluarga Alya. Freya seronok dapat bertemu dengan ayah kandung dia dan kebetulan dia perlu tunjukkan bakat di Talent’s Day di taska tak lama lagi. 


Minat Freya sama dengan Ben dan kebanyakan masanya Freya ingin luangkan masa dengan Ben yang selalu memenuhi kehendak dia hingga Fadil mula mempersoalkan tentang fokus Alya. Ben mula berfikir tentang masa depan bersama Freya sementara Alya ragu-ragu antara Fadil dan Ben. 


Setelah filem Bolehkah Sekali Saja Kumenangis (2024) dan Perayaan Mati Rasa (2025), Umay Shahab menerusi Sinemaku Pictures tampilkan filem romantik drama terbaru berjudul Patah Hati yang Kupilih dengan khidmat sutradara dari Danial Rifki. 

Masa dapat invitation untuk premiere screening I tak pergi sebab malas tengok lakonan Prilly untuk genre drama. Bila masuk Netflix baru tergerak hati nak tengok. Tak sangka tenang betul lakonan Prilly sebagai Alya. Tak kisah lah babak drama atau konflik, semuanya dia hadapi dengan tenang namun emosi tetap sampai. 


Bukan pertama kali nampak lakonan Prilly bersama Bryan Domani sebab mereka pernah bergandingan sebagai pasangan kekasih dalam filem Ketika Berhenti di Sini (2023). Soal chemistry dan dinamik lakonan mereka berdua tak menjadi masalah malah menguatkan lagi genre romantik sampai kita pun tertanya-tanya apa pilihan Alya pada second half movie ni. 


Memang tak banyak screentime untuk watak Fadil tapi tindakan dia menjaga Alya dengan Freya, terima mereka berdua seadanya pun dah cukup menggambarkan rasa sayang dan prihatin dia. Babak Fadil imamkan solat Alya dengan Freya pun dah boleh nampak mereka bertiga cocok sebagai sebuah keluarga. Kita sebagai penonton nampak perkara tu, Ben pun nampak perkara yang sama. 


Konflik yang dibawakan dalam filem Patah Hati yang Kupilih bukan saja tentang watak Alya yang perlu memilih antara Ben atau Fadil tapi dilemma Ben juga yang perlu memilih antara dua agama yang berbeza. Kalau dia nak hidup dengan Alya dan Freya, dia perlu tukar agama tapi macam yang disoalkan oleh ibu dia, mampu tak dia nak terima agama baru sedangkan agama dia sejak kecil tak ajar dia benda buruk pun. 

Sinematografi filem Patah Hati yang Kupilih menguatkan lagi emosi dan mood filem lantas menguatkan lagi penceritaan yang penghujungnya bakal berakhir dengan patah hati. Dari tajuk pun dah tahu pilihan apa yang Alya buat tetap akan ada yang patah hati tapi baik Alya, Ben atau Fadil, masing-masing selesaikan konflik dengan matang. 


Geram tengok Humaira Jahra sebagai Freya, comel betul. Sesuai lah jadi anak Bryan Domani sebab muka dia ada iras. 

1. Team Production +1, 2. Visual +1, 3. Audio +0.7, 4. Storyline +0.8, 5. Casting +1, 6. Genre +0.8, 7. Themes +1, 8. Editing +0.8, 9. Social Message +1, 10. Personal Thought +0.8 = 8.9/10

Movie Review | Iron Man 2 (2010)

Pengarah: Jon Favreau
Penulis Skrip: Justin Theroux
Pelakon: Robert Downey Jr., Gwyneth Paltrow, Don Cheadle, Scarlett Johansson, Sam Rockwell, Mickey Rourke, Samuel L. Jackson, Stan Lee
Syarikat Produksi: Marvel Studios
Pengedar: Paramount Pictures
Genre: Superhero
Durasi Tayangan: 125 minit
Tarikh Tayangan: 26 April 2010 (El Capitan Theatre), 7 Mei 2010 (United States)
Trailer:


Susulan kejadian di Stark Industries dalam Iron Man (2008) hingga menyebabkan Tony Stark (Robert Downey Jr.) mengaku dia adalah Iron Man, seorang lelaki Russia bernama Ivan Vanko (Mickey Rourke) ingin membalas dendam terhadap Tony lalu muncul sebagai Whiplash. Ayahnya, Anton Vanko (Yevgeni Lazarev) merupakan bekas pekerja di Stark Industries namun idea dan kerjanya tidak diiktiraf selayaknya. 

