Kuala Lumpur, 19 November 2025 — Penyanyi tersohor negara, Liza Hanim, kembali dengan sebuah karya balada yang penuh penghayatan berjudul Jeda Derita, single kedua beliau bersama Alternate Records selepas Sejuta Maaf. 

Lagu ini merupakan OST kepada drama terbaharu slot Akasia TV3 ‘Sumpah Ibuku’, sekali gus menampilkan gabungan istimewa antara Liza Hanim dan penyanyi terkenal, Tomok sebagai komposer, bersama Fedtri Yahya selaku penulis lirik.

Mengangkat tema kesetiaan dalam penderitaan, kekuatan jiwa dan pergolakan emosi seorang wanita yang dikhianati, Jeda Derita hadir dengan sentuhan melodi yang mendalam dan lirik yang puitis. Menurut Fedtri Yahya, lirik lagu ini dihasilkan sepenuhnya dengan menghayati perjalanan watak dalam drama tersebut. “Saya harus memahami setiap jiwa, derita dan kepayahan yang dirasai bagi memastikan lagu ini memiliki impak emosi yang selari dengan jalan cerita,” ujar beliau. 

Dari sudut Tomok, kekuatan lagu ini terletak pada keseimbangan antara melodi meruntun hati, lirik puitis dan vokal bertenaga daripada Liza Hanim. “Yang menariknya, Liza benar-benar menghayati setiap bait lirik seolah-olah merasai sendiri derita dalam lagu ini. Bahkan beliau menangis ketika merakamkannya,” tegasnya.

Bagi Liza Hanim, terpilih untuk menyanyikan lagu ini adalah satu penghormatan yang besar. “Saya berasa sangat gembira dan amat menghargai kepercayaan daripada produksi serta label kerana masih memilih saya untuk menyampaikan lagu OST Sumpah Ibuku. Lebih bermakna apabila diberi peluang bergandingan dengan Tomok, ia satu titik perubahan buat diri saya,” katanya.

Rakaman vokal lagu ini mengambil masa kira-kira dua jam setengah, selepas terpaksa ditunda sebanyak dua kali atas faktor kesihatan. Namun proses rakaman tersebut menghadirkan momen yang cukup emosional buat Liza. “Ketika itu saya agak hilang fokus kerana terlalu sibuk. Saya sampai minta Tomok padamkan lampu studio untuk membantu saya mendapat mood yang diperlukan. Walaupun saya jarang menangis, ketika merakamkan Jeda Derita, air mata saya mengalir kerana lagu ini sendiri menyampaikan rasa kecewa dan kelelahan,” jelas Liza.

Meskipun rakaman lagu ini mengambil masa sekitar dua jam, namun proses kreatifnya memerlukan penghayatan mendalam terhadap kisah drama tersebut untuk memastikan setiap emosi disampaikan secara jujur. 

Liza turut menyatakan keterujaannya untuk bekerjasama lagi dengan Tomok pada masa akan datang. “Tomok mempunyai potensi besar. Dari seorang penyanyi, kini beliau menjadi ahli perniagaan, komposer dan penerbit yang baik. Beliau tahu apa yang diinginkan dan sangat jelas dengan visinya. Itu amat membantu penyanyi untuk memberikan yang terbaik tanpa menghilangkan karakter vokal,” tambahnya.

Liza berpendapat, kelainan utama lagu ini terletak pada penyampaian rasa yang begitu kuat, bukan sahaja dari aspek cerita drama, tetapi juga perjalanan peribadi antara dirinya dan Tomok sejak zaman mereka bersama di syarikat rakaman hingga kini menghasilkan karya bermakna ini. “Saya percaya sesiapa yang mendengarnya akan dapat merasai tangisan, kelelahan dan jeda dalam penderitaan yang ingin disampaikan, lagu ini sarat dengan jiwa kerana Tomok benar-benar mencurahkan emosinya dalam penciptaan karya ini,” luahnya lagi.

Dengan kekuatan vokal beliau serta puitisnya sentuhan lirik Fedtri Yahya, Jeda Derita dijangka menjadi antara balada paling emosional dipersembahkan Liza dalam beberapa tahun kebelakangan ini. 

Jeda Derita kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital termasuk YouTube dan Spotify.

Untuk maklumat terkini berhubung Alternate Records & Talents, layari akaun rasmi media sosial Facebook, @alternate.my_ di Instagram dan @alternate.rt_ di TikTok.

INFINITUS PRODUCTIONS TAMPIL FILEM KOMEDI-THRILLER, ‘SUMPAHAN NILAM UTAMA’, GABUNGAN COMING-OF-AGE, PENYIASATAN, MISTERI GHAIB | ‘Taruhan Terbaru Oleh Pengarah Hyrul Anuar’ 

Kuala Lumpur, 17 November 2025 – Penerbit Infinitus Productions yang menghasilkan filem pecah panggung Hantu Kak Limah dan Don Dukun, mengumumkan bakal tampilkan filem komedi-thriller terbaru Sumpahan Nilam Utama. Filem yang diterbitkan oleh Infinitus Productions dengan kerjasama Directors Think Tank dan Sunstrong Entertainment, kini dalam fasa penggambaran dan dijangka temui penonton di pawagam pada tahun 2026.

