ANDI BERNADEE KEMBALI SEBAGAI ‘DUDA HOT!’

Wednesday, 6 August 2025


ANDI BERNADEE KEMBALI SEBAGAI ‘DUDA HOT!’ | Kisah Cinta Tiga Segi dan Misi Selamatkan Hotel Dalam ‘Boleh Saya Bantu? 2’

Kembali atas permintaan ramai selepas kejayaan musim pertamanya, ‘Boleh Saya Bantu? 2’ arahan Shuhaimi Lua kini sedia menghiburkan penonton minggu ini dengan edisi terbaharu yang dijangka lebih mencuit hati, lebih dramatik dan lebih ‘kacau!’ Jika sebelum ini penonton disajikan dengan gelagat lucu pekerja hotel Tea Tree yang berdepan pelbagai karenah tetamu, kali ini perjalanan mereka diteruskan dengan penceritaan yang lebih mendalam dan penuh warna, diselitkan konflik peribadi yang bakal merubah segalanya.

Barisan pelakon hebat yang menjadi tunjang utama sejak awal, mengisi layar sekali lagi, termasuk Andi Bernadee, Riena Diana, Mark Adam, Wanie Ooi dan Nasz Sally, bersama kemunculan watak baharu seperti Aliff Hadi. Tidak ketinggalan, musim kali ini turut diserikan dengan penampilan istimewa artis-artis berpengaruh tanah air seperti Fadlan Hazim, Khatijah Tan, Joey Daud, Muaz Zabir, Josiah Hogan, Ropie, Fizo Omar dan ramai lagi.

Penonton akan dibawa menyelami kehidupan Nasar (Andi Bernadee) yang penuh liku selepas melalui penceraian mengejut dengan Jannah. Kini ditugaskan untuk menguruskan Love Wave Hotel, sebuah hotel milik Tuan Joe yang hampir bankrap, bersama Datuk Sudin (Mark Adam), hidupnya menjadi semakin rumit apabila terjerat dalam cinta tiga segi antara Farida (Riena Diana) dan Haiza (Wanie Ooi).

Nasar yang pada awalnya cuba merahsiakan situasi sebenar akhirnya akur apabila statusnya terbongkar, namun bertegas untuk menjauhkan diri daripada sebarang komitmen kerana masih dihantui trauma perkahwinan yang gagal. Keadaan menjadi semakin bercelaru apabila dia dipujuk untuk kembali bersama Jannah, sesuatu yang enggan diterimanya.

Di sebalik kekalutan emosi, misi menyelamatkan operasi Love Wave Hotel turut dilanda berbagai-bagai dugaan tersendiri. Rentetan insiden luar jangka mula berlaku,  daripada kehadiran tetamu mencurigakan, panggilan misteri, kemunculan bomoh moden, hinggalah penemuan satu wasiat yang bakal menentukan jodoh sebenar Farida.

Mampukah Nasar memberi sepenuh perhatian dalam menguruskan hotel saat emosinya sendiri masih terganggu? Dan apakah sebenarnya rahsia yang tersimpan di sebalik wasiat yang tiba-tiba muncul itu?


Andi Bernadee yang kembali menggalas watak utama sebagai Nasar mengakui ia bukan peranan mudah, apatah lagi membawakan karakter seorang duda yang sarat konflik dalaman. “Saya sendiri tak pernah berkahwin, jadi nak faham emosi seorang lelaki yang pernah gagal dalam hubungan memang mencabar,” katanya. Bagi Andi, watak Nasar turut membawa mesej bermakna dengan menampilkan sisi lelaki yang juga punya emosi, terutama apabila berdepan tekanan dalam kerjaya dan kehidupan peribadi.

"Saya juga ada berbual dan mendapatkan maklumat daripada kawan-kawan yang dah berkahwin dan pernah lalui masalah ini. Saya cuba selami kehidupan mereka. Ada yang 'struggle' dan ada yang dia reda, ayat yang paling saya ingat ialah, 'life must go on.’ Saya faham pastinya ada waktu sedih dan ada waktu gembira. Jadi saya ambil pendekatan berdasarkan skrip drama ini,” tambah Andi.


‘Boleh Saya Bantu? 2’ bukan sekadar menghidangkan kisah cinta dan komedi, sebaliknya turut menyentuh pelbagai realiti mencabar yang dihadapi pekerja hotel, suatu kehidupan yang jarang diberi tumpuan di kaca televisyen.