Selama 6 bulan setelah New York mengenali siapa Iron Man, Tony menghiodupkan kembali Stark Expo di Flushing Meadows, Corona Park. Dalam masa yang sama Tony cuba mencari bahan untuk menggantikan arc reactor di dada dia kerana bahan yang ada sedikit demi sedikit mula bertukar menjadi racun. 

Pasrah dengan keadaan dia yang semakin teruk, Tony melantik Pepper Potts (Gwyneth Paltrow) sebagai CEO untuk Stark Industries. Mungkin Pepper tahu segala urusan Tony tapi dia belum bersedia dengan tanggapan Shareholders. Dia makin tertekan dengan perangai Tony yang suka berfoya dan aneh. Ditambah pula dengan kemunculan peguam baru, Natalie Rushman (Scarlett Johanson). 

Instalment kedua Iron Man yang diarahkan oleh Jon Favreau juga muncul sebagai watak Happy mengembangkan kehidupan Tony Stark sebagai Iron Man di New York. Kalau sebelum ni dia hampir mati dan diselamatkan oleh Yinsen, dalam sekuel pula dia diselamatkan oleh ayahnya sendiri, Howard Stark (John Slattery). 

Iron Man 2 ada banyak konflik sebenarnya dan merupakan platform untuk menceritakan konflik dalaman Tony Stark tapi disebabkan durasi cuma 126 minit, tak banyak yang dapat dikembangkan oleh penulis sampai filem terlihat serabut. 

Penceritaan bergerak laju sebab Tony perlu selesaikan masalah arc reactor, uruskan Stark Expo, trauma diabaikan oleh Howard sejak kecil, kemunculan Justin Hammer (Sam Rockwell) sebagai pesaing dan juga Whiplash. Kisah cinta dia dengan Pepper pun tergantung dan bergelut dengan kehadiran Natalia. 

Belum masuk lagi campur tangan pihak tentera Amerika Syarikat sebab pandang sut Iron Man sebagai senjata. Sembang pasal tentera, watak James "Rhodey" Rhodes / War Machine dah bertukar orang. Watak ni berubah jadi serius padahal Rhodes sebelum ni lebih santai dan kelakar. 

Dalam filem ni juga watak Nick Fury (Samuel L. Jackson) buat kemunculan dan perkenalkan diri sebagai boss besar S.H.I.E.L.D. yang ingin membentuk The Avengers. Dekat credit scene Iron Man pun dah muncul tapi tak sembang panjang. Kali ni dapat screentime lama sikit untuk bantu Tony Stark dan bagitahu siapa pencetus idea untuk S.H.I.E.L.D.

Iron Man 2 secara tak langsung juga bagi kesedaran pada Tony Stark yang dia tak boleh uruskan semuanya sendiri walaupun dia ada kaya, ada kuasa dan dilabel sebagai superhero baru. Tapi sebelum ni pun hidup dia banyak bergantung pada orang lain cuma dia tak nak mengaku benda tu sebab ego tinggi melangit. 

Memandangkan filem sekuel ni lebih kepada konflik dalaman Iron Man, babak aksi tak lah banyak sangat maka Whiplash tak boleh nak beraksi sangat sedangkan kuasa dia sama kuat dengan Iron Man. Watak Justin Hammer lebih kepada Tony Stark Shopee sebab dia try hard nak berdiri sama tinggi dengan Tony tapi gagal. Kualiti produk dia pun dijelaskan dengan menarik dan kelakar. 

Dah nak habis tu banyak lah fight scene dan pengarah kenalkan watak Black Widow, pembunuh upahan yang cantik tapi menggerunkan. Antara Elektra dengan Black Widow mana yang lagi powerful? Walaupun I tak suka jalan cerita Elektra (2005) tapi I rasa Elektra lagi kuat. Kalau dia muncul dekat zaman Tony Stark mungkin senjata dia lagi berbisa.

Sekuel Iron Man mungkin tak sebagus seperti yang sebelumnya tapi masih lagi menarik untuk ditonton. 