Filem ini diarahkan oleh Hyrul Anuar, pengarah yang terkenal dengan sentuhan kreatif dalam filem 3 Janda Melawan Dunia serta iklan komersial. Dengan pengalaman luas dalam menghasilkan karya dengan elemen humor dan berkualiti, Hyrul bakal mempertaruhkan bakatnya ke dalam Sumpahan Nilam Utama.

Sumpahan Nilam Utama merupakan sebuah filem komedi-thriller dengan elemen penyiasatan yang memberi tumpuan kepada perjalanan sekumpulan remaja dalam menghadapi peristiwa misteri melibatkan sebuah pemujaan. Filem ini dibintangi oleh barisan pelakon muda, Idan Aedan, Razin Qidran, Farihin Arnia, Taufiq Izmir dan Muizzuddin, serta turut menampilkan pelakon hebat Dato’ Tamimi, Ellie Suriaty, Dr. Rosdeen Suboh, Anas Ridzuan, Aloy Paradoks dan Taqim Zaki. 

Penerbit Eksekutif Infinitus Entertainment, Gayatri Su-lin Pillai, menyatakan, “Infinitus Entertainment komited dalam memperkukuh landskap sinema Malaysia dengan menghasilkan pelbagai genre filem yang boleh dinikmati oleh semua penonton. Terbaru, Sumpahan Nilam Utama merupakan salah satu usaha kami untuk mempersembahkan sebuah karya yang segar dan relevan kepada penonton yang menggemari gabungan komedi dan elemen thriller. Kami memilih Hyrul Anuar untuk menerajui filem ini, dan ini merupakan kerjasama pertama dengannya. Melihat kepada gaya pengarahan beliau sebelum ini, kami yakin Hyrul membawa perspektif segar yang mampu menghidupkan penceritaan dengan identitinya yang unik. Walaupun pembikinannya masih berjalan, kami amat berbangga dengan dedikasi seluruh pasukan produksi. Kami mengharapkan Sumpahan Nilam Utama dapat meninggalkan impak kepada semua lapisan penonton serta industri filem tanah air.” 

Penerbit Filem Sumpahan Nilam Utama, Syahrul Imran berkata, “Kami melihat Sumpahan Nilam Utama sebagai sebuah cerita yang menggabungkan komedi, tema coming-of-age, penyiasatan dan misteri dalam konteks lokal yang dekat dengan penonton. Gabungan elemen sebegini jarang diketengahkan dalam nashkah di layar perak, menjadikannya sesuatu yang unik dan menarik. Antara tarikan lain filem ini adalah gandingan pelakon muda, Razin Qidran, Idan Aedan, Farihin Arnia, Taufiq Izmir dan Muizzuddin, di mana mereka membawa tenaga, personaliti dan keunikan tersendiri kepada watak masing-masing. Kami sangat teruja untuk berkongsi filem ini dengan penggemar filem tempatan kelak, dan berharap ia dapat diterima ramai.”

Filem komedi-thriller ini mengisahkan empat pelajar tingkatan lima - Ilham, Hakim, Danial dan Belon, diam-diam bersembunyi di asrama pada cuti peristiwa untuk menyiasat misteri kebun manggis yang dikatakan berhantu. Namun misi mereka berubah drastik apabila Suri - gadis pujaan hati Ilham, hilang dan Farid - si pengawas skema muncul. Ketika menyelinap ke kebun itu, mereka berdepan kejadian pelik sehingga menemui bukti bahawa Suri telah diculik. Dalam usaha menyelamatkan Suri, geng berlima terseret ke dalam satu rahsia gelap sekolah. Rahsia yang jauh lebih mengerikan daripada hantu yang mereka fikirkan.

Nantikan filem Sumpahan Nilam Utama terbitan Infinitus Productions yang akan temui penonton seluruh negara pada tahun hadapan. Ikuti akaun Infinitus Films MY di semua platform media sosial untuk info terbaru dan klip menarik. 

‘SUMPAH IBUKU’ DILEMA REMY ISHAK, TERPERANGKAP ANTARA KASIH IBU DAN ISTERI…

Monday, 17 November 2025

Kuala Lumpur, 17 November 2025 – Apabila kasih yang tulus diselubungi dendam, hidup mereka mula bergoncang. Rahsia lama yang selama ini terkubur satu persatu timbul ke permukaan, mencetuskan ketegangan yang menggugat seluruh keluarga. Sumpah Ibuku, drama terbaharu slot Akasia TV3, membuka tirai kepada sisi gelap di sebalik kasih sayang dan kepercayaan yang dikhianati. Ini bukan sekadar kisah pertentangan antara menantu dan ibu mentua, tetapi perjalanan emosi tentang pengorbanan, penebusan, dan sejauh mana cinta mampu bertahan bila diuji dari setiap arah.

Saksikan mulai 19 November 2025, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam hanya di slot Akasia TV3. Untuk pengalaman lebih awal, penonton boleh strim episod baharu secara percuma 24 jam lebih awal di iQIYI, atau melalui aplikasi iQIYI yang tersedia di Google Play dan App Store.

Bergenre drama kekeluargaan, Sumpah Ibuku menampilkan barisan pelakon ternama tanah air termasuk Izara Aishah, Datuk Remy Ishak, Liza Abdullah, Zara Zya, Syad Mutalib dan Syazwan Zulkifly. Setiap watak dihidupkan dengan penuh emosi, dendam, dan pengorbanan, membolehkan penonton menyelami konflik dalaman serta rahsia gelap yang menguji ikatan kasih sayang dan kekuatan keluarga.