Menurut Riena Diana, pelakon watak Farida, “Ada babak yang sangat dekat dengan realiti, seperti isu penderaan fizikal, mental dalam hubungan, kosmetik berbahaya serta wanita berkerjaya yang sanggup menyara ‘biawak hidup’. Setiap babak dalam drama ini membawa tafsiran tersendiri, mencerminkan realiti masyarakat dari sudut pandang dunia pekerja di hotel.”


Jangan terlepas untuk saksikan ‘Boleh Saya Bantu? 2,’ bermula 8 Ogos 2025, setiap Jumaat dan Sabtu, jam 9 malam di slot Lestary TV3. Strim episod baharu 24 jam lebih awal di www.tonton.com.my, atau muat turun aplikasi Tonton melalui Google Play dan App Store.

Untuk mendapatkan info terkini tentang drama kegemaran anda, layari laman sosial Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia, Instagram rasmi Drama Sangat iaitu @dramasangat.

Cannes 2025 Fashion Files | Alia Bhatt


Selepas dua tahun berturut-turut hadir ke karpet merah Met Gala sebagai wakil Bollywood, kali ni Alia meluaskan langkah ke karpet merah Cannes pula sebagai duta Lóreal. Kalau tak silap Alia Bhatt menggantikan Deepika Padukone sebagai duta kedua jenama antarabangsa ni selepas Katrina Kaif. 

Ramai yang tertanya-tanya sama ada Alia akan hadir ke Met Gala dan Cannes pada tahun ni rupanya tak sebab Alia cuma pilih salah satu acara sahaja. Tak betah untuk tinggalkan Raha lama-lama ditambah dengan jadual penggambaran yang padat untuk filem Alpha dan filem Love and War. 

Jom tengok penampilan Alia sebelum, semasa dan selepas Cannes 2025. 

1. Airport Look


Alia menjawab khabar angin dia tak pergi ke Cannes dengan muncul di Lapangan Terbang Antarabangsa Mumbai pada waktu malam dengan peragakan koleksi Gucci. Tampil bergaya dan selesa, Alia memilih blazer berwarna beige, seluar jeans longgar dipadankan bersama tank top Gucci berwarna putih di bahagian dalam. 

Rambut dibiarkan lepas bebas, makeup yang minimal, sneakers berwarna putih dan shade retro dari Gucci. 

2. Debut Appearance

Penampilan pertama Alia Bhatt di karpet merah untuk tayangan perdana filem The Mastermind di Cannes 2025. Menggunakan khidmat Rhea Kapoor yang terkenal dengan citarasa tinggi dan vintaj, Alia muncul dalam persalinan mermaid gown dari Schiaparelli berwarna putih gading. 

Gaun dari koleksi 'Ícarus' ini mempunyai details yang sarat dari atas hingga ke bawah. Di bahagian belakang juga mempunyai susunan butang yang selari hingga ke pinggang. Di bahagian kaki mempunyai ropol yang diselangi dengan lapisan organza. 

Pakaian yang mempunyai corak bunga timbul dipadankan dengan sepasang anting-anting dari Birdhichand Ghanshyamdas. Rambut disikat rapi untuk bun dan sedikit baby hair di bahagian dahi. I suka dengan main outfit tapi kurang berkenan dengan aksesori. 

Sebagai duta Lóreal, for me she's playing safe. I prefer Met Gala debut rather than Cannes because Alia looks dull here. Plus I bosan tengok bun hairstyle walaupun bun adalah style gen z but nahhh not feeling it. 

3. Bejeweled Navy


Alia tampil ke majlis makan malam anjuran L'oreal sebagai duta terbaru dalam persalinan Armani Prive berwarna hitam. Strapp maxi dress bertatahkan manik biru laut gelap bersaiz besar di bahagian hujung pakaian merupakan koleksi jenama tersebut untuk Spring/Summer 2025. Mencuri perhatian adalah material kain diselaputi dengan ribuan manik di seluruh bahagian. 

Rhea Kapoor mengenakan bronze makeup dengan nude lips, tak lari jauh dengan penampilan pertama. Hairstyle lebih kurang sama tanpa baby hair namun mengekalkan konsep bun. Bahagian kepala dipasang hair net bersama aksesori yang sama dengan hiasan pada pakaian utama. Penampilan elegan Alia dipadankan bersama sepasang anting-amting dengan batu biru gelap dan sebentuk cincin bermotifkan batu yang sama. 

