Menu Baru Marrybrown QQ Popper Ambil Inspirasi Menu Popular Cameron Highland

Thursday, 23 June 2022

credit to Marrybrown Facebook Page


Minggu lepas scroll dekat Grab belek Marrybrown ternampak pula menu baru Marrybrown QQ Poppers. Nampak menarik sebab berwarna ungu. Tengok bebola ubi ni teringat masa pergi Cameron Highland asyik ulang beli sebab sedap. 

Bagus lah Marrybrown bawa menu baru yang comel ni dalam restoran mereka sebab Marrybrown adalah restoran tempatan jadi kena lah angkat menu tempatan juga. Marrybrown QQ Poppers ni ada dua jenis, satu berwarna ungu dengan isi ubi keledek oren dan bebola ubi berwarna oren pula diisi dengan ubi keledek berwarna ungu. 


Dalam gambar nampak cantik lah tapi in real life comot sikit lah bebola ubi tu. Bab rasa tu tak jauh beza pun dengan bebola ubi biasa sebab bahan yang sama jugak lah digunakan. Ubi keledek dengan tepung gandum. Tak masin sangat dan tak manis sangat, just nice je dekat lidah dan tekak. Bebola ubi ni sedap makan masa tengah panas je, kalau dah sejuk dia jadi liat. 

Satu pek Marrybrown QQ Poppers ada 8 bebola dengan harga RM7.90, lebih mahal berbanding bebola ubi dekat Cameron Highland. Kenapa mahal? Entahlah. Mungkin sebab minyak masak dah naik harga dan bakal ditarik pula subsidinya. 


Selain Marrybrown QQ Poppers, I try jugak makan loaded potato bowl Marrybrown ni tapi masin nau ayam dia. Nasib baik lah tak banyak sangat isi dekat dalam bowl tu. Rugi duit je kalau tak habis. 

Try Iced Latte Burger King

Wednesday, 22 June 2022

Sejak dah minum kopi ni, habis semua tempat nak try macam mana kopi diorang buat. Tapi tak daya la nak minum Americano so kita try Latte je. Bak kata Jihoon Treasure, tak kisah lah tengah panas ke, masa hujan ke, ribut taufan datang ke kalau nak order minuman tetap order yang ada ais. 

So bila pergi dekat Burger King ternampak dekat kaunter ada menu Freshly Brewed, terus order Iced Latte. Untuk makanan ambil set Burger King Cheeseburger, Mozarella Stick dengan Long Beef. 


First time makan Mozarella Stick dekat Burger King tapi apa lah bezanya dengan tempat lain pun. Bahan utama mozarella cheese dengan tepung je lah. Tapi I lagi suka Domino's punya sebab tepung tak tebal sangat dan tak ada breadcrumbs. Jenis lelangit lembut ni makan breadcrumbs mesti luka. 


Burger King ni makanan dia nampak tak menarik tapi rasa sedap. Pickles pun tak kedekut nak bagi tak macam mekdi. Fries dia pun sedap walaupun tak cantik sangat. Nampak je burger dia kecik tapi mengah jugak nak habiskan satu cheeseburger tu padahal bukan ambil yang double ke triple ke apa. Ambil yang biasa je. 


Sayangnya Iced Latte Burger King ni tak sesuai dengan tekak I sebab pahit nau. Tak tahu lah kalau dekat franchise Pavillion ni yang tak pandai bancuh. Cukup lah sekali sebab macam tak kena gak makan burger lepastu minum latte. Ni sembang tekak I lah bukan tekak orang lain. Gandingan yang hebat semestinya burger dengan coke hshshs kbai

Minggu ketiga program realiti pertandingan nyanyian berkaraoke, ‘Karaoke Superstar’ menampilkan penyanyi Tajul dan Amira Othman yang bersaing antara satu sama lain dengan persembahan mereka dan peminat mereka. Dalam episod kali ini, si cantik bersuara serak-serak basah, Amira Othman berjaya menjadi juara mengalahkan Tajul dengan jumlah kemenangan sebanyak empat kali daripada lima segmen yang ada.

Amira sering mendapat pujian ‘Kar-bat!’ daripada juri-juri termasuk penyanyi dan pelakon Erra Fazira, juri tetap ‘Karaoke Superstar’ dan juga Khir Rahman yang dijemput sebagai juri jemputan pada minggu kali ini.

