Ketamakan Menantu, Dendam Mentua Dalang Drama Terkini Astro Prima, ‘Jesnita’

Monday 31 October 2022


Mampukah seorang antagonis wanita berubah menjadi heroin? Penonton-penonton Astro Prima bakal disajikan dengan sebuah drama yang memaparkan kisah seorang wanita muda yang dahagakan kemewahan dan sanggup melakukan apa sahaja untuk mengekalkannya menerusi ‘Jesnita’. Jesnita yang merupakan heroin antagonis drama terkini Astro Prima untuk slot Tiara pasti akan memukau peminat-peminat drama tempatan dengan penceritaan yang penuh helah dan saspens.

Drama yang berunsurkan thriller, mystery dan crime sekali lagi mempertaruhkan wanita sebagai tunggak utama. Jesnita mempergunakan waris perniagaan kaya, Zaid untuk mengejar cita-citanya untuk menjadi kaya dan senang-lenang. Apabila suaminya di ambang muflis, Jesnita yang terdesak mengalihkan perhatiannya kepada Rafael, rakan niaga Zaid.

Perkahwinan Jesnita dengan Rafael yang sepatutnya menjadi kemenangan dicemari dengan kejutan bahawa dia merupakan isteri kedua. Kehidupan baharunya juga tidak aman apabila bekas ibu mentuanya kini berikrar untuk memusnahkan hidupnya sebagai balasan atas kesalahannya terhadap Zaid.

Drama saspens yang sarat dengan kisah kekeluargaan ini dibintangi Intan Najuwa sebagai Jesnita, Yusuf Bahrin sebagai Rafael serta menampilkan dua supermodel Malaysia terkenal yakni Nasha Aziz sebagai Syafinaz dan Malek McCrone sebagai Zaid. ‘Jesnita’ merupakan terbitan Zeel Production dan diarahkan oleh Emy Suffian. Drama ini turut didukung oleh barisan pelakon popular seperti Rozita Che Wan, Fikry Ibrahim, Nina Smith dan ramai lagi.

Love Novel turut akan berkolaborasi dengan Astro untuk mengadaptasi drama ‘Jesnita’ ke novel. Para penonton boleh menantikan pengumumannya menerusi laman Facebook Love Novel.‘Jesnita’ akan ditayangkan pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 6.00 petang mulai 7 November 2022 secara eksklusif di slot Tiara melalui saluran Astro Prima (105) serta turut boleh distrim menerusi On Demand di Astro Box dan aplikasi Astro GO untuk pilihan yang fleksibel. Dapatkan Pek Premium 1 untuk penjimatan hebat dengan hanya RM 99.99 sebulan untuk enam bulan pertama. Whatsapp “NAK ASTRO” ke 03-9543 3838 untuk menikmati drama ini di Astro.

PETIKAN KENYATAAN RASMI

Norzeha Mohd Salleh - Ketua Saluran Astro Prima

“Slot Tiara sekali lagi membawakan sebuah drama rantaian yang diterajui watak wanita yang kuat dan bijak. Menerusi ‘Jesnita’, kita diperkenalkan dengan seorang wanita yang tidak membiarkan sesiapa sahaja menentukan nasibnya, malah dia merupakan dalang di sebalik pelbagai helah untuk membolehkan dirinya mendaki status sosial yang tinggi.

‘Jesnita’ bukan sebarang watak mahupun drama yang ada dalam industri ini. Drama kali ini amat mencabar dan berbeza dengan pemotretan wanita dalam drama tempatan yang ada.

Tunggak utama merupakan seorang antagonis yang akan dibenci ramai kerana tipu helahnya, tapi masa yang sama dialah heroin kami yang bakal mengharungi pelbagai onak duri kelak. Watak anti-hero seperti ini selalunya dimainkan oleh lelaki tetapi kali ini seorang wanita yang naratifnya diperkasakan bakal membawa transformasi kepada erti anti-hero untuk drama-drama tempatan.

Pihak Astro rasa amat teruja dengan gandingan mantap yang bakal disajikan kepada peminat-peminat drama di platform kami. Intan Najuwa, Yusuf Bahrin, Fikry Ibrahim dan sudah semestinya Nasha Aziz bakal mengangkat slot Tiara ke tahap yang lagi gemilang.