I love this look but minus the makeup since she looks tired. I tak faham kenapa dia tak pakai lipstick sedangkan dia duta L'oreal. Kalau bahagian dada tu nak biarkan kosong baik Alia buat hairstyle rambut lepas atau big curl. 

4. Gucci Saree


Kan cantik bila tak buat bun hairstyle! Walaupun penampilan terakhir Alia Bhatt di karpet merah Cannes tapi meninggalkan impak yang kuat. Bukan saja kerana outfit ala sari yang dibuat khas untuk penampilan Alia tapi makeup light bronze atau tan dilengkapkan dengan smokey eyes dan bibir berwarna merah jambu. Alia nampak berseri dan muda dengan rambut ikal dibiarkan lepas bebas. 


Uniknya pakaian Alia sebagai homage kepada pakaian tradisional India yang sarat dengan batu kristal Swarovski. Pakaian utama sebenarnya menggabungkan bralette, skirt labuh dan selendang yang diletakkan di sebelah kiri bahu. Kalau ikutkan pakaian tradisional, main outfit dari Gucci ni lebih kepada lehenga sebab kalau sari, drape di bahu tu bercantum dengan skirt. I pun tak faham kenapa Alia dan Gucci announce inspired by sari sedangkan lebih kepada lehenga. 


Tak jemu tengok penampilan Alia salam persalinan coklat tanah Gucci ni sebab kena sangat dengan skin tone Alia, buatkan dia nampak feminin dan menawan dalam lautan manusia yang lain di situ. Rantai leher dari koleksi perhiasan Gucci menjadi pilihan Rhea Kapoor dipadankan bersama set anting-anting platinum. 


5. Eternal Sunshine


Sebelum meninggalkan Cannes, Alia Bhatt tampil dalam persalinan serba kuning melahirkan konsep retro dan vintaj. Rekaan khas dari Gucci menggabungkan korset, skirt separa lutut dan jaket mini berwarna kuning matahari, sesuai dengan cuaca musim panas. Alia mengenakan sepasang pump heels berwarna putih yang sepadan dengan tas tangan mini koleksi Bamboo 1947. 

Menguatkan konsep retro, Alia guna sehelai skarf satin berwarna putih dan kuning yang bermotifkan corak bunga dengan border tebal di hujung. Shade berwarna hitam, anting-anting berbatu kuning dari Chopard dan lipstick berwarna merah pekat menguatkan gaya elegan dan drama pada penampilan Alia. 


Overall Alia ada hit and miss di Cannes dengan dua penampilan awal dan dua penampilan akhir. Kalau Alia Bhatt attend Cannes lagi pada tahun hadapan, hopefully dia perform macam dua penampilan hujung. Alia patut hadir sebagai duta Gucci dan bukan L'oreal memandangkan dia lebih bergaya dan bersemangat dalam persalinan Gucci tapi ignore bahagian makeup. 

Sofia Iman, jenama yang sinonim dengan keanggunan abadi dan warisan budaya, membuat penampilan sulung yang mengagumkan di Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2025 menerusi pertunjukan pembukaan rasmi hasil kolaborasi bersejarah bersama Suria KLCC pada Isnin, 4 Ogos. Bertemakan ‘Heritage Reimagined, Style Redefined’, pertunjukan ini memukau lebih 500 tetamu dengan koleksi yang meraikan kekayaan seni kraf Malaysia melalui perspektif moden.

Acara pembukaan ini diserikan dengan kehadiran tokoh-tokoh ternama termasuk Pengasas Kuala Lumpur Fashion Week, Encik Andrew Tan, dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KLCC (Holdings) Sdn Bhd, Datuk Sr Mohd. Salem Kailany. Ramai tetamu turut tampil anggun mengenakan busana berunsurkan songket dan batik, sejajar dengan tema acara yang menghargai warisan tekstil negara.








Menampilkan interpretasi unik dan menyentuh hati, visi Sofia Iman dizahirkan oleh lapan pereka tempatan terkemuka: ABU, Ashley @ Kapas, Atelier Prive Melson, FUZA by Fuzana Mokhtaza, Jimmy Lim, Jimmy Wong, TANGOO, dan Uzair Shoid. Koleksi ini merupakan penghormatan kepada para penenun songket mahir dari Terengganu, yang menghasilkan karya-karya eksklusif jenama tersebut. Dengan menggabungkan teknik tradisional dan potongan moden, pertunjukan ini bertujuan mengangkat songket sebagai pernyataan fesyen bertaraf global, melangkaui batas tradisi.


