Aidiladha 2025 | Melapah Daging Qurban

Saturday, 19 July 2025

 
Selalunya Raya Haji tak buat apa sangat pun kalau tak balik kampung. Lepas Solat Sunat Aidiladha, balik makan dekat rumah sama-sama lepastu tengok movie sementara beradik lelaki keluar pergi melapah daging kurban. 

Tahun ni umi bagitahu awal-awal dia akan buat aktiviti melapah daging kurban dekat rumah. Awal tu kata dengan kawan-kawan dia tapi semua ada hal lain sudahnya kitorang adik-beradik lah yang kena laksanakan aktiviti tu. 

To be honest tak suka bila kena paksa melapah sebab penat balik kampung lepas habis kerja hari Jumaat tu. Adik-adik yang lain dapat cuti tapi office I dapat half day je so semua terpaksa tunggu I habis kerja dulu. Kalau tak, sebelum Subuh tu dah gerak balik ke Sabak Bernam. Boleh je nak ambil cuti tapi sayang lah bazirkan cuti memandangkan cuti tahunan bukannya banyak pun. 


Umi kata dia saja nak cuba melapah daging qurban sebab masa dia kecik dulu tokwan selalu panggil orang melapah dekat rumah. Masa kecik pun teringat jugak arwah abah pernah join melapah dekat rumah tokwan dari pagi sampai tengahari. 

Lepas solat dekat surau, umi dengan adik pergi ke Kampung Batu 40 nak ambil daging bahagian kitorang untuk dilapah. AJK surau tu bagi satu bahagian kaki je dekat kitorang padahal awalnya janji macam lain. Malas nak berbalah sebab kitorang pun masing-masing noob lagi bab ni. 

Bila buat kerja terpaksa, otak pun tak berapa nak bijak lah sebab I tak check dulu pisau dekat dalam rumah. Patutnya pesan dekat adik suruh singgah dulu ke Mr DIY beli pisau baru sebab pisau dekat rumah dah tunggu masa untuk dibuang. Nasib baik daging kurban ni lembut lagi jadi senang je lah nak potong tapi ada bahagian yang makan masa dan tenaga sikit. Yang tu bagi adik lelaki yang buat sebab dia guna pisau askar. 


Tak lah function sangat pisau ni walaupun tajam sebab dia tajam dekat bahagian hulu je. Tak kisahlah yang penting dah menyumbang sikit dalam aktiviti melapah ni. 


4 orang melapah daging, 2 orang kecik ni tukang timbang dan bungkus. Setiap satu bungkusan plastik ada satu kilo daging qurban. Tapi nak bungkus pun kena sama rata lah, kena campurkan daging, tulang dan bahagian lemak. Semua bahagian kitorang masukkan tanpa buang mana-mana bahagian dengan harapan bahagian agihan kitorang nanti pun akan dapat yang sama. Or even better which is perut muda. I tak faham kenapa orang sanggup buang perut muda padahal bahagian tu sedap :')


Lagi satu kesilapan kitorang masa melapah daging ni ialah tak bawa keluar kipas sebab dekat luar ni panas. Dekat Sabak Bernam ni tak ada tempat yang sejuk kecuali dalam sungai dan parit. Silap silap dekat situ pun air dia panas sebab taburan hujan dekat sini rendah yakmat dalam Malaysia ni. Bila masuk musim panas, adalah satu ujian yang sederhana beratnya bagi orang yang selalu duduk dalam aircond T.T


Masa melapah tu kitorang asingkan bahagian tulang besar sebab nanti jiran sebelah nak potong guna mesin. Sayang lah hidupkan mesin ni untuk satu bahagian tulang kaki je. Tapi itulah kita plan macam lain, jadinya lain pulak.


Lepas dua jam setengah melapah daging, baru rasa macam seronok jugak aktiviti ni. No wonder lah umi beria sangat nak buat aktiviti masa Raya Haji daripada melepek dekat depan TV tak buat apa. I harap aktiviti melapah yang kitorang buat ni dapat ganjaran pahala lah walaupun tak banyak sebab dekat awal tak rela hshshs tapi kalau tak dapat pun semoga yang dapat daging kitorang potong ni rasa bersyukur. Kalau tak dapat jugak entahlah tak tahu nak cakap apa dah. 

Yang pastinya kitorang mungkin akan buat lagi aktiviti melapah ni tahun depan tapi nak lagi banyak dari tahun ni. Semoga tahun depan ada lah jiran yang join supaya meriah sikit aktiviti melapah ni. By the way aktiviti melapah dekat surau tu selesai waktu petang sebab banyak daging nak kena lapah. Kalau bagi kitorang sikit mungkin tak selama itu tapi pape je lah benda dah settle dah pun. 

Movie Review | Housefull 5 A (2025)


Pengarah: Tarun Mansukhani   
Penulis Skrip: Sajid Nadiadwala 
Pelakon: Akshay Kumar, Abhishek Bachchan, Riteish Deshmukh, Sanjay Dutt, Fardeen Khan, Shreyas Talpade, Nana Patekar, Jackie Shroff, Dino Morea, Jacqueline Fernandez, Nargis Fakhri, Chitrangada Singh, Sonam Bajwa, Soundarya Sharma, Chunky Pandey, Nikitin Dheer, Johnny Lever  
Syarikat Produksi: Nadiadwala Grandson Entertainment
Pengedar: Pen Marudhar, Amazon Prime Video
Genre: Komedi / Misteri 
Durasi Tayangan: 165 minit
Tarikh Tayangan: 6 June 2025 
Trailer:


Pada ulangtahun kelahirannya yang 100, Ranjeet Dobriyal (Ranjeet), seorang billionaire mengadakan parti hari jadi secara besar-besaran di atas cruise mewah. Turut menyertai pelayaran tersebut ialah anaknya, Dev (Fardeen Khan), pengawal peribadi yang setia bernama Batuk (Johny Lever), anak angkatnya, Shiraz (Shreyas Talpade), pemandu peribadinya Captain Sameer (Nikitin Dheer), pemegang saham syarikatnya - Bedi (Dino Morea), Maya (Chitrangda Singh) dan beberapa orang yang lain. 