Kisah bermula dengan Husna (Izara Aishah), seorang ibu tunggal yang tabah dan berhati besar, yang akhirnya bersatu semula dengan cinta lamanya, Hadith (Datuk Remy Ishak). Namun kebahagiaan yang diimpikan berubah menjadi mimpi ngeri apabila ibu mentuanya, Che Yam (Liza Abdullah), seorang wanita licik dan penuh dendam, menolak kehadiran Husna sebagai menantu.

Demi memisahkan mereka, Che Yam bersubahat dengan Syafiqah (Zara Zya) untuk meruntuhkan rumah tangga Husna. Meski dilanda pelbagai derita, Husna tetap setia menjaga bapa mentuanya yang lumpuh hingga akhir hayat. Satu demi satu fitnah menggugat kasih Hadith terhadap isterinya, sehingga Husna diusir dan terpaksa pulang ke kampung, di mana dia bertemu Nurul Iman (Syad Mutalib) yang membantu mendedahkan kejahatan Che Yam dan Syafiqah, menunjukkan kasih yang tulus tetap kuat walau diuji kebencian.

Izara Aishah berkongsi, “Sumpah Ibuku ialah cerminan realiti yang ramai dalam masyarakat terpaksa tempuhi dan saya yakin ramai boleh relate. Watak saya sebagai Husna, seorang kakak sulung yang melalui pelbagai cabaran, membentuk dirinya menjadi lebih tegas, kuat dan matang. Bagi saya, Husna mewakili wanita masa kini, wanita yang tahu mempertahankan maruah diri, bukan wanita yang mudah tunduk atau lemah.

Jangan ketinggalan untuk menyaksikan Sumpah Ibuku bermula 19 November 2025, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam di slot Akasia TV3. Episod baharu boleh distrim 24 jam lebih awal secara percuma di iQIYI, atau melalui aplikasi iQIYI di Google Play dan App Store.

Untuk maklumat terkini tentang drama kegemaran anda, layari laman sosial Facebook, Instagram, X, YouTube dan TikTok TV3 di @TV3Malaysia, serta Instagram rasmi Drama Sangat di @dramasangat.

LIRIK LAGU QUESTION - DOLLA


Ciptaan lagu Question yang bertemakan curang dan balas dendam digubah oleh Justin Seow, Kuiozz, Aziz Harun dan DOLLA sendiri. Lagu Question mempunyai koreografi yang direka oleh koreografer terkenal Thailand, Akkaraphol Prompen dengan tarian yang feminin dan hook step yang mudah, sesuai lah untuk TikTok challenge. 

Sadly, music video DOLLA kena bash teruk sebab sexy sangat padahal konsep diner yang digunakan dalam MV dah menarik dah. Dah banyak kali DOLLA kena tegur sebab pemakaian, mungkin boleh tutup mana patut sebab sayang lah MV dah cantik tapi kena take down sebab sensitif. Anyway, I dah repeat banyak kali dari minggu lepas sebab musik dan lirik dia catchy. 



LIRIK LAGU "QUESTION"

Penyanyi: DOLLA
Komposer: Justin Seow, Kuizz
Lirik: Justin Seow, Kuizz, Aziz Harun, DOLLA
Studio: Universal Music

[Intro]
(Question)
(Question)

[Verse 1: Angel, Sabronzo]
Dah seminggu lebih
Tak balas chat
You just left without a trace
Takkan tak tahu?
Mudah saja aku gantikan kamu
Where you been?
Who you talkin' to?
Kenape gincu di baju
Mulut manis, lidah memang licik
Bila kau kata, "Please, believe me"

[Pre-Chorus: Tabby]
Tak malu
Ku persembahkan
Padamu badut terbaru
Tiada air mata untuk dirimu

[Chorus: All]
Seribu satu alasan
Seribu janji kau tak tepati
Malam-malam kuseorangan
How could, how could you?
Senang saja kau panggilku sayang
Sebenarnya kau berlaku curang
They're all asking me but really
Gotta ask ya

[Post-Chorus]
(Question)
Siapakah namanya? (Question)
Sejak bila bermula? (Question)
Kenapa pilih dia?
Tak cukup satu, pilih dua (Question)
Apa lagi kau mahu? (Question)
Puaskah kau menipu?
They'rе all asking me, but really
Gotta ask you a question

[Verse 2: Sabronzo, Angel]
Mеmang kuat temberang
Susah disimpan, senang dipandang
Switched up quick, manis jadi masam
Benar kata mama, "Tak semua boleh guna"
Where she been?
Who she talkin' to?
Kenape gincu di baju
Mulut manis
Lidah memang licik
Bila kau kata, "Please, believe me"

[Pre Chorus: Sabronzo]
Tak malu
Ku persembahkan
Padamu badut terbaru
Tiada air mata untuk diri mu

[Chorus: All]
Seribu satu alasan
Seribu janji kau tak tepati
Malam-malam kuseorangan
How could, how could you?
Senang saja kau panggilku sayang
Sebenarnya kau berlaku curang
They're all asking me but really
Gotta ask ya

[Post-Chorus]
(Question)
Siapakah namanya? (Question)
Sejak bila bermula? (Question)
Kenapa pilih dia?
Tak cukup satu, pilih dua (Question)
Apa lagi kau mahu? (Question)
Puaskah kau menipu?
They're all asking me, but really
Gotta ask you a question