Francis Tan, Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Suria KLCC Sdn Bhd, memuji kolaborasi bermakna ini, “Kerjasama kami bersama Sofia Iman untuk KLFW 2025 mencerminkan komitmen kami dalam menyokong bakat tempatan dan mengetengahkan kekayaan budaya Malaysia. Melihat sebuah jenama yang memulakan perjalanan mereka bersama kami di sebuah ruang promosi kecil pada tahun 2008 kini berdiri gah sebagai pereka pembuka KLFW adalah satu detik yang sangat membanggakan. Ini adalah kisah kejayaan, kepercayaan dan cita-cita bersama.”

Beliau turut menekankan peranan Suria KLCC sebagai destinasi beli-belah berpengalaman ikonik Malaysia, “Menerusi ‘Suria KLCC presents Sofia Iman’, kami bukan sahaja meraikan fesyen, tetapi juga mengangkat warisan dan kreativiti Malaysia ke pentas dunia menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026. Kolaborasi ini mengukuhkan misi kami untuk menjadi platform kepada pereka tempatan untuk menyerlah dan memperlihatkan keindahan serta inovasi dalam tradisi kita. Kami juga komited menyediakan ruang untuk kreativiti dan legasi mereka terus berkembang. Kami turut teruja menyambut pasangan pereka tersohor Rizman Ruzaini ke dalam keluarga Suria KLCC, dengan pembukaan butik mereka pada suku ketiga tahun 2025.”

Bagi jenama Sofia Iman, pemilihan sebagai pereka pembuka untuk pertunjukan pertama di KLFW merupakan satu penghormatan besar dan pengiktirafan terhadap misi mereka. “Pertunjukan ini adalah kemuncak kepada bertahun-tahun dedikasi, kreativiti dan kesetiaan kepada akar budaya kami,” kata Puan Faralina Binti Abdul Wahab, Pengasas Sofia Iman. “Kehadiran kami di Suria KLCC membuktikan bahawa pelanggan kini menghargai interpretasi moden songket yang boleh digayakan dalam kehidupan seharian. Koleksi ini adalah respons langsung terhadap permintaan tersebut, dan membuka tirai KLFW 2025 adalah peluang luar biasa untuk kami berkongsi kisah kami, menghormati para artisan, serta mengetengahkan hasil kraf Malaysia kepada khalayak yang lebih luas.”

Pertunjukan ini telah menetapkan nada inspirasi untuk minggu fesyen yang bakal menampilkan lebih 55 pereka dan jenama terkemuka tanah air, meraikan identiti dan inovasi Malaysia di pentas fesyen paling berprestij negara.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan www.suriaklcc.com.my  dan  www.facebook.com/SuriaKLCCMall

ASTRO TAMPIL DENGAN FORMAT BAHARU DAN PENYERTAAN LEBIH INKLUSIF MENERUSI ‘KILAUAN EMAS 2025’ | Program realiti nyanyian untuk bakat berpengalaman kini buka penyertaan seawal 43 tahun.

Astro, selaku peneraju kandungan dan hiburan di Malaysia, terus memperkukuh komitmennya dalam mencungkil serta mengangkat bakat tempatan menerusi penganjuran musim terbaharu program realiti nyanyian ikonik, Kilauan Emas 2025. Menampilkan pendekatan yang lebih segar dan inklusif, program ini akan mula bersiaran pada 16 Ogos 2025, setiap Sabtu, jam 9 malam di Astro Prima (Saluran 105).

Susulan kejayaan penganjuran semula pada tahun 2024, musim kali ini memperkenalkan beberapa pembaharuan strategik termasuk penurunan had umur penyertaan kepada 43 tahun bagi memberi lebih banyak ruang kepada bakat baharu dalam kalangan generasi otai. Program ini juga menampilkan format yang ditambah baik merangkumi penglibatan juri awam daripada wartawan dan pelanggan setia Astro, serta pendekatan penceritaan yang lebih beremosi, sekali gus menjadikan Kilauan Emas platform utama untuk golongan otai menyerlahkan potensi sebenar mereka.