1. Team Production +0.7, 2. Visual +1, 3. Audio +1, 4. Storyline +0.7, 5. Casting +0.8, 6. Genre +0.7, 7. Themes +1, 8. Editing +0.6, 9. Social Message +1, 10. Personal Thought +0.8 = 8.3/10

Pengarah: Ariff Zulkarnain
Penulis Skrip: Mira Mustaffa, Nadim Hisham, Ariff Zulkarnain, Haris M. Nor, Nik Naemah 
Pelakon: Beto Kusyairy, Zahirah MacWilson, Sayf Mikael, Firdaus Karim, Sky Iskandar, Malek Mccrone, Amerul Affendi, Mila Mohsin, Amanda Ang, Dai Fuad, Zaleha Iman, Sherie Merlis, Rafique Iskandar, Afif Aisy, Faiz Shafie, Marzuki Noh, Haris M. Nor, Qaid Aqwa
Syarikat Produksi: Astro Shaw, Indigo Films
Penyiaran: Astro One, sooka, Netflix
Genre: Drama / Psikologi / Misteri 
Jumlah Episod: 8 Episod (40 minit setiap episod)
Tarikh Tayangan: 08 Mei 2026 – 26 Jun 2026
Trailer:


Siri premium terbitan Indigo Films menggunakan tema penderaan seksual yang mengakibatkan trauma menerusi watak Yasser (Beto Kusyairy) yang belum pulih sepenuhnya dari kisah lampau. Yasser mempunyai seorang anak lelaki bernama Ahyan (Sayf Mikael) bersama isterinya, Dahlia (Zahirah MacWilson). 

Mereka tinggal di Kuala Makar, pekan kecil yang tak jauh dari Kuala Lumpur. Yasser bekerja sebagai botanist sementara Dahlia berulang -alik ke Kuala Lumpur sebagai pereka dalaman. Hubungan Dahlia bersama Yasser tidak begitu baik kerana mereka sering bertengkar hingga mengakibatkan Sayf lebih selesa bersama Mia (Zaleha Iman) dan keluarganya. 


Ahyan juga rapat dengan Ustaz Reyhan (Sky Iskandar) yang mengajar di sekolahnya hingga sesuatu yang buruk dapat dihidu. Belum sempat Ustaz Reyhan mendedahkan perbuatan jahat si pelaku, Ahyan dibunuh dengan kejam. Mayatnya dibuang di tasik untuk hapuskan segala bukti. 

Inspektor Kamal Hussaini (Amerul Affendi) ditugaskan menyiasat kes pembunuhan Ahyan dibantu oleh pegawai polis tempatan, Sarjan Leona Lee (Amanda Ang). 


Selepas kejayaan franchise One Cent Thief (2023), Ariff Zulkarnain kembali ke bangku pengarah untuk siri Good Boys Go to Heaven dengan kerjasama bersama Astro Shaw. Menariknya, siri ni ditayangkan serentak di Astro Go dan Netflix setiap Jumaat jam 12 tengah malam. Bila masuk dekat platform Netflix, memang mudah sangat jadi bualan netizen terutamanya di Threads. Makin rancak bila semua orang nak teka siapa pembunuh Ahyan.

Siri Good Boys Go to Heaven mengambil inspirasi dari kisah pembunuhan Zayn Rayyan di mana ibu bapa dia sendiri menjadi suspek utama jadi tak hairan lah kalau penulisan seakan-akan meletakkan watak Yasser dan Dahlia sebagai suspek utama tanpa sebarang petunjuk dan alibi kukuh. 


Pace siri Good Boys Go to Heaven agak perlahan dan banyak fillers yang terangkan keadaan Yasser yang mempunyai trauma akibat penderaan dan juga dibuli ketika zaman sekolah. Keadaan dia buatkan dia susah untuk berkomunikasi secara sihat walaupun dengan Dahlia. Sebab tu juga Dahlia lebih selesa dengan Zayd (Malek Mccrone) dan juga Maureen (Mila Mohsin).   

Walaupun Good Boys Go to Heaven mempunyai genre yang I suka tapi alur penceritaan tak lah begitu menarik ditambah pula dengan kehadiran watak Inspektor Kamal yang menjengkelkan. Sarjan Leona pun sama juga lemahnya sepanjang 8 episod. Kita nampak dua watak ni bekerja tapi tak nampak hasil pun sampai watak lain yang bawa bukti. Bawa ke balai tau bukan jumpa pada watak sekian sekian. 