[Outro: All]
(Question)
(Question)
(Question)
Pulling me like an elastic heart
Pulling me like an elastic heart
Pulling me like an elastic heart
Better, better, better ask you a question
Pulling me like an elastic heart
Pulling me like an elastic heart
Pulling me like an elastic heart
Better, better, better ask you a question

Majlis tayangan Rangga & Cinta di GSC One Utama pada Sabtu, 15 November 2025 berlangsung dalam suasana penuh keterujaan apabila pelajar UiTM Puncak Alam hadir beramai-ramai, membawa semangat dan keterujaan sendiri ke pawagam. Sejak tiba, gelak tawa, perbualan rancak dan sesi bergambar bersama rakan-rakan sudah menghidupkan dewan, menandakan betapa tidak sabarnya mereka untuk menyelami kembali kisah cinta ikonik ini.

Dikuasai oleh Samsung Galaxy S25 FE, acara ini menjadi lebih meriah apabila tiga selebriti tempatan, Nadia Annuar, Dayang Areeda dan Fatin Hamimah, turut hadir untuk berinteraksi dan meluangkan masa bersama para pelajar. Kehadiran mereka bukan sahaja mencuri tumpuan, malah menambah keseruan acara apabila mereka berkongsi pengalaman dan pandangan peribadi tentang filem baharu Rangga & Cinta.

(Nadia Annuar)

Nadia sendiri mengakui dirinya tersentuh semasa menonton naskhah ini. “Rasa macam flashback balik sebab dulu tengok filem asal masa umur saya baru 18 tahun. Memang kembali ke kenangan manis zaman dulu.”

(Dayang Areeda)

Sejak tayangan bermula, dewan bergema dengan gelak tawa, sorakan, teriakan dan tepukan spontan, paling hangat ketika babak piano antara Rangga & Cinta muncul. Babak itu juga melekat dalam ingatan Dayang Areeda.

“Babak yang saya tak boleh lupakan ialah masa mereka main piano dan menyanyi bersama. Ada pandangan mata antara mereka, rasa manis sangat, semua orang dalam dewan menjerit, dan saya pun rasa sangat teruja.”

Reaksi daripada penonton muda menunjukkan filem ini berjaya melintasi generasi, bukan sahaja membangkitkan nostalgia, tetapi juga menyentuh emosi mereka.

“Cerita ni memang comel, sesuai sangat untuk orang yang tengah bercinta. Lagu-lagunya buat kita rasa jatuh cinta semula,” kata seorang pelajar.

Ada juga penonton yang berkongsi pengalaman menonton sehingga sebak. “Ada satu babak yang saya tak boleh lupa. Babak terakhir tu, saya memang tak sangka akan menangis.”

Selain hiburan, penonton muda turut menangkap mesej yang lebih besar daripada kisah ini. “Tak salah nak bercinta, tapi kena ingat orang sekeliling. Kena pandai bahagi masa dan jujur dengan kawan-kawan serta pasangan sendiri.”

Gabungan suasana komuniti, kehadiran selebriti dan reaksi jujur penonton menjadikan tayangan ini sebuah pengalaman yang menyatukan nostalgia dengan perspektif generasi baharu. Rangga & Cinta sekali lagi membuktikan bahawa kisah cinta klasik masih mampu mencetuskan emosi dan meninggalkan kesan yang mendalam.

Rangga & Cinta kini di pawagam seluruh Malaysia. Rasai sendiri kehangatan cinta dan nostalgia yang menjadikan filem ini begitu istimewa!

Bila dua jiwa bertemu, cinta menemukan nadanya..
Kerana setiap generasi punya Rangga & Cinta mereka sendiri.

Untuk perkembangan dan kandungan eksklusif filem ini, ikuti Primeworks Studios di Facebook, Instagram, X dan YouTube.

Movie Review | Aaina (1993)

Sunday, 16 November 2025


Pengarah: Deepak Sareen 
Penulis Skrip:  Honey Irani, Shanker Iyer, Rahi Masoom Reza
Pelakon: Jackie Shroff, Amrita Singh, Juhi Chawla, Deepak Tijori, Rajesh Khattar  
Syarikat Produksi: Yash Raj Films 
Pengedar:  Yash Raj Films, Netflix
Genre: Romantik / Drama
Durasi Tayangan: 149 minit
Tarikh Tayangan: 18 Jun 1993   
Trailer:


Rajnesh Mathur (Saeed Jaffrey) mempunyai dua orang anak perempuan yang berbeza personaliti. Si kakak bernama Roma (Amrita Singh) seorang yang cantik, bercita-cita tinggi dan pendesak. Tak pernah mengalah dan tak juga suka berkongsi barang dengan adiknya, Reema (Juhi Chawla). Si adik lebih banyak mengalah dan bertoleransi namun kurang keyakinan diri. Dia sentiasa mengamalkan sikap sederhana dalam setiap perkara. Walaupun Reema selalu dibuli dengan Roma tapi tak pernah dia menganggap kakaknya jahat. 

Nenek mereka dah nasihatkan Mohini (Maya Alagh) supaya ajar Roma mengalah dan terima takdir sekiranya dia tak dapat apa yang diingini. Tapi kerana sayangkan anak, Mohini biarkan saja walaupun Rajnesh beri perhatian lebih pada Reema kerana kasihan dengan anak bongsu. 