Sesi uji bakat yang telah berlangsung pada bulan Mei dan Jun lalu di Miri, Johor dan Shah Alam menyaksikan penyertaan memberangsangkan daripada lebih 500 individu pelbagai latar belakang. Selain kemampuan vokal, para peserta turut menyerlahkan bakat dalam persembahan pentas lain seperti lakonan dan tarian, menggambarkan kepelbagaian serta keunikan yang diketengahkan. 

Menurut Idlan Zahari, Pengurus Saluran Astro Prima, “Musim ini menyaksikan penambahbaikan ketara dari segi kriteria penyertaan dan format produksi, dan kami amat berbesar hati dengan sambutan yang diterima. Kilauan Emas bukan sekadar sebuah program hiburan, malah merupakan medium untuk menyatukan rakyat Malaysia melalui muzik, budaya dan aspirasi yang dikongsi bersama.”

Tambah Idlan, “Kami juga teruja apabila melihat penyertaan daripada individu yang mempunyai latar belakang seni keluarga. Ia membuktikan bahawa minat dan semangat dalam seni tidak pernah luntur, malah diwarisi dari satu generasi ke generasi yang lain. Setiap peserta membawa kisah tersendiri dan Kilauan Emas kekal sebagai pentas untuk membina keyakinan serta memperkasa golongan otai dalam mengejar impian mereka.”

Musim ini menyaksikan 12 peserta solo berumur antara 43 hingga 65 tahun termasuk Zanie, Shah, Nurul, Kinar, Mazleen, Majid, Leeza, Ben, Ezan, Zekrai, Nawary dan Vijay, yang masing-masing membawa keunikan dan kekuatan tersendiri dalam merebut tempat sebagai juara.


Program ini akan dikendalikan oleh personaliti popular Elly Mazlein selaku hos utama, bersama Joey Daud selaku pengacara belakang pentas dan hos Diari Kilauan Emas. Barisan juri pula mengekalkan primadona Malaysia, Erra Fazira sebagai juri tetap, digandingkan bersama pelawak Roy Azman dan juri terbaharu bersuara emas, Ning Baizura. Musim kali ini turut memperkenalkan Zarul Husin sebagai hos Spotlight yang akan membawakan info-info menarik dan “berbisa” selepas konsert berlangsung, bersiaran pada jam 11.30 malam di Astro Prima, serta Keanu Azman dan Sarah Karmila sebagai hos Live+.

Kilauan Emas 2025 turut boleh distrim secara fleksibel menerusi On Demand di Astro Ultra/Ulti Box, Astro GO dan aplikasi sooka.

PENJURIAN & TRIVIA ‘KILAUAN EMAS 2025’ 

  • Seperti musim sebelumnya, persembahan setiap peserta menerusi Kilauan Emas 2025 akan diadili secara 70% daripada pemarkahan oleh barisan panel juri professional, 20% daripada juri awam yang merangkumi markah para penonton undangan dan juga 10% daripada undian para penonton di rumah.
  • Juara musim kali ini akan membawa pulang wang tunai bernilai RM30,000 beserta trofi sumbangan Astro. 
  • Para penonton dan peminat boleh mengundi peserta kegemaran mereka bagi menentukan pemenang mingguan pada setiap minggu secara dalam talian menerusi laman web Astro Gempak.
  • Penerbitan Kilauan Emas 2025 turut disinarkan dengan kolaborasi bersama Astro Gempak sebagai rakan digital, serta SINAR dan GEGAR sebagai rakan radio rasmi. Program ini boleh distrim secara On Demand di Astro GO dan sooka.

INFO SIARAN ‘KILAUAN EMAS 2025’ 

KONSERT KILAUAN EMAS 2025 | Mulai 16 Ogos 2025, setiap Sabtu, jam 9 malam

Berlangsung selama 8 minggu, konsert utama program ‘Kilauan Emas 2025’ akan bersiaran di Astro Prima (saluran 105) dan secara langsung dari Royal Theatre Shah Alam. Program ini turut boleh distrim secara On Demand di aplikasi Astro GO dan sooka.  

DIARI KILAUAN EMAS 2025 | Mulai 11 Ogos 2025, setiap Isnin - Jumaat, jam 11.30 malam

Kompilasi sorotan persediaan para peserta menjelang konsert mingguan serta klip-klip sedutan belakang tabir termasuk latihan vokal, susunan lagu dan koreografi tarian bersama mentor-mentor yang terlibat. 