Terkejut dengan saham yang jatuh mendadak, Ranjeet diserang sakit jantung lalu meninggal dunia. Pembantu peribadinya, Lucy (Soundarya Sharma) memaklumkan bahawa Ranjeet mempunyai anak kandung hasil perkahwinan bersama isteri pertama, Shakuntala Devi (Archana Puran Singh). Abang kepada Dev bernama Jolly dan kesemua hartanya akan diserahkan kepada Jolly. Sekiranya Jolly tidak hadir ke parti, maka kesemua harta tersebut akan dibahagikan kepada semua orang penting yang berada di situ. 

Dev minta untuk semua yang tahu tentang kematian ayahnya supaya diamkan dahulu perkara tersebut sehingga Jolly datang supaya saham tidak jatuh lagi teruk. Keesokannya semua menunggu kehadiran Jolly tapi anehnya ada 3 orang Jolly datang bersama pasangan masing-masing. 

Jolly 1 ialah Jalabuddin (Riteish Deshmukh) dan isterinya, Zara Akhtar (Sonam Bajwa) yang berasal dari Afghanistan. Jolly 2 pula Jalbushan (Abishek Bachchan) dan isterinya Sasikala (Jacqueline Fernandez) sementara Jolly 3 bernama Julius (Akshay Kumar) bersama isterinya, Kaanchi (Nargis Fakhri).  

Keliru dengan keadaan tersebut, Dev mencadangkan supaya ketiga-tiga Jolly buat DNA test dan keputusan akan diumumkan pada jam 10 pagi esoknya. Malangnya Doktor Aman Joshi (Akashdeep Sabir) yang mengendalikan ujian DNA tersebut dibunuh dengan kejam lalu darah mereka bertiga dibuang dari mesin. 

Maya menghubungi bekas suaminya, Baba (Jackie Shroff) untuk datang siasat kes pembunuhan tersebut. Baba menolak tawaran tersebut kerana menyampah dengan Maya tapi rakan sekerjanya, Bhiddu (Sanjay Dutt) paksa supaya mereka selesaikan kes pembunuhan tersebut supaya dapat masuk bekerja kembali setelah digantung tugas. 

Franchise komedi yang popular di bawah produksi juga penulisan Sajid Nadiadwala kembali dengan barisan pelakon lebih ramai dari sebelumnya. Sebelum ni layan Housefull 1 dan Housefull 2 sahaja lepastu stop then tiba-tiba rasa nak layan Housefull 5 sebab ada misteri pembunuhan dimasukkan. I tak letak expectation tinggi pun sebab filem ni jenis brainrot atau mindless comedy tapi okay lah sebab misteri pembunuhan tu susah nak diteka since penulis tak masukkan banyak sangat hint bila dia lebih fokus pada komedi. I dah syak watak tu yang bunuh sebab dia ada motif yang kuat tapi berharap dia bukan orangnya sebab klise tapi rupanya penulis tak ada niat untuk jadi kreatif pun. 

Memandangkan ada ramai pelakon jadi kebanyakan masanya pelakon banyak berkongsi skrin dan ada juga watak yang cuma muncul di beberapa babak macam Chef Aakhri Pasta (Chunky Panday), Lucy, Shiraz dan lain-lain. Tapi okay lah sebab setiap kali muncul kita masih lagi kenal dan ingat watak dia siapa walaupun tak berapa nak function sangat. 

Dekat first half Housefull 5 berminat lah nak tahu macam mana semua yang ada dalam cruise tu nak cari pembunuh bersiri sebab bukan doktor sahaja yang dibunuh tapi ada lagi mangsa-mangsa lain. Tapi bila masuk second half dah mula draggy dengan slapstick comedy yang tak perlu. 

Akshay, Abishek dan Riteish berjaya hidupkan suasana komedi tu tapi skrip tak lah kuat sangat untuk kita rasa terhibur sampai ke penghujung cerita. Patutnya filem ni dipendekkan sikit ataupun kurangkan babak komedi tapi masukkan babak mereka bertiga cari pembunuh. I faham lah watak mereka bertiga ni orang awam je tapi Julius tu kan penyiasat peribadi so kenapa sikit sangat babak dia menyiasat? 

Pelakon wanita macam biasa lah jadi pasu bunga tapi dalam instalment ni over sikit sebab beria kamera fokus dekat aset masing-masing. Lawak berbaur lucah pun ada so filem ni tak sesuai ditonton dengan keluarga. 

Ada banyak reference dari filem lain yang diterbitkan di bawah Nadiadwala Grandson Entertainment yang dimasukkan dalam Housefull 5 baik dari dialog, flashbacks atau background music so kalau tak pernah layan memang tak sesuai sebab tak akan faham apa yang pengarah cuba nak sampaikan. Ingatkan Sajid nak wujudkan babak antara Akshay dengan Chitrangda sebagai tribute kepada Desi Boyz bila dia masukkan lagu Allah Maaf Kare rupanya tak pun. Memang lah both of them dah reunion dalam filem Khel Khel Mein (2024) tahun lepas tapi apa salahnya pertemukan sekali lagi. 