Satu hari Reema gembira dapat bertemu dengan penulis kegemarannya, Ravi Saxena (Jackie Shroff) ketika mencari buku di kedai. Keseronokannya dikongsi dengan ayahnya tapi tanpa mereka berdua sedar Ravi jatuh cinta pandang pertama ketika bertemu dengan Roma di sebuah galeri lukisan. Ravi bertemu dengan keluarga Mathur untuk meminang Roma. Sedih dengan berita tersebut tapi Reema reda dengan takdir dan move on dari kejadian tersebut. 

Selepas bertunang, Roma mendapat tawaran menjadi model dan berlakon sebagai heroin filem lalu buat keputusan untuk lari dari majlis perkahwinannya. Ravi yang kecewa dengan tindakan Roma juga ingin menjaga nama baik keluarga Mathur, ambil keputusan untuk berkahwin dengan Reema di majlis tersebut. 


Pengarah Deepak Sareen mendapat ilham untuk naskhah Aaina (Cermin) dari novel Mills & Boon di mana dua-beradik yang berbeza personaliti jatuh cinta dengan lelaki yang sama. Isteri mendiang Yash Chopra, Pamela Chopra suka dengan idea tersebut dan mahu jadikan drama TV tapi Yash Chopra minta tukar kepada filem. 

Plot Aaina menggunakan mesej yang sangat kuat dan keluar dari jalan cerita romantik yang tipikal. Jarang kita jumpa filem tentang pergaduhan adik-beradik sampai bagi kesan kepada hubungan kekeluargaan. Pengarah tunjuk apa kesannya bila ibu bapa tak bertegas dengan anak sejak kecil. Bila besar, nak marah pun dah tak guna sebab personaliti dan perangai negatif tu dah sebati dengan diri. 


Memandangkan filem Aaina ni filem Hindustan lama, durasi dia agak panjang lah ditambah dengan 8 buah lagu dari komposer Dilip Sen dan Sameer Sen. Lagu dalam music album Aaina ni tak lah best sangat tapi okay lah untuk tambahkan mood penceritaan. Kalau buang beberapa lagu mungkin filem ni boleh kembangkan banyak plot yang lain sebab latar masa dalam Aaina macam berterabur sikit. Audio dengan visual Aaina selari lah dengan teknologi perfileman Bollywood pada ketika itu. Masa babak dramatik, beria betul audio kilat dekat luar rumah sampai suara pelakon hampir tenggelam. 


Tak pasti bila masa Ravi mula rapat dan selesa dengan Reema waktu bercinta dengan Roma. Rapat pun bukan sebab nak ambil kesempatan tapi keluarga Mathur dah amanahkan Ravi jaga Reema macam adik sendiri sebab tak lama lagi akan jadi menantu juga dalam keluarga tu. Watak Ravi memang matang lah, bukan macam Aris dalam filem Ipar Adalah Maut (2024)

Dekat second half movie pun bila Roma menumpang dekat rumah Ravi dengan Reema, walau macam mana teruk pun Roma buat perangai, Ravi tetap kuatkan iman dan jaga batas. Geram tengok Reema yang sayang dengan kakak dia sampai pejam mata bila Roma naik hantu kacau rumahtangga dia. Rajnesh dah buat keputusan tepat dengan buang Roma dari keluarga tapi tak peduli pun dengan Reema yang dah salah jalan. Mungkin dia tak nak campur sebab Ravi boleh berfikir tapi itu lah, Roma tu tak boleh. 


Seronok layan filem Aaina ni sebab skrip dia matang, ada cause and consequences, lakonan Amrita Singh sebagai Roma menjadi betul dalam filem ni. Dia manipulatif dan narsistik. Kalau ikutkan dia tak lah suka sangat pun dengan Ravi tapi sakit hati bila Reema dapat capai impian dia. Geram lah sebab dia dah dapat banyak tawaran berlakon tapi sebab dengki, sanggup tolak tawaran dan balik untuk kacau hidup Reema dengan Ravi. Kalau dia berlakon dan jadi top actress, dia mungkin boleh kahwin dengan produser kaya ataupun taikun bisnes. Bila hati dah busuk, kepala pun tak boleh nak berfikir secara waras. 


Lakonan Amrita dalam Aaina ni buat kita tak senang duduk setiap kali dia muncul. Jauh berbeza dengan anak dia, Sara dan Ibrahim. Bila tengok Aaina, boleh nampak lah kenapa lakonan Tiger Shroff macam kayu sebab ayah dia pun tak letak effort banyak bila berlakon. Juhi Chawla dengan Amrita Singh kena beria bila share screen dengan Jackie. Funny tapi kalau fees Jackie lagi tinggi dari dua actress ni kesian lah. Tapi kalau ikutkan watak Ravi ni sejenis yang tenang dan berkarisma, mungkin sebab tu Jackie tayang face card je banyak.


Selalunya Juhi akan berlakon watak bubbly, kelakar atau banyak cakap tapi dalam filem Aaina ni dia dapat watak cengeng sebab selalu kena buli. Dinamik dua-beradik ni pasif-agresif, tak sama dengan Champa dan Genda dalam filem Patakha (2019). Yang tu selagi boleh nak bergaduh. Watak Reema ni baik dan polos sampai gincu Roma melekat dekat pipi Ravi pun dia tak bagi penampar tapi anggap tak nampak. Roma dah kantoi menipu pun dapat tidur dengan selesa dalam rumah tu. 