KAPSUL PROFIL PESERTA KILAUAN EMAS 2025 | Mulai 5 Ogos 2025, setiap Selasa - Jumaat, jam 3 petang

Sorotan sesi pengenalan 12 peserta utama Kilauan Emas 2025. Dalam kapsul ini, Ezan, Zekrai, Nurul, Nawary, Shah dan Kinar tampil dengan kisah hidup dan latar belakang menarik yang bakal mencuri perhatian penonton.

Malam kemuncak Anugerah Melodi Terhangat 2025 (AMT2025) yang berlangsung dengan penuh gemerlapan di TV3 telah menyaksikan detik bermakna buat pelakon muda penuh potensi, Zarif Ghazzi, apabila beliau diumumkan sebagai penerima kategori Selebriti Newcomer Terhangat, sekali gus menobatkan dirinya sebagai wajah baharu paling menonjol dan berpengaruh tahun ini!

Muncul dengan persona tenang, bakat besar dan aura yang memikat, Zarif berjaya mengungguli kategori yang menyaksikan persaingan sengit daripada barisan calon hebat. Lebih manis, kemenangan ini diperoleh hasil daripada sokongan padu peminat menerusi undian 100% rakyat Malaysia, menjadikannya lambang sebenar kuasa suara rakyat dalam menentukan siapa yang benar-benar ‘Terhangat.’

Kemenangan ini membidas sebarang keraguan tentang bakatnya sebagai pendatang baharu yang mendapat tempat di hati rakyat Malaysia.  Dalam ucapan kemenangannya yang penuh emosi, Zarif Ghazzi meluahkan rasa terharunya kepada TV3 yang memberinya peluang dan platform untuk memperkenalkan bakatnya kepada khalayak. Ini adalah bukti bahawa bakatnya, yang diperkenalkan melalui medium TV3, telah berjaya menambat hati peminat.

"Saya masih terkejut, jujur…ini rezeki kan. Ini adalah anugerah pertama. Dan perjalanan saya dalam industri masih panjang dan masih banyak lagi watak-watak yang perlu saya perbaiki dan hidangkan untuk peminat.  Saya sangat bersyukur. Terima kasih kepada TV3 kerana membuka ruang dan memberi platform untuk saya dikenali, dan paling penting, kepada peminat yang undi tanpa henti dan percaya dengan saya sejak awal. Kemenangan ini adalah milik anda semua. Ini baru permulaan, saya janji akan terus berusaha dan berikan yang terbaik,” ujar Zarif ketika ditemui usai menerima trofi.

Kemenangan Zarif di kategori ini dianggap simbolik, selaras dengan tema AMT2025: “Sehebat Prestasi, Sehangat Sensasi, Bakat Tersendiri,” yang mengangkat mereka yang membina nama bukan sekadar kerana viraliti, tetapi kerana usaha dan bakat tulen.

Popular menerusi beberapa drama terbitan TV3, Zarif dilihat sebagai bintang masa depan yang bukan sahaja memiliki pakej lengkap, malah mampu membawa nafas baharu kepada industri hiburan Malaysia.

Kemenangan ini turut diraikan dengan sorakan peminat yang membanjiri ruangan media sosial sebaik namanya diumumkan. Tanpa ragu, Zarif Ghazzi kini rasmi sebagai antara nama yang wajib diberi perhatian “newcomer” paling hangat dan paling bersinar di pentas hiburan tanah air.

AMT2025 sekali lagi membuktikan bahawa anugerah ini adalah platform untuk mengangkat bakat-bakat baharu yang bersinar. Kemenangan Zarif Ghazzi adalah permulaan kepada perjalanan yang lebih gemilang, dan kita pastinya akan terus melihat lebih banyak kejayaan daripadanya di masa hadapan.

#ANUGERAHMELODITERHANGAT #AMT2025 

Membawa tema Trending Lit!, minggu kedua The Chosen One XTRA sekali lagi menyaksikan tiada penyingkiran dalam kalangan pesertanya. Mempersembahkan lagu bertajuk Sejati oleh penyanyi asal Wings, peserta duo Rayyan dan Dahlya bersama mentor mereka, Achey, berjaya mengambil takhta kedudukan pertama daripada Elysha, Fana dan Tuju & Loca B yang jatuh ke kedudukan kedua. 