Episod-episod awal seronok lah tengok hint yang diberikan tapi bila pihak polis dan protagonis makin lemah, rasa makin geram nak habiskan. I boleh faham protagonis tak mampu nak buat lebih sebab dia sendiri pun sakit tapi pihak lain? Watak Dahlia paling tak function walaupun dia ibu Ahyan. Penulis sengaja tone down watak dia untuk kuatkan elemen misteri dan sangkaan sebagai suspek utama. 

Pertama kali Zahirah dan Beto digandingkan sebagai suami isteri jadi tak hairanlah kalau tak kuat sangat chemistry atau mungkin production sengaja gandingkan untuk tunjuk rumah tangga dua watak ni dah tak ada harapan. Chemistry Zahirah dengan Malek lagi menyerlah walaupun tak banyak screentime bersama. Ingatkan dekat hujung tu Dahlia nak pilih Zayd tapi kisah diorang tergantung macam tu je. Mungkin tak nak keruhkan lagi keadaan padahal dua watak ni ada potential as endgame. 


Kekuatan Good Boys Go to Heaven juga terletak pada lakonan barisan pelakon utama dan juga pelakon kanak-kanak. Bak kata Beto, semua pelakon kanak-kanak yang ada dalam siri ni adalah pelapis dalam industri lakonan dan memang betul lah sebab babak diorang lagi seronok ditonton. Emosi yang dipaparkan terlihat natural dan menyentuh perasaan.

Sedih sangat masa tengok Amin (Afif Aisy) menangis dalam bilik dan dengar semua yang parents dia bincang padahal sebelum tu dia yang beria cakap ayah dia akan selamatkan diorang. Dah la sakit kena dera, makin bertambah sakit bila keluarga hilangkan rasa kepercayaan tu. Parents selalu rasa anak tak akan ingat tapi sebaliknya dan benda macam tu yang akan buat anak jauhkan diri dari keluarga.

 
Sinematografi dari Tan Teck Zee menguatkan lagi penceritaan dengan bergantung pada keindahan panorama Taiping dan Bukit Merah, Perak. Senibina bangunan lama menguatkan lagi pesona, identiti dan latar budaya masyarakat di kawasan luar bandar. Sama juga dengan tasik yang menjadi latar tempat dalam siri. Nampak cantik dan menenangkan tapi menghantui. 

Tak pasti kalau secara kebetulan babak di balai polis berlatarkan huruf K atau memang sengaja fokus pada huruf K sebagai simbolik Keadilan untuk Ahyan dan mangsa-mangsa lain. Penggunaan cahaya yang minimal pun membantu emosi setiap watak dizahirkan dalam beberapa babak. Lagu latar mengukuhkan lagi emosi pada penceritaan. 


Masa tengok siri Good Boys Go to Heaven ni rasa terganggu bila Dahlia dengan Maureen berbual dalam English padahal duduk dekat pekan kecil, Dahlia dengan Zayd keluar masuk bar tapi bila ada yang share personal experience tinggal di pekan kecil dengan lifestyle bandar ni, okay lah boleh lah accept. Malaysia pun dah makin maju, apa lah sangat speaking dekat Taiping tu kan?

1. Team Production +0.8, 2. Visual +1, 3. Audio +1, 4. Storyline +0.6, 5. Casting +0.7, 6. Genre +0.7, 7. Themes +0.7, 8. Editing +0.4, 9. Social Message +1, 10. Personal Thought +0.6 = 7.5/10

PROGRAM PULIH JIWA BERTUKAR MIMPI NGERI SELUBUNGI ‘PUTERI KEMBANG MALAM’ | TERPERANGKAP DI RESORT TERPENCIL, EMPAT SAHABAT BONGKAR SISI GELAP NAFSU DAN MANIPULASI AGAMA

KUALA LUMPUR, 20 Ogos 2026 – Sebuah program yang sepatutnya menjadi ruang untuk mencari ketenangan bertukar menjadi pengalaman mengerikan apabila empat sahabat mula berdepan kejadian pelik serta rahsia tersembunyi di sebuah resort terpencil di Sabah.