Dalam pusingan pertama iaitu Superfans, peminat daripada geng Amira Othman, Ayuni Sapuan yang juga merupakan seorang penyanyi sambilan berjaya mengalahkan pihak lawannya dan meraih satu mata untuk artis kegemarannya. Walaupun nyanyiannya dipuji oleh Erra Fazira sebagai persembahan yang menyayat hati, peminat geng Tajul masih tidak dapat menarik perhatian orang ramai. 

Beralih ke segmen kedua yang dipanggi Karok Uji, persembahan Amira bersama wakil daripada kelab peminatnya sekali lagi berjaya meraih kemenangan dengan lagu ‘Senggol Senggolan Cubit Cubitan’ nyanyian Mas Idayu. Persembahan Tajul dan peminatnya dengan lagu ‘Ala La La Sayang’ nyanyian Azzara band masih dipuji oleh juri-juri walaupun mereka mendapat markah yang kurang oleh kerana kesalahan lupa lirik.

Pusingan seterusnya iaitu Kuiz Karok Star menampilkan artis dan peminatnya yang perlu memilih jawapan paling tepat dalam kuiz-kuiz yang diberikan untuk menjadi pemenang dalam segmen ini. Kedua-dua pihak mendapat jumlah sebanyak 14 markah, lantas menjadikan mereka dalam tangga yang seri. Namun, soalan tambahan diberikan sebagai pemecah seri kepada mereka dan pertambahan soalan ini memberikan satu markah tambahan kepada geng Amira Othman yang berjaya meneka jawapan dengan lebih tepat. 

Dalam pusingan Mikrofon Misteri pula, kedua-dua pihak berjaya meneka mikrofon misteri masing-masing dengan betul. Namun, persembahan Tajul dan mikrofon misterinya, Zarul Husin mendapat lebih markah, lantas menjadikan dia sebagai pemenang. Penyanyi misteri Amira Othman di sebalik tabir pula merupakan Fatin Afeefa yang menyanyikan lagu ‘Jaga-Jaga’ iaitu lagu runut bunyi drama bersiri ‘I Love You Abang Bomba’ yang ditayangkan di Astro Ria.

Penilaian terakhir pertandingan nyanyian ala berkaraoke antara mereka bergantung kepada persembahan mesh up mereka dalam segmen Messy Up Star yang juga merupakan segmen penentuan juara pada minggu ketiga ini. Lagu yang dinyanyikan oleh Tajul adalah ‘Hati-Hati’, manakala Amira Othman pula menyanyikan lagu ‘Sedalam-dalam Rindu’. Amira sekali lagi meraih kemenangan dalam pusingan kali ini, lantas merebut gelaran sebagai ‘Juara Minggu Ketiga Karaoke Superstar’. Pentas ini ditutup dengan persembahan Amira Othman dan Mikrofon Misterinya, Fatin Afeefa.

Siapakah yang akan menjadi juara pada minggu seterusnya? Ikuti program pertandingan berkaraoke ‘Karaoke Superstar’ ini di saluran Astro Ria (Saluran 104) pada setiap Ahad, jam 9 malam. Program ini juga boleh distrim secara eksklusif menerusi On Demand di Astro Box dan aplikasi Astro GO untuk pilihan yang fleksibel.

Book Review | Kanvas (2017)

Tuesday, 21 June 2022

Penulis : Ayumi Syafiqah

Penerbit : Prolog Media

Helaian : 325 mukasurat / 44 bab

Genre : Thriller / Romantik / Misteri 

Tarikh Cetakan : Cetakan Pertama – Oktober 2017

Harga : RM25 (Semenanjung Malaysia), RM28 (Sabah & Sarawak)

Sinopsis : 

If love is a mystery, would you risk yout heart trying to solve it?"

Bagi Ed, melukis adalah jiwanya. Cuma lukisannya bukan lukisan biasa-biasa. Lukisan dia 'hidup' hingga menyebabkan orang sekeliling takut dengannya. Ed tidak ambil kisah dengan pandangan orang lain asalkan hidup dia tenang. Tapi, apabila salah satu lukisannya tiba-tiba jadi nyata, ketenangannya mula berkocak.

Bagi Kara, hidupnya bahagia bersama ayah yang penyayang dan teman lelaki idaman ramai. Namun, segalanya musnah kerana sebuah tragedi. Tragedi yang buat dunia Kara dan Ed bertembung.

Bersama, mereka mula mencari jawapan kepada setiap misteri dan persoalan. Persoalan yang tiada sesiapa tahu jawapannya dan misteri yang tiada sesiapa pun pasti penyelesainnya.

Tiada sesiapa, kecuali kanvas lukisan Ed.

"You, me and a mystery to solve."