Manakala kedudukan terbawah menjadi milik peserta duo Ayu dan Bella bersama mentor mereka, Namie. Minggu ini turut menjemput Datin Marlia Musa sebagai juri jemputan disamping para juri tetap, Dato’ Awie dan Sharifah Shahirah.

SENARAI LAGU

 Tuju, Loca B, Fana, Ayu - Janji Manis (Masdo)

Bunga, Nayla & Zahra - Korban Penceraian (Najwa Hasana) + Laskar Pelangi (Nidji)

Naqiu, Iaman & Kumpulan Saputra - Umpan Jinak Di Air Tenang (Ahmad Jais)

Acey, Rayyan & Dahlia - Sejati (Wings)

Namie, Ayu & Bella - Retak Hatiku (Iera Milpan) + Kasih Kekasih (In Team)

Usop, Alif & Yusuf - Hijab Rindu (Black)

Niki Palikat, Adawiyah & Iman - Kau Dihatiku (Datuk Zainal Abidin)

INFO PROGRAM THE CHOSEN ONE XTRA

• The Chosen One XTRA bukan sekadar memfokuskan bakat nyanyian sahaja, malah juga akan menonjolkan bakat-bakat lain seperti tarian, akrobatik, kebolehan bermain instrumen muzik dan sebagainya.

• Musim ini kembali dengan membawakan barisan artis baharu sebagai ‘coach’ selebriti kepada para bintang cilik seperti Namie, Nikki Palikat, Achey, Tuju & Loca B, Bunga, Usop dan juga Naqiu.

• Persembahan setiap peserta bersama dengan pasangan selebriti mereka akan diadili 100% daripada pemarkahan pihak juri sejurus selepas persembahan mereka tamat.


• Juara ‘The Chosen One XTRA’ akan membawa pulang wang tunai bernilai RM 40,000 beserta trofi sumbangan Astro. Tempat kedua, ketiga dan keempat akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM 30,000, RM 20,000 dan RM 10,000 beserta dengan trofi sumbangan Astro.

• Pentas akhir program ini akan turut menobatkan anugerah Coach Terbaik dengan wang tunai bernilai RM 10,000, serta anugerah Persembahan Terbaik dengan wang tunai bernilai RM 10,000 yang akan ditentukan melalui undian para penonton melalui laman web www.thechosenone.com.my .

Saksikan episod baharu The Chosen One XTRA setiap Jumaat, jam 9 malam di Astro Ceria (saluran 611), serta secara On Demand di Astro GO dan sooka. Siapakah yang bakal menjadi The Chosen One musim ini?

DAIYAN TRISHA MENANG BESAR DI AMT2025, TERMASUK ANUGERAH UTAMA!

Monday, 4 August 2025

Daiyan Trisha terus mengukir namanya sebagai ikon fesyen tanah air apabila mencipta sejarah tersendiri di pentas Anugerah Melodi Terhangat 2025 (AMT2025) dengan menggondol dua anugerah, iaitu Anugerah Selebriti Stailo Terhangat dan anugerah utama, Anugerah Melodi Terhangat. Kemenangan berganda ini bukan sahaja mengukuhkan pengaruhnya dalam dunia seni, tetapi juga mengesahkan kedudukannya sebagai figura fesyen yang benar-benar menginspirasikan ramai.

Sebagai seorang selebriti yang sentiasa menjadi rujukan dalam bergaya, tidak hairanlah Daiyan menjadi pilihan utama tahun ini. Gaya peribadinya yang elegan dan penuh karakter menjadikannya menonjol di mana-mana sahaja beliau berada, sama ada di karpet merah, set penggambaran mahupun di media sosial. Aura yang dibawa Daiyan bukan hanya terlihat pada pakaiannya, tetapi terpancar melalui caranya mengangkat fesyen sebagai ekspresi diri yang tulus dan bermakna.

Buat Daiyan, bergaya tidak semestinya bermewah. “Tak perlu pun belanja mahal. Saya sendiri mula tanpa barangan berjenama, tapi saya belajar untuk kreatif dan kenal gaya sendiri,” kongsinya. Penampilan yang ringkas tetapi tetap menyerlah lahir daripada keyakinan, keselesaan dan usaha berterusan untuk mengenali diri, bukan jenama.