Filem Aaina antara filem ikonik Yash Raj Films yang ditayangkan secara rasmi di Netflix bersempena ulangtahun ke-50. Recommended to watch! 

1. Team Production +1, 2. Visual +0.7, 3. Audio +0.6, 4. Storyline +0.8, 5. Casting +0.7, 6. Genre +0.8, 7. Themes +1, 8. Editing +0.6, 9. Social Message +1, 10. Personal Thought +0.8 = 8/10

Movie Review | Selepas Tahlil (2025)


Pengarah: Adriano Rudiman
Penulis Skrip: Husein M. Atmodjo, Jamaluddin Daris
Pelakon: Diandra Agatha, Aghniny Haque, Bastian Steel, Epy Kusnandar, Vonny Anggraini
Syarikat Produksi: BION Studios, Virtuelines Entertainment, Komet, Aktina Films, Karmaclub
Pengedar: Visinema, Netflix
Genre: Seram / Drama
Durasi Tayangan: 96 minit
Tarikh Tayangan: 10 Julai 2025
Trailer:


Hadi (Epy Kusnandar) berwasiat supaya anak-anaknya, Saras (Aghniny Haque) dan Yudhis (Bastian Steel) kebumikan dia mengikut tuntutan Islam. Jenazahnya nanti juga perlu dikebumikan di kampung, di Lambongan. Namun setelah Hadi meninggal, Saras beri kata putus jenazah ayahnya akan dikebumikan sebelah kubur mendiang ibunya, di kota Surabaya. 

Setiap bulan mereka sekeluarga akan pergi ke kubur ibu dan itu lah tradisi mereka sejak bertahun lamanya. Jika arwah ayah mereka ditanam di kampung, hilanglah tradisi tersebut kerana mereka akan ambil masa untuk pulang. 

Pak cik mereka, Setyo (Adjie N.A.) khuatir keputusan Saras akan mengundang kecelakaan kerana wasiat Hadi menyimpan rahsia keturunan mereka. Setelah selesai tahlil, Saras melihat ayahnya bangun dan berjalan. Saras fikir itu cuma mimpi tapi ternyata jenazah Hadi pulang ke kampung dan muncul di hadapan pintu rumah Setyo. Saras dan Yudhis dipanggil pulang ke kampung dengan segera. 

Saras menuduh Setyo mencuri jenazah ayahnya tapi sepupunya, Dyah (Diandra Agatha) tegaskan bahawa jenazah Hadi bergerak sendiri. Saras segera meminta orang kampung sediakan kubur untuk ayahnya dan kebumikan secepatnya supaya arwah Hadi akan tenang. Orang kampung mula syak kejadian yang sama berlaku ketika datuk Saras meninggal. Susah untuk dikebumikan kerana menuntut ilmu hitam. 

Ustaz Zuhri (Abdul Rachman Hidayat) meminta agar orang kampung tidak berburuk sangka dan segera persiapkan apa yang patut namun roh Hadi mula mengganggu keluarga dan penduduk kampung. 

Naskhah Selepas Tahlil arahan Adriano Rudiman diambil dari kisah benar yang diceritakan di podcast Lentera Malam episod Selepas Tahlil: Mayat Berdiri di Depan Pintu" dengan jumlah tontonan sebanyak 3 juta. Kisah keluarga Saras yang berketurunan Jawa mempunyai perjanjian dengan syaitan dengan syarat, satu hidup satu mati. Tak pasti kalau entiti yang diceritakan adalah saka atau jin yang diseru untuk hidup mewah. 

Tengok babak Yudhis cari tahu tentang keturunan dia di stor rumah Setyo, amalan itu diwarisi dari generasi ke generasi. Setyo kata Hadi terpaksa ambil sebab terdesak, cara dia cakap macam ada pilihan untuk tak ambil. Kelompongan dekat sini yang menjadi tanda tanya utama. Alasan Hadi terima perjanjian tu pun macam tak kuat sebab dia boleh hasilkan lagi daripada biarkan isteri dia meninggal. 

Walaupun filem Selepas Tahlil bergenre seram tapi hantu yang muncul tak lah menakutkan dan ada beberapa babak yang tipikal. Kalau sejenis yang penakut boleh lah bersedia bila sekian sekian watak diganggu. Sinematografi Selepas Tahlil dibikin sedikit kelam untuk menyesuaikan dengan mood dan suasana filem Selepas Tahlil. 

Mesej yang digunakan dalam Selepas Tahlil juga kuat di mana Saras dan Yudhis menyedari Hadi mungkin tidak akan tenang kerana telah melakukan perbuatan syirik. Tak hairan lah bila Hadi titipkan wasiat supaya kebumikan dia mengikut tuntutan Islam tapi nasi dah jadi bubur, hanya Tuhan yang mampu bantu roh arwah di alam barzakh dan akhirat. Seramnya mungkin dekat sini lah sebab mayat tak diterima bumi bila bersekutu dengan syaitan, walau dengan apa alasan sekalipun. Nak pula bila alasan Hadi terlalu lemah untuk terima. 

Lakonan Aghniny Haque cemerlang sebagai Saras yang terkejut dengan pemergian si ayah tapi lebih risau dengan gangguan yang dialami. Sebelum ni dah pernah tengok lakonan Aghniny dalam Mencuri Raden Saleh (2022) dan Tuhan, Izinkan Aku Berdosa (2023). Watak Saras tak sekompleks Kiran tapi connected dengan emosi yang ditonjolkan. 