Demikian penceritaan terbaharu yang mendebarkan oleh Tonton Original Series, Puteri Kembang Malam sebuah drama seram psikologi 10 episod yang menggabungkan elemen misteri, trauma, manipulasi agama serta perjuangan seorang wanita berdepan kejahatan yang berselindung di sebalik kepercayaan. 

Diarahkan oleh Osman Ali dan Izuan Mokhtar, naskhah ini menampilkan barisan pelakon Fasha Sandha, Amylia Aidura, Ariana Yusof, Chacha Maembong, Arena Wan, Zairi Aziz dan Badron Munirah, drama ini bakal bersiaran secara eksklusif di Tonton bermula 22 Ogos hingga 20 September 2026, setiap Sabtu dan Ahad, jam 12.00 tengah malam. 

Mengangkat latar sebuah pusat peranginan terpencil di Sabah, kisahnya bermula apabila Aina (Amylia Aidura), Erin (Ariana Yusof), Maya (Chacha Maembong) dan Julia (Arena Wan) menyertai sebuah ‘Program Pulih Jiwa’ yang dikendalikan oleh Ustazah Ayuni (Fasha Sandha). Berbekalkan harapan untuk mencari ketenangan dan memperbaiki kehidupan masing-masing, mereka sebaliknya disambut dengan pelbagai kejadian aneh. Di bawah bimbingan dan perwatakan Ustazah Ayuni yang dilihat begitu tenang serta warak, pelbagai amalan penyucian jiwa dijalankan…namun gangguan misteri, kehilangan tanpa jejak di samping penemuan rahsia kelam mula menghantui mereka. 

Dalam mencari jawapan, Aina turut berdepan dengan trauma silam yang masih menghantui dirinya. Apa yang pada awalnya kelihatan seperti gangguan mistik akhirnya membawa kepada persoalan yang lebih besar di sebalik segala kejadian yang berlaku. “Isu seperti trauma dan manipulasi agama adalah realiti yang sangat sensitif tetapi penting untuk dipaparkan. Gabungan elemen misteri, konflik emosi serta keindahan Sabah yang menyimpan aura tersendiri membuatkan naskhah ini bukan sekadar cerita seram biasa tetapi sebuah perjalanan emosi yang bakal menyentuh serta mendebarkan jiwa penonton." jelas Osman Ali, Pengarah. 

Selain elemen seram dan misteri, Puteri Kembang Malam turut berani mengetengahkan isu-isu kritikal penyalahgunaan dan manipulasi agama, trauma akibat penderaan dan obsesi terhadap kecantikan. Drama ini memperlihatkan bagaimana seseorang itu mudah dipengaruhi dan dimanipulasi ketika berada dalam keadaan emosi yang paling lemah. 

Dengan setiap episod menyingkap satu demi satu persoalan baharu, mampukah Aina merungkai segala misteri yang menghantui sebelum menjadi mangsa seterusnya?

Jangan lepaskan peluang menyaksikan Tonton Original Series Puteri Kembang  Malam, sebuah drama yang menjanjikan debaran, misteri dan konflik emosi yang bakal membuatkan penonton terus tertanya-tanya sehingga ke episod terakhir. 

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, ikuti TV3 di Facebook, X, YouTube dan Instagram @TV3Malaysia, serta Instagram rasmi Drama Sangat di @dramasangat.

Primeworks Studios, selaku Pengedar & Pemasar di Malaysia, membawakan filem animasi pengembaraan sains fiksyen terbaharu arahan Upie Guava yang menjanjikan pengalaman sinematik penuh keajaiban dan emosi. Pelangi Di Mars bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 3 September 2026.


Dibintangi barisan pelakon hebat Keinaya Messi Gusti, Lutesha, Rio Dewanto dan Livy Renata, Pelangi Di Mars membawakan kisah tentang keberanian seorang gadis di Planet Marikh, pengorbanan demi keluarga dan pengembaraan berani merentasi padang pasir Marikh demi menyelamatkan air di Bumi.

Mampukah Pelangi dan rakan-rakan robotnya merungkai rahsia Zeolite Omega demi menyelamatkan Bumi?

Jawapannya hanya menanti anda di pawagam seluruh negara bermula 3 September 2026 ini.