Minatnya terhadap fesyen juga bukanlah sesuatu yang dipaksa, sebaliknya datang secara semula jadi. Walaupun sering terikat dengan jadual yang padat, kecenderungan Daiyan terhadap fesyen mendorongnya untuk meluangkan masa dalam proses persiapan. “Saya minat untuk bersiap walaupun letih dan kadang-kadang tak sempat berehat,” katanya jujur. “Tapi sebab saya memang suka proses tu, daripada pilih baju, padankan aksesori sampai ke solekan, semua tu bagi saya adalah satu bentuk ekspresi diri.” 

Lebih daripada sekadar ikon fesyen, perjalanan seninya sebagai penyanyi dan pelakon selama lebih sedekad membuktikan bahawa dunia seni sudah sebati dalam jiwanya. Setiap watak yang dibawa dan lagu yang dinyanyikan hadir dengan sentuhan peribadi yang halus dan tulus. Dari studio rakaman ke set penggambaran, cintanya terhadap seni tidak pernah luntur, malah terus berkembang selari dengan kematangannya sebagai seorang anak seni.

Di pentas yang meraikan Sehebat Prestasi, Sehangat Sensasi dan Bakat Tersendiri, Daiyan Trisha benar-benar menyerlah, bukan sahaja kerana gayanya yang ikonik, tetapi juga kerana keaslian, kerja keras dan sentuhan seninya yang tersendiri.

#ANUGERAHMELODITERHANGAT #AMT2025 

FENOMENA BASS MENGGEGAR DI AMT2025! | BELLA ASTILLAH & YB SYED SADDIQ ‘STEAL THE SHOW’

Malam semalam menyaksikan satu detik penuh simbolik apabila pasangan paling mencuri tumpuan tahun ini, Bella Astillah dan YB Syed Saddiq, dinobatkan sebagai pemenang Selebriti Couple Goals Terhangat di Anugerah Melodi Terhangat 2025 (AMT2025).

Lebih mengujakan, ini bukan sahaja kemenangan pertama mereka bersama, tetapi juga penampilan rasmi pertama mereka berdua di kaca televisyen. Dari saat melangkah masuk seiring di karpet merah hinggalah muncul di pentas sebagai penyampai anugerah, aura BASS jelas terasa di segenap ruang acara.

Gelagat YB yang muncul bersama buku nota di acara hiburan juga cukup mencuit hati, apatah lagi apabila ditemani oleh ibu bapanya serta mama Bella yang melengkapkan barisan penyokong mereka malam itu.

Belum sempat penonton ‘move on’ daripada kemunculan mereka di atas pentas sebagai penyampai anugerah, nama Bella dan Syed Saddiq diumumkan pula sebagai pemenang untuk anugerah Selebriti Couple Goals Terhangat. Kemenangan mereka disambut dengan sorakan gemuruh dan tepukan paling hangat malam itu, seolah-olah detik itu sudah lama dinantikan.

“Ribuan terima kasih kepada Melodi dan pihak stesen TV3. Saya tahu mesti ramai yang rasa mungkin ada yang lebih layak menang, tapi saya anggap ini rezeki dan saya sangat bersyukur. Terima kasih kepada semua yang undi, tanpa anda, kami takkan berada di atas pentas ini. Saya harap anda ambil yang baik-baik sahaja,” kata Bella sambil tersenyum ke arah Syed Saddiq, yang hanya mampu ketawa kecil sebelum berkata, “Saya ni cuma pelakon sampingan je di tepi Bella. Tapi seriously, she’s an exceptional lady. A superwoman and iron lady, dan saya bangga dapat sepentas dengan beliau.”

Fenomena BASS sebagai pasangan yang paling banyak diperkatakan ketika ini lahir daripada sambutan tulus peminat terhadap keserasian mereka, daripada projek kolaborasi dalam video ringkas di media sosial hinggalah ke pentas gah malam semalam. Perincian kecil seperti gurauan spontan YB dan lirikan manja Bella turut menjadi ‘highlight’ yang dibualkan netizen.

Dengan kemenangan ini, BASS membuktikan bahawa mereka bukan sekadar ‘buzz.’ Media sosial turut dibanjiri reaksi peminat, antaranya:

“Not me screaming BASS menang!” – @starlikeys

“Xthu knp video ni auto looping byk kli 😍” – @basyirah_aqilah

“❤️❤️❤️ Meletop yang ni. Approved seluruh rakyat Malaysia.” – @Eiya Ya


#ANUGERAHMELODITERHANGAT #AMT2025