Review : 

Bosan menghadap movie, tarik lah satu novel dekat dalam koleksi. Bila baca sinopsis rasa tertarik nak tahu kelebihan Idraki ni. Konsep dia lebih kurang sama dengan novel Ngeri (2011) karya penulisan Gina Yap Lai Yoong. Bezanya, watak Sam menulis kejadian tersebut manakala watak Idraki ataupun Ed melukis di atas kanvas ataupun buku lukisannya dan kemudiannya jadi nyata. 

Kerana satu kejadian misteri bila Ed terjumpa mayat di longkang kolej kemudiannya hilang, satu kampus label Ed sebagai psiko. Tak ada yang sudi berkawan dengan Ed kecuali Dom si penyampai radio kolej. Ed banyak habiskan masa dengan melukis di rumah ataupun di café milik ibunya, Lily. 

Di café tu juga Ed selalu nampak Kara yang selalu menyinggah berjumpa dengan ibunya untuk belajar tentang bakeri. Kara merupakan anak orang berada yang belajar dalam kelas yang sama dengan Ed tapi mereka tak pernah bertegur. Kara lebih banyak habiskan masa dengan buah hatinya, Zam dan kawan baik dia, Lisa dan Zea. 

Dah banyak kali lukisan Ed muncul di dunia nyata tapi lukisan yang satu ni mengubah takdir hidup dia bila Kara, Zam, Lisa dan Zea menjadi watak di dalam lukisan tersebut. Ed tak mampu kawal pun tangan dia untuk melukis bila ilham datang. Boleh kata dia cuma si pelukis semata dan berdasarkan lukisan dia tu lah dia tahu apa yang jadi. 

“Aku pun tak tahu macam mana aku boleh lukis benda tu. It was like I was possessed or something… - Ed

Sebab elemen misteri yang dimasukkan ni lah rasa tertarik sangat untuk tahu macam mana Ed nak kawal sekiranya ilham yang datang tu dalam bentuk musibah. Lagi parah bila melibatkan orang sekeliling dia. Kalau dia tak lukis boleh tak kejadian tu tak berlaku? Dan kalau dia berlaku, Ed ada daya tak untuk membantu mana-mana pihak. 

Selain dari misteri dan thriller dalam novel Kanvas ni, ada juga diselitkan elemen romantik untuk watak Ed dan Kara. Dari awal lagi dah boleh nampak yang Ed menaruh perasaan pada Kara sebab cara dia. Karakter dia berubah bila dengan Kara dan perubahan tu menarik untuk dibaca sebab tak terlampau drastik atau cringy. Realistik dan sweet. Slow and steady kata orang. 

‘Walau apa pun yang jadi lepas ni, kalau kebenaran akhirnya terbongkar, can you promise me to always stay by my side?” Kara

Novel Kanvas dibahagikan kepada 5 bahagian dan dua bahagian terakhir agak mudah untuk ditebak perjalanan cerita dia tapi masih lagi menarik untuk dibaca sebab nak tahu motif dan kesan daripada tindakan si pelaku. Gaya penulisan Ayumi Syafiqah pun santai dan cantik tersusun bila dia bina plot mengikut perspektif watak utama dalam novel Kanvas kemudian berubah mengikut situasi. Tak sedar pun dah habis baca 44 bab. 

Walaupun I suka sangat dengan novel Kanvas ni tapi ada part yang macam mehhh jugak lah bila masuk part Ed berbalah dengan Zea dalam kelas. Nampak sangat fakta tu copy paste ayat Google sedangkan perbalahan sesama sendiri bukannya present depan kelas pun. Boleh je kalau Zea dengan Ed bergaduh dalam Bahasa Melayu pasar. 

Anyone yang belum pernah baca novel Kanvas dan suka dengan genre romantic thriller boleh try baca kisah Ed dengan Kara ni. Tak sabar nak baca Kanvas 2.0!! 

1. Author +1, 2.Plot +1, 3. Genre +1, 4. Social Message +1, 5. Personal Thought +0.7 = 4.7/5

Luangkan Masa Pada 'Hujung Minggu Bersama Didi & Friends' pada 24 - 26 Jun Ini

Monday, 20 June 2022


Karakter-karakter kegemaran kanak-kanak terkemuka di Malaysia, Didi, Nana dan Jojo mengajak semua peminat ke ‘Hujung Minggu Bersama Didi & Friends’ anjuran Astro dengan kerjasama Warnakala Studios dan ditaja oleh Quill City Mall.