Saksikan Trailer Rasmi Pelangi Di Mars sekarang dan bersedia untuk pengembaraan merentasi angkasa yang bakal menggegarkan pawagam.

#PelangiDiMars #PrimeworksStudios

TV3 BERSAMAMU TERUS MELANGKAH BERSAMA MASYARAKAT

Monday, 17 August 2026

TV3 BERSAMAMU TERUS MELANGKAH BERSAMA MASYARAKAT | Semarakkan Code Blue Dash Fun Run 2026 Bersama MMETS 

Kuala Lumpur, 17 Ogos 2026 – Selama lebih dua dekad, Bersamamu menjadi antara platform kemanusiaan utama TV3 yang menghubungkan kisah perjuangan dan harapan rakyat Malaysia dengan masyarakat yang sedia menghulurkan bantuan. Membawa semangat tersebut melangkaui kaca televisyen, Bersamamu turut turun padang menerusi kerjasama dengan Military Medical Emergency & Trauma Society (MMETS) dalam Code Blue Dash Fun Run 2026 yang berlangsung di Dataran DBKL, semalam.

Sebagai program majalah dokumentari kemanusiaan TV3, Bersamamu terus mengetengahkan kisah kehidupan masyarakat serta menghubungkan golongan yang memerlukan dengan para penyumbang, rakan korporat dan agensi kebajikan. Lebih daripada sekadar berkongsi kisah, program ini sentiasa membawa mesej tentang keprihatinan, ketabahan dan kepentingan masyarakat saling menyokong antara satu sama lain. 

Penglibatan Bersamamu dalam acara tersebut turut mengangkat mesej bahawa kesihatan dan kesejahteraan masyarakat merupakan tanggungjawab bersama, di samping meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan perubatan kecemasan serta menggalakkan orang ramai lebih peka terhadap keperluan orang di sekeliling.

Turut memeriahkan acara ialah barisan personaliti Media Prima, Shafiq Adnan, Farah Nabilah Wazer, Asrulnizam Kadir, Zati Nizam, Zazzleen Zulkafli, Affizza Azmi, Syamira Nazir dan Barr Zaizan, yang hadir memberikan sokongan terhadap usaha menggalakkan gaya hidup sihat serta memupuk masyarakat yang lebih prihatin.

Menurut Zazzleen Zulkafli, penglibatan keluarga Bersamamu dalam acara tersebut membawa makna yang lebih besar daripada sekadar aktiviti larian.

“Bagi saya, aktiviti seperti ini mengingatkan kita bahawa kesihatan juga merupakan satu bentuk persediaan. Bila kita menjaga kesihatan dan kecergasan diri, kita bukan sahaja dapat menjaga diri sendiri, malah lebih bersedia untuk membantu orang lain apabila diperlukan. Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur kerana sudi berkolaborasi dengan TV3 dan Bersamamu. Semoga kerjasama ini dapat terus meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan kesihatan dan perubatan kecemasan,” katanya.

Perjalanan Bersamamu tidak terhenti di sini. Selepas sekian lama menjadi sebahagian daripada kisah masyarakat Malaysia, Bersamamu bakal tampil dengan nafas dan visual yang lebih segar, pendekatan penceritaan yang lebih dekat dengan penonton, selain memperkenalkan sebuah lagu tema serba baharu yang melengkapkan perkembangan terkini program ini.

Bersamamu bersiaran setiap Ahad, jam 6.30 petang di TV3. Untuk mendapatkan maklumat lanjut dan terkini mengenai program TV3, ikuti laman media sosial rasmi Facebook, Instagram, X dan Threads di @TV3Malaysia serta TikTok di @TV3MalaysiaOfficial. 

Pentas Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40) Sabtu lalu menjadi saksi persembahan memukau daripada penyanyi popular tanah air, Nabila Razali, yang menyampaikan lagu Warnai Pelangi (versi Malaysia). 

Persembahan bertenaga dan penuh emosi ini bukan sahaja menghiburkan jutaan penonton, malah secara rasminya menjadi pengenalan sulung kepada filem sains fiksyen (sci-fi) terbaharu yang amat dinantikan, Pelangi Di Mars.