Filem Housefull 5 merupakan instalment yang paling mahal dilaburkan oleh Sajid Nadiadwala sebab penggambaran memang dilakukan di atas cruise sebenar bukan di set filem. Penggunaan visual effects dalam beberapa babak, bayaran untuk barisan pelakon yang ramai dan of course, untuk music album yang mantap. I tertarik nak tengok Housefull 5 sebab SEMUA lagu dia best. Tak boleh pilih antara Dil-E-Nadaan, Qayamat atau Laal Pari walaupun lagu high beat Laal Pari tu buah tangan Yo Yo Honey Singh. 



Filem Housefull 5 ni menggunakan konsep dua penamat cerita yang berbeza. Review ni berdasarkan Housefull 5A tapi belum tengok lagi Housefull 5B. Mungkin lepas ni akan update apa yang berbeza tapi kalau ikut cakap pengarah Tarun Mansukhani, pembunuhnya sahaja yang berbeza, lain semua sama. I update dulu review 5A sebab takut terkeliru.

1. Team Production +0.6, 2. Visual +0.8, 3. Audio +1, 4. Storyline +0.5, 5. Casting +0.7, 6. Genre +0.5, 7. Themes +0.6, 8. Editing +0.6, 9. Social Message +0.3, 10. Personal Thought +0.4 = 6/10

Movie Review | Rahasia Rasa (2025)


Pengarah: Hanung Bramantyo
Penulis Skrip: Adi Nugroho, Hanung Bramantyo, Haqi Ahmad
Pelakon: Jerome Kurnia, Nadya Arina, Ciccio Manassero, Slamet Rahardjo
Syarikat Produksi: Dapur Film, Anak Muda Jago
Pengedar: Dapur Film, Anak Muda Jago, Netflix
Genre: Drama / Misteri
Durasi Tayangan: 120 minit
Tarikh Tayangan: 20 Februari 2025
Trailer:


Mengisahkan tentang seorang chef selebriti muda dan popular bernama Ressa (Jerome Kurnia) yang mempunyai impian untuk membuka restoran di Itali. Ressa mempunyai kelebihan deria hidu yang kuat tanpa perlu merasa bahan tersebut. Kerana kelebihan tersebut dia boleh membezakan pelbagai jenis rempah dengan tepat. Namun Ressa mempunyai trauma lantas menyebabkan dia berasa mual setiap kali berbual tentang menu kulinari Indonesia. 

Satu hari, Ressa terlibat dalam kemalangan jalanraya hingga menyebabkan deria rasa dia hilang. Doktor Sanusi Anwar (Fredy Amin) menyarankan agar Ressa pulang ke kampung dan berdamai dengan trauma. Dia yakin deria rasa Ressa yang hilang ada hubungkait dengan trauma yang mendalam. Pada hari kemalangan tersebut Ressa dapat tahu tunangnya, Dinda Sastro (Valerie Thomas) curang dengan assistant chef bernama Alex (Ciccio Manassero). 


Tiada jalan lain, Ressa terpaksa pulang ke kampung yang dibencinya semasa kecil. Di sana Ressa memujuk Mustika (Nadya Arina) untuk memaafkan kesalahan melupakan rakan baiknya dan juga Mbah Wongso (Yati Surachman) sedangkan mereka berdua yang menjaganya ketika kecil sebelum dijaga oleh ibu saudaranya. Semakin lama Ressa berada di kampung, semakin banyak rahsia yang terbongkar hingga membawa mereka kepada penemuan harta karun negara iaitu Mustikarasa.


Filem Rahasia Rasa arahan dan penulisan Hanung Bramantyo menggunakan idea penceritaan yang segar dan unik di mana menggabungkan sejarah, politik dan juga kulinari. Tak sangka buku Mustikarasa yang dihimpunkan oleh Presiden Soekarno mempunyai 1600 resipi makanan Indonesia boleh mencetuskan konflik dalaman hingga menjadi sumpahan kepada sesiapa yang memilikinya. 


Presiden pertama Indonesia bukan sahaja kukuhkan identiti nasional tanah air dengan budaya dan pendidikan malah memperkenalkan juga bidang kulinari. Pada first half film, Chef Ressa bergelut dengan trauma masa kecil hingga dia rasa mual untuk bercakap tentang makanan tradisi Indonesia. 

Kemudian pengarah bawa watak Ressa kembali ke kampung asalnya untuk berubat dan untuk meriahkan lagi visual Rahasia Rasa dengan menu-menu popular Indonesia. Seronok tengok Warung Mbah Wongso masak macam-macam menu. Dalam filem ni, menu bestseller dekat situ ialah Mangut, macam masak lemak salai pun ye jugak cuma dia guna ikan keli atau ikan pari. 


Sinematografi Rahasia Rasa dari Yahuda Aribowo menggunakan kekayaan landskap alam semulajadi di kawasan kampung yang berbukit-bukau. Kebanyakan babak antara Ressa dan Tika kelihatan tenang walaupun mereka berdua mempunyai konflik yang perlu diselesaikan. Chemistry antara Jerome Kurnia dan Nadya Arina buatkan peralihan dari rasa terluka kepada sayang terasa smooth dan awwwdorable. Tak hairan lah kalau trauma Ressa dengan mudahnya sembuh setiap kali Ressa dekat dengan Tika walaupun kena paksa makan cili segenggam. 