Gandingan mantap antara muka-muka baharu serta yang berpengalaman merupakan strategi drama yang paling berkesan. Keseimbangan inilah yang bakal menjayakan sesebuah drama yang turut disulami tulisan skrip dan arahan yang hebat.

Kami berharap keterujaan kami dapat dirasai penonton-penonton Astro dengan garapan yang penuh saspens serta naratif yang bakal membuatkan mereka terpaut pada setiap cliffhanger di setiap episod. Kami di Astro akan sentiasa mencabar serta mengubah landskap pembikinan drama, lantas mengangkat mutu drama-drama tempatan ke tahap yang lebih tinggi.”

Emy Suffian Pengarah Drama ‘Jesnita’

“Pada mulanya, saya agak skeptikal dengan gandingan pelakon-pelakon generasi baharu untuk membawakan watak dan kekalkan momentum sepanjang 40 episod kerana ia bukan senang. Tambahan pula, semua artis utama mempunyai jadual padat. Lama kelamaan, saya dan team melihat sendiri chemistry yang baik antara semua pelakon.

Gandingan Nasha dan Intan amat menjadi. Malah semua babak dengan adanya Nasha, saya nampak dia begitu sungguh-sungguh untuk memberikan yang terbaik. Begitu juga Fikry Ibrahim yang kali ini memegang watak berat dan perlu bermain dengan emosi. Dia melakukannya dengan berkesan sekali.

Heroin, Intan Najuwa sebagai Jesnita amatlah mengagumkan. Kita juga melihat kematangan lakonan Intan Najuwa yang saya sendiri pun kagum sebab sebagai heroin dalam drama ni, watak dia berat dan tanggungjawab nak hidupkan watak ini juga berat tetapi dia memberikan segalanya. Kalau tidak percaya, tonton dan nilailah sendiri.

Segala apa yang berlaku dalam drama ini semuanya berkisar kepada Jesnita. Dia pembawa cerita, dia punca segala benda, dia ada emosi yang turun naik. Dia ada watak yang berbeza-beza. Kadang dia ketawa, kadang dia menangis. Dia juga menjadi rebutan tiga jejaka. Dia yang jadi mangsa cinta, mangsa perebutan harta dan sengketa. Hebat watak Jesnita yang menjadi nadi cerita drama ini!”

PECAHAN WATAK DRAMA ‘JESNITA’

Intan Najuwa - Jesnita

Nasha Aziz - Syafinaz

Malek McCrone - Zaid

Yusuf Bahrin - Rafael

Nina Smith - Dayana

Fikry Ibrahim - Zainal

Zach Zaffranz - Fauzi

Rozita Che Wan - Rosemila

LOGLINE DRAMA ‘JESNITA’

Kisah Jesnita yang meminta cerai daripada suaminya, Zaid yang kini menghadapi masalah kewangan untuk berkahwin dengan Rafael iaitu rakan niaga Zaid. Namun perkahwinan tersebut indah khabar dari rupa buat Jesnita yang rupanya isteri kedua.

SINOPSIS DRAMA ‘JESNITA’

Drama ini mengisahkan tentang Jenista yang merupakan seorang gadis yang menggilakan harta dan kekayaan. Demi mengecapi status yang sosial yang gah, dia berkahwin dengan pewaris perniagaan, Zaid. Namun, Zaid merupakan seorang yang boros dan mahukan isterinya, Jesnita bahagia dengan berbelanja demi segala kemahuannya. 

Ketika syarikat Zaid ditimpa masalah kewangan, Jesnita beralih pandangan kepada Rafael yang merupakan rakan niaga Zaid. Jesnita dan Rafael berkahwin namun drama menanti Jesnita termasuk isteri pertama Rafael, Dayana. Malah bekas ibu mertuanya, Syafinaz yang membencikannya kini berusaha untuk menjatuhkan Jesnita serta suami baharunya demi dendam tersemat di dalam hati seorang ibu yang dikhianati.

3 comments

  1. Uish.. ada Nasha Aziz.. mesti menarik..

    ReplyDelete
  2. fuhhhh mantap!!! sy suka cerita mcm ni! yap, anti-hero dan watak antagonis mmg👍👍👍👍

    ReplyDelete
  3. Tak sabar nak tengok sebab watak heroin antogonis tak cliche.

    ReplyDelete

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.