Arahan pengarah tersohor Indonesia, Upie Guava bakal membawa penonton mengembara ke tahun 2100, di mana Bumi sedang berdepan dengan krisis bekalan air yang amat kritikal. Kisah ini berpusat kepada watak Pelangi, iaitu manusia pertama yang dilahirkan di Marikh. 

Demi menyelamatkan masa depan manusia daripada penguasaan sebuah korporat jahat, Pelangi memulakan pengembaraan yang penuh cabaran bersama sekumpulan robot comel untuk mencari mineral nadir yang sangat sukar ditemui.

Semua dijemput untuk bersama-sama menyaksikan pelancaran Trailer Rasmi Pelangi Di Mars esok, 18 Ogos 2026. Bersedia untuk merungkai misteri sinematik yang bakal menggegarkan pawagam tempatan dan antarabangsa!

#PelangiDiMars

GANDINGAN FIZZ FAIRUZ, NOORKHIRIAH CETUS RAGAM BISNES KELUARGA DALAM ‘BOSS KID’ | SERLAH SISI UNIK DUNIA PENCIPTA KANDUNGAN & KEUSAHAWANAN DIGITAL 

Kuala Lumpur, 17 Ogos 2026 – Usia bukan penghalang untuk mencipta perubahan. Itulah mesej yang dibawakan menerusi BOSS KID, sebuah drama komedi keluarga yang mengangkat kisah seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun yang berjaya mengubah kehidupan keluarganya dengan kreativiti, keberanian dan kebijaksanaan memanfaatkan media sosial. 

Bakal bersiaran setiap Jumaat dan Sabtu, jam 9.00 malam menerusi slot Lestary TV3 mulai 21 Ogos 2026, BOSS KID merupakan sebuah drama komedi keluarga 20 episod yang mengetengahkan elemen kekeluargaan, keusahawanan serta dunia pencipta kandungan digital yang semakin dekat dengan kehidupan masyarakat hari ini.

Menampilkan barisan pelakon Syed Irfan, Datuk Fizz Fairuz, Noorkhiriah, Ummar Dzariff dan Qistina Raisah, BOSS KID mengisahkan keluarga Izham yang berdepan cabaran hidup selepas kehilangan sumber pendapatan. Dalam keadaan serba mencabar itu, harapan baharu hadir daripada insan yang paling tidak disangka, iaitu anak mereka sendiri.

Petah berkata-kata dan kreatif menghasilkan kandungan digital, Rizqin Irfan (Syed Irfan) tidak menyangka minatnya terhadap media sosial menjadi titik perubahan buat keluarganya. Melihat potensi yang dimiliki anak mereka, Izham (Datuk Fizz Fairuz) dan Rafidah (Noorkhiriah) mengambil keputusan untuk memanfaatkan pengaruh Rizqin Irfan bagi mempromosikan perniagaan keluarga, sekali gus melantiknya sebagai ‘Bos Kecik’.

Berbekalkan idea kreatif dan keyakinannya, Rizqin Irfan berjaya menarik perhatian ramai sehingga perniagaan Burger Malaysia mula mendapat sambutan. Namun, gelaran ‘Bos Kecik’ bukan sekadar satu panggilan apabila telatah dan sikapnya yang gemar memberi arahan kepada ahli keluarga mencetuskan pelbagai situasi lucu dalam usaha mereka mengembangkan perniagaan.

Di sebalik kejayaan yang mula dikecapi, keluarga Izham turut berdepan pelbagai cabaran apabila muncul pihak yang tidak senang melihat perkembangan perniagaan mereka. Persaingan, hasad dengki dan pelbagai rintangan menguji kekuatan mereka dalam mempertahankan perniagaan yang dibina bersama.

Jelas Datuk Fizz Fairuz, watak Izham mengetengahkan sisi seorang bapa yang sentiasa mahu memastikan keluarganya cekal bertahan dalam menghadapi cabaran hidup, “Watak Izham bagi saya cukup dekat dengan realiti seorang bapa yang mahu memastikan keluarganya terus bertahan walaupun berdepan tekanan hidup. Menariknya dalam BOSS KID, orang yang akhirnya menjadi pencetus perubahan bukanlah orang dewasa tetapi anaknya sendiri. Hubungan Izham dengan Rizqin juga banyak memberi ruang kepada elemen komedi tetapi pada masa sama ada nilai kekeluargaan yang saya rasa penonton boleh kaitkan dengan kehidupan mereka,” katanya.