Bila Mustikarasa dibedah pada second half Rahasia Rasa, pengarah menambah elemen misteri dan aksi bila watak-watak utama perlu berdepan dengan watak-watak antagonis. Sayangnya klimaks dibikin terburu-buru kemudian pengarah fokus pada aksi tembak-menembak. Ada juga beberapa babak yang terlalu difokuskan oleh pengarah sedangkan babak yang penting tak mendapat ruang dan perhatian yang sama. 


Kelemahan Rahasia Rasa terletak juga pada dialog yang minimal dan kurangnya perbincangan tentang sesuatu topik yang disentuh. Mungkin tak mahu terlalu berat dengan fakta tapi entertainment yang dimasukkan pun tak lah menguatkan impak pada penceritaan. 

Mungkin Rahasia Rasa boleh jadi lebih menarik kalau jatuh pada tangan sutradara yang lebih berkemahiran atau mempunyai dana yang lebih besar, sesuai dengan cita-cita dan visi penulis yang besar. It’s not a bad thing sebab filem ni ada potential tapi terkekang dengan beberapa faktor. A good watch anyway. 

1. Team Production +0.7, 2. Visual +0.8, 3. Audio +0.6, 4. Storyline +0.6, 5. Casting +0.6, 6. Genre +0.5, 7. Themes +1, 8. Editing +0.6, 9. Social Message +0.8, 10. Personal Thought +0.6 = 6.8/10

‘S LINE’ THRILLER FANTASI MISTERI KOREA, LAKONAN LEE SOO-HYUK PALING BERANI TAHUN INI! | Tayangan Serentak Di Korea, Pertama dan Eksklusif Di Tonton! Bakal Cetus Fenomena Di Malaysia!

Hela nafas dalam-dalam! Bayangkan jika kisah silam anda boleh diketahui – bukan melalui cerita atau khabar angin, tetapi melalui benang merah yang kelihatan terapung di atas kepala. Kedengaran pelik? Gila? Menakutkan? Tapi inilah hakikat yang menggemparkan dalam drama Korea terbaru, ‘S LINE’, yang kini ditayangkan secara eksklusif dan pertama, serentak dengan Korea, hanya di platform penstriman No.1 negara, Tonton.  


‘S LINE’, sebuah siri Korea yang sedang mencetuskan fenomena dan sedang hangat diperkatakan di seluruh Asia kini boleh ditonton secara eksklusif di Tonton bermula 11 Julai 2025. 

Tampil berani mengangkat tema yang jarang disentuh dalam arus perdana, ‘S LINE’ sebuah siri thriller fantasi yang provokatif dan misteri, ia tidak hanya mencuri tumpuan malah mencetuskan perbualan hangat di seluruh Asia. Dibarisi oleh pelakon ternama Korea seperti Lee Soo-hyuk, Lee Da-hee dan Arin, ia bukan sekadar drama biasa, ia adalah sebuah karya yang membawa penonton menyelami dunia fantasi gelap yang sarat dengan ketegangan, skandal dan persoalan tentang naluri manusia.


‘S LINE’ membuka tirai yang mengundang persoalan tentang sisi gelap manusia - bagaimana jika rahsia paling peribadi seseorang boleh diketahui oleh orang lain? Inilah yang berlaku dalam ‘S LINE’, wujudnya satu fenomena aneh iaitu kemunculan garisan merah yang terapung di atas kepala individu tertentu. Garisan yang dikenali sebagai ‘S LINE’ ini ini hanya boleh dilihat oleh segelintir orang.  Ia bukanlah garisan biasa, ia adalah petunjuk visual yang menghubungkan mereka yang pernah terlibat dalam hubungan intim. Bayangkan kekecohan yang berlaku, rahsia yang terlerai satu demi satu, dan tawa serta tangisan yang pecah apabila sejarah peribadi mula terbongkar di khalayak awam! Ia jelas bertindak seperti peta yang membongkar sejarah silam, rahsia peribadi dan skandal yang menggemparkan, sehingga mampu mencetuskan pelbagai reaksi sekali gus menimbulkan kekeliruan, ketakutan serta kekacauan dalam masyarakat.


Di tengah kekalutan dan misteri yang semakin meruncing, muncul watak utama Han Ji-wook (lakonan Lee Soo-hyuk), seorang detektif berkarisma dan berjiwa bebas yang tenang dalam setiap tindakannya. Dia bertekad untuk membongkar kebenaran di sebalik kemunculan fenomena garisan merah misteri ini. Dalam usahanya, Ji-wook tidak bersendirian. Dia bergabung dengan Kyu-jin (lakonan Lee Da-hee), seorang guru sekolah menengah yang memiliki pesona tersendiri dan keistimewaan untuk melihat garisan tersebut, serta Shin Hyun-heup (lakonan Arin), seorang pelajar remaja yang sejak lahir sudah mampu melihat garisan merah ‘S LINE’ – menjadikan hidupnya penuh tekanan dan rasa terasing.


Apabila fenomena ‘S LINE’ semakin memuncak dan mula mengganggu keseimbangan dunia nyata, pelbagai rahsia yang selama ini tersembunyi mula terbongkar. Kekacauan mula timbul, mencabar kepercayaan ketiga-tiga mereka terhadap realiti dan memaksa mereka untuk menentukan – sejauh mana mereka sanggup pergi demi kebenaran?

Semakin mereka menyelam lebih dalam, semakin banyak persoalan yang timbul. Kenapa hanya segelintir sahaja mampu melihat garisan ini? Kenapa ada individu yang langsung tidak memilikinya? Dan adakah semua ini berkait dengan satu siri pembunuhan berantai yang sedang menggemparkan kota?