Lakonan pelakon sampingan lain okayish, since I mengharapkan Bastian Steel akan menjadi co-star yang kuat seperti Aghniny tapi biasa je. Senang sangat tenggelam bila sharing screen dengan pelakon lain. Lagi suka tengok watak Ustaz Zuhrie yang mencuri tumpuan dalam ruang yang terhad. Apapun, Selepas Tahlil adalah sebuah naskhah yang bagus untuk ditonton. 

1. Team Production +0.7, 2. Visual +0.8, 3. Audio +1, 4. Storyline +0.6, 5. Casting +0.6, 6. Genre +1, 7. Themes +0.8, 8. Editing +0.7, 9. Social Message +1, 10. Personal Thought +0.8 = 8/10

INGIN RASA AURA 2000-AN? RANGGA & CINTA ADALAH JAWAPANNYA!

Saturday, 15 November 2025

Di saat banyak filem berlumba-lumba tampil moden dan serba digital, Rangga & Cinta memilih untuk menjadi kapsul masa yang menenangkan. Dengan sentuhan Riri Riza dan Miles Films, kisah ini menghidupkan kembali rasa 2000-an yang sudah lama ditinggalkan. Pelakon-pelakon muda diberikan ruang untuk mentafsir semula kehangatan cinta remaja yang pernah mewarnai zaman itu.

“Konsep filem ini ialah filem periodik. Ia menceritakan satu waktu yang sangat spesifik dan sikap mental watak-wataknya tetap sama,” kata Riri Riza, pengarah filem ini. Menurut beliau dan penerbit Mira Lesmana, keputusan mengekalkan estetika 2000-an cukup penting untuk membentuk keseluruhan identiti filem tanpa meninggalkan akar dan jiwa Ada Apa Dengan Cinta? (AADC). Dari tona warna hangat, pergerakan kamera yang sederhana, hingga rakaman yang lebih statik, semuanya dirangka untuk mengembalikan jiwa hubungan Rangga dan Cinta. 

Bagi Mira Lesmana, gaya era itu sebahagian daripada DNA; tanpa elemen-elemen itu, filem ini tidak lagi terasa seperti dunia AADC. “Jika visual diubah menjadi moden, dinamika emosi watak akan berbeza. Detik menunggu, menyimpan rindu, pandangan dari jauh dan menulis nota, semua itu akan hilang,” tambahnya. 

Nostalgia dalam filem ini bukan sekadar trik untuk memikat penonton lama. Ia menjadi alat penceritaan yang menghubungkan dua generasi. Penonton yang membesar dengan AADC dapat mengimbas kembali degup zaman remaja mereka manakala penonton muda pula berpeluang melihat cara cinta berkembang sebelum wujudnya teknologi canggih dan media sosial. 

Filem ini juga tidak menggunakan efek visual yang berat atau filter berlebihan. Ruang diberikan sepenuhnya kepada keserasian pelakon, dialog yang tulen dan ekspresi yang menyokong penceritaan. Hasilnya, setiap babak terasa lebih dekat, organik dan jujur.

Pilihan mengekalkan suasana 2000-an juga menjadikan konflik romantik lebih logik. Dalam dunia moden, hubungan Rangga & Cinta mungkin selesai dengan satu voice note atau mesej WhatsApp sahaja. Tetapi dalam dunia tanpa teknologi maju, rindu, salah faham, cemburu dan pertemuan tidak dijangka muncul dengan lebih semula jadi. 

Rangga & Cinta merupakan penghormatan kepada nostalgia peminat AADC sambil memastikan filem ini tetap segar untuk penonton baru. Gabungan visual klasik dengan wajah-wajah muda membentuk jambatan antara dua zaman dan menegaskan bahawa filem ini bukan AADC 2.0, tetapi versi baharu yang hidup dalam dunia yang sama.

Saksikan sendiri keindahan dan getar emosi era 2000-an ini di pawagam seluruh Malaysia sekarang. Jangan lepaskan peluang untuk menyelami kembali dunia Rangga & Cinta, serta merasai nostalgia zaman remaja yang tak lekang oleh masa. 

Bila dua jiwa bertemu, cinta menemukan nadanya..
Kerana setiap generasi punya Rangga & Cinta mereka sendiri.

Untuk perkembangan dan kandungan eksklusif filem ini, ikuti Primeworks Studios di Facebook, Instagram, X dan YouTube.

Warung Makan SD Guthrie

Friday, 14 November 2025

Suka hati je letak nama warung makan SD Guthrie padahal warung ni tak ada kena-mengena pun dengan company tu. Lokasi dia je dekat depan bangunan SD Guthrie Tower, Ara Damansara. Warung ni start dari awal tahun tak silap tapi baru dua tiga bulan ni je menyinggah tapau atau makan dekat situ. 




Sejak tak ada lunch provided dari company, kitorang selalu tapau dekat sini tapi kalau Jumaat boleh makan dekat sini sebab tak ramai orang. Kalau hari biasa penuh sekali dengan pakej asap rokok berkepul tak relaks. Hari biasa kena tapau awal sebab pukul 1 je lauk dah habis, yang ada cuma serdak ayam. Kalau tapau kitorang keluar pukul 12 tengahari sebab ayam baru goreng. 