Menggabungkan elemen komedi, kekeluargaan, keusahawanan dan dunia pencipta kandungan digital, BOSS KID bukan sekadar sebuah drama komedi keluarga, malah membawa mesej bahawa setiap ahli keluarga mempunyai peranan dalam mencipta kejayaan. Berbekalkan sokongan, kreativiti dan semangat tidak mudah berputus asa, impian besar mampu berkembang lebih luas meskipun ia idea kecil daripada seorang anak. 

Mampukah Rizqin dan keluarganya mempertahankan empayar perniagaan yang dibina bersama apabila dilanda badai cabaran serta persaingan sengit?

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan drama BOSS KID bermula 21 Ogos 2026, setiap Jumaat dan Sabtu, jam 9.00 malam, hanya di slot Lestary TV3. Penonton juga boleh menstrim episod baharu 24 jam lebih awal di Tonton atau memuat turun aplikasi Tonton di Google Play dan App Store.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, ikuti TV3 di Facebook, X, YouTube dan Instagram @TV3Malaysia, serta Instagram rasmi Drama Sangat di @dramasangat.

KUALA LUMPUR, 16 Ogos 2026 – Selepas tampil menerusi persembahan penuh ekspresi di Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40), Aina Abdul bakal mewakili Malaysia ke Eurovision Song Contest Asia 2026.

Malam kemuncak tersebut menjadi detik istimewa buat Aina apabila beliau turut merangkul dua lagi anugerah, termasuk Persembahan Terbaik AJL40 menerusi Kamu serta Anugerah Ikon Artis Pilihan Shopee menerusi undian peminat.

Di pentas AJL40, Aina menghidupkan Kamu menerusi persembahan dramatik dan bertenaga, dengan visual gunung berapi yang sedang membuak menggambarkan emosi yang memuncak, selain penggunaan prop dan penghayatan vokal yang kuat. Gerak, ekspresi dan vokalnya membawa penonton menyelami emosi lagu yang sarat dengan rasa marah, kecewa dan kehilangan, menjadikan persembahan tersebut antara detik yang mencuri perhatian pada malam kemuncak.

Kamu merupakan single keempat daripada album sulung Aina, Imaji, yang menggabungkan elemen pop R&B dengan sentuhan blues. Di sebalik melodinya yang kedengaran lebih santai dan seksi, lagu ini membawa kisah yang jauh lebih berat, tentang seseorang yang pernah menjadi tempat paling tenang dalam hidup sebelum berubah menjadi kenangan yang paling pahit.

Daripada pengiktirafan yang diterima pada malam tersebut, Aina kini meneruskan langkah ke Eurovision Song Contest Asia 2026 selepas dipilih sebagai wakil Malaysia berdasarkan keputusan juri profesional, selaras dengan mekanisme pemilihan yang ditetapkan.

Pertandingan ini bakal menghimpunkan penyanyi berbakat dari seluruh Asia dalam sebuah acara muzik secara langsung selama dua jam. Dianjurkan oleh European Broadcasting Union (EBU), Eurovision telah berlangsung secara tahunan sejak 1956 dan berkembang daripada sebuah pertandingan muzik Eropah kepada fenomena budaya global yang merentasi sempadan geografi dan budaya.

Pemilihan Aina yang sinonim dengan persembahan unik, penuh dengan makna tersurat dan tersirat serta kreativiti dalam komposisi muzik, busana dan elemen visual dijangka memberi kelebihan buat Malaysia di pentas antarabangsa.

Penyertaan ini juga membuka ruang buat Aina memperkenalkan bakat dan identitinya sebagai penghibur kepada penonton di seluruh rantau Asia, selepas mencipta momen tersendiri menerusi persembahan Kamu di pentas AJL40.

Eurovision Song Contest Asia 2026 akan berlangsung pada 14 November 2026, Sabtu, jam 9.00 malam dan disiarkan secara langsung menerusi TV3 dan Tonton.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut dan terkini mengenai program TV3, ikuti laman media sosial rasmi Facebook, Instagram, X dan Threads di @TV3Malaysia serta TikTok di @TV3MalaysiaOfficial.