Apa yang lebih menggusarkan, garisan merah ini bukan sekadar simbol – ia menjadi kunci kepada satu siri pembunuhan berantai yang mengejutkan. Dan dalam usaha mencari kebenaran, Ji-wook dan pasukannya menemui seorang individu pelik, Kyu-jin, satu-satunya orang yang langsung tidak mempunyai sebarang ‘S LINE’. Siapa sebenarnya dia? Apa rahsia yang disembunyikannya? Dan adakah semua ini sekadar imaginasi, atau realiti yang telah mula meracuni dunia?

Bukan hanya jalan cerita yang membuatkan minda berfikir, malah ‘S LINE’ turut menonjolkan arahan dan penulisan yang luar biasa. Idea asal oleh Handae Rhee dan diterjemahkan dengan cemerlang oleh pengarah Ahn Joo-young,  ‘S LINE’  diadaptasi daripada webtoon popular karya Kkomabi – penulis yang juga dikenali menerusi drama siri popular ‘A Killer Paradox’. 


‘S LINE’ turut menarik perhatian di peringkat antarabangsa. Ia merupakan satu-satunya drama Korea yang terpilih dalam pertandingan utama di Festival Siri Antarabangsa Cannes ke-8, dan berjaya membawa pulang Anugerah Muzik Terbaik. Pengarah muzik Lee Jun Oh menerima pujian atas reka bentuk bunyinya yang berjaya menghidupkan setiap babak dengan sempurna dan meningkatkan intensiti drama ini.

Bagi peminat Lee Soo-hyuk, ini adalah kemunculan semula yang tidak boleh dilepaskan. Beliau bukan sahaja tampil dengan lakonan yang lebih matang dan penuh dimensi, malah memperlihatkan sisi lain dirinya sebagai Han Ji-wook. Siri thriller psikologi enam episod yang berdurasi 50 minit ini, kini trending dan mencuri perhatian penonton seantero Asia, sekarang tersedia untuk tontonan rakyat Malaysia, hanya di Tonton.


Dengan binaan struktur naratif yang padat, sinematografi yang memukau dan pelbagai plot twist yang menegangkan ‘S LINE’ ditayangkan secara serentak, dengan penonton Malaysia kini berpeluang mengikuti perkembangan episod demi episod pada hari yang sama dengan Korea - memberi peluang kepada penonton untuk mengikuti perkembangan plot secara intens dan mendalam. Dua episod pertama telah ditayangkan pada 11 Julai, diikuti dua lagi secara serentak pada 18 Julai, dan episod kemuncak pada 25 Julai. 


‘S LINE’ kini secara rasmi tersenarai antara kandungan paling tinggi tontonan di Tonton, mencatat jumlah tontonan luar biasa sejak ditayangkan. Fenomena ini membuktikan bahawa penonton tempatan sudah tidak sabar untuk mengetahui – apakah yang akan terbongkar seterusnya?  Strim ‘S LINE’ sekarang di Tonton. Muat turun aplikasi Tonton atau layari www.tonton.com.my hari ini. 

Hayati sebuah kisah cinta yang sarat pengorbanan dan dilema hati dalam Seindah Hujan Cinta, drama penuh emosi yang bakal menyentuh perasaan anda bermula 21 Julai 2025. Ikuti perjalanan Zarita, seorang pempengaruh berjaya lakonan Nelydia Senrose, yang rela membenarkan suaminya berkahwin lagi demi impian memiliki zuriat. Namun apabila cemburu mula menyelinap dan pengorbanan bertukar menjadi penyesalan, masihkah segalanya seindah yang diimpikan?

Di bawah sentuhan pengarah berbakat Nizam Zakaria, Seindah Hujan Cinta menampilkan barisan pelakon hebat seperti Nelydia Senrose, Yusuf Bahrin, Ezzanie Jasny, Hariz Hamdan, Fadilah Mansor, Zulkifli Ismail dan Normah Damanhuri. Drama ini membawakan kisah yang sarat emosi, menggabungkan elemen cinta, pengorbanan dan pergolakan rumah tangga, sekali gus menjanjikan penceritaan yang penuh konflik, kejutan dan permainan emosi yang mendalam.

Siri 28 episod ini mengisahkan kehidupan pasangan suami isteri, Wassim (Yusuf Bahrin) dan Zarita (Nelydia Senrose), yang telah lima tahun mendirikan rumah tangga tanpa kehadiran cahaya mata. Konflik mula tercetus apabila Zarita yang merupakan seorang pempengaruh yang sedang meniti kemuncak kerjaya, masih belum bersedia memikul tanggungjawab sebagai seorang ibu. Sementara itu, naluri seorang ayah yang ada pada Wassim semakin menghimpit dirinya, lebih-lebih lagi saat melihat rakan-rakan sebayanya hidup bahagia bersama keluarga dan anak-anak mereka.

Sebagai jalan tengah, Zarita yang tidak sanggup mengorbankan kerjayanya membuat keputusan luar jangka dengan merelakan suaminya berkahwin lagi. Lebih mengejutkan, Zarita sendiri mencadangkan adik angkatnya, Aneesa (Ezzanie Jasny), sebagai calon madu. Walaupun cadangan itu pada awalnya ditolak oleh kedua-duanya, keteguhan hati Zarita akhirnya membuat Aneesa tunduk, demi menjaga pertalian dan membalas budi yang pernah ditabur.

