Susu Baik Untuk Tulang Adalah Mitos? Kena Tahu Risiko Minum Terlebih Susu Ini!

Susu merupakan sejenis minuman yang baik untuk kesihatan. Walau bagaimanapun, semua itu merupakan sesuatu yang selalu kita dengar menerusi iklan yang ditayangkan di kaca televisyen. Hakikatnya, sejauh manakah kebenaran tentang faedah minum susu? Adakah ia boleh mengelakkan penyakit osteoporosis atau tulang rapuh?

Klik gambar untuk dapatkan lebih banyak artikel kesihatan

Semua orang tahu, susu mengandungi kalsium yang dapat mengekalkan kekuatan tulang. Oleh sebab itu, secara logiknya, minum susu sudah pastilah dapat mengelakkan penyakit osteoporosis. Namun, menurut sebuah kajian pada tahun 2014 oleh Michaëlsson, et al., minum terlalu banyak susu sebenarnya boleh membawa mudarat kepada kesihatan!

Berapa banyak susu yang boleh saya minum?

Menurut kajian tersebut, minum susu lebih daripada 3 gelas sehari bukan sahaja dapat meningkatkan risiko kematian, ia juga membuatkan tulang anda lebih mudah untuk mengalami keretakan. Malah, wanita yang dilaporkan minum lebih daripada 3 gelas susu sehari juga mempunyai risiko kematian sebanyak 2 kali ganda berbanding wanita yang hanya minum segelas susu.

Walau bagaimanapun, kaum Adam tidak terkesan dengan perkara ini seperti kaum Hawa. Namun, lelaki yang gemar minum susu yang banyak juga menunjukkan peningkatan dalam kes kematian. Tapi, bukankah minum susu baik untuk kesihatan tulang?

Perkara ini mungkin tidak benar jika anda mengambil terlalu banyak susu. Malah, faedahnya juga akan hilang dan ia tidak mampu lagi untuk melindungi pengamalnya daripada menghidap tulang rapuh ataupun keretakan tulang.

Susu merupakan sumber utama sejenis gula yang dikenali dengan nama D-galactose. Menurut beberapa eksperimen yang dijalankan terhadap haiwan, pendedahan terhadap terlalu banyak D-galactose adalah berbahaya kepada kesihatan.

Malah, dos D-galactose yang rendah juga menunjukkan kesan yang seakan-akan penuaan di dalam kalangan haiwan, termasuklah jangka hayat yang lebih pendek, inflamasi kronik dan juga degenerasi neuron.

Bersederhana ketika minum susu

Menurut sebuah kajian yang diterbitkan di dalam British Medical Journal, keretakan tulang pinggul paling banyak berlaku di negara yang mempunyai pengambilan kalsium yang tertinggi. Malah, wanita yang minum 3 gelas susu ke atas setiap hari mempunyai penambahan risiko sebanyak 60% untuk menghidap keretakan tulang pada masa hadapan. Oleh sebab itu, mengapa kita diberitahu sejak kecil untuk minum susu sebagai sesuatu yang sihat?

Sebenarnya, jika diambil secara sederhana, susu dapat melindungi kita daripada penyakit kronik. Malah, pengambilan secawan susu sehari sudah cukup untuk memenuhi rekomendasi nutrisi harian. Menurut Cleaveland Clinic, jika anda inginkan tulang yang sihat, elakkan minum susu lebih daripada 1 gelas sehari.

Jika anda seorang penggemar susu, sudah tentulah anda akan rasa risau tentang penemuan ini. Walau bagaimanapun, kajian yang dilakukan oleh Michaëlsson, et al. masih mempunyai beberapa kelemahannya yang tersendiri.

Disebabkan kajian ini memerlukan pesertanya untuk melakukan anggaran jumlah susu yang diminum dalam masa setahun, dapatannya mungkin tidaklah setepat yang disangka. Malah, bukti yang sedia ada juga belum cukup untuk melakukan sebarang kesimpulan.

Kepentingan vitamin D dalam diet seharian

Untuk mendapatkan tulang yang sihat, anda perlulah mengambil diet yang kaya dengan vitamin D dan kalsium bilamana kalsium sudah lama dikaitkan dengan kesihatan tulang. Namun, mungkin ramai yang tidak tahu mengenai kebaikan vitamin D yang dapat menggalakkan penyerapan kalsium.

Vitamin D – yang turut dikenali sebagai sunshine vitamin dihasilkan selepas badan terdedah kepada pancaran matahari. Vitamin ini penting untuk pembinaan tulang yang kuat dan sihat serta meningkatkan penyerapan kalsium dan fosforus di dalam badan.

Tanpa vitamin D yang mencukupi, tulang boleh menjadi rapuh dan halus. Malah, pembentukan tulang baharu juga akan terhenti. Vitamin D juga dapat melindungi warga emas daripada penyakit osteoporosis atau tulang rapuh. Selain minum susu, ada banyak lagi makanan yang kaya dengan kalsium. Sebagai contoh, keju, yogurt, soya, brokoli, buah oren, sardin dan salmon. Semua makanan ini boleh menjadi pengganti susu jika anda risau mengenai pengambilan susu yang berlebihan.

Kesimpulan

Berdasarkan penjelasan di atas, tidak ada masalah jika anda ingin meneruskan pengambilan susu. Walau bagaimanapun, mungkin faedah minum susu tidaklah sebesar yang anda harapkan. Selain susu, ada banyak lagi cara yang anda boleh lakukan untuk mengelakkan osteoporosis dan menguatkan tulang.

Sebagai contoh, bersenam, mengambil vitamin D yang mencukupi dan makan secara sihat dapat membantu pembentukan tulang yang kuat.

Ingin mengambil suplemen vitamin D? Tidak ada masalah. Walau bagaimanapun, pastikan anda melakukan konsultasi bersama doktor atau ahli farmasi yang bertugas jika anda ingin mencuba suplemen baharu.

6 comments

  1. ramadhan kareem semoga ramadhan kali ini lebih manis dan lebih dapat beribadah

    ReplyDelete
  2. Thanks share info. Bermanfaat utk ambil perhatian bg peminum susu tegar .

    ReplyDelete
  3. salam ramadan.
    Selamat menjalani ibadah puasa dan terawih.
    semoga dipermudahkan segalanya.
    take care and stay safe

    ReplyDelete
  4. Terima kasih di atas perkongsian.
    Salam Ramadan :)

    ReplyDelete
  5. Apa pun yang berlebihan mengundang padah.. tq share Farhana..

    ReplyDelete

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.