Para peminat siri animasi yang bersiaran di saluran Astro Ceria ini boleh meluangkan masa bersama keluarga mereka dengan pelbagai aktiviti-aktiviti menarik dengan Didi dan rakan-rakannya di Quill City Mall, Kuala Lumpur pada 24 - 26 Jun 2022, bermula 10 pagi hingga 9.30 malam. 

Berunsurkan kandungan hiburan kanak-kanak yang padat dengan nilai murni dan pengajaran, siri animasi ini seringkali menjadi pilihan setiap ibu bapa untuk mendidik anak-anak mereka sekaligus menghiburkan si cilik mereka. Setiap karakter mempunyai keunikan masing-masing yang memberikan inspirasi kepada kanak-kanak. 

Untuk mengisi hujung minggu bagi mereka yang meminati siri animasi ini, pihak Astro mengambil peluang untuk mengadakan program yang penuh dengan aktiviti-aktiviti menarik bersama Didi & Friends. 

Kanak-kanak boleh menyertai pelbagai aktiviti dan pertandingan serta berpeluang untuk memenangi hadiah-hadiah menarik daripada Didi & Friends. Ibu bapa juga boleh mendapatkan barangan eksklusif Didi & Friends yang hanya boleh didapati di acara tersebut untuk anak-anak mereka. Antara barangan eksklusif tersebut termasuk pelitup muka kanak-kanak Didi & Friends. Pelitup muka 4 lapisan ini mendapat pengesahan SIRIM dan hanya terdapat di acara tersebut.


Selain itu, kanak-kanak juga berpeluang untuk bergambar bersama karakter-karakter kegemaran mereka pada hari Sabtu (25 Jun) dan Ahad (26 Jun) pada pukul 12.00 tengah hari, 4.30 petang dan juga 8.30 malam. 

Eksklusif untuk para pelanggan Astro, Astro Rewards menawarkan pas foto khas bersama Didi & Friends dan percuma sekotak pelitup muka kanak-kanak eksklusif Didi & Friends kepada mereka yang menunjuk bil kertas atau e-bil Astro mereka satu jam sebelum sesi bergambar bermula. Slot yang disediakan adalah terhad dan akan diberikan kepada mereka yang menebus awal. 

Aktiviti kemuncak program ini adalah persembahan daripada Didi dan rakan-rakannya yang pastinya akan membuatkan si kecil menyanyi dan menari bersama-sama. 

“Sebagai salah satu animasi yang digemari ramai kanak-kanak, kami merasakan bahawa Didi & Friends adalah sebuah program yang mampu mengisi hujung minggu mereka dengan aktiviti-aktiviti yang boleh dinikmati sepenuhnya bersama ahli keluarga. Memandangkan negara sudah pun beralih ke fasa endemik, kami boleh mengadakan pelbagai aktiviti interaktif demi peminat-peminat Didi & Friends,” kata wakil Astro, Izrol Izzuddin Ahmad Jamalun Nahar.

“Pihak kami berharap kolaborasi bersama syarikat penyiaran Astro boleh memberikan pengalaman yang menggembirakan buat kanak-kanak serta ibu bapa mereka. Program ini sedikit sebanyak dapat mengisi hujung minggu mereka dengan keseronokan menerusi hiburan tanpa henti daripada Didi & Friends,” ujar wakil Warnakala Studios, Hairulfaizalizwan Ahmad Sofian. 

Program ‘Hujung Minggu Bersama Didi & Friends’ akan diadakan di Quill City Mall, Kuala Lumpur pada 24 Jun hingga 26 Jun 2022, bermula pada jam 10.00 pagi sehingga 9.30 malam. Saksikan siri animasi ‘Didi & Friends’ di saluran Astro Ceria (611) atau strim menerusi On Demand di Astro Box dan aplikasi Astro Go untuk pilihan yang fleksibel. 

Untuk maklumat lanjut mengenai Didi & Friends, sila layari https://www.warnakala.com/


MENGENAI WARNAKALA STUDIOS SDN BHD

Seiring dengan slogan kami di Warnakala Studios “Kreativiti di luar kebiasaan” menjadi pacuan utama matlamat kami dalam industri animasi ini. 

Dalam pada itu, Warnakala Studios juga berhasrat untuk menjadi hab kreatif yang memberikan pengetahuan khususnya dalam bidang animasi dan pendidkan. Kumpulan kerja kami sangat komited menghasilkan maklumat berkualiti tinggi kepada para pelanggan kami sekaligus bersemangat untuk belajar dan membina komuniti yang berbakat dan berpengetahuan tinggi.