Namun, hidup bermadu bukan semudah yang disangka. Cemburu yang selama ini terpendam mula membakar jiwa apabila Zarita melihat sendiri kemesraan antara Aneesa dan Wassim. Ketakutan sekiranya Aneesa hamil dahulu membuatkan Zarita goyah, dia mula ingin merebut kembali kasih suaminya yang masih setia dengannya. Namun, segalanya berubah apabila satu kejutan tak terduga muncul, mampukah cinta yang telah terbelah itu disatukan semula, atau segalanya sudah terlambat?

Seindah Hujan Cinta bukan sekadar kisah poligami atau cinta tiga segi. Ia menyelami emosi wanita yang terperangkap antara kerjaya dan keluarga, konflik batin seorang suami, serta kesetiaan kekeluargaan yang diuji. Dengan jalan cerita yang menyentuh hati dan lakonan mantap, drama ini dijangka bakal meninggalkan kesan mendalam di hati penonton.

Nantikan tayangan perdana Seindah Hujan Cinta bermula pada 21 Julai ini, eksklusif hanya di Tonton dan jangan lupa untuk ikuti juga perkembangan terkini dari Tonton dengan hashtag #Tonton. Untuk maklumat yang lebih lanjut tentang rancangan kegemaran anda, ikuti kami di Facebook, Twitter, TikTok, dan Instagram di @tontonmy. 


Lepas Ernie Zakri dan Bella Astillah, sekarang giliran tokti pula mendendangkan lagu balada karya Ade Govinda. Thanks to Ade Govinda and team yang berjaya hasilkan lagu yang sesuai dengan stail dan signature Tokti. 

Lagu Menamakanmu Cinta sarat dengan pujian kepada cinta hati secara romantis dan ikhlas. Lepas ni mungkin lagu Menamakanmu Cinta akan masuk dalam playlist wedding song di dua negara. Lagu kolaborasi antara bakat besar Malaysia dan Indonesia ni macam ada vibe yang sama dengan lagu-lagu dari album Hadiah Daripada Hati. 

Yang belum dengar lagu Menamakanmu Cinta boleh layan dekat sini



LIRIK LAGU MENAMAKANMU CINTA
Penyanyi: Dato' Sri Siti Nurhaliza ft Ade Govinda
Komposer: Ade Govinda
Lirik: Ade Govinda
Label: Universal Music Sdn Bhd, SN Legacy Sdn Bhd, MyMusic Records

Aku menamakanmu cinta
Cinta di dalam hidupku ini
Satu yang ditunjuk Tuhan temani aku
Untuk hidupku untuk duniaku


Aku merindukanmu cinta
Rindu setengah matiku merindu
Tiap detik aku pasti memikirkanmu
Engkau alasan untuk aku hidup

[Chorus]
Dari berjuta bintang yang terangi di malamku
Kamulah bintang yang paling terang
Tak kan kubiarkan redup
Dari berjuta detik yang pernah kita lewati

Aku tak mau berhenti untuk terus mencintamu
Kamu yang ada di doaku
Kamu yang selalu aku semogakan
Melekat erat ada di jantung hatiku

Engkau alasan untuk aku hidup
Ketika aku melihatmu
Aku jatuh di paling cinta
Tuhan sungguh baik takdir-Nya

[Chorus]
Dari berjuta bintang yang terangi di malamku
Kamulah bintang yang paling terang
Tak kan kubiarkan redup
Dari berjuta detik yang pernah kita lewati

Aku tak mau berhenti untuk terus mencintamu
Terus doakanmu

Selepas membuka tirai di Johor, kini giliran Pulau Pinang menyemarakkan Anugerah Melodi Terhangat 2025 (AMT2025) menerusi Melodi Terhangat Superstar Tour, jelajah eksklusif yang membawa barisan pencalonan terhangat ke tiga negeri utama. Bukan sekadar malam terhangat, AMT2025 kini lebih dekat dengan rakyat, berkongsi suasana, semangat dan kemeriahan bersama peminat seluruh negara!

Sebagai lokasi kedua Melodi Terhangat Superstar Tour, jangan lepaskan peluang untuk merasai sendiri kehangatan AMT2025! Pada Sabtu ini, 19 Julai 2025, AEON Mall Bukit Mertajam bakal menjadi tumpuan apabila barisan artis paling hangat seperti Amyra Rosli, Hael Husaini, Aman Aziz, Raden Zaharatul, Puteri Khareeza dan  Zarif Ghazzi turun padang untuk sesi meet & greet bersama peminat. Ambil gambar bersama selebriti, rebut hadiah menarik dan saksikan persembahan eksklusif secara langsung!

Sebagai Penaja Bersama dan Rakan Kereta Rasmi AMT 2025, PROTON turut menghangatkan jelajah ini dengan kehadiran model terbaharu mereka, All-New PROTON X50. Pengunjung boleh melihat lebih dekat,dengan membuat pre-booking tempahan secara terus di lokasi jelajah. Lebih menarik, ini juga merupakan peluang keemasan untuk menyertai kempen Anugerah Pilihan PROTON X50 Superstar, di mana seorang pemenang bertuah bakal membawa pulang sebuah All-New PROTON X50 serba baharu!

Melodi Terhangat Superstar Tour bukan sekadar promosi anugerah, ia merupakan sebuah perayaan budaya pop Malaysia yang diraikan secara langsung. Jelajah ini membawa kehangatan dan kemeriahan AMT2025 terus kepada peminat di luar Lembah Klang, dengan pengalaman yang penuh warna, penuh tenaga dan sarat makna.