Dekat warung ni tak banyak pilihan pun dan menu dia sama je setiap hari. Ada nasi kerabu, nasi campur dengan nasi ikan lele berlada. Selama ni makan memang ambil menu sama je sebab yang tu je sedap. Kari dekat sini is a big no for me sebab tak rasa kari pun. 

Ayam goreng crispy dia sedap, besar dan murah tapi sekarang macam dah terlebih goreng. Coating dah tak cantik macam awal dulu but still okay lah sebab murah. Kalau hari-hari makan sini pun tak ada lah rabak poket macam makan dekat dalam Oasis tu. 



Dekat warung ni ada tiga jenis sambal, yang I suka ambil sambal warna merah tu tapi sekarang dah tak pedas macam awal dulu. Sambal belacan dia pedas lah sebab biji cili pun bersepah. Sambal hijau paling tak pedas sekali. 

Tak pernah lagi cuba Nasi Kerabu dekat sini ataupun masak lemak tempoyak ikan patin tapi tak rasa nak cuba pun sebab menu dia tak lah sedap sangat. Beli dekat sini pun sebab harga rahmah :')

RANGGA DITEMUI SELEPAS TULAR! EL PUTRA SARIRA RUPANYA DIHUBUNGI LEPAS KONGSI PENTAS DENGAN LYODRA

Thursday, 13 November 2025

Lebih dua dekad selepas Ada Apa Dengan Cinta? memikat jutaan penonton, kisah cinta ikonik itu kini kembali hidup dalam versi generasi baharu melalui filem Rangga & Cinta. Dihasilkan oleh Miles Films dan diarahkan Riri Riza, filem ini bukan sekadar membangkitkan nostalgia, malah turut memperkenalkan wajah-wajah muda berbakat yang segar, menjadikannya salah satu filem Indonesia paling dinantikan tahun ini.

Filem ini menekankan pencarian bakat baharu dalam dunia perfileman. Produksi filem ini menjalankan sesi uji bakat besar-besaran di seluruh Indonesia, melibatkan kira-kira 700 remaja yang mencuba nasib sepanjang enam bulan, sebelum pelakon utama dipilih. Anak-anak muda diberi ruang untuk menonjolkan kemampuan masing-masing melalui proses pemilihan yang teliti dan latihan yang terancang. Sebagai sebuah filem muzikal, pelakon bukan sekadar dituntut berkemampuan berlakon, tetapi juga dapat menyanyi dengan baik, menjiwai watak dan bersedia menjalani latihan intensif bagi memastikan persembahan di layar hidup.

Mira Lesmana, salah seorang penerbit filem, mendedahkan pengalaman mereka mencari watak utama, “Kalau dulu, watak Rangga pelakon paling akhir kami temui. Mencari Nicholas Saputra ibarat setengah mati. Tapi untuk filem ini, El ditemui lebih awal, manakala cabaran sebenar adalah mencari watak Cinta.”

Riri Riza pula berkongsi momen mereka menyedari kewujudan El Putra Sarira, “Suatu ketika, seorang talent manager menunjukkan video El kepada kami. Video itu dirakam semasa konsert Lyodra di Makassar, ketika dia mengajak penonton naik ke pentas dan menyanyi bersama. Tiba-tiba seorang anak muda, El, muncul di atas pentas. Dari situ, kami mula menjejaki siapa dia sebenarnya.”

Nicholas Saputra, pelakon asal Rangga yang kini turut menjadi penerbit filem ini, dikhabarkan menjadi orang pertama yang melihat potensi El Putra Sarira. Beliau dikatakan berbisik kepada Mira dalam bahasa Indonesia, “Mbak, ini kayaknya dia. Terbangin, mbak,” seumpama mewariskan watak ikonik itu kepada generasi baharu.

El Putra Sarira sendiri berkongsi pengalaman viralnya, “Video itu menjadi tular sehingga capai 16 juta tontonan di TikTok. Dari situ, talent manager menghubungi saya. Pada mulanya saya tak percaya, sehinggalah saya semak nama mereka di LinkedIn,” katanya.

Sementara itu, watak Cinta ditemui paling lewat. Riri Riza mendedahkan bahawa beliau tidak mengetahui Leya Princy sebenarnya anak kepada pelakon terkenal Ferry Maryadi dan Risma Nilawati. Leya menyertai uji bakat tanpa mendedahkan latar belakangnya, memastikan pemilihannya benar-benar berdasarkan bakat dan usaha sendiri, bukan nama besar keluarga.

Dengan gabungan bakat muda, muzik yang menawan dan kisah menarik di sebalik layar, Rangga & Cinta bukan sahaja menyambung legasi filem terdahulu, malah menandakan lapisan baharu dalam dunia perfileman Indonesia. Filem ini memberi peluang kepada generasi pelakon muda untuk bersinar, sekali gus membuktikan bahawa bakat sebenar akan sentiasa ditemui.

Rangga & Cinta sedang hangat ditayangkan di pawagam! Jom saksikan Rangga, Cinta, Geng Cinta, Geng Borne dan ramai lagi beraksi sekarang!

Bila dua jiwa bertemu, cinta menemukan nadanya..
Kerana setiap generasi punya Rangga & Cinta mereka sendiri.

Untuk perkembangan dan kandungan eksklusif filem ini, ikuti Primeworks Studios di Facebook, Instagram, X dan YouTube.