Untuk info lanjut tentang barisan selebriti yang akan turut serta, aktiviti lokasi dan kejutan yang menanti, orang ramai boleh mengikuti perkembangan terkini di media sosial rasmi @TV3Malaysia dan @MelodiTV3. Melodi Terhangat Superstar Tour membuktikan, bila pentas hiburan turun padang, rakyatlah yang jadi tumpuan!

Rasa Nostra, Ara Damansara Indah Khabar Dari Rupa

Thursday, 17 July 2025


Selalu nampak iklan Rasa Nostra dekat Facebook and yes, of course kitorang tertarik lah untuk pergi sebab restoran dia cantik. Menu pun nampak sedap dalam gambar. Masa pergi makan dekat Wartek pun park kereta dekat area restoran Nostra Rasa ni. So kitorang dah target nak cuba makan dekat sini. 



Dekat Rasa Nostra ni boleh pilih untuk makan di bahagian luar restoran, di dalam ataupun dekat dalam ruang berpenghawa dingin. Memandangkan masa tu panas terik, kitorang pilih dekat dalam bilik yang ada air-cond tapi bilik tu berbau sebab pekerja restoran Nostra Rasa ni letak mop hapak dekat laluan menuju ke kitchen. 



Menu Rasa Nostra ni ada banyak pilihan baik makanan ataupun minuman. Ikutkan nak ambil Kopi Saloma tapi sebab Viatnamese Latte rasa macam ermmm next time lah. Lagipun rasa takut pulak bila menu yang overclaim ni. Sudahnya ambil teh ais je. Yun ambil Vanilla Cookie & Cream. Syida dengan yang lain bawa air masak dari office. 


I order Butter Chicken, Yun order Nasi Ayam Gepuk, Syida order Nasi Lemak Sambal Kerang, Syu dengan Aiesyah pulak order Buttermilk Chicken dengan sambal gempuk. Gambar atas ni Buttermilk Chicken tapi dari gambar pun dah nampak sedih, apatah lagi rasa dia. Dah terlanjur order kena lah makan. Keropok dia pun keraihhhhh. 


Ni pula Nasi ayam Gepuk yang Yun order, dah la paling lambat sampai sudahnya macam nasi dengan popcorn chicken je rupa dia. Sambal pun tak macam sambal gepuk sebab dia sambal blend lepastu ada perahan limau. 


And this was my teh ais gaisssss. Rasa nak menangis tengok warna dia sebab ceroi. Nasib baik lah tak order segala jenis minuman dia yang lain. Vanilla Cookie & Cream pulak manis leting. Padah terlupa bawak air masak macam yang lain. 

Bayangkan kitorang dah pishang tunggu makanan sebab pekerja dia ada dua orang je lepastu bila makanan sampai kena makan bersama bau hapak mop. Masa kitorang pergi ni tak ramai orang pun sebab ada dua meja je itupun satu meja 2 orang, satu meja lagi 3 orang. 

Makanan yang dia serve pun bukannya masak dekat kitchen sebab Syida ternampak dia buka dari pek makanan masa lalu pergi tandas. So kitorang tak faham kenapa makanan sampai lambat gila. Mungkin microwave ada satu je T.T

So no more after this. Teruk gila dining experience dekat sini, habis lebur masa dan duit macam tu je. 

PUSINGAN AKHIR PITCH STORY KE TV3 & PENCARIAN PELAKON DRAMA SANGAT | DUA BINTANG BAHARU LAHIR DAN TIGA IDEA KREATIF DIANGKAT!

Bersempena ulang tahun ke-41 TV3 dengan tema ‘41 Tahun Penuh Drama’, dua inisiatif istimewa, Pencarian Pelakon Drama Sangat dan Pitch Story Anda ke TV3!, diperkenalkan bagi mencungkil bakat baharu dalam lakonan dan penulisan kreatif. Inisiatif ini bukan sahaja membuka ruang kepada generasi baharu untuk menyerlah, malah membuktikan komitmen TV3 dalam memperkasa industri hiburan tanah air. Kedua-dua program ini mendapat sambutan hebat dan melabuhkan tirainya dengan kejayaan membanggakan.

Sejak sesi ujibakat bermula pada 31 Mei lalu, hampir 300 peserta dari seluruh Malaysia hadir mencuba nasib bagi merebut peluang keemasan ini. Hasil pencarian yang teliti, dua bakat baharu paling menyerlah, Zairi Aziz dan Ariana Yusof telah dinobatkan sebagai pemenang utama. Mereka bakal menandatangani kontrak eksklusif selama tiga tahun bersama Alternate Records, serta berpeluang membintangi drama terbaharu terbitan TV3.

Pemilihan dibuat oleh barisan juri profesional yang cukup disegani dalam industri hiburan tempatan, iaitu Erma Fatima dan Datuk Hasniza Nordin, yang menilai peserta berdasarkan bakat semula jadi, keaslian emosi dan potensi jangka panjang dalam dunia lakonan. Persaingan sengit dengan hampir 300 penyertaan membuktikan betapa tingginya minat terhadap dunia seni tanah air.

Turut melengkapkan inisiatif ini ialah program Pitch Story Anda ke TV3!, yang membuka ruang kepada pencipta idea baharu untuk mengetengahkan kreativiti mereka. Tiga idea terbaik telah dipilih sebagai pemenang, masing-masing membawa pulang wang tunai daripada jumlah hadiah keseluruhan sebanyak RM9,000.

  • Juara (RM5000): Takdir Tak Bernama oleh Nur Yusrina Saliman
  • Tempat Kedua (RM3000): Block C oleh Nur Adam Syahmi Samril 
  • Tempat Ketiga (RM1000): Denda(m) oleh Muhammad Zahin Adlan Zailani & Ahmad Adam Mohamad Adan

TV3 mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peserta dan barisan juri yang menjayakan program ini. Kemunculan dua bintang baharu serta tiga idea segar ini diyakini bakal menyuntik nafas baharu dalam landskap hiburan tempatan. Nantikan kehadiran mereka di kaca televisyen anda, hanya di TV3!

Untuk mendapatkan info terkini tentang drama kegemaran anda, layari laman sosial Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia, Instagram rasmi Drama Sangat iaitu @dramasangat.

Pavilion KL bergegar! Jika anda berada di Pavilion Kuala Lumpur petang semalam dan tertanya-tanya mengapa kawasan tersebut berubah menjadi lautan manusia yang menjerit dan bersorak seperti di konsert K-pop, jawapannya adalah kerana Lee Soo-hyuk!

Lebih 2,000 peminat membanjiri Bukit Bintang hanya semata-mata kerana Lee Soo-hyuk!  Keberadaan aktor dan model kacak dari Korea ini mencetuskan gelombang luar biasa di acara eksklusif Galaxy Unfolds Roadshow yang berlangsung di Pavilion KL petang semalam. Ribuan peminat membanjiri ruang legar Concourse Utama bagi menyambut kehadiran bintang kesayangan mereka yang buat julung kalinya hadir ke Malaysia. 

Diterbangkan khas oleh Tonton sempena tayangan eksklusif drama thriller terbaharunya, S LINE, kehadiran Lee Soo-hyuk dinanti dengan sorakan gemuruh dan gelombang peminat yang setia menunggu sejak awal. Pavilion KL mula dibanjiri oleh peminat tegar beliau seawal jam 2 petang walaupun beliau dijadualkan tiba pada jam 5 petang. Ramai sanggup menunggu berjam-jam demi mendapatkan posisi terbaik yang paling hampir dengan pentas utama.  Menjelang jam 3 petang, setiap penjuru Concourse Utama menjadi padat luar biasa; setiap laluan utama, eskalator, dan tingkat atas dipenuhi wajah-wajah penuh harapan ingin melihat oppa kegilaan ramai itu dari dekat.

Detik paling 'gila' berlaku sebelum acara bermula, apabila gelombang peminat yang dahagakan pertemuan dengan Lee Soo-hyuk, bergerak secara beramai-ramai dari Lot 10 menuju ke pintu masuk utama Pavilion KL. Antara yang mencuri perhatian ialah peminat yang mengangkat sepanduk bertulis “Lee Soo-hyuk’s die-hard fan is here!!!” Dengan sepanduk pelbagai saiz—termasuk sepanduk khas "Tonton❤️Lee Soo-hyuk"—mereka membentuk satu konvoi mini yang penuh semangat, lengkap dengan sorakan dan jeritan, persis sebuah perarakan selebriti yang lazimnya hanya dilihat di kaca TV!

Saat kelibat Lee Soo-hyuk muncul, seluruh Pavilion KL seakan bergegar. Jeritan peminat meletus serentak, ada yang melompat-lompat, dan tidak kurang juga yang dilihat mengalirkan air mata kerana terlalu terharu. Suasana tegang bercampur gembira itu benar-benar menyerupai sebuah konsert K-Pop berskala mini, di mana setiap gerak-geri bintang itu disambut dengan reaksi luar biasa. Di celah-celah keriuhan, terlihat seorang peminat di hadapan pentas menangis teresak-esak, bukti betapa 'gila'nya peminat Malaysia terhadap Lee Soo-hyuk.  Bukan hanya warga kota, ramai peminat juga dikesan datang dari luar Kuala Lumpur, termasuk Pulau Pinang dan Johor, membawa sepanduk besar sebagai tanda sokongan yang tidak berbelah bahagi. Pengorbanan ini jelas menyentuh hati Lee Soo-hyuk.

Aktor tampan ini kelihatan sangat terharu dengan sambutan luar biasa tersebut. Senyuman tak lekang di bibirnya, dan tangannya tak berhenti melambai ke arah peminat yang sentiasa memanggil namanya, dan sempat berkata "I’m so happy to finally meet Malaysian fans. I’m super nervous right now. Thanks for supporting me," luahnya, sambil mengakui terkejut dengan lautan manusia yang hadir.  Beliau juga menyatakan harapannya untuk datang semula ke Malaysia, “I hope to visit Malaysia more. Thank you Samsung for giving this opportunity.”

Detik yang paling mencairkan hati pastinya apabila beliau melafazkan frasa keramat dalam Bahasa Melayu, "Aku cinta padamu," yang serta-merta disambut dengan sorakan histeria dan tepukan gemuruh yang memecah gegendang telinga!

Fenomena Lee Soo-hyuk di Pavilion KL ini bukan sahaja memecah kesunyian pusat beli-belah, malah mencetuskan fenomena yang bakal kekal dalam ingatan!  Membuktikan betapa kuatnya pengaruh bintang Korea dan betapa bersemangatnya peminat di Malaysia. 

Jangan lepaskan peluang untuk terus menyaksikan lakonan Lee Soo-hyuk dalam drama thriller terbaharu, S LINE, yang kini boleh distrim secara eksklusif di Tonton. Dua episod pertama telah ditayangkan serentak dengan waktu siaran Korea pada 11 Julai 2025 lalu.  Jangan lepaskan peluang untuk meleraikan misteri di sebalik dunia S LINE sekarang!